PENGARUH GAYA DAN WIRA DALAM SENI TAMPAK BAHAGIAN I Dalam menilai kembali hasil lukisan yang telah siap, perbincangan dapat diteruskan bagi mencari kesinambungan idea dan gagasan. Usaha ini boleh membantu semua pihak untuk kembali menyegarkan nilai apresiasi maupun kritikan. Antara hipotesis kritikan seni yang disarankan oleh Edmund Burke Feldman dalam buku beliau, ‘Practical Art Criticism’ (1994:33) antaranya; apabila sesebuah hasil lukisan atau sebarang karya seni tampak selesai disempurnakan sama ada sebelum atau selepas pameran, persoalan yang ditimbulkan apakah yang boleh menjadi tarikan dalam karya tersebut? Apakah yang boleh dirasai dari karya tersebut? Persoalan-persoalan ini mencabar artis untuk melakukan sesuatu yang lebih kreatif. Kreativiti meletakkan tahap, sejauhmanakah kepekaan yang ada di sekeliling dapat digunakan bagi menonjolkan daya tarikan dan menyentuh rasa seni di mata khalayak? Persoalan ini menyedarkan artis untuk persiapan bagi menghasilkan karya-karya akan datang. Persoalan ini juga boleh dijadikan kayu ukur bagi artis mendapatkan respon daripada khalayak hasil dari pameran yang sudah berlangsung.
Apabila menilai kembali dua persoalan di atas iaitu daya tarikan dan apakah yang dapat dirasai dari karya tersebut, dua isu ini boleh dikaitkan dengan beberapa perkara lain. Selain pengalaman seni, kualiti keyakinan, ada perkara lain iaitu mutu pencapaian teknikal dalam penggunaan bahan dan akhirnya yang penting iaitu gaya yang dibawa oleh artis. M uka Surat 1
Kenapa gaya itu dianggap lebih penting? Jawapannya kerana aspek teknikal dan penggunaan bahan mendahului di peringkat awal berkarya dan manipulasi boleh terjadi melalui keterikutan pengaruh artis-artis yang mendahului teknik dan bahan itu. Akhirnya gaya menyempurnakan keseluruhan, melengkapi pakej imej, identiti dan penonjolan seseorang artis itu secara berperingkat bagi menjadikan sesuatu karya itu ada kesan tarikan yang dapat dirasaikan oleh “jauhari yang mengenal manikam”
Gaya boleh ditiru tetapi tidak menyerupai yang asal dari pelopornya. Dari gaya juga lahirnya pengikut, pergerakan, ideologi, isme dan akhirnya gaya juga mengegarkan perkembangan seni tampak.
Setiap gaya yang dilahirkan oleh ramai artis melalui satu penglibatan yang bersambungan, melibatkan perkembangan perwatakan. Memetik kata-kata Sulaiman Esa dalam kritikannya mengenai pameran “Pelukis-pelukis Muda Sezaman 1974”, beliau mengambil contoh penglibatan pelukis Dzulkifli Dahlan; Penglibatan Dzulkifli Dahlan sejak 3 tahun yang lalu adalah pada saya satu penglibatan yang bersambungan dan amat menyegarkan sekali. Terdapat satu pergerakan yang lambat, tetapi yang lebih tetap dan ia akan membawa ke arah perkembangan perwatakan seniman. Penglibatan Dzulkifli dalam esel-painting dan imej-imej personal yang ditonjolkan itu nampaknya mencabar semua yang selalu mengulang-ulangkan klise-klise bahawa lukisan sudah mati! (1999:119) Muka Surat 2
Mohon kebenaran memetik sebahagian perenggan dari Imbasan Bakat Muda Sezaman 19741997. Disumbang oleh para penulis Syed Ahmad Jamal, Sulaiman Esa, Zainal Abidin Ahmad Shariff, Redza Piyadasa. Terbitan Balai Seni Lukis Negara1999. ISBN 983-9572-29
Menurut pandangan Sulaiman Esa segala rentetan dan penglibatan yang dilalui oleh artis sepanjang berkarya akan menempuh ketegangan, menjadi serius dan mematangkan artis untuk meneruskan kelangsungan keyakinan dalam pegangan artistik. Semua rentetan itu adalah masalah yang tidak akan datang sekiranya pelukis tidak membenarkan satu masa yang cukup untuk mereka bergelut dengan masalah itu.
Apabila memperkatakan gaya atau stail akan dikaitkan dengan perasaan artis yang inginkan kebebasan diluahkan sepenuhnya. Gaya boleh menjadikan artis itu seorang wira. Keadaan seperti ini pernah berlaku apabila seorang artis atau sekumpulan artis yang mendapat taraf wira apabila mereka menentang kebiasaan dan konvensi dan terus berjuang untuk mencipta satu stail seni yang baru. Perjuangan menegakkan gaya dalam hasil seni tampak boleh dilihat sebagai suatu asas pegangan yang berbalik pada lumrah. Seni secara lumrahnya adalah curahan hati, cantuman akal dan budi, ia perlu berdiri sendiri dan curahan perasaan inilah dihebahkan kepada umum secara terbuka supaya masyarakat dapat berkongsi idea mereka dan inilah yang menimbulkan gagasan bahawa seorang artis itu diangkat menjadi seorang wira dengan gaya tersendiri. Muka Surat 3
Hasil gayanya unik, bukan tempelan, bukan berpura-pura, bukan bermusim yang kemuncaknya “jauhari” yang mengenal sama ada gayanya asli atau palsu.
Sebenarnya dalam memperkatakan perihal gaya dalam seni tampak, tiada sebarang doktrin yang tetap dalam setiap aliran yang dikaji. Kebenaran fahaman doktrin berada dalam diri seseorang itu. Realiti pengenalan diri bukan berada di alam nyata, terawang-awang bersama fantasi yang logik tetapi terletak dalam diri seseorang itu bagaimana untuk menghasilkan lukisan dan kehidupan. Walaupun terdapat persamaan bentuk dan teknik, artis dengan sikap individu yang timbul dari perasaan sayang diri boleh menghasilkan karya yang berlainan. Dengan tiada kongkongan, artis lebih bebas untuk menggunakan bahan dan teknik, isi kandungan mungkin pelbagai seperti menggambarkan peristiwa sejarah, figura, alam benda dan juga perkembangan genre moden pada masa itu bersama daya imiginasi mimpi dalam catan.
Perasaan sayang diri ini sebenarnya timbul daripada pengalaman hidup seseorang dan pegangannya terhadap satu-satu falsafah hidup yang dengan beraninya meluahkan mengikut isi hati, maka terhasillah pelbagai gaya yang dilihat sama tetapi tidak serupa. Dari gaya itu ada artis yang rebah dan ada yang bangkit menjadi wira sepanjang zaman.
Muka Surat 4
Gaya lukisan Abstrak Ekspresionisme dalam karya ini menarik tumpuan pemerhati pada mainan warna yang memberi kesan ekspresif kepada minda, emosi dan psikologi. Bahasa visual yang tersirat itu mengajak minda audien mentafsir dari persepsi dan perspektif yang meluas. Gaya ini mengangkat peribadi seniman yang bebas dan spontan bermain warna dalam komposisi yang tidak terikat. Secara langsung imej dan identiti yang tersendiri dan unik itu menjadi salutan rasmi seniman dalam gayanya sebagai perjuangan dalam seni tampak. Sharifah Fatimah Zubir. Tajuk : Senjakala 3 Bahan : Akrilik Tahun : 1997 Saiz : 38 cm x 29 cm
Muka Surat 5
Mohon keizinan memperagakan karya di atas bertujuan menceliksenikan masyarakat dan memartabatkan karya dan senimannya sebagai khazanah budaya bangsa. Karya di atas dipetik dari Alam, Seni dan Perjalanan 1997. Penyelaras Penerbitan: Baha Zain, Dr. Zakaria Ali, Nur Hanim Khairuddinn, Sharifah Zuriah Aljeffri, Rosihan Juara. Diterbitkan oleh: Yayasan Kesenian Perak, Tingkat 3, Wisma Yayasan Perak, No. 111, Jalan Sultan Idris Shah, 30000 Ipoh, Perak. No. ISBN: 983-101-005-1 BAHAGIAN II Dalam perbincangan Bahagian II, berhubung pengaruh gaya dalam seni tampak fokus pada zaman Romantisme. Gaya yang begitu kuat pengaruhnya dalam seni lukis ketika zaman Romantisme telah menjadikan perasaan sayang diri itu kadangkala tarafnya ditingkatkan menjadi wira. Status wira itu dimiliki dengan perjuangan mengangkat martabat seni dan seniman yang meneruskan reformasi gaya dalam seni lukis dianggap wira mengatasi zaman. Tarafnya meningkat menjadi wira yang menentang kebiasaan konvensi sehingga tercipta satu stail seni yang baru. Romantisme jauh terkeluar daripada masa dan ruang. Di England, Perancis, Jerman dan Amerima, benih Romantisme telah ditanam pada abad ke-18. Tekanan yang kuat dalam perasaan perseorangan terbukti dalam karya-karya seperti novel, catan dan muzik. Aliran Romantisme pada abad ke-18 memperjuangkan persamaan hak, kebebasan berfikir dan kebebasan hidup manusia daripada kongkongan undang-undang yang melampau. Romantisme mengatakan bahawa seni harus dapat menimbulkan emosi, merangsang minda dan penentangan terhadap nilai konvensi perlu diubah supaya tidak statik. Bentuk-bentuk seni yang umum telah dipinjam dari arca Greco-Roman perlu diubahsuai. Penentangan pada warna sebagai gerakan ekspresif adalah tentangan terhadap kuasa. Romantisme merasakan bahawa suatu kemestian untuk seniman berfikir dan bertindak melebihi sempadan idea logikal. Revolusi Perancis telah menunjukkan kuasa yang keterlaluan dan peluang yang penting ini digunakan dalam perjuangan seni bagi melawan pengaruh kekuasaan yang melampau.
Muka Surat 6
Estetika Romantisme ialah pemberontakan terhadap kongkongan peraturan dan undang-undang yang melampau dan tidak relevan dengan keadaan semasa. Seniman mulai berkarya dengan gambaran realiti mengikut kehendak hati yang timbul dari perasaan sayangkan diri. Mereka berpendapat seni mesti bebas tanpa kongkongan. Mereka merintis jalan baru ke arah estetika baru, rasa baru dan idea baru. Mereka membuat interpretasi yang baru dan sindiran diluahkan dalam karya terhadap kejadian semasa. Demi sayangkan diri dan sayangkan orang lain, suatu perubahan dalam gaya patut diperjuangkan. Seniman Romantisme memandang seseorang individu itu sebagai insan yang bertanggungjawab untuk menentukan nasib untungnya sendiri. Perasaan sayang diri itu dijadikan pedoman untuk meluahkan rasa hati yang terpendam. Tidak ada lagi ikatan dengan teknik-teknik tertentu atau memenuhi kehendak pemimpin tertentu atau patron yang mengawal nilai dan mutu seni. Seni adalah curahan hati, cantuman akal dan budi yang perlu berdiri sendiri. Menghebahkan idea secara terbuka kepada umum supaya masyarakat dapat berkongsi dan gagasan ini telah mengangkat seorang seniman itu sebagai wira. Karya Delacroix “Liberty Leading the People” pada tahun 1830 adalah contoh suasana yang menuntut kebebasan. Figura seorang wanita yang memegang bendera dan memimpin orang lain dalam satu pemberontakan. Watak-watak yang dilukis merangkumi semua lapisan masyarakat. Figura wanita, budak, golongan pekerja termasuk puak borjuis. Imej yang tersirat dalam karya Delacroix ingin melepaskan ketidakpuasan terhadap sesuatu. Mungkin kongkongan tradisi atau suatu luahan perasaan yang takut kepada suasana revolusi.
Muka Surat 7
Karya Eugene Delacroix Tajuk: Liberty Leading the People Tahun: 1830 (28 Julai 1830) Bahan: Cat Minyak atas kanvas
Figura wanita dilihat sebagat watak memimpin diletakkan pada titik fokus, melambangkan diri yang inginkan kebebasan. Watak wanita bertentangan dengan sifat kelakian. Niat tersirat Delacroix untuk menunjukkan bahawa yang lemah itu sebenarnya adalah kuat. Watak budak yang memegang pistol sebagai lambang seorang rakyat biasa yang lemah dan tidak matang, dipergunakan oleh pihak berkuasa. Golongan borjuis turut serta dalam pemberontakan untuk menyokong golongan bawahan sebagai gambaran iaitu bukan semua puak borjuis itu penindas dan jahat. Delacroix menggunakan warna-warna terang dan kesan berus yang jelas untuk menimbulkan mood sebagai ekspresif emosi bagi membebaskan diri dari kongkongan peraturan, akta dan undang-undang zalim.
Muka Surat 8
Dalam karya beliau seterusnya, “The Death of Sardanapalus” hasilan tahun 1827 menunjukan watak gundik-gundik yang dibunuh setelah nafsu dipenuhi bagi tujuan mengheret emosi geram, marah pemerhati untuk turut merasai simpati. Kemungkinan ini menunjukkan perasaan yang terpendam di hati Delacroix sendiri. Secara bebasnya Delacroix meluahkan segala emosi melalui karyakaryanya yang menjadi satu stail baru dan idea baru baginya untuk keluar dari karya-karya yang terikat dengan konvensi.
Karya Eugene Delacroix Tajuk: The Death of Sardanapalus Tahun: 1827 Bahan: Cat minyak atas kanvas
Muka Surat 9
KESIMPULAN Sesungguhnya reformasi gaya dalam seni tampak membuka minda masyarakat. Reformasi itu dalam bahasa seni tampak tidak seharusnya ada kongkongan yang menjadikan artis dan khalayak beku mindanya dan menjadi pak turut sepanjang zaman. Aturan dan asas-asas seni itu disemai pada peringkat akademik dan menjadi panduan sahaja tetapi tidak seharusnya menjadi hukum dan sesudah itu asas-asas ini disuburkan melalui daya kreativiti artis. Ketika ini akan lahir gaya masing-masing dan menjadi corak baru. Segalanya bermula dari sayangkan diri, sama ada artis itu menyuburkan asasasas seni mengikut acuannya sendiri dengan berjiwa bebas atau terkongkong minda dan perlakuannya akibat hilang rasa sayang diri.
Muka Surat 10