TAJUK KURSUS : FALSAFAH DALAM HIKAYAT AHMAD DAN MUHAMMAD KOD KURSUS
: JXEA 1104
NAMA
: SARA SHAHIDA BINTI MOHD SALIM
NO. MATRIK
: JEA080122
NAMA PENSYARAH: DR. AMRAN MUHAMMAD NAMA TUTOR
: CIK SITI HADIJAH ABDOL RAHMAN
SESI PENGAJIAN
: 2008/2009
UNIVERSITI MALAYA (AKADEMI PENGAJIAN MELAYU)
PENGENALAN Kesusasteraan hikayat merupakan genre terbesar dari segi bilangan perbendaharaannya. Menurut Hooykas (1940), “hikayat adalah buku yang mangandungi fantasi India”. Emies pula berpendapat bahawa “hikayat merupakan cerita asing dan mengandungi cerita lipur lara”. Menurut Zalila Sharif et al.(penyelenggara , 1993) pula, sastera hikayat berbentuk cerita atau naratif, bersifat hiburan dan didaktik. Perkataan ‘hikayat’berasal daripada bahasa Arab iaitu hikaya yang bermaksud “pelbagai sejarah”. Menerusi peredaran zaman, maksudnya berubah menjadi cerita rekaan berunsur naratif yang bertujuan untuk hiburan daripada imaginasi pengarangnya. Kesusasteraan hikayat ada berbentuk prosa dan puisi. Hikayat Ahmad Muhammad adalah hikayat pada zaman Pra-Islam yang berunsur Hindu Islam. Karya asalnya adalah berunsur Hindu tetapi diubahsuai dengan memasukkan unsur-unsur Islam. Hikayat Ahmad Muhammad menceritakan kisah tentang dua orang adik-beradik yang pulang ke rumah bondanya yang bernama Dewi Permaisuri. Dewi Permaisuri telah berkahwin dengan Nakhoda Syam yang zalim. Ahmad dan Muhammad telah memakan hati, daging, dan kepala burung peliharaan mereka yang dihidapi penyakit sawan. Nakhoda naik marah kerana burung itu seharusnya dihidangkan untuknya oleh seorang budak suruhan. Nakhoda memerintahkan budak-budak Habsyah membunuh Ahmad dan Muhammad dengan memberi ganjaran berupa harta, wang seribu dirham, memberi keperluan makanan secukupnya, dan memerdekakan dengan menghantar pulang ke negeri Hapun. Arahan ini telah didengar oleh Nisumbli iaitu seorang perempuan yang dipelihara oleh Dewi Permaisuri, lalu diceritakannya kepada Sang Maha Pendeta.
Sang Maha Pendeta menyuruh Ahmad dan Muhammad melarikan diri daripada ancaman budak-budak Habsyah. Ahmad dan Muhammad telah lari sampai di sebuah gua. Di sana, mereka diberi ilmu dan semangat oleh Tuan Syeikh Khialuddin. Tuan Syeikh Khialuddin telah memberi Ahmad dan Muhammad azimat dan keris setiap seorang. Keberanian dan semangat yang kental yang ditonjolkan oleh Ahmad Muhammad dalam menentang musuh akhirnya berjaya menewaskan budak-budak Habsyah itu. Selepas itu, Ahmad dan Muhammad meneruskan perjalanan untuk mencari kawasan kampung. Akhirnya Ahmad dan Muhammad terpisah di dalam hutan ketika Ahmad ingin mencari air untuk adiknya, Muhammad.
KUPASAN HIKAYAT AHMAD MUHAMMAD Serta mendengar katanya budak itu maka lalu nakhoda pun marah dan mukanya pun seperti api yang bernyala-nyala serta disepak kepala budak itu dan disuruh pulang ke rumahnya, hendak disuruh panggil budak-budak Habsyah itu beri lima ratus orang disuruh bunuh akan kepada anak itu dua bersaudara yang bernama Ahmad (dan) Muhammad itu. “Jangan tiada engkau yang mesti bunuh dan barang siapa yang membunuh dia, aku memberi harta dan seribu dirham dan aku pulangkan ke negerinya yang bernama Hapun dan berserta aku memberi keperluan serta isi makanannya, kapal dan hamba tiadakan jua hai bicu engkau pergilah segera memberitahu kepada temantemannya Habsyah”. Berdasarkan petikan di atas, jelas menggambarkan bahawa Nakhoda adalah seorang yang zalim dan tidak berperikemanusiaan terhadap orang yang lemah khususnya kanak-kanak. Nakhoda juga menggunakan harta kekayaannya kepada jalan yang salah dengan mengupah budak-budak Habsyah untuk membunuh dua orang kanak-kanak yang masih kecil iaitu Ahmad dan Muhammad. Keputusan yang diambil oleh Nakhoda menggambarkan dia seorang yang penakut kerana tidak berani menentang sendiri tetapi hanya mengupah budak-budak Habsyah supaya melakukan perbuatan terkutuk itu untuknya.
Ini jelas memperlihatkan bahawa tindakan orang yang zalim umpama tidak berakal sedangkan haiwan mempunyai perasaan kasih sayang dan saling melindungi inikan pula kita sesama manusia. Akal yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. haruslah diutamakan bagi melahirkan hati dan perasaan untuk bertindak ke arah yang membawa banyak kebaikan.
Maka diujar oleh Tuan Syeikh Khialuddin itu kepada kanak-kanak dua bersaudara dan semalam pun tiada diberinya tidur akan itu supaya ditetapkan imannya dan seorang satu diberi azimat dan keris. “Serta jangan anakku gugup daripada cubaan Allah itu.” Dan, lalu Tuan Syeikh Khialuddin bersabda, “Itu baik tuanku sekarang keluar juga ini dan jangan tuanku lupa pengajaranku ini.” Maka disujudnya oleh memuji. Tuan Syeikh Khialuddin itu pun mengangkat tangan kepada Allah s.w.t. dan Rasul meminta doa supaya selamat akan Ahmad (dan) Muhammad daripada jalannya dan meminta ampun barang yang daripada kesalahannya. Syeikh Khialuddin kepada Ahmad (dan) Muhammad itu dibawa keluar dari jalan yang lain. Serta katanya, “Ya tuanku berjalan pumpun hidup pagi-pagi hari.” Maka lalu sujud Ahmad (dan) Muhammad ke bawah duli telapakannya Tuan Syeikh Khialuddin. Maka lalu berjalan kedua bersaudara itu dari lain sebelah pintu gua.
Petikan tersebut menunjukkan bahawa Tuan Syeikh Khialuddin mempunyai sikap baik hati, rasa simpati, dan keikhlasan dalam memberi pertolongan kepada Ahmad dan Muhammad tanpa meminta balasan. Contohnya, Tuan Syeikh Khialuddin memberikan keris dan azimat supaya berani berhadapan dengan musuh. Pentingnya memberikan bantuan dan rasa simpati yang wujud dalam diri menusia adalah supaya timbulnya rasa hormat dan cinta atau kasih sayang sesama makhluk di muka bumi Allah s.w.t.
Selain itu beliau telah mengajar ilmu kepada Ahmad dan Muhammad supaya tabah dalam menempuh hidup. Tuan Syeikh Khialuddin digambarkan sebagai seorang yang warak, berilmu, kuat pegangan agama, dan kepercayaannya kepada kuasa Allah s.w.t. Dengan mempunyai sikap yang sedemikian, kita akan menjadi berani dan tidak gentar kepada musuh. Manusia yang mempunyai kalbu atau hati yang mulia, percaya bahawa Allah sentiasa bersama dengan orang yang mengingati-NYA. Manusia yang
berlandaskan kepada hukum dan peraturan yang ditetapkan dalam agama akan mencapai kepada ketamadunan yang tinggi dari segi lahiriah dan batiniah.
Dari sudut ilmu sosiologi dan antropologi dalam sains sosial, agama ditakrifkan sebagai suatu kepercayaan kepada alam ghaib. Kupasan saya dikuatkan lagi dengan kenyataan dari E.B. Taylor (1985)yang menyebut bahawa agama ialah percaya kepada kuasa ghaib iaitu supernatural yang disebut sebagai animisme .
Kepercayaan agama ini mempunyai nilai kesakralan (sacredness), kesucian dan kekudusan. Agama juga mempunyai nilai transendental, iaitu agama yang diturunkan dari atas (langit). Apabila manusia memerlukan sesuatu kekuatan ghaib (supernatural) atau luar biasa iaitu boleh menyebabkan wujudnya rasa hormat, taat dan menyembah kepada yang ghaib itu. Pengakuan manusia terhadap agama adalah sesuatu kuasa yang transendental yang boleh membantu nasib manusia sekali gus mewujudkan rasa kewajiban untuk menyembah, taat dan hormat.
Sarjana telah membahagikan agama kapada agama yang berasaskan nilai dan etika atau agama humanistik dan kepada agama wahyu. Agama wahyu ialah menyembah kepada Tuhan yang Esa iaitu mengakui bahawa Tuhan itu satu dan tidak lebih dari itu. Kepercayaan bahawa Tuhan itu satu disebut monotheism, tiada Tuhan ialah aetheism dan banyak Tuhan disebut sebagai polytheism.
Menurut pandangan dunia (world-view) khususnya dalam Melayu tradisi atau animism Melayu, masyarakat tradisi percaya kepada objek yang bernyawa atau tidak memiliki semangat seperti dewa, batu, pokok, sungai, dan lain-lain khususnya agama Hindu. Apabila masuknya agama Islam ke dalam alam Melayu, tanggapan tersebut telah diluputkan dan digantikan dengan keyakinan kepada Allah yang Maha Esa.
Maka setelah didengar Ahmad (dan) Muhammad itu katanya, “Hai muka laknat budak Habsyah celaka berhentilah di sini.” Setelah Ahmad itu katanya si dia, “Ya kakandaku, marilah mengamuk; kakandaku di kanan, saya di kiri, kemudian kakanda.” Muhammad itu dipeluk cium pada saudaranya Ahmad serta ditangisi itu seraya katanya, “Ya adindaku, jangan engkau terpisah bersama-sama kakandaku ini dan mati hidup kita berdua.” Kemudian Ahmad maju seraya katanya, “Hai laknat, apa jua mahu kepada kita ini dan jangan engkau kirakan kita ini nanti lari dan jangan engkau kiranya aku takut dan jikalau ditolong Tuhan yang amat maha mulia dan berkat nabi kita Muhammad s.a.w. dan ditambahi pula engkau lima jiwa dan aku tiada geming bulu samar.” Keberanian yang ditunjukkan oleh dua orang beradik dalam menentang musuh amat dikagumi. Walaupun budak-budak Habsyah seramai lima ratus orang, tetapi dengan semangat dan tekad yang ditunjukkan oleh Ahmad dan Muhammad mampu menewaskan dan menakutkan budak-budak Habsyah itu. Kita sebagai manusia haruslah berani dalam usaha menentang musuh dan menegakkan kebenaran. Contohnya, walaupun Ahmad dan Muhammad tidak bersalah, tetapi mereka tabah dalam menempuh hidup dan percaya bahawa Allah s.w.t. mampu memberi pertolongan serta kekuatan kepada hamba-NYA.
Kebesaran kalimah Allah s.w.t. pasti menggentarkan jiwa musuh khususnya orang kafir walaupun mereka mempunyai tentera yang ramai dan kelengkapan senjata yang lebih kuat. Hal yang demikian memberikan kita kepercayaan kepada alam ghaib menerusi kalbu iaitu percaya wujudnya Tuhan walaupun kita tidak nampak menerusi pancaindera manusia. Melalui penelitian alam dan sebab-sebab berlakunya kejadian alam ini dapat mewujudkan rasa kakaguman terhadap kebesaran Allah s.w.t. sekali gus mewujudkan hubungan manusia dengan Tuhan dan manusia dengan alam semesta.
Maka lalu Ahmad (dan) Muhammad itu datang di bawah pohon kayu beraksa itu, dilihatnya oleh Muhammad terlalu bagus dan tempatnya terlalu dingin. Dan, serta terliurliur duduk di bawah pohon kayu beraksa itu kerana terlalu kesal dan capeknya dan laparnya, sebab sudah sepuluh hari tiada makan dan minum, kerana terlalu sangat kasihnya kepada adindanya itu. Jikalau dapat sesuatu buah-buahan atau daun kayu yang muda-muda, diberi makannya pada Ahmad itu kerana ianya masih kecil dan seraya katanya, “Hai tuanku kecil, pergilah adindaku mencari air sedikit, barangkali boleh dapat bertemu kerana kakanda ini terlalu capek dan dahaga. Dan, tuanku jangan hendak pergi masuk di dalam hutan.” Kasih sayang yang ditunjukkan oleh Ahmad kepada adiknya iaitu Muhammad adalah lumrah manusia untuk melindungi keselamatan kepada yang lebih kecil atau lemah. Hubungan adik-beradik memang tidak dapat dipisahkan kerana sudah menjadi darah daging dan hidup bersama sejak dari kecil lagi. Tanggungjawab yang ditonjolkan oleh Ahmad sebagai abang kepada Muhammad iaitu sanggup mencari air di dalam hutan untuk adiknya yang kehausan.
Ahmad dan Muhammad mempunyai perasaan saling sayang menyayangi di antara satu sama lain.Mereka mengambil berat tentang keselamatan diri mereka. Contohnya Ahmad menyuruh Muhammad supaya tidak mengikutnya masuk ke dalam hutan kerana bimbang akan keselamatan adiknya.
Hubungan sesama manusia dan alam penting untuk membentuk kerohanian dan moral yang tinggi. Perasaan simpati, kasih sayang, dan hormat-menghormati di antara satu sama lain penting untuk membentuk sebuah masyarakat yang aman dan harmoni. Pendidikan seperti ini haruslah dididik sejak kecil lagi iaitu ibu bapa haruslah menjadi teladan dalam mendidik sikap tanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat supaya terbentuknya nilai moral dan etika yang tinggi dalam sesebuah negara.
Dalam fenomena logik, objek di sekeliling mempunyai kehidupan sendiri yang berupaya berkata-kata sendiri melalui pemikiran manusia. Alam itu adalah suci dan mempunyai kehidupan iaitu hubungan antara mikrokosmos (manusia) dan makrokosmos (alam semesta). Dalam kehidupan sekular, para tokoh falsafah membuang elemen yang hidup dan menganggap alam ini mati dan mengakibatkan kerosakan alam.
Oleh itu, cerita hikayat atau karya-karya klasik Melayu harus membuka fikiran untuk melangkaui logik sesebuah karya. Hikayat mempunyai unsur rekaan semata-mata dan hanya berdasarkan imaginasi pangarang sahaja. Hal yang demikian ini menunjukkan bahawa hikayat tidak mempunyai unsur logik berdasarkan fakta saintifik yang memerlukan bukti pada zaman sekarang.
BIBLIOGRAFI
Hashim Ismail, 1996. Hikayat Ahmad Muhammad. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia. Jamilah Haji Ahmad, 1989. Kumpulan Esei Sastera Melayu Lama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Liaw Yock Fang, 1975. Kesusasteraan Melayu Klasik. Singapura: Pustaka Nasional. Siti Hawa Salleh, 1997. Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad, 1993. Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.