UNIVERSITI
MALAYA
FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU (
JXEA 1104 ) SEMESTER 1 2008 /2009
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU (APM )
TAJUK : KUPASAN FALSAFAH PANTUN BUDI DAN PANTUN ILMU NAMA PENSYARAH :
PROF. DR. AMRAN
MUHAMMAD TUTOR : SITI HADIJAH ABDOL RAHMAN NAMA PELAJAR : SITI FATIMAH BINTI AYUB NO. MATRIK : JEA080130
PENGENALAN
Kita sering mendengar orang berkata, pantun adalah manifestasi pemikiran Melayu silam. Itu memang benar kerana pantun sebagai karya sastera adalah pelahiran langsung daripada pemikiran manusia yang amat jernih dan signifikan. Pantun terutama sekali menjelmakan pemikiran yang amat arif, bijaksana dan tajam yang lahir daripada pengamatan mata yang peka dan rinci. Malah pantun bukan sahaja menjadi cermin untuk kita membaca minda Melayu, tetapi sama seperti bentuk –bentuk sastera yang lain, pantun menjadi cermin kepada seluruh adab kehidupan manusia silam, termasuk persekitarannya. Ada satu lagi aspek pantun yang sering kali tercicir daripada perbincangan, yakni aspek yang memberi bentuk kepada pemikiran tersebut. Maksudnya disini ialah mekanisme penyampaian pantun. Tercipta dalam situasi kelisanan, pantun dikawal bentuknya oleh norma dan puitika lisan. Pantun dengan demikian memanifestasikan pemikiran dan kreativiti yang tercetus dalam situasi kelisanan.
Tegak rumah kerana sendi, Runtuh sendi rumah binasa, Sendi bangsa ialah budi, Runtuh budi runtuhlah bangsa.
Falsafah yang tersirat didalam pantun di atas adalah berkenaan dengan adab berbudi yang merangkumi semua gugusan budi iaitu budi bahasa, budi pekerti dan budi bicara. Maksud budi mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi ketiga cetakan keenam 2002 (m/s 180), mendefinisikan budi sebagai akal, kebijaksanaan atau sifat baik, perbuatan baik dan kebajikan. Jadi dapat disimpulkan disini, budi adalah merangkumi semua nilai dan norma-norma murni yang dilakukan oleh manusia sama ada terhadap manusia, alam semesta dan Tuhan. Dalam masyarakat Melayu amnya, perkataan budi itu berbagai lapisan maknanya.Makna yang paling popular bermaksud jasa atau sumbangan yang diberikan kepada individu yang lain. Lazimnya, orang yang menaburkan budi tidak mengharapkan balasan. Budi atau sumbangan itu baik dari segi tenaga atau material, mestilah diberi dengan ikhlas jika ingin diberkati Allah SWT. Orang yang menerima budi pula tidak dituntut untuk membalas budi yang diterima, memadai budi diterima dengan penuh ikhlas dan kesyukuran. Dalam konteks ini, budi merupakan sesuatu yang terhasil daripada jiwa raga dan dirasai dengan mendalam dan terharu oleh orang yang menerimanya. Budi adalah sesuatu yang telah terserap dalam kalbu orang Melayu.
Budi tidak sahaja bermakna memberi dan menerima sesuatu pemberian, barangan atau material, tetapi meliputi segala tindakan dan akibat dalam hubungan dan interaksi sosial sesama anggota masyarakat. Dr.Norazit Selat (1996:26-47) membicarakan topik ini secara terperinci dan cukup berwibawa. Kata beliau, “budi adalah struktur yang membimbing dan menghubung setiap anggota masyarakat, bangsa dan negara. Budi adalah orientasi nilai yang mengukuhkan setiap bangsa, tanpa orientasi ini batas-batas kehidupan akan runtuh dan bangsa tersebut akan kehilangan daya ikatan yang menghubungkan mereka”. Beliau juga memperincikan budi bahasa sebagai salah satu aspek peribadi individu yang dinilai tinggi oleh masyarakat. Pencernaan peribadi tersebut terserlah dalam pertuturan dan pemilihan kata-kata yang digunakan. Bahasa yang diucapkan sentiasa teratur, indah, tepat, baik dan benar. Manakala budi pekerti menurut beliau pula ialah perlakuan atau tingkah laku seseorang yang dinilai daripada sudut baik dan buruk, termasuk tertib dan sopan, menghormati orang yang lebih tua, memmberi salam dan menjaga tutur kata. Masyarakat Melayu memang amat terkenal dengan budaya, adat istiadat dan budi yang mulia.Jadi penjelasan berkenaan dapat mencerminkan betapa pentingnya nilai budi di alam Melayu. Jika budi tersebut tidak dijaga, diamalkan dan dipelihara maka akan runtuh atau robohlah sesuatu tamadun atau masyarakat berkenaan. Budi dalam pantun diatas diibaratkan sebagai sebuah rumah. Tegak berdiri atau kukuhnya sesebuah rumah tersebut adalah kerana terdapatnya sendi atau disebut juga pengalas atau pegangan.
Sendi inilah yang akan menyokong dan menampung isi rumah berkenaan. Jadi keteguhan dan keutuhan sesebuah rumah berkenaan adalah bergantung kepada sendinya kerana sendi inilah yang menjadi tiang utama dalam rumah itu. Oleh itu, jika sendinya rapuh dan lapok maka runtuh dan robohlah rumah berkenaan. Perkara ini sama juga dengan budi. Budi perlu diamalkan dan dipelihara agar tidak hilang ditelan dek arus pemodenan dunia hari ini. Jika runtuhnya budi maka robohlah bangsa dan tamadun tersebut. Hal ini kerana, budi adalah asas dan penggerak kejayaan dan kemajuan dalam sesebuah tamadun manusia daripada aspek lahiriah dan batiniah atau material dan non-material. Tiada gunanya kemajuan dan pemodenan yang dicapai hari ini jika adab dan budi dipinggirkan. Dewasa ini dapat kita lihat nilai-nilai budi semakin terhakis dan terkikis dalam diri generasi muda. Masalah ini harus dipandang serius oleh semua pihak, ini kerana generasi muda hari inilah yang bakal menerajui negara pada masa akan datang. Jika nilainilai murni ini tidak diterapkan dalam diri setiap individu daripada peringkat awal, maka tidak mustahil tamadun atau negara hari ini akan lumpuh dan jatuh sepertimana hilangnya nilai-nilai budi dalam diri kita masing-masing. Seorang tokoh islam ada menyebut, “maju atau mundurnya sesebuah negara itu lihatlah kepada muda-mudinya”. Jelaslah bahawa pentingnya adab berbudi didalam diri masing-masing terutamanya generasi muda akan datang. Adab berbudi ini perlu diamalkan dalam kehidupan seharian manusia supaya ianya berbekas dalam diri masing-masing dan tidak terhakis secara beransur-ansur. Tegasnya abad berbudi perlu terus dipertahan dan
diamalkan oleh orang Melayu khususnya, agar bangsa Melayu ini tidak hilang dan terus kukuh diabad akan datang. Bak kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia”. Dayung sampan tuju haluan, Membawa rokok bersama rempah, Kalau ilmu tidak diamalkan, Ibarat pokok tidak berbuah
Falsafah tersirat yang ingin diketengahkan dalam pantun kedua pula ialah berkaitan dengan kepentingan berilmu dalam kalangan manusia di muka bumi ini. Untuk membolehkan manusia memainkan peranan mentadbir bumi Allah swt dalam lingkungan tugasnya sebagai khalifah, mereka mestilah membangunkan diri dan melengkapkannya dengan pelbagai keupayaan. Oleh kerana memahami, menyusun dan mengolah kembali alam ini, tidak dapat dilakukan melainkan dengan ilmu, maka manusia mestilah menuntut dan melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan . Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu sebagai suatu kepastian yang demonstratif. Cahaya (nur) merupakan anak kunci kepada ilmu. Ilmu dicapai melalui pengalaman langsung (dhauq). Plato pula menyifatkan ilmu sebagai suatu pemindahan roh atau jiwa daripada kegelapan kepada kecerahan. Ini ditakrifkan daripada “As a kind of conversation of the soul from darkness of light”. Islam menuntut umatnya mencari ilmu, kerana dengan ilmu dapat mengukuhkan akidah dan keimanan seseorang. Sabda Rasullullah S.A.W “Menuntut ilmu adalah fardu atas setiap umat Islam, dan penuntut ilmu akan didoakan keampunannya oleh semua termasuk ikan-ikan di lautan.”
Ilmu pengetahuan adalah kawan yang setia ketika sepi, pembimbing ke jalan petunjuk agama dan modal dalam perjuangan untuk mendapatkan kemuliaan di dunia dan akhirat. Orang yang malas mencari dan menambah ilmu pengetahuan bagaikan lampu kehabisan minyak dan dia akan hidup dalam kegelapan. Hidup akan cemerlang jika dibekali dengan ilmu pengetahuan .Jadi jelaslah bahawa menuntut ilmu amat penting dalam kehidupan. Setelah berilmu kita dituntut untuk mengamalkan ilmu yang dimiliki. Ilmu bukan sahaja untuk dituntut dan dicari tetapi ilmu perlulah diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita untuk kehidupan yang harmoni dan diberkati Ilahi. Orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang dimilikinya itu diibaratkan seperti pokok yang tidak berbuah dalam pantun diatas. Pokok yang tidak berbuah disini bermaksud pokok yang hidup subur, besar, mempunyai akar yang kuat dan daun yang lebat merimbun tetapi tidak mampu mengeluarkan buah. Jadi pokok ini tidak memberi faedah kepada orang yang menanamnya kerana pokok ini tidak mampu mendatangkan hasil buah yang boleh memberikan keuntungan dengan menjualnya. Jadi begitu juga dengan orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkannya. Dia memiliki ilmu yang tinggi tetapi tidak memberi apa-apa manfaat kepada dirinya sendiri dan juuga orang lain. Ilmu yang dimiliki seharusnya diamalkan untuk mengangkat martabat diri disisi manusia sekaligus mengangkat martabat manusia disisi Allah swt. Orang yang memiliki ilmu bukan sahaja perlu mengamalkannya dalam kehidupan, akan tetapi ilmu tersebut perlu disebar dan diluaskan agar ilmu itu bukan sahaja memberi manfaat kepada diri kita tetapi juga kepada orang lain. Jadi orang yang berilmu dituntut
untuk menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain agar orang lain juga mendapat faedah dan keberkatan daripada Allah swt diatas ilmu yang dipelajarinya itu.
Tegasnya, orang yang berilmu wajib mengamalkan ilmu tersebut. Pengamalan ilmu dalam kehidupan akan menjadikan kehidupan kita lebih konsisten dan harmoni disamping mencari keredhaan Allah swt di dunia dan akhirat. Ketahuilah bahawa ilmu lebih utama daripada amal. Amal ibadah tidak diterima kecuali dengan ilmu. Ibn Ruslan dalam kitab Zubadnya menulis sebuah syair yang bermaksud “ Setiap orang yang beramal tanpa ilmu, maka amalannya ditolak dan tidak diterima”. Manakala orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkannya diibarat pokok yang tidak berbuah. Justeru, semua umat manusia perlu mencari dan mendalami ilmu serta menjadikannya sebagai kayu ukur dan panduan dalam menjalani kehidupan. Saya ingin memetik kata-kata seorang tokoh, kata beliau “Ilmu tanpa akal ibarat pohon yang tidak berbuah dan amal tanpa ilmu ibarat kaki yang tempang”. Kesimpulannya kedua-dua elemen ini memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi mukmin yang sejati.
Penutupnya,pantun sebagai cerminan budaya memang lumrah diperlakukan dalam penelitian terhadapnya. Koleksi pantun yang merupakan pengumpulan pantun sering dipersembahkan secara klasifikasi seperti pantun nasihat, jenaka, ilmu,berkasih dan sebagainya. Perbincangan terhadap pantun seperti seminar atau bengkel tidak dapat mengelak daripada membicarakan pantun sebagai “ manifestasi minda masyarakat” atau juga disebut sebagai “pandangan semesta”. Suatu ketika dulu, pantun merupakan bentuk
pengucapan yang amat berkesan, terutama untuk menyatakan sesuatu secara halus. Namun kini, sudah wujud cara-cara lain yang dianggap lebih moden dan canggih dalam menyampaikan mesej dalam kalangan masyarakat Melayu.Walau bagainamapun, pantun masih diamalkan dalam majlis formal seperti upacara nikah kahwin dan ucapan rasmi. . Bibliografi
Dr. Zulkifli Mohamad al- Bakri.2007.Himpunan Hadis Modal Insan.Selangor: Digitpress Sdn.Bhd. Harun Mat Piah.2001.Pantun Melayu : Bingkisan Permata.Selangor : Utusan Printeorp Sdn. Bhd. Rogayah A. Hamid.2006.Pandangan Semesta Melayu Pantun.Kuala Lumpur : Dawama Sdn. Bhd. Hashim Bin Hj Musa, Ph. D. 2001. Falsafah, logik, Teori Nilai Dan Etika Melayu. Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Melayu Prof. Dr. Awang Sariyan. 2007. Falsfah Dan Logika Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu . Midmodal Industries Sdn. Bhd