MANIFESTASI KETUHANAN
SENI
DARI
AKAL
DAN
KELUHURAN
BUDI
:
KEMBALI
KEPADA
Apakah benar artis mendapat idea dari alam dan kepada alam ia kembali? Walaupun disanggah dengan falsafah seni dan falsafah estetik yang berbagai mengatakan manusia itu tidak meniru alam, manusia berkarya berasaskan minda di bawah sedar, kita patut terima karya seni suatu manifestasi. Ada yang membawa mimpi ke dalam karya menjadi surealis. Lebih lagi apabila karya itu suatu fantasi dan imaginasi dari tiada bentuk menjadi bentuk yang sudah ada dalam minda yang berteraskan falsafah seni konsepsual. Apapun jika direnung artis kekosongan idea dan apabila mahu mencari idea kenapa kepada alam tempat ia merenung,… Dalam seni yang kita cari dan kita terokai, kembali kita ke sifat diri kerana keindahan yang ada pada diri itu adalah keindahan sifat Allah. Gambar-gambar seni yang indah dalam seni Islam bertunjangkan non- figuratif yang boleh menjadi abstrak dan semi abstrak. Artis dari Barat menterjemahkan abstrak dari sudut pemikiran mereka yang tidak mencari sifat Allah lalu dinyatakan inilah karya bebas dan spontan. Secara ilmiahnya sifat Allah itu digambarkan dalam motif geometrik dan diselitkan motif tumbuh-tumbuhan. Zat Allah itu bermula dengan “Titik Dalam Idea” kepada “Titik Dalam Kenyataan” menjadi suatu bulatan iaitu zat Allah dan zat ini juga dikatakan ‘Alam’. Sumber ilham yang dirujuk dari alam itu segala zat Allah ada di sekitar itu. Dari bulat itu ia berpecah, bersegi kembali kepada bentuk bunga geometrik yang dipandang dari tiga dimensi menjadi empat segi, enam segi, lapan segi dan apabila diolah menjadi berbagai paten. Nenek moyang kita dari asalnya telah sedar akan falsafah ketuhanan zat Allah lantas mencipta motif-motif flora yang ada hubungannya dengan zat Allah seperti keindahan yang terdapat dalam seni ukir. Apabila direnung, adakah karya-karya kita telah kembali kepada zat Allah dan zat diri. Jika ada sebaiknya kita sedar dan insaf bahawa jangan terpesong dan jauhi sekali tergelincir bahawa; “tumbuh hendaklah berpunca-punca, punca itu rahsia, tajam tidak menerjah lawan, lilit tidak memeluk lawan, tetapi berlegar mesra”. Nenek moyang kita mengkaji sifat pucuk yang tumbuh, bunga dan dedaun yang dikaitkan dengan kebesaran Zat Allah. Walaupun nenek moyang kita tidak berpendidikan tinggi namun kajian dan ketelitian ini digunakan bagi mencari falsafah diri dan zat Allah dalam berkarya. Jika kita pula mengkaji anatomi manusia sedalam-dalamnya dan tergelincir kerana guru-guru kita memanipuilasikan perkadaran dan tubuh-tubuh itu menjadi suatu keindahan dalam seni. Adakah kita masih taksub dengan itu? Tiada sebarang kata-kata nasihat, teguran yang banyaknya memuji, memuja dan teruja. Perkara mudah yang didepan kita, di keliling kita itu yang menemukan kita dengan ilham yang tak putus-putus.
Jika kita sedar sebagai insan yang dianugerahi bakat melukis, sepatutnya kita yang lebih awal sedarkan diri sebagai artis bahawa anugerah Allah utuk memindahkan rasa seninya menjadi motif-motif yang meningkat lagi rasa syukur akan nikmat Allah. Mengenal diri dan mengenal rasa syukur akan nikmat Allah akan banyak ilham yang Allah Taala turunkan untuk artis menjadi ‘syuhud’ yang dapat menghayati seni menyeluruh dari mata ke lubuk kalbu dan akan terucap secara spontan ‘subhanallah’ ertinya ‘Maha Suci Allah’.(Rujuk Abdullah bin Mohamed (Nakula), 1992. Islam Sebagai Teras Falsafah Keindahan Melayu, Balai Seni Lukis Negara). Inilah teras falsafah keindahan dan inilah falsafah estetika yang tak payah kita cari taraf penghayatan seni bersandarkan falsafah seni Barat yang bukannya sempurna hanya sekadar lapisan luar sahaja. Dengan kesedaran ini usahlah kita terikut dengan ciri-ciri sifat jalal dan kesenian itu ada batas-batas etikanya. Teras falsafah Barat patut ditapis dan jangan terlalu taksub kepada pegangan dan dalil yang diutarakan. Suatu mala petaka yang maha dahsyat (violent event) boleh berlaku apabila ada pengikut yang taksub kepada sesuatu falsafah yang songsang dan menjadi pak turut. Falsafah Barat dikembangkan sehingga muncul berbagai isme-isme bertujuan menanggapi masalah budaya dan masyarakat mereka yang semakin berbeza dan mencabar. Punca segalanya kerana mereka tidak kenal diri dan zat Tuhan, ada yang tiada beragama seperti kumpulan Eksistensialisme (Existentialism) yang antara penganutnya terdiri daripada Jackson Pollock, Barnett Newman, Mark Rothko, David Smith dan ramai lagi. Kumpulan pelukis berfahaman Eksistensialisme ini taksub dengan fahaman moden dan mereka yang menganut fahaman ini menekankan pentingnya setiap manusia itu bertanggungjawab ke atas segala tindak tanduknya walaupun tindak tanduk itu merosakkan masyarakat dan selalu menyoal prinsip hidup berhubung takdir. Sudah ada bukti ramai seniman kita sampai ke penghujungnya apalagi yang dicari. Diri sudah dikenali dan mereka mencari ketuhanan yang mengangkat martabat seni untuk manusia sejagat dan untuk keesaan Allah. Contoh Awang Damit, Dato Syed Ahmad Jamal, Sulaiman Esa, Yusof Ghani, Abd. Ghani Ahmad, Judin Ahmad dan lainlain lagi (sekadar menyebut beberapa nama). Hinggakan Ramli Sarip, Ito, M.Nasir sudah memperolehi apa yang dicari di sebalik mengenal diri mereka sujud di penghujungNya. Kita berkarya seperti menabur benih, menyiram dan menuai. Kita berkarya menyucikan badan, menyucikan hati dan menyucikan roh. Kita berkarya untuk mengenal diri, bertaubat, mencari muhibah semoga karya kita dilimpahi rahmat. Jika kita sudah tahu, kita sudah sedar dan kita telah diperingatkan, janganlah kita menganiaya diri kita.
Rahsia atau benih yang disifatkan sebagai punca tumbuh sesuatu motif. Benih tertutup dengan daun hingga tiada kelihatan lagi, serupa dengan alam yang kita nampak fenomenanya sahaja tanpa diketahui datangnya dari mana. Nenek moyang kita mengkaji kenapa “benih tertutup” kerana sifat flora itu ada sifat malu kepada sifat-sifat alam yang lain.
(Merakamkan ucapan terima kasih dan memohon keizinan mempamerkan sebahagian makalah ini bertujuan menyebarkan ilmu untuk manfaat di dunia dan akhirat. Semoga Allah SWT memberi kekuatan iman, kesihatan dan ilmu kepada guru-guru saya).