FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU JXEA 1104 NAMA : ROZI IKHWANIDA BINTI CHUAN NO. MATRIK : JEA 080175 NAMA PENSYARAH : DR. AMRAN MUHAMMAD
SESI 2008/2009 SEMESTER 1 AKADEMI PENGAJIAN MELAYU UNIVERSITI MALAYA
HIKAYAT RAJA DONAN
Hikayat Raja Donan adalah merupakan sebuah cerita rakyat yang dituturkan oleh Esah binti Muhammad Akil. Hikayat ini mengisahkan tentang pengembaraan beberapa orang raja. Dalam Hikayat ini juga dimuatkan tentang kegagahan raja-rajanya dalam menentang pihak musuh serta beberapa adegan perbalahan di antara adik-beradik. Bukan itu sahaja, setiap watak raja dalam hikayat ini juga diberikan kuasa kesaktian untuk meningkatkan lagi darjat raja tersebut di mata rakyatnya. Selain itu, dengan adanya pemberian kuasa tersebut, ia dapat membezakan antara raja dengan rakyat apabila pembaca membaca hikayat ini. Di samping itu, puteri yang digambarkan dalam hikayat ini juga diberikan keistimewaan yang tidak terhingga, iaitu memiliki wajah yang cantik dan tiada tolok bandingnya.
Di dalam hikayat ini, terdapat beberapa orang watak raja, iaitu seperti Raja Diu, Raja Bongsu Dondang Adek, Raja Besar, Raja Madong Bongsu, dan yang seterusnya ialah Raja Donan. Dalam hikayat yang dituturkan oleh Esah binti Muhammad Akil ini, pada permulaan ceritanya, ia berkisarkan tentang moyang Raja Donan, iaitu Raja Diu yang telah berkahwin dengan Puteri Gedung Batu. Selama usia perkahwinan mereka, iaitu selama tujuh tahun mereka hanya dikurniakan anak perempuan seramai tujuh orang. Disebabkan oleh hal demikian Raja Diu berasa sangat sedih dan berdukacita kerana tidak dikurniakan anak lelaki. Tetapi pada suatu malam Raja Diu ini telah bermimpi yang dia akan mendapat seorang anak lelaki tetapi anak tersebut diperolehi dalam perut ular. Anak lelaki tersebut telah diberi nama Raja Bongsu Dondang Adek.
Manakala pada pertengahan ceritanya pula, ia mengisahkan tentang kelahiran anak Raja Bongsu Dondang Adek, iaitu Raja Besar dan Raja Madong Bongsu. Di pertengahan cerita inilah berlakunya perbalahan di antara Raja Besar dan Raja Madong Bongsu. Dalam pertengahan cerita ini juga turut dimuatkan tentang peristiwa aneh yang berlaku sewaktu kelahiran dan peristiwa yang berlaku sehingga mengakibatkan Raja Donan dibuang negeri oleh
ayahnya, Raja Madong Bongsu.
Seterusnya ialah
penyudahan bagi cerita ini yang mengisahkan tentang kebahagian yang diperolehi oleh Raja Donan setelah mengharungi pelbagai rintangan seperti, terpaksa menyamar menjadi seorang budak yang buruk untuk mendapatkan cintanya terhadap Puteri Gandar Eran.
Falsafah sememangnya merupakan elemen yang berperanan penting dalam
masyarakat. Falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Selain itu, falsafah juga mempunyai beberapa ciri, antaranya ialah pemikiran yang tertuntas dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaranya.
Dalam Bab 1 Hikayat Raja Donan ini terdapat pelbagai falsafah yang terkandung di dalamnya yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu pada zaman moden ini ataupun pada zaman dahulu. Antara falsafah yang terkandung dalam hikayat ini ialah falsafah yang berpegang teguh dengan adat Melayu, iaitu seperti dalam adat mengekalkan jurai keturunan mereka agar tidak terputus begitu sahaja.
Malahan
generasi keturunan mereka akan berterusan hingga bila-bila. Hal ini dapat dilihat apabila ibu bapa akan berharap dalam keluarganya akan ada anak lelaki walaupun seorang. Melalui hal demikian ini dapat membuktikan bahawa anak lelaki sememangnya berperanan penting dalam sesebuah keluarga kerana ia merupakan penerus keturunan bagi keluarga tersebut.
Dalam Hikayat ini, Raja Diu sangat menginginkan anak lelaki di dalam keluarganya untuk meneruskan pemerintahannya ke atas kerajaan atau negerinya. sejak zaman dahulu lagi telah wujud adat yang menunjukkan bertapa pentingnya golongan lelaki di dalam sesebuah masyarakat. Antara adat tersebut ialah Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Kebanyakan Adat Temenggung dan Adat Perpatih ini diamalkan oleh beberapa negeri di Tanah Melayu. Antara negeri yang mengamalkan Adat Temenggung ialah Melaka. Manakala Adat Perpatih diamalkan oleh Negeri Sembilan.
Dalam kedua-dua adat ini, lelaki adalah merupakan individu yang memainkan peranan penting sebagai seorang ketua dalam masyarakat dan juga merupakan ketua dalam sesebuah keluarga. Walaupun dalam Adat Perpatih lebih mengutamakan wanita dalam segala hal tetapi lelaki tetap menjadi ketua pemerintah dan ketua keluarga. Oleh sebab itu, jelaslah bahawa golongan lelaki sememangnya merupakan satu elemen yang penting dalam menerajui sesebuah negeri ataupun kerajaan.
Selain itu, dalam hikayat ini juga ada mengatakan sekiranya seorang raja yang memerintah kerajaan atau negeri tersebut tidak mempunyai anak lelaki maka kerajaan atau negeri tersebut akan dirampas oleh orang. Bukan hanya sekadar kerajaan atau negerinya yang dirampas malahan permaisuri kerajaan itu juga akan ditawan. Disebabkan hal demikianlah Raja Diu berasa sangat takut apabila memikirkan tentang masalah yang dihadapinya itu.
Dalam masyarakat Melayu Klasik, anak lelaki adalah merupakan
anugerah yang paling berharga kepada mereka. Hal ini demikian kerana pada masa itu segala lelaki adalah merupakan pemangkin bagi sesebuah masyarakat agar dapat memajukan masyarakat tersebut.
Dalam Hikayat Raja Donan ini juga penulisnya menyatakan peranan lelaki adalah lebih besar jika dibandingkan dengan peranan perempuan hanya sekadar menjadi watak tambahan dalam cerita ini. Hal ini dapat dilihat melalui pengembaraan yang dilakukan oleh raja-raja pada zaman tersebut. Melalui pemgembaraan yang dijalankan raja tersebut akan berhadapan dengan pelbagai rintangan. Antara rintangannya adalah seperti usaha ia mendapat kekasih hatinya. Kebanyakan anak dalam cerita sebegini akan keluar mengembara untuk meluaskan kuasa jajahannya agar kerajaannya akan berada dalam keadaan yang kukuh serta terhindar segala malapetaka. Antaranya seperti di serang oleh pihak musuh yang ingin merebut tahta kerajaan.
Tambahan pula, dalam persepsi masyarakat Melayu golongan lelaki mempunyai kuasa dalam pelbagai aspek. Hal tersebut termasukah perkara berkaitan dengan aspek perkahwinan, pembahagian harta dan banyak lagi.
Sebagai contoh dalam aspek
pembahagian harta kebanyakan ibu bapa lebih mementing anak lelaki dalam aspek ini. Hal ini dapat di lihat apabila anak lelaki akan mendapatkan bahagian yang lebih banyak jika dibandingkan dengan anak perempuan. Disebabkan hal demikianlah, sehingga kini masih wujud lagi masyarakat yang mementingkan golongan lelaki dalam hal-hal tertentu.
Walaupun seperti yang kita lihat pada masa kini golongan lelaki semakin
berkurang di muka bumi ini.
Falsafah yang seterusnya ialah berkaitan dengan kegagahan dan kegigihan seseorang untuk mendapat sesuatu yang diinginkan. Hal ini dapat di lihat kebenarannya dalam Hikayat Raja Donan ini, iaitu melalui kegigihan seorang ayah untuk mendapat seorang anak lelaki walaupun bukan dari darah dagingnya sendiri dengan tujuan untuk mempertahankan pemerintahan kerajaannya. Dengan segala usaha yang dilakukannya itu, maka keinginannya termakbul juga. Walaupun pada mulanya dia menghadapi berbagai masalah dalam usaha merealisasikan hasratnya itu.
Dia berusaha keras untuk mendapatkan anak lelaki dengan bertujuan untuk menjamin keselamatan kerajaan dan isterinya daripada dirampas dan ditawan oleh orang lain. Malahan melalui usaha yang tidak mudah mengalah yang diterapkan oleh penutur dalam ceritanya ini akan dapat menarik minat para pembaca untuk membaca ceritanya ini. Dengan segala falsafah yang ditimbulkan akan dapat memberi inpirasi kepada para pembaca. Bukan itu sahaja, melalui penerapan ilmu falsafah yang dilakukan juga dapat merangsang minda pembaca untuk mendalami apa yang tersirat dalam cerita yang disampaikan oleh penutur tersebut.
Dalam setiap cerita rakyat yang dituturkan oleh penuturnya sememangnya telah diterapkan dengan unsur yang menunjukan kegigihan serta kegagahan para wataknya. Hal ini bertujuan untuk meninggikan lagi taraf watak tersebut dalam pandangan para pembaca. Dengan adanya penerapan ini, ia dapat membezakan watak yang terdapat dalam sesebuah cerita tersebut.
Secara kesimpulannya, falsafah memang merupakan elemen yang penting dalam sesebuah masyarakat bagi tujuan sebagai panduan atau pegangan apabila melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri, masyarakat, bangsa mahupun negara.
Oleh sebab itu, sesebuah masyarakat dapat dimajukan dan boleh
mencapai apa sahaja yang diingini. Dengan itu juga tokoh-tokoh falsafah yang muncul sejak dari dulu lagi sememangnya membawa pelbagai faedah kepada masa kini.
PETIKAN HIKAYAT RAJA DONAN : BAB 1 RAJA DIU DAPAT ANAK LAKI-LAKI
”Konon-nya pada masa suatu masa, pada hari suatu hari, zaman dahulu kala, ada sa-buah negeri bernama Gunong Gedong Batu. Raja-nya bernama Raja Diu, tersangat besar kerajaan-nya dan terlalu kuat kekuasaan-nya. Ada pun Raja Diu itu berkahwin dengan Puteri Gedung Batu. Sasudah sa-tahun lama-nya berkahwin, maka dapat-lah mereka sa-orang anak perempuan, dan sa-lepas tujoh tahun dapat tujoh orang anak perempuan. Maka sangat-lah berdukachita Raja Diu kerana tidak mendapat anak laki2. pada suatu hari berkata-lah ia kepada isteri-nya Siti Gedung Batu, ”Wahai adinda! Bagaimanakah iktiar kita hendak mendapat anak laki2? Jikalau ta’ ada anak laki2, Gunong Gedong Batu kelak akan di-ambil orang dan adinda pun akan di-tawan orang.” ”Sunggoh-lah kanda. Apa-tah daya kita? Hendak pun kita pergi kapada Nenek Batu Karang, dia boleh memberi kita anak jika kita belum beranak, tetapi ini kita sudah beranak. Jadi, Nenek Batu Karang tidak-lah dapat memberi kita anak laki2. Jikalau bagitu baik-lah kita berserah sahaja kapada tuhan.”
Bibliografi Awang Sariyan.2007.Falsafah dan Logika Melayu.Selangor: Synergate Sdn Bhd Hashim Musa.1998.Falsafah dan Logika Melayu.Kuala Lumpur:Akademi Pengajian Melayu Abbas Mohd.Shariff.2002.Budaya dan Falsafah Orang Melayu.Singapura:EDN Media Abdullah Muhammad.1977.Falsafah dan Pemikiran Orang Melayu Hubungan dengan Islam dan Kesenian.Alor Star:Bengkel Kepimpinan dan Pengajian Kebudayaan Mohd.Hazim Shah.1997.Pemikiran Melayu Ditinjau dari Aspek Falsafah dan Rasionaliti.Kuala Lumpur:Forum Universiti Malaya-Universiti Sumatera Utara