AKADEMI PENGAJIAN MELAYU UNIVERSITI MALAYA SEMESTER 1 ( 2008/2009)
FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU JXEA 1104 TAJUK: SAJAK KITA INI TETAMU SENJA
NAMA
: SUZLIA NIDA BINTI SULAIMAN
NO MATRIK
: JEA 080147
NAMA PENSYARAH
: DR. AMRAN BIN MUHAMMAD
Pengenalan
Sajak merupakan salah satu daripada puisi-puisi melayu. Sajak dikatakan bebas, iaitu bebas dan segi bentuk dan bebas juga dari segi cara pengarang mengekspresikan idea dan perasaannya. Tiada bentuk yang khusus di dalam sajak seperti puisi-puisi yang lain. Dalam sajak, idea pengarang amat penting. Idea pengarang ini dipanggil tema. Dalam sajak “Kita Ini Tetamu Senja” ini, tema yang cuba ditayangkan oleh pengarah ialah dunia ini sementara. Dalam menyatakan tema dalam sajak, pengarang memilih dan menggunakan diksi yang tepat dan padat. OIeh sebab itu, sajak dikenali sebagai karya kesusasteraan yang padat. Selain itu, pengarang juga bertujuan agar dapat meninggalkan kesan rasa yang menyeluruh selain kesan seni dan estetika. Seperti dalam sajak yang dipilih ini, terdapat unsur-unsur nasihat yang dipamerkan untuk memberi kesedaran kepada manusia dan mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca atau pendengar.
Kita Ini Tetamu Senja Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja Bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya Kita datang ini kosong tangan kosong dada Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala. Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang Bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada insane Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang Usahlah derhaka kepada Tuhan kepada insane. Bila kita lihat manusia lupa tempat Atau segera sesat puja darjat puja pangkat Segera kita insaf - kita ini punya kiblat Segera kita ingat - kita ini punya tekad Bila kita lihat manusia tebiar larat Hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat Harus kita lekas sedar penuh pada tugas Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas. Kita datang ini satu roh satu jasad Bila pulang nanti bawalah bakti pada berkat!
Rangkap 1 Rangkap 1 sajak ini cuba menerangkan kepada pembaca bahawa manusia dilahirkan ke dunia ini ibarat tetamu senja. Senja menunjukkan tempoh waktu yang singkat. Tetamu senja pula membawa maksud orang yang datang bertandang sekejap sahaja. Hal ini bermaksud manusia hidup di dunia ini cuma sementara sahaja. “bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya”. Baris ini bermaksud apabila sudah sampai masanya, kita (manusia) akan kembali kepada Tuhan (Allah) iaitu pencipta kita, seperti juga tetamu senja yang pasti akan pulang dalam waktu yang singkat. Apabila manusia menghadapi maut, manusia akan mengalami transendental iaitu perubahan dari alam nyata ke alam yang tidak tercapai oleh akal untuk memikirkannya. “kita datang ini kosong tangan kosong dada”. Baris ini pula menunjukkan maksud manusia yang dilahirkan adalah suci, suci daripada sebarang dosa. Manusia yang baru dilahirkan adalah ibarat kain putih yang belum dicorakkan lagi. Semasa hayatnya barulah dia mendapat dosa dan pahala. Segala-galanya bergantung kepada perbuatan yang dilakukannya di atas dunia ini. “Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala”. Baris ini pula membawa maksud apabila kita pulang kepada pencipta kita, kita bukan cuma pulang sahaja malah kita membawa setiap amalan dan perbuatan yang berbentuk dosa dan pahala sebagai bekalan di alam lain. Mengikut al-Razi, kematian merupakan pintu gerbang untuk melangkah masuk kepada kehidupan yang kekal, tiada cacat dan kekurangan, tiada kesakitan dan kedukaan dengan syarat seseorang itu memperlengkapkan dirinya dengan membina aspek dan bentuk akhlak moral dan etika yang mulia melalui penguasaan ke atas nafsu haiwannya dengan berpandukan peraturan-peraturan yang diwahyukan oleh Tuhan pencipta kepada rasul-Nya yang dinamakan hukum syariah. Kebenaran yang cuba
ditunjukkan melalui rangkap ini ialah kehidupan di dunia ini hanya sementara dan segala amalan yang dilakukan adalah bekalan untuk kehidupan manusia selepas kematian.
Rangkap 2 “Pada tetamu yang datang yang kenal jalan pulang, bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada insan” membawa maksud kepada manusia yang dilahirkan di atas muka bumi ini yang tahu bahawa hidup ini sementara dan tahu mereka akan kembali kepada Tuhan-Nya, diingatkan supaya menabur bakti kepada Tuhan juga kepada insan. Berbakti kepada Tuhan ialah beramal oleh, melaksanakan suruhannya dan meninggalkan larangannya. Manusia perlu untuk mengamalkan ajaran agama untuk memenuhi keperluan rohani kerana keperluan rohani adalah salah satu elemen dalam membentuk insan yang seimbang selain daripada jasmani, emosi dan intelek. Bakti kepada insan pula ialah amalan atau perbuatan yang bermanfat yang dilakukan kepada manusia untuk manusia lain. Sebagai contohnya, bersedekah dan menolong insan yang di dalam kesusahan dan kurang berkemampuan. Amalan-amalan ini adalah antara amalan beretika dan bermoral yang penting dalam menjaga hubungan sesama manusia. “Pada tetamu yang datang yang lupa jalan pulang, usahlah derhaka pula kepada Tuhan kepada insan” bermaksud kepada manusia yang dilahirkan yang lupa terhadap arah tujuan hidupnya diingatkan supaya tidak menderhaka kepada Tuhan kepada insan. Jika seseorang manusia itu mempunyai intuisi pada tahap manusia istimewa, iaitu merupakan kesedaran dan pemahaman tentang alam dan kewujudan yang tinggi yang merentasi alam zahiriah ini yang membawa kepada pemahaman tentang keseluruhan realiti atau alam kewujudan,
pastinya terkhusus kepada manusia untuk menjalani kehidupannya dalam kebenaran agama berasaskan kebaktian kepada Tuhan secara ikhlas, khusu’ dan tawaddu’.
Rangkap 3 “Bila kita lihat manusia lupa tempat, atau segera sesat puja darjat puja pangkat, segera kita insaf – kita ini punya kiblat, segera kita ingat – kita ini punya tekad”. Rangkap ini bermaksud jika terdapat orang di sekeliling kita yang mula lupa diri, taksub dan asyik dalam mengejar darjat dan pangkat iaitu mengejar kekayaan dan harta benda sehingga melupakan tanggungjawab yang lain seperti tanggungjawab kepada Tuhan, kita diingatkan supaya segera insaf dan sedar bahawa kita ini punya kiblat. Kiblat yang dimaksudkan ini ialah arah tujuan dalam hidup kita yang tidak hanya bertumpu untuk kebahagiaan di dunia sahaja malah untuk kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Kita juga perlu segera insaf bahawa kita ini mempunyai tekad dalam kehidupan kita iaitu untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Mencari harta adalah penting untuk memastikan kebahagiaan hidup di dunia tetapi manusia perlu memastikan keseimbangan dunia dan akhirat. Mengikut al-Ghazali kebahagiaan atau sa’adah hanya akan diperoleh apabila ilmu digandingkan dengan amal perbuatan. Kebenaran yang cuba ditunjukkan melalui rangkap ini ialah benda dan perkara yang disukai dan diidamkan itu tidak boleh bertahan dan tidak kekal sifatnya. Kekayaan “boleh habis”, kesihatan boleh didatangi penyakit atau kemalangan dan kematian.
Rangkap 4 Apabila kita melihat manusia terbiar larat bermaksud manusia yang terbiar hanyut. Hidupnya melarat disebabkan kemiskinan hingga perlu merempat. Hal ini menunjukkan bahawa manusia itu tidak mempunyai tempat tinggal dan manusia itu hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Sebagai manusia yang bertanggungjawab pula, kita seharusnya cepat sedar terhadap tugas kita sebagai manusia. Kita sepatutnya berasa kasihan dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Sebagai manusia, kita bertanggungjawab terhadap manusia lain. Di dalam Islam juga ada menyatakan bahawa sebahagian daripada harta kita adalah milik fakir miskin. Hal ini menunjukkan bahawa setiap manusia hidup saling berkaitan dan bergantungan serta bertanggungjawab antara satu sama lain. Fakulti syahwah dalam diri manusia yang boleh membuahkan sifat kemurahan hati iaitu dermawan adalah hakikat diri insan yang boleh membentuk akhlak mulia menurut Miskawayh.
Rangkap 5 Rangkap 5 ini menerangkan bahawa manusia yang dilahirkan ini satu roh satu jasad yang bermaksud kita mempunyai rohani dan jasmani yang perlu kita manfaatkan sebaik-baiknya. Rohani perlu diisi dengan pengisian-pengisian keagamaan seperti ketakwaan kepada Tuhan dan beramal sebagai bekalan. Jauntuk kehidupan selepas kematian. Jasmani kita perlulah digunakan sebaik-baiknya untuk memenuhi keperluan semasa hayat di dunia ini seperti mencari ilmu dan harta. Semuanya perlu untuk membawa segala amalan yang penuh keberkatan apabila pulang kepada Tuhan nanti.
Kesimpulan
Dapat disimpulkan bahawa setiap karya persuratan melayu yang tertulis dalam karya-karya melayu terkandung falsafah dan logikanya tersendiri. Kebanyakan falsafh yang ditayangkan di dalam karya-karya tersebut merupakan falsafah dan logika yang berteras dan bersumberkan islam, termasuklah dalam penampilan pelbagai metafora yang berlunaskan prinsip Islam seperti juga yang terdapat di dalam sajak di atas. Hal ini kerana agama Islam yang paling banyak mempengaruhi masyarakat melayu. Ajaran Islam adalah lengkap dan menyeluruh menyentuh aspek-aspek kehidupan dunia dan akhirat. Oleh itu, kebanyakan karya-karya melayu berteraskan islam kerana ia sesuai untuk memberi nasihat, pengajaran dan kesedaran kepada pembaca dan pendengar terutamanya masyarakat melayu sendiri.
BIBLIOGRAFI
Awang Sariyan. 2007. Falsafah dan Logika Melayu. Kuala Lumpur: Synergymate Sdn.Bhd. Hashim bin Haji Musa. 2001. Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu Suatu Pengenalan. Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Kamus Dewan ( Edisi Ketiga ). 1996. Kula Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sarah sadon. 1995. Koleksi Sasterawan Negara A. Samad Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka http://www.puisimelayu.net/main/viewpage.php?page_id=1