MENGAPA DIRISAUKAN TENTANG SENI? Di waktu lapang, pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh kebanyakan kita. Ada sebahagiannya berkait dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pengalaman estetik. Kebanyakan kita memilih aktiviti yang digemari dan menghayatinya untuk kenikmatan. Persoalannya kenapa segolongan masyarakat memilih aktiviti estetik dan menghayatinya sebagai kenikmatan? Salah satu jawapannya ialah keinginan mendapatkan kepuasan. Kehendak kepuasan itu membawa ketenangan dan keseronokan. Jawapan ini memberitahu kita, inilah pengalaman estetik yang pernah dilalui. Di sebaliknya timbul pertanyaan kenapa nikmat estetik ini tidak mendatangkan kepuasan pula kepada sesetengah pihak? Sebenarnya banyak cara untuk memperolehi kepuasan dalam pengalaman estetik. Ia melibatkan masa, wang dan mengorbankan sebahagian dari kehendak lain semata-mata untuk mendapatkan pengalaman estetik. Usaha dan minat ini menjadi sebati sebagai suatu pengalaman estetik yang begitu istimewa. Sekiranya tidak bersedia untuk itu maka tiada pengalaman estetik dan tiada kesan kenikmatan. Daripada aktivti-aktiviti estetik yang dinyatakan, ianya tidak semudah untuk dilalui. Apabila dibahaskan kepuasan yang hadir dalam aktiviti estetik, kita mengaitkannya melalui pengalaman. Suatu perbandingan dibuat untuk mencari persamaan dan perbezaan antara kepuasan dan ketenangan melibatkan pengalaman. Persoalan kepuasan dan ketenangan boleh dikaitkan dengan dua nilai seni iaitu tahap yang baik dan tidak baik. Tahap baik dan tidak baik dalam sesuatu karya itu membawa tanggapan kesan kepuasan dan ketenangan atau sebaliknya. Karya yang baik ditangani dari banyak sudut serta diambil kira berbagai pandangan yang merentasi falsafah keindahan, moral, keagamaan dan kehendak dalam budaya. Karya yang baik mengandungi nilai-nilai indah yang secara umum boleh diperhalusi dari kepelbagaian sudut keindahan alam. Karya yang baik boleh dikongsi bersama yang membawa persamaan nilai estetik dari keindahan sejagat. Melalui keindahan kita berhadapan dengan persoalan falsafah estetik dengan memeriksa kembali karya seni dan objek-objek semulajadi yang ada. Di manakah daya tarikannya yang menonjol sebagai objek seni? Di manakah keistimewaannya tentang objek seni? Daya tarikan dan keistimewaan seni dikongsi bersama dan menjana pemikiran baharu yang ada pengikutnya. Paling istimewa keindahan seni itu mencabar pemikiran baharu yang meletakkan peraturan dalam prinsip-prinsip seni. Sempadan yang terdapat dalam falsafah estetik berkait secara langsung dan tidak langsung dengan persoalan lain dalam persekitaran falsafah minda dan falsafah moral. Dalam waktu yang sama falsafah estetik berdepan dengan risiko yang boleh ditolak daripada pengalaman realiti berdasarkan kritikan demi kritikan.
Banyak kerja seni muncul dari peniruan atau menggambarkan semula melalui penyalinan imej sebenar. Dengan melakukan peniruan sesebuah karya itu mudah dikenalpasti tempat, lanskap dan pemandangan yang dilukis sebagai bukti nyata. Gaya peniruan atau imitasi yang berkualiti boleh dilihat antaranya menerusi kualiti cahaya dan warna. Apabila dilihat dari sudut estetik kualiti imitasi itu boleh mencabar pemerhati untuk menyoal kembali peranan imej foto. Seniman yang berjaya dalam peniruan imej cuba menimbulkan reaksi provokasi bagi menarik pemerhati. Sama ada ia benar-benar sebuah karya foto atau hanya catan. Di sinilah keunggulan seniman terserlah dan kewibawaan dalam menghasilkan karya imitasi tercabar. Pandangan tentang seni imitasi mempunyai sejarahnya yang panjang. Plato sendiri dalam karya ‘republic’ ada menyentuh perihal teori imitasi yang berkembang dan masyur di dalam bidang kesusasteraan. Beliau menghubungkaitkan idea-idea menjadi bentuk yang berkualiti yang membawa kesan pengalaman dan perubahan tingkahlaku. Bentuk yang dikaitkan dengan keindahan menurut pandangan Plato adalah sebahagian daripada unsur yang belum cukup sempurna. Dengan adanya unsur imitasi telah membantu menyempurnakan bentuk dan menimbulkan kontras. Sebagai contoh peniruan bentuk yang tidak tepat dari model sebenar telah menyebabkan sifat asal model tidak lahir secara batinah. Dalam imitasi walaupun unsur zahirnya ada dan disalin dengan baik ianya masih dianggap belum cukup sempurna. Maka unsur imitasi itu adalah keperluan untuk menyempurnakan sifat zahir dan batin kepada sesuatu bentuk. Contoh yang dikemukakan oleh Plato dalam bentuk-bentuk kebenaran atau keindahan yang ditiru membawa dua kesan sama ada sempurna atau bertambah cacat. Suatu yang sudah sempurna, baik dan berkualiti adalah daripada ciptaan Tuhan, menjadi tidak baik dan tidak sempurna adalah daripada peniruan seorang “tukang”. Kita harus mengakui hakikat ini, walaupun sebijak mana kita dan sehebat mana bakat yang kita perolehi. Suatu yang boleh dibentuk, disentuh, dinikmati dan boleh diguna akhirnya ditiru mejadi sebuah lukisan. Plato merujuk peniruan yang membawa kesan baik dan tidak baik dari segi bentuk yang diterima menjadi realiti sebenar. Kesan baik itu mendorong kita pada kesedaran moral, kehalusan budaya dan kepatuhan pada garis panduan agama. Seniman yang melakukan imitasi seolah sebagai melahirkan bayi yang putih suci serta dibawa bersamanya cermin bagi melihat dan meniru kembali dari cermin yang membalikkan imej. Seniman menghasilkan semula suatu imitasi secara ilusi kepada realiti dan hasilan ini menyempurnakan bentuk imitasi. Namun pandangan Plato hanya mencari kesempurnaan dalam peniruan, apa jadinya pada kesan selepas itu. Sudut pandangan Plato turut mencangkupi tempat dan nilai dalam seni. Secara umumnya seni adalah penglahiran imej alam semulajadi yang benar dalam realiti
sebagai tempat mengembalikan nilai realiti yang telah hilang. Walaupun secara munasabahnya seni membawa suatu kebenaran, ada ketikanya kebenaran itu tidak sah dan tidak asli dengan alasan ianya suatu penyalinan dan peniruan semula. Kalau diringkaskan penyalinan dan peniruan semula yang sah dan asli itu ada mengandungi isi dan mesej yang mengajak pemerhati berfikir, mentafsir dan menjadi lebih bijak, menjadi lebih insaf. Tidaklah nanti setiap kali dipamerkan karya seni akan membanyakkan lagi pemerhati yang tidak bijak, jahil dan menambahkan lagi kekeliruan seolah membodohkan kembali sesiapa yang melihatnya. Inilah yang dimaksudkan penyalinan dan peniruan yang tidak sah dan tidak asli. Hasil kerja seni dapat dinilai kualitinya dari sudut luaran. Nilai kedua adalah kualiti dalaman yang meletakkan maksud bagi mengadili citarasa selain ianya diadili dari persepsi dan pengalaman estetik yang menjadi kandungan kepada karya itu. Kualiti dalaman seni ini membawa pemahaman sebenar tentang seni dan bagaimana ia dapat difahami. Sebenarnya nilai kualiti dalaman lebih mencabar kerana ia tidak mudah diterima. Proses penerimaannya melalui liku-liku yang panjang sehingga dapat diterima menjadi nilai sejagat. Oleh itu usahlah dirisaukan tentang seni sebaliknya risaukan tentang diri kita pembuat seni, ke manakah arahnya seni itu hendak dibawa, kepada siapakah untuk disedarkan tentang makna seni itu dan ke manakah kita sebagai pembuat seni selepas itu?