FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU JXEA 1104 TOKOH: IMAM AL- GHAZALI NAMA: NORHAFIZAN BT MD DESA NO MATRIK: JEA080072
PENGENALAN Imam Al-Ghazali merupakan salah seorang tokoh pemikir Islam yang amat terkenal bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah dalam kalangan bukan Islam. Beliau sangat tinggi ilmunya dalam pelbagai bidang seperti falsafah, akidah, fikah, ilmu kalam, tasawuf, pendidikan, politik dan lain-lain. Nama penuh beliau ialah Abu Hamid Muhamad bin Muhamad bin Ahmad AlGhazali Al-Tusi Al-Shafi’e. Namun nama asalnya ialah Muhamad sahaja. Beliau yang terkenal dengan gelaran Abu Hamid dan Al-Ghazali ini, dilahirkan pada tahun 450 hijrah atau pada tahun1058 masihi, di kota Tus yang terletak di negeri Kurasan.
Beliau
merupakan tokoh yang muncul 300 tahun selepas Imam Syafie lahir iaitu pada tahun 150 hijrah. Terdapat dua pendapat tentang gelaran ‘Al-Ghazali’. Pertama, dikatakan berasal dari nama daerah tempat lahirnya iaitu Gazalah dan kedua, berasal daripada pekerjaan bapanya iaitu sebagai penenun kain yang dinamakan gazzal. Al-Ghazali dilahirkan dalam keluarga yang miskin tetapi kuat pegangan agamanya. Beliau telah meninggal dunia pada pagi Isnin, 14 Jamadilakhir tahun 505 hijrah / 19 Disember 1111 masihi di tempat kelahirannya sendiri. Beliau telah mendapat gelaran sebagai Hujjatul Islam dari umat Islam selepas kematiannya kerana jasa-jasa dan kejayaanya
Semasa hayatnya, Imam Al-Ghazali telah memperkatakan dan membincangkan tentang banyak perkara mengenai pelbagai aspek kehidupan. Antara yang mendapat perhatian dan yang telah diperkatakan dengan meluas ialah mengenai pendidikan, dalam konteks kaedah pembelajaran dan penyebaran ilmu. Ilmu serta pendidikan adalah amat penting bagi sesiapa sahaja di mana-mana tempat di dunia ini. Melalui pendidikan, individu dapat memajukan diri, negara, bangsa dan agama. Pendidikan perlulah sentiasa berkembang dalam proses mencari kebenaran ilmu. Pendidikan juga pada dasarnya merupakan aset terpenting dalam pembinaan tamadun manusia dan perkembangannya. Al-Ghazali memegang falsafah yang menyatakan:
Sebahagian ilmu tidak akan menyerah dirinya kepada kamu sebelum kamu menyerah sepenuh jiwa raga kepadanya. Apabila kamu telah menyerah sepenuh jiwa raga kepadanya, sebahagian ilmu diberikan kapada kamu, namun sebahagian lagi masih belum tentu untuk menerima kamu.
Melalui ungkapan ini, Al-Ghazali menekankan bahawa seseorang yang ingin menuntut ilmu haruslah membersihkan hati mereka daripada pekerti buruk dan unsur negatif.
Malahan kesucian jiwa dan kemuliaan akhlak merupakan asas untuk
memperoleh kesucian ilmu dan keberkatan daripada Tuhan supaya dapat dimanfaatkan untuk diri dan orang lain. Aktiviti pembelajaran juga dianggap sebagai satu ibadah dan tujuannya adalah supaya seseorang dapat mendekatkan diri dengan penciptanya. Selain itu, proses mencari ilmu tidak dapat berjalan lancar sekiranya hati seseorang dipenuhi dengan sifat-sifat negatif seperti marah, dengki, takbur, bongkak, dan sebagainya. Oleh
yang demikian, individu yang menuntut ilmu pengetahuan haruslah mengurangkan hubungan dengan dunia, kaum keluarga, dan kampung halaman. Pada pendapatnya, perkara-perkara seperti ini
boleh mengganggu tumpuan dan melalaikan seseorang dari
mencari ilmu dengan lebih giguh lagi, terutamanya jika sibuk dengan hal-hal keduniaan. Begitu juga dengan Ibnu Khaldun yang mengatakan bahawa pendidikan seseorang akan menjadi lebih sempurna dengan cara merantau untuk mencari ilmu(iaitu dengan meninggalkan kampung halaman). Jika seseorang menuntut banyak ilmu dalam sesuatu masa tertentu, mereka akan mendapati bahawa amat sukar untuk memanfaatkan ilmu tersebut dengan sebaiknya. Perbandingan yang amat jelas dengan perkara ini ialah seperti saliran air yang mengalir bersimpang siur yang sebahagiannya diserap oleh bumi dan sebahagian lagi disedut oleh udara sehingga tidak ada sisa yang terhimpun dan dimanfaatkan oleh tanaman. Perkara ini jelas menunjukkan Al-Ghazali amat menekankan komitmen dalam proses pembelajaran kepada sesuatu cabang dahulu sebelum menceburi cabang lain . Kenyataan ini amat bernas berikutan ilmu pengetahuan sememangnya saling berkaitan dan berperingkat-peringkat. Melalui perspektif ini, Al-Ghazali menyarankan:
Setiap pelajar tidak boleh menceburi diri ke dalam sesuatu disiplin ilmu baru sebelum mempelajari secara sempurna disiplin ilmu terdahulu. Ini disebabkan disiplin ilmu adalah tersusun secara sistematik di mana sebahagian ilmu berkait antara satu sama lain. Pendapat seperti ini turut ditegaskan oleh Ibnu Khaldun, yang menyebut bahawa pengajaran ilmu kepada pelajar hanya akan dirasakan berkesan apabila dilakukan secara
beransur-ansur dan sedikit demi sedikit. Hal ini dikatakan kerana seseorang belum tentu memahami sesuatu ilmu pada peringkat awal pembelajaran. Selain itu, Imam Al-Ghazali juga menyarankan agar seseorang menuntut ilmu secara tertib mengikut keutamaan. Maknanya, kita perlulah menuntut ilmu yang paling penting dahulu kerana dikhuatiri umur tidak panjang. Ilmu-ilmu inilah yang menjadi bekalan untuk menyempurnakan ilmu mulia iaitu ilmu akhirat. Dalam kita mencari ilmu, perkara penting yang perlu diketahui adalah tentang hubungan pengajar dan penuntut. Melalui hubungan kedua-dua golongan inilah proses penyampaian dan penerimaan ilmu dapat dijalankan. Al-Ghazali menyebut dalam kitab Minhajul Abidin, bahawa sesungguhnya guru adalah pembuka jalan dan pemudah yang rumit.
Maknanya disini, guru adalah individu yang menolong dan memudahkan
seseorang untuk mencapai ilmu. Mereka akan memberi tunjuk ajar dan menurunkan ilmunya supaya dapat dimanfaatkan. Hakikatnya, ilmu merupakan hak milik Allah s.w.t yang dikurniakan kepada hambanya. Pelbagai istilah pendidik yang telah digunakan oleh Al-Ghazali seperti al-mudarris (pengajar), al-muaddib (pendidik) al-mu’alim (guru) dan al-walid (orang tua). Seseorang pengajar haruslah sesuatu yang baik sahaja, berfaedah, dan positif. Proses penyampaian dan penerimaan ilmu adalah tidak mengira usia. Al- Ghazali telah menggariskan tugas-tugas dan tanggungjawab seorang guru. Pada pandapat beliau, tugas mengajar adalah tugas yang paling mulia dan setinggi-tinggi jawatan.
Hal ini memang diakui kerana walau sesiapa sahaja yang telah mencapai
kejayaan di muka bumi ini, disebaliknya adalah seorang guru.
Prinsip-prinsip tentang guru dan murid telah dinyatakan oleh Al-Ghazali dalam tajuk hubungan timbal balik antara guru dan murid.
Tajuk ini ditekankan kerana
menyedari proses pendidikan memerlukan hubungan erat antara guru denagn murid. Kejayaan proses pendidikan sememangnya bergantung kepada bagaimana hubungan baik dan akrab terjalin antara guru dan murid.
Selain Al-Ghazali, Ibnu Khaldun juga
mengatakan ilmu yang diperoleh melalui hubungan peribadi dengan guru akan menjadi lebih kukuh dan lebih berakar umbi. Pendapatnya ini samalah seperti Al-Ghazali yang menerapkan nilai hubungan antara guru dan pelajar dengan ikatan kasih saying, saling mencintai, dan hormat-menghormati. Profesyen sebagai pengajar dianggap mulia kerana secara fitrah, masyarakat memang menghormati ilmuan yang memberi sumbangan dan faedah kepada orang lain.
Ilmu itu sendiri adalah mulia manakala orang yang
menyampaikannya kepada orang lain turut dimuliakan. Namun, sebagai seorang guru, ilmu yang disampaikan haruslah dipraktikkan oleh diri sendiri supaya dapat menjadi contoh kepada muridnya. Kata Al-Ghazali: Sesiapa yang berilmu lalu mengamalkannya, pasti dia adalah diakui sebagai orang besar di kerajaan langit. Beliau mengulas dengan lebih lanjut lagi, dengan mengumpamakan orang yang berilmu dan mengajar orang lain diibaratkan seperti matahari yang memancarkan sinarnya kepada makhluk lain, sedangkan dirinya tetap bersinar. Begitu juga dengan minyak kasturi yang dapat menyebarkan bau wangi kepada alam sekitar, namun dirinya tetap berbau harum. Begitulah tingginya pandangan Al-Ghazali terhadap individu yang bergelar sebagai pengajar.
Selain menekankan tugas dan tanggungjawab guru, Al-Ghazali turut menerangkan dan menyebut tentang peranan serta tugas seorang murid. Murid merupakan individu yang menuntut ilmu daripada seorang guru. Hal ini bererti sudah sepatutnya seseorang murid
menghormati
gurunya.
Penuntut
ilmu
secara
tidak
langsung
telah
bertanggungjawab terhadap diri, masyarakat dan agamanya. Ilmu yang dimiliki harus dimanfaatkan ke jalan yang betul iaitu kapada jalan yang benar sebagaimana yang dipertanggungjawabkan oleh Pencipta sebagai kalifahNya di muka bumi ini. Oleh yang demikian, sesorang murid harus membuat satu garis fokus untuk menentukan matlamat pendidikan jangka pendek mereka dan jangka panjang iaitu tidak lari daripada tujuan asas mencari ilmu. Al-Ghazali berpendapat bahawa tujuan pelajar mempelajari ilmu mesti mengutamakan disiplin ilmu syariat berbanding disiplin ilmu keduniaan kerana mendekatkan diri dengan Tuhan merupakan matlamat jangka panjang. Selain itu juga, beliau turut menggariskan beberara adab sebagai seorang murid. Antaranya ialah, jangan bertengkar dengan guru dan jangan pula berhujuh melawan apa jua masalah walaupun diketahui kesalahannya itu. Selain itu, murid harus mengamalkan apa yang disuruh oleh guru setakat yang mampu dan dan mereka tidak boleh menuntut ilmu dengan tujuan mencari pangkat, kekayaan, serta menindas orang bodoh dan membangga diri. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa ilmu pengetahuan memang penting dan amat perlu dalam diri setiap insan. Pandangan-pandangan dan penekanan Al-Ghazali dapat dijadikan ikutan yang baik dalam menjalani proses pendidikan tidak kira apa topik sekalipun selagi ianya membawa kebaikan dan faedah bersama.
BIBLIOGRAFI Al-Ghazali. 2003. Tahafut Al-Falasifah Kekacauan Para Filsuf; Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Imam Al-Ghazali. 1989. Pendidikan Berkesan. Abdul Salam Haji Yusuf; Utusan Publicatons & Distributors Snd Bhd. Imam Al-Ghazali. Timbangan Amal Menuju Kebahagiaan Akhirat. Singapura; Pustaka Nasional PTE LTD.