Mengapakah Pelukis Melukis

  • Uploaded by: Mohamed Noor bin Othman
  • 0
  • 0
  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Mengapakah Pelukis Melukis as PDF for free.

More details

  • Words: 1,080
  • Pages: 4
MENGAPAKAH PELUKIS MELUKIS? Dengan telunjuk menunding bintang di langit, suasana pandangan yang luas dan cantik, begitu juga dengan seni yang dapat menyatakan banyak perkara dan dipersembahkan menerusi berbagai cara. Komentar dalam seni dapat mencadangkan sesuatu kejadian dalam bahasa seni visual yang dapat diterima secara sejagat menjangkau sempadan geografi dan sejarah ketamadunan manusia. Penuturan bahasa seni visual yang sama maknanya untuk semua orang membuka peluang untuk pelukis terus melukis. Sebelum manusia mengenali huruf dan tulisan, hasilan lukisan berbentuk ukiran mendahului fungsinya dalam hubungan sesama manusia. Konsep-konsep kehidupan dilukis pada dinding gua dan tersimpan sebagai artifak sejarah yang mendahului 20,000 tahun dahulu. Ini menjelaskan manusia berkemahuan untuk berkomunikasi menerusi imej dan simbol-simbol yang boleh dilukis dan difahami. Ini membuktikan aktiviti seni itu berfungsi luas dan penting dalam kehidupan awal manusia. Ketika itu lukisan dihasilkan untuk menyempurnakan bentuk-bentuk sebagai lambang komunikasi dan berkembang sebagai suatu proses kreativiti yang peka pada keharmonian bentuk dalam bentuk dan bentuk antara bentuk. Apakah yang dapat dijelaskan oleh pelukis dalam lukisan mereka? Ia dapat menyatakan suatu aspirasi dan amalan dari ketamadunan lampau. Seni dapat menjelaskan ketamadunan dan menggambarkan bukti kehidupan dalam pemikiran manusia. Hasil seni dirujuk dan dapat memberitahu khalayak kehidupan manusia, keagamaan, kematian dan kelahiran manusia dalam masyarakat. Dari abad ke-17 hingga abad ke-19, pengkritik seni Barat dan sejarawan seni bersependapat meletakkan lukisan di tahap tinggi berbanding secara relatif dengan cabang-cabang seni yang lain. Sejarah memungkinkan kecemerlangan lukisan adalah berdasarkan cabaran mengeksploitasikan imaginasi manusia yang dirakam dan disalin semula untuk membawa kebenaran dalam kehidupan. Kekayaan imaginasi yang ada dapat dihasilkan oleh pelukis sehingga ke tahap serupa, hidup dan menjadi realiti dalam kehidupan, budaya dan aturan hidup. Ramai seniman agung memberi perhatian dalam mengangkat imej imaginasi dalam lukisan mereka dan telah berjaya menghasilkan banyak karya-karya agung umpamanya Rembrant. Sebagai seorang pelukis, Rembrant banyak mengkaji ciri-ciri dramatik cahaya dan bentuk bersama pergerakan yang menonjolkan jalinan dan warna. Ketika zaman awal lukisan berkembang dan mencapai tahap kegemilangan, pelukis melukis kerana ingin menyerlahkan kisah-kisah epik klasik untuk dipadankan dalam kehidupan bermasyarakat.

Bukti-bukti yang jelas telah ditunjukkan pada abad ke-18 oleh seniman Perancis iaitu Chardin dengan penghasilan lukisan yang menakjubkan dengan membawa kesan hidup, seolah bernyawa pada setiap objek alam yang dilukis. Warna yang beliau gunakan kaya dengan campuran dan adunan dari asal kepada yang baharu hingga membangkitkan jalinan, menampilkan jiwa kerohanian dan punya makna dalaman. Di akhir abad ke-19, pelukis-pelukis beraliran Impresionisme telah menonjolkan keaslian alam, hidup dan bernyawa yang meninggalkan kesan pengamatan mendalam kepada pemerhati. Objek-objek seperti flora diberi fokus yang unik, menampakkan keaslian yang tulen dan bukannya suatu pembohongan. Adakah ini jawapan kenapa pelukis perlu melukis. Ia dikaji dan diilustrasikan mengikut keadaan asal supaya nampak hidup dan asli. Seniman Odilon Redon menghasilkan simbol-simbol yang berobjektifkan bentuk aneh dan kasih sayang bagi menyatakan sesuatu kepada pemerhatian bahawa hidup ini akan musnah tanpa kasih sayang. Manakala Cezanne berjaya menampilkan ideanya dalam lukisan menerusi penyelidikan. Raphaelle pula cuba mengenengahkan kekayaan dan kemewahan warna melalui kekuatan kesan cahaya yang kemudiannya menjadi aspirasi kebangkitan aliran Kubisme. Apabila ramai pelukis mulai memikirkan setiap objek yang terdapat pada alam semulajadi ini perlu dihidupkan dan dikembalikan dalam lukisan maka usaha ini digambarkan semula. Penggambaran semula ini adalah suatu realiti. Kesedaran ini membawa makna tersendiri jika tidak ia dilupai sebagai suatu yang berharga dalam seni. Pelukis yang terus melukis akhirnya mulai sedar bahawa setiap sifat dan bentuk pada alam semulajadi ini harus dibangkitkan semula secara realiti, benar dan asli. Setiap kebenaran, keaslian perlu menjadi realiti dalam kehidupan. Penggiat seni tampak Sharifah Zuriah Aljeffri telah mengingatkan kita bahawa, “Seniman juga seorang manusia, mereka mempunyai tanggungjawab bukan sahaja untuk melukis lukisan yang cantik tetapi juga menceritakan kesengsaraan dan keperitan sesama manusia. Kita tidak boleh mempersoalkan seniman yang sememangnya memilih untuk memperjuangkan keadilan dan hak kemanusiaan kerana seni rupa mempunyai peranan yang penting dalam masyarakat” (Sumber : Sharifah Zuriah Aljeffri “Merpati Putih Terbang Lagi” dalam Seni dan Budaya Pada Alaf Baru, Festival Pekan Seni Ipoh IV. Berlangsung pada 30 Oktober hingga 13 November 1999. Terbitan Yayasan Kesenian Perak 1999.) Mohon keizinan memetik sebahagian kata-kata di atas bertujuan menyemarakkan seni tampak tanah air dan mengangkat martabat seniman tanah air.

Ada pelukis yang melukis mengikut alasan tertentu. Ada yang mengkaji, menyelidik, mendedahkan sesuatu struktur dalam figura manusia supaya lukisannya mengajak pemerhati memberi perhatian. Secara telitinya ada pemerhati yang akan berfikir dan membuat tafsiran pada kedudukan figura itu dan kerehatan figura yang boleh memberi makna berguna bagi dikaitkan dalam kehidupan sebenar. Hal ini telah mendedahkan pemerhati pada makna-makna tersendiri, nilai moral di sebalik cara duduk, cara makan dan cara tidur dalam masyarakat setempat dan ada yang memerhati bayang-bayang sehingga pada cahaya yang tersembunyi. Pelukis yang melukis dan dapat mencipta sesuatu dari makna yang sebenar secara langsung telah membantu menceliksenikan masyarakat. Secara rendah diri bukan sekadar melukis untuk santapan minda tetapi seimbang untuk santapan rohani yang membawa seni itu menyedarkan masyarakat. Ada peranan tertentu antara pelukis dan masyarakat menjadikan pelukis yang melukis memikirkan isu-isu dalam masyarakat dan hal-hal lain untuk dipenuhi oleh jiwanya sendiri. Untuk disempurnakan keperluan peribadinya sendiri, untuk mengisi perut yang lapar, menyuap mulut-mulut yang ternganga atau semata-mata hobi yang perlu ditunaikan. Kekuatan, kepandaian dan bakat menjadikan pelukis akan terus melukis sebagai suatu kerja mulia, kerja berstatus dan hasil yang dilukis itu dikenang orang. Apabila sampai ke suatu tahap pelukis yang melukis itu bukan sebagai main-main kerana ia dihasilkan dengan nilai tersendiri. Apabila rasa rendah diri dan tunduk kepada kehendak jiwa yang menjadi hamba kepada Pencipta yang Esa maka hasil yang dilukis itu bernilai dengan nilai yang asli, dengan tahap usia, ilmu, pengalaman, kemahiran yang tak perlu lagi dijelaskan akan terlihat sendiri pelukis yang melukis itu menzahirkan keasliannya yang tersendiri. Ketika ini teringat kita kepada seorang pelukis tersohor Indonesia yang kembali ke pangkuan Ilahi iaitu seniman Affandi dengan hasilnya lebih dari 2,000 karya telah menyatakan bahawa, “Saya seorang pelukis kerbau, pelukis bodoh kerana kerbau dianggap haiwan bodoh”. Pelukis yang mengelarkan dirinya seperti kerbau ini mempunyai sifat kesungguhan dalam melukis dan melukis tanpa terikat pada musim dan pameran. Beliau berpendapat melukis adalah bekerja dan beliau melukis seperti orang lapar dan mengelarkan dirinya sendiri sebagai seorang “tukang gambar” dan tidak mahu digelar seniman. Secara rutin hidup beliau melukis dan tidak menghambakan diri untuk seni. Hinggakan kalau anak sakit, beliau akan berhenti melukis. Hasil kegigihannya melukis tanpa diminta dan diharap, kerajaan Indonesia telah mengabadikan karya-karya beliau di

dalam muzium khas dibina dan diberi nama Muzium Affandi. Pada saat ajalnya tiba, Mei 1990, beliau tetap melukis. Mengapa pelukis perlu melukis…mengundang maksud dan tujuan tersendiri yang perlu menjadi rahsia diri atau perlu diabadikan untuk dikenang pada masa depan.

Related Documents


More Documents from ""