NILAI MORAL DALAM SENI TAMPAK DAN APA LAGI SELEPAS ITU. Dalam tujuan kita memperhalusi seni secara munasabahnya ialah menarik kesedaran pada makna yang dapat dinikmati dan kesedaran makna itu adalah sebahagian daripada kehidupan manusia. Dengan memperhalusi seni cara sebegini, kita tidak menempuh kegagalan dalam menikmati seni. Setiap hasil seni memberi kesan kepada pemerhati atau penerima, sama ada dalam bentuk emosi dan psikologi. Sebagai hasil seni tidak kesemuanya melahirkan keserupaan, keseragaman yang unik untuk diterima oleh pemerhati kerana ia meletakkan kesan impresif bersifat artistik. Kepada golongan marhain hal ini agak sukar kerana mereka hanya tahu cantik dan tidak cantik tentang seni dan sukar untuk menterjemah apa yang terselindung dalam fikiran dan perasaan manusia yang menjadi hal benda dalam karya tersebut. Yang boleh menimbulkan makna dan kemudian makna-makna ini dikaitkan melalui perkataan yang boleh dikongsi bersama ialah imej nyata yang berkait dengan nilai moral dan perkara yang mudah dan senang dalam kehidupan. Aktiviti seni berasaskan kesan rasa dikatakan dapat menggerakkan perasaan juga minda. Seni bermula bersama insan dan objek yang disambung kepada orang lain dalam satu perasaan. Ia diekspreskan menerusi perasaan dalaman, cuma yang hendak dikongsi itu boleh jadi kuat atau lemah, mustahak atau tidak, sangat buruk atau baik. Dalam seni untuk dikongsi makna mengikut rasa dan pengalaman memerlukan unsurunsur makna dalam pergerakan, garisan, warna, bunyi atau bentuk yang diekspreskan menerusi imej dan simbol. Jadi untuk mengalihkan maksud yang sama dalam perkongsian makna memerlukan antara satu sama lain antara pengalaman dan perasaan dan inilah aktiviti seni. Seni adalah suatu aktiviti kemanusiaan yang dilalui bersama makna dan dapat dikesan melalui tanda-tanda luaran. Seni satu manifestasi daripada idea-idea tentang keindahan dan apabila kedua-dua makna iaitu kemanusiaan dan keindahan ini dicantumkan ia memberi kefahaman kepada dua pihak. Imej kemanusian dan keindahan itu dapat diterima kecuali sebahagian nilai keindahan itu agak subjektif hanya sebahagian yang dapat berkongsi makna indah dan cantik itu. Dengan demikian di manakah tempat dan ruang untuk diterapkan nilai moral? Tentunya nilai moral itu boleh diterapkan di sebalik imej dalam aktiviti kemanusiaan dengan imej yang membantu tanda dan simbol luaran. Seni berada dalam masyarakat, menjadi hak kepunyaan masyarakat yang mengalihkan suatu yang tidak baik kepada yang lebih baik. Namun dengan persepsi yang sempit, seni telah hilang nilainya. Dalam tujuan kita memupuk seni agar hidup subur dan dituturkan ke dalam masyarakat, nilai moral yang diterima dalam sesuatu budaya itu
perlu dikaji kembali walaupun dalam era globalisasi nilai sejagat itu boleh dikongsi bersama tetapi interpretasinya telah dikelirukan. Nilai moral dan nilai keindahan dalam karya akan sentiasa berada dalam masyarakat melalui proses perkongsian pengalaman dan perasaan. Proses ini mahu dizahirkan melalui seni dan hasilnya adalah kepunyaan seniman bersama kepunyaan masyarakat. Jika karya itu diasingkan daripada seniman, perlu disedari kesan pengasingan itu masih tidak menghilangkan sifat diri dan gaya seniman. Masyarakat boleh mengasingkan karya daripada diri seniman, tetapi akhirnya akan dicari kembali siapa seniman di sebalik karya tersebut. Seni tidak akan wujud apabila terpisah daripada audiensnya. Seni dan audiens wujud bersama-sama bererti seniman itu bersama masyarakat. Jika masyarakat dipengaruhi oleh suasana seni dan persekitaran yang menceliksenikan masyarakat maka objek, simbol, imej akan menjadi suatu yang berseni. Jika tidak ada hubungkait dan ia tidak disatukan dengan yang lain maka ia bukannya seni. Melalui kaitannya dengan nilai moral, emosi, pengalaman dan kesan dalaman boleh membawa kepada tanda-tanda berseni dan martabat seni itu diangkat kepada seni yang terunggul. Seni dan seniman tidak lagi terasing dalam masyarakat. Seni dan seniman diterima sebagai hasil dan produk pemikiran dalam masyarakat. Setiap golongan dalam masyarakat saling berfungsi dan membantu menjadikan seni itu sebagai sebahagian dari kehidupan. Tidaklah lagi seni itu dianggap elit dan terkongkong dalam sempadan dan dunianya yang unik dan tersendiri. Seni akhirnya nanti diikhtiraf apabila tema, konsep dan hal benda menyentuh isu-isu moral dalam budaya, dalam agama, politik dan mencetuskan kesedaran yang matlamatnya menuju kesejahteraan bersama. Lebih bagus seni itu menjadi sesuatu yang berseni apabila lebih kuat kesan dalamannya. Seni yang kita bicarakan bukan sekadar luaran tetapi nilai dalaman sebagai kesedaran yang dialihkan ke atas audiens. Nilai dalaman yang diterapkan kesedaran moral ini bergantung pada tiga suasana; * Perasaan bermoral yang cukup tinggi dan cuba dialihkan ke dalam seni. * Pengalaman bermoral yang mahu dijelaskan ke dalam seni. * Nilai moral sebagai identiti yang dapat dialihkan ke dalam seni. Ketiga-tiga suasana ini akan mempengaruhi khalayak pemerhati dan membawa kesan sekiranya karya itu tidak beretika dan tidak bermoral yang diterapkan sebagai imej. Lebih banyak imej yang kurang bermoral maka lebih kuat kesannya ke atas pemerhati. Lebih bernafsu dan berahi lagi kenikmatan songsang yang dapat diperolehi oleh pemerhati dan sampai ke tahap rakus bernafsu dengan kesediaan seniman meneruskan perkongsian tersebut tanpa kerahsiaan. Begitulah sebaliknya jika karya itu
dialihkan kepada suatu kenikmatan kesedaran yang bermoral maka lebih mewah lagi kenikmatan seni yang beretika dapat dididik dan diperolehi oleh pemerhati. Kejelasan dalam mengekspreskan hasil karya meninggalkan kesan kesedaran dan kesan kepuasan yang dapat menjelaskan perasaan. Hal ini berlaku secara terdidik dalam semua tahap dalaman yang diadakan dalam seni secara sedar meningkatkan tahap keunggulan seniman. Lambat laun, pemerhati dapat merasai bahawa seniman telah memasukkan unsur dalaman menerusi karyanya sendiri ke arah kebaikan. Keadaan mental seperti ini membawa kesan dalaman ke atas pemerhati dan mengikat suatu kontrak untuk terus bersama dalam menikmati karya seni. Dengan ini seniman itu sendiri memperolehi sesuatu untuk diekspreskan bagi keperluan dirinya juga kepada pemerhati untuk turut merasai kesedarannya. Tiga suasana yang disenaraikan dalam seni bernilai moral secara dalaman dikira menjadi satu keaslian dan berkualiti sebagai contoh yang berkait dengan budaya dan agama. Situasi tersebut mengandungi kesedaran seniman itu sendiri secara sedar bertanggungjawab meletakkan ketulenannya meluahkan perasaan dan pengalaman bagi mencari kemurnian di sebalik seni. Lebih ramai seniman melukis berdasarkan unsur dalaman yang bermoral secara langsung kesan ketulenan itu dapat dirasai. Tercapainya ketulenan ini meletakkan kesedaran dan menjadi makna murninya budaya setempat itu berasaskan nilai moralnya yang menyakinkan. Jadi benarlah pentingnya peranan seniman membantu peranan orang lain dalam masyarakat itu jika statusnya sama dengan pemikir yang bermoral. Sebaliknya jika seni dan seniman itu berkarya dalam dunia seninya semata-mata, ia berkarya dengan seni yang penuh kedegilan dan tak layak berada dalam masyarakat yang sedang berperang melawan keruntuhan moral. Suasana keikhlasan juga penting dan lazimnya seni yang dihasilkan bersama keikhlasan akan dibantu dengan penerangan oleh ahli masyarakat yang lain, menjadikan seni itu lebih bermoral dan berfungsi. Peranan ahli masyarakat bersama situasi yang ada saling membantu bagi menyeimbangkan antara matlamat peribadi dengan kehendak seni. Dengan ketiga-tiga suasana ini menjadikan seni suatu karya yang kaya dengan perkongsian emosi, pengalaman dan daya fikir bersesuaian dengan budaya dan agama setempat. Kualiti hasil karya yang sebahagiannya datang dari hal banda dalam persekitaran budaya setempat menjadi lebih kuat dan mantap kerana disokong oleh unsur dalaman yang mengajak audiens berfikir tentang ketinggian nilai moral dalam sesebuah karya itu. Tiga suasana yang dijelaskan tadi dapat menonjolkan kerja seni sebagai karya berkualiti. Jika semua suasana ini dihadirkan walaupun dalam tahap yang kecil maka karya yang terhasil walaupun lemah, akhirnya ia akan diterima sebagai karya
bermoral kecuali jika batas-batas etika yang merupakan norma-norma dari sifat ‘Jamal’ dilanggar. Nilai moral dalam seni juga dibantu oleh persepsi agama. Dalam setiap period sejarah, setiap kelompok kehidupan manusia menghasilkan kefahaman tentang makna dalam kehidupan yang dizahirkan menerusi nilai kepercayaan dalam agama. Nilai agama dalam masyarakat adalah seperti air sungai yang mengalir. Jika ia terus mengalir, harus ada arah tujunya. Nilai sesuatu persepsi agama itu selalu dipilih oleh masyarakat dari landasan yang selari dengan seni yang boleh mengalih kehidupan sebenar yang bermoral. Setengah karya seni berada pada tahap tinggi tetapi hilang nilai moralnya kerana tidak selari dengan nilai agama. Bilamana seni itu mengalihkan rentak yang sedia ada dan tergelincir dari persepsi agama kadangkala timbul bantahan dan cemuhan. Pengalihan perasaan menerusi maknamakna yang menghubungkan manusia dengan agama tidak dicemuh dan tidak ditolak kerana nilai moral itu bersama agama. Kedudukan ini meletakkan seni sebagai asas pada sifat-sifat manusia yang secara semulajadi dibantu dan dinilai kembali oleh kesedaran agama yang ada dalam kehidupan.
Pada umumnya kita melalui seni itu bersama ruang agama dan tumbuh berkembang. Manusia yang tidak beragama boleh membawa berbagai jenis falsafah seni dan teori estetika untuk menyembunyikan makna sebenar dan meletakkan kesalahan yang dilakukan kepada orang lain sehingga kita tidak dapat berfikir lagi. Manusia jenis ini boleh mengelirukan konsep agama dengan persepsi seni dan sanggup berhujah dalam nada falsafah yang tinggi dan menang dengan akal logik. Walaupun agama diserang dan kembali establish dalam kehidupan, ini menunjukkan agama telah berjaya mengharmonikan hidup dan menjadi garis panduan dalam berkarya. Rujukan: 1. Edmund Burke Feldman 1994. Practical Art Criticism. Prentice-Hall, Inc., Englewood Cliffs, New Jersey. 2. Patricia H. Werhane 1984. Philosophical Issues in Art. Prentice-Hall, Inc., Englewood Cliffs, New Jersey.
3. Oswald Hanfling (Editor) 1992. Philosophical Aesthetics An Introduction. Blackwell Publishers, Oxford, UK.