Hikayat Hang Tuah

  • Uploaded by: Nur Ain Mohd Amin
  • 0
  • 0
  • October 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Hikayat Hang Tuah as PDF for free.

More details

  • Words: 2,593
  • Pages: 13
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU JXEA 1104 FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU KARYA MELAYU KLASIK: HIKAYAT HANG TUAH Nama Pelajar: JOYNER ANAK SEDIN No. Matrik : JEA080028 No. Kumpulan Tutorial : RABU(12.00-1.00 PETANG) Nama Pensyarah : DR. AMRAN MUHAMMAD Nama Tutor : CIK HADIJAH BT ABDUL RAHMAN

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani atau Greek purba dan pertama kali digunakan oleh Pythagoras[570-504 Sebelum Masihi(S.M)] iaitu ahli fikir Yunani dalam abad ke-6 S.M. Perkataan falsafah mengandungi gabungan dua perkataan iaitu “philo” bermaksud “cinta”, dan “sophia” bermaksud “kebijaksanaan”. Oleh itu falsafah boleh diertikan sebagai “cinta akan kebijaksanaan”. Namun takrif ilmu falsafah seharusnya lebih terperinci daripada pengertian yang begitu luas dan longgar itu. KESUSASTERAAN HIKAYAT Dalam perbendaharaan kesusasteraan Melayu tradisional, genre kesusasteraan hikayat merupakan genre terbesar dari segi bilangannya. Menurut Hooykas(1940), genre ini merujuk kepada “buku yang mengandungi fantasi India”. Emies(1952) pula berpendapat “hikayat merupakan lanjutan daripada cerita-cerita lipur lara yang diperkaya dengan jalinan unsure-unsur cerita asing”. Menurut Zalila Sharif et al. (penyelanggara, 1993) pula, sastera hikayat ini merupakan hikayat-hikayat yang berbentuk cerita atau naratif, bersifat hiburan dan didaktik. Hasil genre ini jelas lahir daripada tradisi tulisan berdasarkan banyaknya manuskrip atau naskhah yang terkumpul di pusat-pusat dokumentasi naskhah Melayu di serata dunia. Perkataan ‘hikayat’ berasal daripada bahasa Arab, hikaya. Makna asal yang didukung oleh perkataan Arab ini ialah “pelbagai sejarah” tetapi menerusi peredaran zaman maksudnya berubah menjadi cerita rekaan yang berunsur naratif dengan kecenderungan menghibur yang ketara. Kesusasteraan hikayat ini dihasilkan dalam bentuk prosa dan puisi. Oleh itu, karya kesusasteraan hikayat banyak membawakan cerita ajaib yang berunsur hiburan hasil daripada imaginasi pengarangnya.

KESUSASTERAAN EPIK Kesusasteraan epik juga dikenali sebagai kesusasteraan kepahlawanan. Genre ini menceritakan wira dan kepahlawanan sesuatu bangsa. Dengan kata lain, watak yang dikisahkan ialah wira bangsa dan lambang keagungan budaya bangsa sehingga menjadi sanjungan dan sumber inspirasi masyarakat khalayaknya. Watak wira dilukiskan dengan sifat yang begitu unggul sama ada dari segi keperibadian, ketokohan, kepintaran, kegagahan, mahupun ketangkasan. Sifat yang dilukiskan ini dilebih-lebihkan sehingga menjadikan watak berkenaan begitu sempurna. Kadangkala watak wira itu dikatakan tidak mati dan dipercayai masih hidup hingga kini. Kesusasteraan epik ditulis dalam bentuk puisi yang panjang. Sebaliknya, dalam konteks kesusasteraan Melayu tradisional, genre ini ditulis dalam bentuk prosa. Kesusasteraan epik Melayu dapat diklasifikasikan kepada epik kebangsaan dan epik bersumberkan Islam(Ismail Hamid, 1993). Epik kebangsaan Melayu diwakili oleh Hikayat Hang Tuah. Dalam hikayat ini dilukiskan kehebatan dan kehandalan tokoh Hang Tuah sejak zaman kecilnya hinggalah ia “ghaib”. Beliau dibantu oleh empat orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu. Zaman keagungan Hang Tuah melambangkan keagungan empayar Melayu Melaka. Di samping itu, Hang Tuah juga merupakan lambang kesetiaan bangsa Melayu terhadap rajanya yang tidak berbelah bagi terutama dalam masyarakat Melayu feudal. Hang Tuah melindungi rajanya dari sebarang ancaman sehingga sanggup mengadaikan nyawanya sekalipun. KARYA MELAYU KLASIK:HIKAYAT HANG TUAH Petikan daripada Hikayat Hang Tuah

“…..Hatta keesokan harinya, maka raja Melaka pun masuk menghadap Betara Majapahit diiringkan oleh laksamana dan segala pegawai dan pertuanan. Syahadan Seri Betara pun sudah keluar duduk di peseban dihadap oleh segala raja-raja dan ceteria dan perdana menteri dan kesateria, sida-sida, bentara dan hulubalang. Maka raja Melaka datang lalu duduk menyembah pada Seri Betara. Maka laksamana pun duduk menyembah di bawah raja Melaka itu. Maka Patih Gajah Mada pun duduk di atas segala raja-raja yang banyak itu. Sebermula penjurit itu pun merampas arak tuak dijual arang di pesara itu. Maka penjurit pun naiklah ke atas kedai merampas dan merebut. Apabila tiada diberinya oleh yang empunya kedai itu, maka ditikamnya dan dibunuhnya. Hatta dengan demikian gemparlah pasar itu, kerana banyak orang mati ditikam oleh penjurit itu. Maka sekalian yang berkedai itu pun habis lari mengatakan orang mengamuk. Maka penjurit tujuh puluh itu mengamuk; barang yang terlintang ditikamnya. Banyaklah orang mati dan luka. Maka gemparlah terlalu huru-hara. Maka orang itu pun habis lari mengatakan orang mengamuk terlalu banyak di tengah pesara itu, banyak orang mati dan luka. Maka terdengarlah kepada Betara Majapahit bunyi huru-hara itu. Maka titah Seri Betara, “Apa bunyi kedengaran itu terlalu riuh?” Maka sembah Patih Gajah Mada, “Orang mengamuk tuanku, di tengah pesara; banyak orang mati dan luka, tiada terkembari lagi.” Maka orang pun sebagai lari masuk ke peseban itu. Maka pintu peseban pun ditutup oranglah. Setelah Seri Betara mendengar sembah Patih Gajah Mada demikian itu maka Seri Betara pun memandang ke kiri dan ke kanan, lalu bertitah pada raja Melaka, “Hai anakku, apatah jadi negeri ayahanda ini, habis mati dan luka? Jikalau demikian ini, binasalah negeri.”

Setelah raja Melaka mendengar titah Seri Betara itu, maka baginda pun memandang pada laksamana; laksamana pun menyembah lalu memekis, katanya, “Cis! Manatah hulubalang Majapahit maka tiada terkembari orang mengamuk sekian ini?” Maka laksamana pun berbangkit berdiri seraya disingsing tangan bajunya, lalu menyembah pada raja Melaka; serta diselaknya penduanya lalu melompat terjun di atas peseban lalu berdiri sambil berlari-lari pergi mendapatkan orang mengamuk itu. Setelah datang ke tengah pasar itu, dilihat oleh laksamana banyak orang mengamuk itu. Maka laksamana pun fikir dalam hatinya: “Ah, terkenalah aku oleh Patih Gajah Mada! Tetapi, insya-Allah, tiada mengapa. Belum tanah Majapahit ini mengandung Si Tuah.” Hatta maka dilihat oleh penjurit tujuh puluh itu seorang Melayu berlari-lari dengan keris panjang dipegang; maka kata penjurit itu, “Inilah Melayu yang dikatakan oleh Patih Gajah Mada itu.” Maka segera diusirnya akan laksamana; laksamana pun undur sambil memarang, tetapi melihat ke belakang tempat bertahan. Dengan takdir Allah Taala, maka laksamana pun bertemu dengan suatu lorong; pagarnya lorong itu batu kiri kanan; luasnya telus seorang juga. Hatta maka laksamana pun segera menghunus keris panjangnya lalu melompat ke dalam lorong itu bertahan. Maka penjurit tujuh puluh itu pun beriring-iring masuk ke dalam lorong itu. Maka diparang oleh laksamana dengan keris panjangnya putus lehernya terpelanting. Maka masuk pula hendak menikam, itu pun dipancungnya. Dengan demikian, orang tujuh puluh itu pun habis mati tinggal tujuh orang lagi di muka pintu lorong itu; tiada berani masuk. Maka laksamana pun segera melompat keluar. Setelah dilihatnya akan laksamana sudah keluar itu, maka penjurit tujuh orang itu pun berkeliling hendak menikam laksamana; laksamana pun melompat serta

diparangnya; ketujuh orang itu pun mati: ada yang putus lehernya; ada yang putus tangannya; ada yang penggal pahanya. Maka Hang Jebat dan Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun datang dititahkan oleh raja Melaka akan membantu laksamana. Tatkala itu laksamana pun lelah, maka duduk pada sebuah kedai berhentikan lelahnya. Syahadan kerisnya pun tiada tersarung lagi dan tubuhnya pun berlumur dengan darah. Maka Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun datang serta menangis, seraya diciumnya kepala laksamana dan disapunya darahnya pada tubuhnya laksamana itu. Maka keris pada tangan laksamana pun dibawanya pulang diusungnya. Setelah sampai ke peseban, maka dilihat oleh raja Melaka Hang Jebat datang mengusung berempat-empat itu; maka raja Melaka pun berdebar-debar hatinya. Maka laksamana pun melompat naik ke peseban itu lalu kepada raja Melaka. Maka dilihat oleh Ratu Majapahit dan Patih Gajah Mada laksamana datang itu; maka Seri Betara dan Patih Gajah Mada pun tersipu-sipu dan gentar segala anggotanya. Maka titah Seri Betara, “Hai laksamana, pada bicara kita seorang dua juga mengamuk itu. Jikalau kita tahukan tujuh puluh orang mengamuk itu, masakan kita menyuruh laksamana seorang. Jika laksamana pergi pun, dengan alat senjata kita suruhkan.” Maka Sahut laksamana, “Pada bicara patik ini, jangankan tujuh puluh, jika seribu antara dua ribu sekalipun patik tidak endahkan; patik mudah juga mengembari dia. Jika orang berani itu dengan mudahnya patik bunuh. Orang penakut itu juga – inilah sukarnya patik akan mengembari dia; banyak budi bicaranya hendak mengenai orang juga!” Maka Seri Betara dan Patih Gajah Mada pun malu, di dalam hatinya: ‘Aku juga dikatanya ini.’ Maka raja Melaka pun bermohon pulang ke istananya…..”

Sinopsis Patih Gajah Mada dan Seri Betara telah merancang untuk membunuh Hang Tuah. Pelbagai cara dan taktik telah dilakukan, namun usaha untuk membunuh Hang Tuah sentiasa menemui kegagalan. Suatu hari, Patih Gajah Mada memanggil tujuh puluh orang penjurit untuk memberikan tawaran supaya membunuh Hang Tuah. Penjuritpenjurit itu diarahkan untuk membuat kekecohan dan mengamuk di pasar. Oleh kerana Majapahit tidak mempunyai pahlawan untuk menghalang dan menumpaskan penjuritpenjurit yang mengamuk itu, maka raja Melaka menitahkan Hang Tuah agar menghalang amukkan penjurit-penjurit itu dan menyelamatkan rakyat Majapahit. Apabila penjuritpenjurit itu melihat kemunculan Hang Tuah di pasar itu, mereka cuba membunuh beliau dengan pelbagai serangan tetapi semuanya hanya sia-sia. Sebaliknya, mereka yang berjaya ditumpaskan oleh Hang Tuah.

KUPASAN FALSAFAH(HIKAYAT HANG TUAH) Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah karya Melayu klasik yang ingin saya kupas. Hikayat Hang Tuah ialah epik kebangsaan Melayu yang menggambarkan kehebatan dan kehandalan tokoh Hang Tuah sejak beliau masih kecil lagi. Beliau dibantu oleh empat orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu. Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya merupakan lambang kesetiaan bangsa Melayu terhadap rajanya yang tidak berbelah bagi terutama dalam masyarakat Melayu feudal. Saya telah tertarik dengan watak dan perwatakan yang terdapat dalam kesusasteraan epik ini. Oleh itu, saya menjadikan hikayat ini sebagai bahan kajian untuk saya kupas. Kupasan yang saya lakukan adalah berdasarkan falsafah yang dipegang oleh watak utama iaitu Hang Tuah dan watak lain yang menjadi watak sampingan untuk menghidupkan lagi hikayat ini. Berdasarkan Hikayat Hang Tuah yang saya kaji, saya mendapati bahawa Hang Tuah berpegang kepada falsafah setia kepada raja. Beliau merupakan seorang laksamana yang sentiasa setia di samping rajanya iaitu raja Melaka. Sebagai contoh, Hang Tuah telah mengikut raja Melaka ke Majapahit untuk berjumpa dengan ayahanda raja Melaka iaitu Seri Betara. Semasa berada di Majapahit, beliau sentiasa menemani raja Melaka walau ke mana saja baginda pergi. Hang Tuah yang merupakan lambang kesetiaan bangsa Melayu sentiasa melindungi rajanya dari sebarang ancaman sehingga sanggup mengadaikan nyawanya sekalipun.Beliau merupakan seorang laksamana yang tidak pernah ingkar akan arahan rajanya dan sentiasa mematuhi segala titah rajanya. Contohnya, raja Melaka telah menitahkan agar Hang Tuah menghalang penjurit-penjurit yang melakukan kekecohan dan mengamuk di pasar. Sebagai seorang rakyat yang akur

akan arahan pemimpan, Hang Tuah pergi ke pasar itu untuk menumpaskan penjuritpenjurit yang mengamuk dan seterusnya menyelamatkan rakyat jelata. Di samping itu watak Hang Tuah juga dilukiskan mempunyai falsafah lain. Dalam hikayat ini, Hang Tuah turut dikagumi kerana kebijaksanaan beliau dalam segala hal. Hal ini dapat dibuktikan semasa Hang Tuah menyembah Seri Betara untuk berceritera tentang perintah segala raja-raja dahulu kala. Dalam keasyikkan Hang Tuah berceritera, Patih Gajah Mada telah mengatur rancangan jahat untuk mengambil keris Hang Tuah tetapi malangnya dia telah masuk dalam perangkapnya sendiri apabila Hang Tuah terlebih dahulu mengesan rancangan kotor Patih Gajah Mada lalu mengambil keris Patih Gajah Mada secara senyap-senyap. Akibat daripada peristiwa itu, Patih Gajah Mada telah mendapat malu kerana cuba mengenakan Hang Tuah. Untuk menutup rasa malu, Patih Gajah Mada memberitahu Hang Tuah bahawa itu hanyalah satu gurauan supaya Hang Tuah tidak mengesyaki apa-apa. Malah, watak Hang Tuah mempunyai ketangkasan sebagai seorang pahlawan. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau yang hanya seorang diri berjaya menumpaskan tujuh puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar. Hang Tuah mempunyai taktik tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu. Pada mulanya beliau berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah menemui satu lorong yang hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar lorong itu diperbuat daripada batu. Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk bertahan. Tujuh puluh orang penjurit itu juga masuk ke dalam lorong itu secara beiringan. Dengan ketangkasan yang dimiliki, Hang Tuah berjaya memancung kepala penjurit-penjurit tersebut.

Watak Hang Tuah juga digambarkan sebagai seorang yang pintar dan cerdik. Sebagai contoh, dalam satu acara, Seri Betara telah cuba memabukkan Hang Tuah tetapi rancangannya itu tidak membuahkan hasil. Walaupun telah diberikan minuman itu secara bertubi-tubi, namun ianya tidak dapat memabukkan Hang Tuah. Hal ini kerana, Hang Tuah merupakan seorang yang bijaksana; walau diberi racun sekalipun, apabila diminumnya, akan jadi penawar. Semua pegawai dan priayi yang berada di istana itu turut cuba memberinya minuman untuk membuat beliau mabuk tetapi beliau masih dalam keadaan normal dan waras. Sebaliknya, pegawai dan priayi itu yang mabuk hingga tidak sedarkan diri. Selain itu, watak Hang Tuah dilukiskan mempunyai kehebatan dan kehandalan dalam melawan musuh yang cuba menghuru-harakan sesebuah tempat. Hal ini dapat dibuktikan apabila Seri Betara telah menyuruh seorang penjurit yang mempunyai kesaktian yang tinggi untuk membunuh Hang Tuah tetapi rancangan itu tidak berjaya. Penjurit yang dimaksudkan ialah Sang Winara Semantera; merupakan guru segala penjurit. Sang Winara pergi ke kampung raja Melaka untuk membunuh Hang Tuah. Kedatangan Sang Winara dapat dikesan oleh Hang Tuah melalui firasatnya dan beliau menasihatkan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu agar berhati-hati. Semasa beliau menasihatkan sahabat-sahabatnya, Hang Tuah melihat kelibat seseorang berhampiran pagar. Orang itu ialah Sang Winara. Sang Winara tidak sempat lari lalu menjadikan dirinya tunggul kayu. Hang Tuah memarang tunggul kayu itu dengan kerisnya. Sang Winara kemudian

bertukar menjadi anjing

manakala laksamana menjadikan dirinya harimau lalu mengusir anjing itu keluar dari kampung. Dengan kehebatan dan kehandalan yang dimiliki oleh Hang Tuah Sang Winara

berjaya dibunuhnya iaitu dengan memenggal kepala dan kedua-dua belah bahu Sang Winara. Oleh yang demikian, kehandalan yang dimiliki oleh beliau tidak boleh dipertikaikan lagi apabila berjaya membunuh guru segala penjurit. Watak Hang Tuah juga mempunyai keperibadian yang mulia dan digemari orang ramai di samping mempunyai ketokohan sebagai pemimpin untuk memimpin sesebuah negeri. Keperibadian mulia yang dimilikinya dapat digambarkan apabila beliau tidak berat tulang untuk menyumbangkan tenaganya dan sumbangan dalam bentuk lain untuk menolong rakyat jelata yang memerlukan pertolongannya. Malah Hang Tuah mempunyai ketokohan sebagai pemimpin apabila beliau sentiasa bersedia berbakti kepada nusa dan bangsa demi keamanan negerinya. Beliau juga merupakan ketua kepada sahabatnya yang lain dan ini jelas memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai tokoh kepimpinan dalam dirinya sendiri untuk memimpin sesebuah negeri. Negeri tersebut pasti aman dan makmur kerana mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa seperti Hang Tuah. Di samping itu, watak Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dilukiskan sebagai orang yang berpegang pada falsafah semangat setiakawan. Hal ini dapat dibuktikan apabila Hang Tuah terpaksa berhadapan dengan penjurit seramai tujuh puluh orang. Atas dasar setiakawan, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu datang untuk membantu Hang Tuah. Tetapi pada masa itu Hang Tuah telah berjaya menumpaskan semua penjurit itu. Beliau duduk di kedai untuk menghilangkan rasa lelahnya dengan badan yang berlumuran darah. Para sahabatnya yang baru datang terkejut melihat keadaan beliau dan mereka menangis sambil mencium kepala Hang Tuah. Mereka menyapu darah yang melumuri tubuh Hang Tuah. Tindakan

ini jelas menunjukkan bahawa betapa tebalnya semangat setiakawan antara mereka. Setelah mengkaji Hikayat Hang Tuah ini secara mendalam, saya telah mendapat satu rumusan bagi menyimpulkan keseluruhan kisah dalam hikayat ini. Kesimpulannya, Hikayat Hang Tuah telah merungkai banyak falsafah untuk dijadikan pegangan hidup manusia. Falsafah yang pada dasarnya membawa maksud cinta akan kebijaksanaan akhirnya mempunyai pengertian yang begitu luas dan mendalam apabila kita dapat menggali makna falsafah sehingga ke akar umbinya. Dalam hikayat ini, watak Hang Tuah berpegang pada falsafah kesetiaan kepada raja sehingga sanggup mengorbankan diri, kebijaksanaan dan kepintaran dalam mencari tahu kelemahan yang ada pada musuh, ketangkasan dalam bermain senjata iaitu keris yang digunakan semasa berlawan, kehandalan dan kehebatan menumpaskan pihak lawan, keperibadian yang mulia dan ketokohan sebagai pemimpin serta semangat setiakawan yang erat dapat menghasilkan sebuah masyarakat yang sejahtera di samping mengekalkan keamanan dalam sesebuah negara. Hal ini kerana seorang tokoh yang berpegang pada falsafah yang benar dan menjadikan falsafah itu sebagai panduan dalam kepimpinannya akan mampu mengekalkan kedaulatan sesebuah negara.

BIBLIOGRAFI Hashim bin Haji Musa, 2001. Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu (Suatu Pengenalan). Universiti Malaya: Akademi Pengajian Melayu. Kassim Ahmad (peny.), 1975. Hikayat Hang Tuah Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis Peperiksaan Malaysia, 2003. Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Siti Hawa Salleh, 1997. Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (peny.), 1993. Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Related Documents

Hikayat Hang Tuah
October 2019 42
Hikayat Hang Tuah
October 2019 47
Hikayat Hang Tuah
October 2019 55
Hikayat Hang Tuah
June 2020 31
Hikayat Hang Tuah
October 2019 69
Hikayat Hang Tuah
October 2019 35

More Documents from "Nur Ain Mohd Amin"

Pantun Budi
October 2019 46
Al-ghazali
October 2019 46
Nazam Ajal
October 2019 53
Al-kindi
October 2019 40
Tajus Salatin
October 2019 36
St-01-01
October 2019 48