UNIVERSITI
MALAYA
FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU (
JXEA 1104 )
PELAJAR SEMESTER 1 2008 /2009 AKADEMI PENGAJIAN MELAYU (APM ) TAJUK : KUPASAN FALSAFAH DALAM PANTUN BUDI DAN AGAMA
NAMA PENSYARAH : PROF. DR. AMRAN MUHAMMAD TUTOR : SITI HADIJAH ABDOL RAHMAN NAMA PELAJAR : NUR MUNIRAH BINTI KAMARUL ZAMAN
NO. MATRIK : JEA080097
Pengenalan Pantun
Pantun merupakan puisi melayu tradisional yang paling popular dalam kalangan masyarakat melayu tradisional hinggalah kepada masyarakat melayu moden. Pantun sama ertinya dengan laksana, seperti, umpama yang telah digunakan dan difahami oleh masyarakat melayu. Maksud dalam pantun itu sendiri merujuk kepada sesuatu yang teratur, lurus, baik secara konkrit mahupun abstrak dan ianya bertujuan untuk memimpin, mendidik dan memberikan panduan. Pantun memberikan konotasi kesopanan atau kehormatan. Salah satu daripada beberapa ciri utama pantun melayu ialah sifatnya yang fungsional di mana ianya berfungsi dalam kehidupan masyarakat. Rangkap – rangkap pantun juga merupakan hasil kegunaan dan peranannya dalam sesuatu fungsi atau sesuatu kegiatan sosial bersifat hiburan, pengajaran, pengisi acara sebuah majlis mahupun sebagai upacara ritual. Selain untuk hiburan dan pengajaran, fungsi pantun juga terdapat dalam kegiatan – kegiatan yang berbentuk ritual, upacara, malah mantera untuk pengubatan dan pakaian diri. Pantun dinyanyikan beramai – ramai dalam bentuk dikir, diiringi tarian beramai-ramai, lelaki dan perempuan, biasanya dalam kumpulan yang berasingan.
Pantun pertama:
Anak teruna menanam betik, Buah cempedak dalam raga, Apalah guna berwajah cantik, Kalau kurang berbudi bahasa.
Pantun kedua :
Halia ini tanam – tanaman, Di barat saja akan tumbuhnya, Dunia ini pinjam – pinjaman, Akhirat juga akan sungguhnya.
Falsafah yang terdapat dalam pantun yang pertama, adalah berkenaan budi bahasa yang lebih dititikberatkan oleh pemantun. Pemantun juga menegaskan kecantikan dalaman adalah lebih penting berbanding kecantikan luaran kerana yang indah di luar tidak selalu pula indah di dalam. Cantik pada wajah tidak bermakna cantik pada perlakuan, begitu juga sebaliknya. Lumrah, naluri manusia sukakan kepada kecantikan, namun budi bahasa juga penting sebagai lambang jati diri seseorang. Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan seperti irama dan lagu sehingga para pendeta menceritakan perihal kecantikan seorang wanita yang diadaptasikannya dalam pantun yang cukup puitis seperti ‘bibir bak delima merekah’, pipi bagai pauh dilayang, hidung bak dasun tunggal, dahi sehari bulan dan sebagainya.
Namun, kecantikan luaran hanyalah berupa sementara dan ianya tidak akan kekal. Walaubagaimanapun, ramai yang ingin tampak cantik pada fizikalnya sedangkan pada hakikatnya cantik itu sesuatu yang subjektif. Lazimnya, manusia kerap mengagung – agungkan kecantikan luaran dan terlalu obses dengan kecantikan sehingga ada yang sanggup berhabis wang ringgit demi kecantikan, malah ada sebilangan masyarakat melayu yang sanggup memakai susuk, sedangkan mereka tahu ianya berupa sementara dan ianya adalah permainan syaitan semata – mata yang ingin menipu daya penglihatan kita supaya terus sesat. Kenyataan saya ini di sokong oleh Raja Ali Haji yang mengganggap dunia ini penuh dengan tipu daya dan mudarat. Disini, dapat dijelaskan, semua nikmat yang dimiliki hanyalah pinjaman semata – mata begitu juga dengan kecantikan yang merupakan anugerah Allah, dan seharusnya tidak disalahgunakan kecantikan tersebut. Dunia juga adalah sementara dan yang kekal abadi adalah di akhirat
sana. Kecantikan bukanlah terletak pada luaran saja tetapi kecantikan juga adalah dalam diri seseorang itu. Kecantikan luaran haruslah disertai dengan kecantikan dalaman atau seimbang dari sudut fizikalnya dan rohaninya agar dapat membentuk kesempurnaan diri.
Budi pula ialah konsepsi dan persepsi yang menjadi ukuran menjelaskan pandangan hidup orang melayu. Kemanusiaan melayu memiliki ciri khas yang dinamakan budi. Budi bukan sahaja dapat dikesan daripada perlakuan (budi pekerti), tetapi juga dari segi pemikiran (akal budi), perasaan (hati budi), pertimbangan (budi bicara) dan bahasa serta pertuturan (budi bahasa). Keseluruhan konsep budi di atas merupakan jati diri orang Melayu yang disertai adab dan adat Melayu dan diperkukuhkan serta dimantapkan oleh keseluruhan akhlak Islam. Islam dan adat Melayu ialah dua struktur yang saling melengkapi. Ini kerana ia merupakan suatu yang fitrah atau sesuatu peraturan alam yang perlu dilaksanakan. Ini penting bagi menjaga hubungan sosial atau interaksi sosial manusia sesama manusia.
Budi bahasa adalah salah satu aspek peribadi individu yang dinilai tinggi oleh masyarakat. Ianya terserlah dalam pertuturan dan pemilihan kata – kata yang digunakan. Bahasa yang diucapkan sentiasa teratur, baik, indah, tepat dan benar. Kehalusan akhlak, watak, sahsiah dan peribadi yang beradat, beradab akan melahirkan manusia yang budiman serta berbudi bahasa. Ungkapan, ‘kalau kurang budi bahasa’ yang ditekankan oleh pemantun menggambarkan bahawa jikalau hidup tidak berbudi ia adalah satu penghinaan iaitu penghinaan terhadap diri sendiri, penghinaan terhadap keturunan dan di hina masyarakat.
Orang yang berbudi bahasa juga dikatakan berhemah tinggi dan dipandang mulia kerana mereka itu tahu adat atau beradat. Pembentukan manusia beradat atau berbudi ini jelas telah dipupuk dalam diri sendiri sejak kecil lagi serta ia juga telah terserap dalam kalbu orang melayu. Sekiranya manusia ingin dihormati dan disegani, maka haruslah menjaga tingkah laku serta akhlak supaya dapat mencerminkan watak yang baik, halus dan sopan serta akan melahirkan masyarakat yang sentiasa berbudi bahasa. Apa yang dapat disimpulkan di sini, budi bahasa adalah merupakan kecantikan dalaman yang sememangnya perlu ada pada setiap individu bagi membentuk masyarakat yang halus budi pekertinya dan seterusnya dapat melahirkan insan yang budiman .
Falsafah yang terdapat dalam pantun kedua pula, dapat dilihat bahawa pandangan hidup melayu yang di pengaruhi oleh agama islam. Hidup di dunia ini hanyalah sementara dan segala nikmat yang diberi oleh Allah S.W.T adalah pinjaman sematamata. Manusia adalah sebagai khalifah di bumi ini, dan dituntut untuk mencari ilmu serta berusaha untuk mengumpul rezeki. Islam juga menganjurkan manusia hidup bersederhana iaitu jangan terlalu berlebihan, tidak boleh terlalu mengejar dunia sehingga lupa, leka dan lalai terhadap tanggungjawab sebagai umat islam. Hidup sebagai umat islam mestilah seimbang antara dunia dan akhirat. Ini kerana, dunia yang fana ini hanyalah pinjaman yang diberi oleh Allah dan yang kekal hanyalah di alam akhirat iaitu alam yang abadi. Lantaran itu, apabila sudah berumur, umat islam dituntut pula supaya banyak beribadat, sentiasa ke masjid dan sentiasa mengingati tuhan.
Umat Islam harus berpegang teguh pada ajaran Al-Quran, rukun iman dan rukun Islam supaya dapat melahirkan muslim sejati yang beriman dan bertaqwa. Allah tuhan yang satu dan dia juga menjadikan langit dan bumi, maka umat islam harus menjalankan ‘amar makruf nahi mungkar’ iaitu mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Imran : ayat 104. Ertinya : “Hendaklah kamu tergolong umat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang membuat yang salah. Mereka itulah orang yang beruntung.” Maka, umat islam diingatkan untuk bersyukur di atas segala nikmat yang diberi oleh Allah kerana nikmat yang di beri itu juga tidak kekal dan bersifat sementara. Dengan itu, umat Islam perlu mengingati lima perkara sebelum lima perkara yang lain seperti di bawah ini iaitu : •
Sihat sebelum sakit
•
Muda sebelum tua
•
Kaya sebelum miskin
•
Lapang sebelum sempit
•
Hidup sebelum mati Sepuluh perkara di atas menggambarkan hidup ini umpama putaran roda dan ada
pasang surutnya. Di mana jika manusia itu di beri nikmat sihat, ia tidak semestinya akan kekal sihat selama – lamanya, tuhan juga akan memberi sakit kepada manusia untuk menguji ketabahan umatnya menempuh ujian tuhan. Kitaran hidup manusia juga bermula dari bayi, seterusnya kanak – kanak, remaja, dewasa dan tua. Ini bermaksud yang muda tidak akan kekal muda, maka diperintahkan manusia untuk mengerjakan ibadat dan menuntut ilmu selagi hayat masih ada bagi bekalan di akhirat kelak. Manusia juga perlu bijak membahagikan masa supaya tidak terbuang begitu sahaja kerana kita tidak tahu bila
kita akan sibuk semula dan pada masa itu manusia akan menyesal kerana tidak menggunakan masa yang ada sebaik mungkin.
Harta di dunia ini juga nikmat yang diberi oleh Allah kepada manusia. Seharusnya manusia dituntut untuk mencari harta sebanyak mungkin kerana rezeki itu ada sekiranya manusia berusaha bersungguh – sungguh mencarinya, setelah itu hendaklah mereka bertawakal kepada Allah. Dengan itu, umat islam dituntut untuk mencari rezeki yang halal kerana ia datang dari Allah. Sekiranya rezeki yang di cari oleh manusia adalah datang dari sumber yang tidak halal, maka Allah tidak akan memberkati hidupnya, dan sentiasa akan diuji oleh Allah serta akan menerima balasan yang setimpal di akhirat kelak.
Kesimpulan bagi pantun kedua, ianya menggambarkan kehidupan manusia terdapat onak dan duri iaitu dalam meniti kehidupan ini pastinya manusia akan diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang tidak akan diketahui oleh manusia itu sendiri. Ianya bergantung kepada iman seseorang itu samada mampu atau tidak untuk menempuhi ujian tuhan tersebut. Ini kerana, manusia tidak akan kekal hidup di dunia yang fana ini dan semua yang hidup pasti akan kembali kepada Allah S.W.T.
Bibliografi
Harun Mat Piah.2001.Pantun Melayu : Bingkisan Permata.Selangor : Utusan Printeorp Sdn. Bhd. Hashim Bin Hj Musa, Ph. D. 2001. Falsafah, logik, Teori Nilai Dan Etika Melayu. Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Melayu Prof. Dr. Awang Sariyan. 2007. Falsafah Dan Logika Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu . Midmodal Industries Sdn. Bhd Rogayah A. Hamid.2006.Pandangan Semesta Melayu Pantun.Kuala Lumpur : Dawama Sdn. Bhd. Rosli Ahmad. Cantik Rupa atau Budi Bahasa dalam Remaja, Bil 518, halaman 95, 15 Mac 2008