EKSPRESIONISME TERUS BERKEMBANG DALAM REFORMASI MENTAL DAN KEHIDUPAN Meracau malam tadi bagi Gustav adalah racauan yang paling menghimpit jiwa. Tidak pernah selama ini tidurnya terganggu. Juga tidak pernah selama ini ada kawan-kawan yang menegur tentang tidurnya. Kali ini gangguan Gustav dalam tidur menyebabkan teman sebiliknya Martin Ferro menyuarakan isi hati. “Apa yang disebut oleh kamu dalam tidur tadi, benar-benar satu perasaan. Adakah ia berkaitan dengan hasil seni yang sedang kamu siapkan atau mainan perasaan?” Bersuara Martin dengan nada ingin tahu. “Karya apa yang sedang kamu siapkan?” Tanya Martin yang inginkan jawapan segera. Terdiam, senyap dan langsung tidak diberi respon oleh Gustav. Bertambah keliru Martin. Apakah yang sedang bermain di fikiran kawannya ini. Lima tahun Martin mengenali Gustav dan tidak pernah sebegini, sebelum ini. “Kamu meracau malam tadi. Kamu ada menyebut Freud dan Surealis,” Martin cuba mencungkil. Tertoleh ke atas. Martin hairan melihat perlakuan Gustav yang mendongakkan kepalanya ke atas. Bukan ada apa di atas. Tiada ada apa-apa di atas. “Ekspresionisme adalah suatu penerokaan. Banyak idea-idea paradigma psikologi yang aku sedang fikirkan,” Terbit kata-kata dari mulut Gustav. “Kalau kamu hendak tahu, ada pertemuan yang Freud tidak dedahkan kepada kita.” Sambung Gustav mulai nampak ingin membuka mulutnya yang sudah lama terkatup itu. “Freud menyembunyikan banyak rahsia. Kita hanya tahu teori Freud memasukkan idea-idea di bawah sedar dalam psikologi seni.” Kata-kata Gustav seolah ia bukan meracau, tetapi sedang berdailog dengan Freud. “Jadi apa yang kau meracau malam tadi, semuanya tentang Freud” Mencuit Martin meminta penjelasan. “Banyak yang dibohong dan ditipukan oleh Freud. Kita terikut-ikut berkhayal dan bermimpi.” Gustav menampakkan keyakinannya. Teringat Martin Ferro kuliah sejarah seninya dua minggu lalu. Ada seorang pelajar bertanya sejauhmana kuatnya pengaruh mimpi dalam berkarya yang bentuk artistiknya meninggalkan kesan emosi.
Apa yang jelas penemuan teori Freud di sekitar tahun 1900 telah memasukkan ideaidea di bawah sedar dalam psikologi seni. Dipercayai daripada dominasi bahan, menjadikan fikiran di bawah sedar memainkan peranannya dalam berkarya. Ia membantu artis mengekspresifkan konflik dalam jiwa. Sesuatu yang pelik dan luar biasa sehinggakan terserlah keanehan. Dari minda ekspresif itu lahirnya karya-karya Surealisme yang merentasi mimpi dan fantasi. Ramai antara kita yakin bahawa visi Ekspresionisme akan terus berkembang subur dan menjadi aliran seni hingga mendapat perhatian ramai. Martin Ferro sedar soalan yang ditanya oleh pelajarnya itu ada kaitan dengan mimpi dan meracaunya Gustav sebagai satu sumber ilham untuk rakannya kembali berkarya. Perkembangan Ekspresionisme menekankan eksprimen, meletakkan kedudukan seni tampak sebagai bertujuan meneroka sesuatu yang baru. Ianya mulai berkembang di abad moden sebagai suatu penerokaan yang membawa idea psikologi antaranya seperti teori behaviorisme. Setengah pihak menjadikan seni Ekspresionisme sebagai bukti dalam hasil kreativiti mereka dan melahirkan dapatan baru dalam imej dan teknik melalui kreativiti, kognetif dan psikologi. Martin hairan apabila Gustav menyatakan Freud menyembunyikan banyak rahsia dan berselindung dengan suatu pembohongan. Fikiran Martin berlegar ligat. Fikirannya berputar memikirkan kata-kata Gustav. Sejak lima tahun lalu, secara peribadinya Gustav yang pernah dikenali oleh Martin adalah seorang pembuat seni yang berfikir di sebalik apa yang dikaryakan itu. Beliau seorang yang gemar berhujah dan meninggalkan persoalan yang mengajak orang lain berfikir. Gustav menjadikan rakanrakannya letih berfikir. Beliau suka mendera orang lain melalui berfikir. Penat otak berfikir menyebabkan Gustav tidak ramai kawan. Hanya Martin yang masih bertahan. Semalaman Gustav berhujah dengan diri sendiri. Setiap kata dan idea yang diungkapkan ada hujah yang menyokong dan membantah. Kotak fikiran Gustav aktif memikir sampai ke sudut yang sempit. Semangat dan cara fikirnya inginkan suatu reformasi dan berjuang untuk memecahkan aturan konvensi. Semangat yang ditiupkan itu boleh mengalih pandangan sebilangan “pelukis-pelukis pak turut” yang bersepah merata-rata. Ada yang tahu seni tetapi menganggap seni itu tanpa nama. Nama seni itu boleh diganti-ganti. Walaupun Gustav cuba mencari bukti-bukti pembohongan oleh Freud dan rahsia yang disembunyikan dalam kotak fikirannya namun semangat reformasi itu terserap daripada idea-idea Freud. Tidak dinafikan pandangan Freud telah menyebabkan beberapa konvensi dalam lukisan ditolak. Konvensi-konvensi baru ditonjolkan seperti anti kepada bentuk-bentuk ilustrasi. Kaedah-kaedah tradisi ditinggalkan. Warna-warna harmoni diperkenalkan dan struktur komposisi diberi penekanan yang serius. Bagi Gustav setiap konvensi yang mengikat dan mengongkong artis berkarya patut diubah. Ruang lingkup seni itu diperluaskan. Namun nama dan kalimat “seni” itu tak patut diubah, malah perlu dimartabatkan.
Gustav mahukan semangat reformasinya ini melonjak segar di kalangan pelukis muda. Semarak reformasi mental dan intelektual boleh mencabar psikoanalisa, fenomenologiHusserl dan lain-lain. Patut ditinggalkan segala pemikiran serta teori-teori interpritasi dialektikal yang memerangkap minda manusia. Memenjara minda anak muda dan orang ramai sehingga semakin terbeku dan malas berfikir kerana ideologi yang sama dan hasil seni tampak yang serupa dipamerkan. Gustav mahu mencabar artis baru dan orang ramai untuk mengubah konvensi bagi mencari ruang yang lebih bebas. Gustav berfikir yang sebaiknya kesan seni tampaknya boleh membawa semangat ke arah reformasi mental. Berwawasan dan reformasi dalam seni membawa reformasi dalam kehidupan. Ada dua faktor iaitu reformasi mental dan reformasi kehidupan boleh menjadi penggerak, terus tumbuh subur sebagai idea maupun sebagai unsur didaktik. Sebagai idea, Gustav mahukan reformasi mental dan reformasi kehidupan dalam seni tampak seolah seperti bayi yang baru lahir. Setiap generasi menekap bentuk-bentuk yang ada dalam kehidupan kepada bentuk-bentuk baru yang bernafas segar. Gustav yakin dalam waktu begitu singkat idea reformasinya ini boleh memuncak dan mencetuskan kebebasan dalam penciptaan karya yang menjelma di tengah-tengah nilai estetik. Apabila ramai artis generasi muda berwawasan yang sebilangannya berkarya di samping menulis, ini boleh mempercepatkan reformasi yang menegakkan kebenaran dan meninggalkan konvensi lapuk. Tiada lagi artis pak turut yang bermusim dan layu apabila musim itu malap dan bergelap. Gustav yakin dengan adanya tulisan yang bernilai, apresiasi yang murni, perkongsian intelektual dapat terus subur. Kesan positifnya dilihat membantu perjuangan dan gerakan baru berkembang dan melahirkan ramai pemikir dan pencetus idea. Akan lahir Kandinsky Malaysia dalam generasi baharu dengan tulisannya boleh mengangkat nama Cezanne baru Malaysia dalam generasi muda. Lahir pula seorang Paul Ferdinand Schmidt muda dalam generasi baharu menjadi pengkritik seni untuk menyemarakkan karya Gauguin dan Van Gogh 1Malaysia baru. Akan lahir ramai anak muda dari Universiti Seni Halus Tanjong Malam tempatan yang sehebat Wilhelm Worringer menjadi gah sebagai sejarawan seni 1Malaysia baharu membukukan perkembangan Reformasi Seni Tampak 1Malaysia Baharu. Akan lahir majalah yang dianggap sebagai jurnal iaitu Reformasi Seni ARTnews 1Malaysian untuk membantu seniman, orang ramai, kolektor dan pihak muzium serta galeri dalam semarak reformasi seni dan turut serta dalam kegiatankegiatan seni tampak. Akhirnya meleleh air liur basi Gustav menyebabkan beliau terkejut jaga. Sebelum itu Martin terdengar “arca seperti telur di hujung tanduk akan diganti dengan telur yang lebih besar”. Terkeluar dari mulut Gustav yang sedang meracau.