Penulisan Akademik Edup.docx

  • Uploaded by: nurputeri johari
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Penulisan Akademik Edup.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 1,603
  • Pages: 6
PENGENALAN Umum mengetahui bahawa mendidik merupakan tugas yang paling mulia. Justeru, seorang pendidik seharusnya dihormati dan disanjungi masyarakat. Ordinan Pendaftaran Guru-guru 1957 mentakrifkan guru sebagai seorang yang mengajar murid-murid di sebuah sekolah atau menyediakan bahan-bahan pengajaran atau yang memeriksa kertas-kertas jawapan di sekolah (Nasrul dan Zarina, 2017). Antara tugas terpenting seorang guru adalah untuk memastikan setiap murid di bawah jagaannya mematuhi peraturan disiplin yang telah ditetapkan. Tanggungjawab guru terhadap pembentukan disiplin murid ini jelas disebutkan dalam Surat pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975 (di dalam Nasrul dan Zarina, 2017) yang menyatakan bahawa tugas mendisiplinkan murid bukan sahaja terletak di bahu guru besar. Bahkan, ia juga menjadi tugas semua guru. Bertitik tolak daripada itu, penulisan ini akan membincangkan secara kritis perihal isu dan cabaran berkaitan perundangan yang dihadapi oleh guru di sekolah. Isu yang difokuskan dalam penulisan ini adalah isu rotan berdasarkan artikel yang disiarkan pada akhbar Berita Utusan. Seterusnya, analisis isu akan dibuat daripada aspek ciri guru sebagai seorang yang profesional. Satu refleksi akan dibuat bersandarkan kepada bakal guru dan pelan pembangunan diri dan kerjaya dalam bidang perguruan akan dikemukakan.

ANALISIS ISU : MURID DIROTAN TRAUMA KE SEKOLAH Penulisan ini menfokuskan kepada isu yang berkaitan dengan hukuman rotan yang dikenakan kepada murid. Satu artikel daripada akhbar Berita Utusan yang bertarikh 29 Januari 2011 menyatakan bahawa seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Kuala Besut telah cedera di belakang badannya. Kecederaan yang dialaminya adalah akibat dirotan oleh gurunya di sekolah. Menurut artikel, hukuman rotan yang diterima murid berkenaan berpunca daripada tindakannya menjenguk seorang rakannya yang sedang menjawab kertas ujian. Rentetan daripada itu, guru berkenaan dikatakan secara tiba-tiba telah meluru ke arah murid berkenaan dan terus merotan apabila selesai menduduki ujian. Murid berkenaan dikatakan dipukul sekali lagi sebelum sempat mangsa menjawab soalan guru berkenaan sama ada murid terbabit sakit atau tidak. Walau bagaimanapun, murid berkenaan telah mendapat pertolongan daripada guru kelas dan kes tersebut telah dirujuk kepada guru besar. Namun, murid berkenaan dikatakan masih terkejut dan trauma untuk kembali ke sekolah selain mengalami kecederaan akibat dirotan. Guru memainkan peranan penting dalam mendisiplinkan murid. Hal ini demikian, guru merupakan individu yang paling rapat dan menjadi perantaraan secara langsung antara murid

dengan kehendak sekolah serta sistem pendidikan. Oleh itu, pelaksanaan disiplin sekolah dilihat sebagai tanggungjawab serta tugas hakiki semua guru dan bukannya diserahkan sebulat-bulatnya pada guru besar atau guru disiplin untuk menguruskannya (James Ang Jit, 2011). Melihat didalam ruang lingkup isu yang difokuskan, guru tersebut dilihat jelas menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang guru dalam mendisiplinkan murid. Walau bagaimanapun, profesionalisme guru yang dipamerkan guru tersebut jelas boleh dipersoalkan dan diragui. Mengikut pekeliling dan peraturan sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), salah laku murid boleh dikategorikan kepada tiga jenis merangkumi kepada kesalahan berat, kesalahan sederhana dan kesalahan ringan. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 bertarikh 29 Oktober 2003 telah menggariskan 35 kesalahan berat yang membolehkan murid yang melanggar kesalahan tersebut diberi hukuman rotan di punggung. Walau bagaimanapun, tiada satu pun tindakan yang disenaraikan bersamaan dengan tingkah laku yang dibuat murid di dalam isu yang difokuskan di dalam penulisan ini. Hal ini jelas menunjukkan bahawa murid berkenaan tidak sepatutnya dikenakan hukuman rotan dan sekaligus menunjukkan tindakan guru terbabit adalah salah dan tidak profesional. Lebih memburukkan keadaan, tindakan merotan yang dilaksanakan guru berkenaan adalah bercanggah dengan prosedur yang telah digariskan di dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957 (di dalam Nasrul dan Zarina, 2017). Secara lebih terperinci, tindakan guru terbabit bercanggah dengan prosedur 2, 4, 5 dan 6. Prosedur yang dimaksudkan merangkumi :

Hukuman rotan ke atas murid-murid lelaki hendaklah menggunakan rotan yang ringan dikenakan sama ada di taoak tangan atau punggung yang berlapik dengan pakaian.



Semua hukuman yang dijalankan hendaklah direkodkan dengan menyatakan jenis salah laku, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan perotan dan saksi semasa hukuman rotak dilaksanakan. Kemudian, rekod tersebut akan disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh pendaftar.



Guru yang dipertanggungjawab melaksanakan hukuman rotan bukanlah melakukan berdasarkan perasaan dendam atau marah kepada murid tetapi ia adalah sebahagian daripada proses mendidik. Tindakan yang dikenakan terhadap murid seharusnya difahami oleh semua pihak iaitu sebagai alat untuk mendisiplinkan murid bukannya sebagai alat untuk mencederakan fizikal dan mental murid.



Hukuman rotan di khalayak ramai sama ada di tapak perhimpunan atau di tempat berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) adalah tidak dibenarkan

sama sekali. Tindakan ini boleh menjatuhkan maruah dan memberi impak negatif yang lebih besar terhadap keperibadian murid. Melihat kepada prosedur 2, 4, 5 dan 6 dapat disimpulkan bahawa tindakan merotan yang dijalankan guru terbabit tidak dilaksanakan di bahagian tubuh yang sepatutnya, hukuman rotan tidak direkodkan, tindakan guru terbabit telah mencederakan fizikal dan mental murid dan pelaksanaan hukuman dijalankan di tempat yang tidak sepatutnya. Perkara ini jelas memperlihatkan tahap profesionalisme guru yang lemah dan menjejaskan kredibiliti dirinya sebagai seorang guru yang berkualiti. Noriati et. al. (2010) menjelaskan bahawa sesebuah pendidikan itu tidak akan dapat dibangunkan dan dikembangkan tanpa mempunyai guru yang cemerlang dan berkualiti. Seorang guru yang profesional perlu mempunyai kemahiran memahami masalah, menentukan strategi digunakan serta memberikan justifikasi penggunaan kaedah, strategi dan penyelesaian yang digunakan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapai (Ismail dan Norliza, 2015).

REFLEKSI & PELAN PEMBANGUNAN DIRI DAN KERJAYA Sistem pendidikan negara sentiasa mengalami perubahan. Fenomena yang berlaku adalah bagi memenuhi keperluan dalam persekitaran pendidikan (Faizal dan Khalil, 2015). Chong (2014) (di dalam Faizal dan Khalil, 2015) bersetuju dengan kenyataan tersebut dengan menyatakan pelbagai perubahan dalam pendidikan di Malaysia adalah disebabkan keperluan kepada Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21). Barlett-Bragg (2010) (di dalam Faizal dan Khalil, 2015) telah menyenaraikan ciri-ciri guru abad ke-21. Walau bagaimanapun, ciri yang akan difokuskan merujuk kepada memahami perkembangan murid dan menyayangi mereka serta memiliki kemahiran kaunseling. Ciri yang difokuskan adalah berkesinambungan daripada isu yang difokuskan di dalam penulisan ini. Dalam konteks penulisan ini, guru memainkan peranan yang penting dalam membentuk watak dan sahsiah murid. Hal ini demikian, asuhan guru yang berkesan meninggalkan ingatan dan menjadi amalan berpanjangan kepada setiap murid (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2010). Rentetan daripada itu, suatu anjakan paradigma perlu dilaksanakan bagi membendung kesalahan atau tindakan yang sinonim dengan isu yang difokuskan ini daripada terus berlaku. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, bakal guru mestilah dilengkapi dan kompeten dari aspek pengetahuan, kemahiran dan amalan nilai profesionalisme selaras dengan Standard Guru Malaysia (SGM).

Rajah 1 : Model SGM Melihat di dalam konteks isu yang difokuskan dalam penulisan ini, setiap guru yang dilahirkan mestilah mempunyai rasa simpati dan kasih sayang kepada murid dan menganggap serta melayani mereka seperti anaknya sendiri (Kamarul dan Noor, 2012). Berdasarkan Model Guru Cemerlang, keimanan yang mantap akan melahirkan keperibadian yang murni dan mulia diperlukan oleh guru selain memiliki ilmu pengetahuan dari segi ilmu agama dan isi pelajaran yang ingin disampaikan kepada murid (Kamarul dan Noor, 2012). Hal ini jelas menunjukkan bahawa untuk menjadi seorang guru memerlukan jiwa dan minat yang mendalam di dalam profession ini. Justeru, seorang guru mestilah berusaha untuk menyelami dan menghargai profession ini supaya setiap tingkah laku atau tindakan yang diambil adalah relevan bersandarkan kepada niat untuk mendidik. Melihat dari sudut berbeza, proses pembelajaran bagi seorang guru tidak terhenti di saat mereka bergelar guru di lapangan sebenar. Sebaliknya, pembelajaran bagi membentuk dan menjadi seorang guru yang berkualiti berlaku sepanjang hayat. Hal ini disokong oleh Nur, Mohd dan Chan (2017) yang menyatakan bahawa capaian pendidikan tidak sepatutnya terhad kepada golongan elit atau mereka yang berada dalam lingkungan umur yang tertentu sahaja. Sebaliknya perlu disebatikan ke dalam seluruh anggota masyarakat dan kehidupan. Justeru, seseorang guru mestilah sentiasa mencari peluang untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan diri mereka melalui pelbagai cara merangkumi kepada latihan dalam perkhidmatan, kursus mahupun pembelajaran maya. Selain itu, setiap guru mestilah sentiasa peka dengan setiap perundangan, prosedur atau tatacara yang berkait dengan diri mereka. Hal ini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan kedua-dua pihak guru dan juga murid sekaligus pendidikan berkualiti dapat dihasilkan.

PENUTUP Guru memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat dan negara. Malah, guru merupakan insan yang diharapkan dapat mendidik dan membentuk generasi yang akan datang. Justeru, seorang guru yang mempunyai kualiti yang baik perlu dilahirkan. Seterusnya, insan yang telah bergelar guru dan menjalankan tugasnya di lapangan sebenar mestilah berupaya untuk sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan juga sahsiah yang sepatutnya ada pada seorang guru. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Namun, seorang guru akan terus diingati sebagai ‘cikgu’.

RUJUKAN Ismail Hj. Raduan & Norliza Binti Abdul Majid. (2015). Ciri-ciri Kualiti Guru Baharu Lepasan PISMP. Artikel Prosiding. Diakses pada 20 Mac 2019 di http://ipgkik.com/v2/wpcontent/uploads/2015/05/artikel3_prosiding.pdf James Ang Jit. (2011). Pengurusan Disiplin Murid. Edisi Kedua. PTS Profesional Publications Sdn. Bhd. Kamarul Azmi Jasmi & Noor Fadhlina Nawawi. (2012). Model Guru Berkualiti Dari Perspektif Tokoh Pendidikan Islam & Barat. Seminar Antarabangsa Perguruan dan Pendidikan Islam [SEAPPI2012] (International Seminar on Teacher and Islamic Education [SEAPPI2012]). Muhammad Faizal A. Ghani & Abd. Khalil Adnan. (2015). Model Program Perkembangan Profesionalisme Guru Malaysia: Satu Kajian Analisis Keperluan di Sekolah Berprestasi Tinggi dan Sekolah Berprestasi Rendah. Universiti Malaya. Jurnal Kepimpinan Pendidikan. Nasrul Hisyam Nor Muhamad & Zarina A. Rashid. (2017). Peraturan dan Undang-undang Kawalan Disiplin Murid di Malaysia. Attarbawiy: Malaysian Online Journal of Education Vol. 1, No.1 (2017). Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying dan Wong Kiet Wah. (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru (Siri Pendidikan Guru). Kuala Lumpur: Fajar Bakti. Nur Angriani Binti Nurja, Mohd Zulhasnan Bin Mat & Chang Vui Seng, Wilson. (2017). Tahap Kesediaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Dalam Kalangan Pelajar Semester Akhir Kolej Komuniti Tawau. Politeknik & Kolej Komuniti Journal of Life Long Learning, Vol. 1, No. 1, 2017 eISSN 2600-7738 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003. Kuasa Guru Merotan Murid. Kementerian Pelajaran Malaysia. Diakses pada 20 Mac 2019 di http://www.jpnns.gov.my/hebahan /muatturun.php?uid= jpnns_56baab74b9630 Syed Ismail & Ahmad Subki. (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional. Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Related Documents


More Documents from "Nur Sakinah Wahab"