Satu model penilaian keberkesanan sekolah yang telah dipilih dan dilihat bersesuaian dengan konteks sistem pendidikan di Malaysia ialah Model Proses (Process Model). Model Proses merupakan satu model yang menekankan konsep fungsi dalaman sekolah yang lancar dan sihat seterusnya dapat memberikan impak kepada keberkesanan sesebuah sekolah. Model ini sesuai digunakan sebagai model penilaian keberkesanan sekolah memandangkan dalam bidang pendidikan khususnya di sesebuah sekolah, kualiti sesuatu proses yang melibatkan fungsi dalaman ini dilihat banyak mempengaruhi dan menentukan pencapaian hasil atau “output”. Syarat utama bagi perlaksanaan model ini dalam menilai keberkesanan sekolah ialah perlunya ada hubungan yang jelas antara proses dan juga hasil. Proses yang berlaku adalah transformasi “input” sekolah ditukarkan kepada “output”. Terdapat dua indikator penilaian bagi
Model Proses ini iaitu yang melibatkan proses
pengurusan dan juga proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Bagi proses pengurusan, indikator dalam menilai keberkesanan sekolah ini adalah seperti faktor kepemimpinan dan komunikasi, Manakala bagi proses PdP pula melibatkan faktor kaedah mengajar, pengurusan kelas dan strategi pembelajaran. Kedua-dua indikator yang dinilai berasaskan Model Proses dari aspek proses pengurusan dan juga proses PdP ini mempunyai perkaitan kerana pengurusan yang sistematik akan memberi impak kepada penghasilan PdP guru yang berkesan. Kekuatan Model Proses ini dapat dilihat dari aspek keupayaannya menilai keberkesanan sekolah berasaskan proses yang dilaksanakan di sekolah khususnya dalam pengurusan pentadbiran dan juga perlaksanaan aktiviti dan program untuk menghasilkan PdP yang cemerlang yang seterusnya dapat menghasilkan “output” dan juga “outcome” yang diinginkan iaitu sekolah yang berkesan. Penilaian berasaskan model ini juga dapat dijalankan secara menyeluruh memandangkan indikator bagi model ini meliputi kedua-dua bidang pengurusan dan juga pengajaran guru. Oleh yang demikian, model ini turut memberikan kelebihan dalam penilaian keberkesanan sekolah kerana ia turut merangkumi pelbagai
aktiviti dan program yang merupakan proses transformasi pelbagai input kepada output sekaligus menentukan tahap keberkesanan sekolah tersebut. Model ini juga sesuai untuk diaplikasikan dalam menilai keberkesanan sekolah memandangkan setiap indikator yang terkandung didalamnya mampu menunjukkan setiap “input” atau ciri-ciri sekolah berkesan yang mengalami proses tertentu dalam mencapai matlamat sekolah. Ini penting kerana setiap program atau aktiviti yang dilakukan hendaklah berlaku secara tersusun dan terancang khususnya di bahagian proses perlaksanaan yang baik agar dapat menghasilkan “output”yang berkualiti dalam usaha menjadikan sesebuah sekolah berkesan. Dalam bidang pengurusan umpamanya, kepimpinan profesional seseorang guru besar menjadi faktor utama kepada proses pentadbiran yang efektif di sekolah. Kepimpinan professional guru besar merupakan faktor utama yang menyumbang kepada keberkesanan sekolah sekaligus berupaya menjadi indikator dalam penilaian keberkesanan sekolah itu sendiri. Hal ini dapat dilihat dengan jelas berasaskan kepada Model Proses yang memfokuskan kepada proses pengurusan dari aspek pentadbiran dimana ia turut merangkumi pelbagai ciri kepimpinan yang seterusnya dapat dikaitkan dengan penghasilan sekolah-sekolah yang berjaya. Sekiranya ciri-ciri pemimpin yang profesional seperti ketegasan dan bermatlamat, serta berktrampilan telah diterapkan dalam proses pentadbiran sekolah oleh guru besar, maka output yang terhasil pastinya menunjukkan pemupukan tahap disiplin yang jitu dalam kalangan guru,staf sokongan dan murid. Hasilnya dapat dilihat apabila persekitaran dan suasana sekolah yang aman dan selesa untuk semua warga sekolah. Ciri yang ada pada Guru Besar sebagai ketua kepada kepada semua warga di sekolah yang bermatlamat turut memainkan peranan dalam proses mengurus sebuah organisasi dengan bersikap proaktif dalam mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Dalam proses ini, Guru Besar berperanan menjadi penggerak kepada sesebuah sekolah serta mampu bersikap fleksibel dan dalam masa yang
sama mempunyai daya tumpuan yang tinggi dapat menghasilkan satu organisasi yang positif dalam pelbagai situasi. Proses pengurusan di sekolah juga turut melibatkan faktor komunikasi antara pihak pentadbir dengan warga sekolah. Sebagai contoh, Guru Besar yang maklum tentang masalah peribadi seseorang guru di bawah organisasinya berusaha sedaya upaya untuk mendengar dan menerima pandangan guru dan pihak pentadbir yang lain agar masalah guru berkenaan dapat diselesaikan dengan baik. Hasilnya, guru tidak berasa tertekan dengan pihak pentadbiran yang mudah dibawa berbincang seterusnya membantu proses pengajaran guru agar dapat berjalan dengan lancar. Justeru itu, ia mampu memberikan suasana yang selesa untuk guru tersebut terus bekerja di bawah pentadbiran Guru Besar yang mengamalkan sikap toleransi semasa menjalankan tugas. Bagi faktor proses pengajaran guru pula, Model Proses dapat diaplikasikan dalam menilai keberkesanan sekolah terutamanya semasa guru menjalankan PdP sama ada di dalam mahupun di luar kelas. Pengajaran guru yang meliputi proses perancangan, perlaksanaan dan di peringkat “output”nya iaitu hasil pembelajaran yang diperolehi murid jelas menunjukkan bahawa guru berusaha menjana input dari segi sumber PdP, kaedah dan strategi pengajaran yang bersesuaian dengan tahap murid serta pengurusan kelas dalam memastikan setiap proses pengajaran memberikan impak kepada peningkatan kemahiran dan pencapaian murid yang boleh dijadikan sebagai indikator bagi menilai keberkesanan sekolah. Selain itu penilaian keberkesanan sekolah jelas dapat dijalankan berdasarkan model ini memandangkan proses pengajaran tidak hanya tertumpu kepada hasil output berbentuk pencapaian murid sahaja malah turut merangkumi sikap murid , konsep kendiri serta keadaan disiplin mereka sepanjang proses perlaksanaan pengajaran guru ini. Oleh yang demikian, ini membuktikan proses juga boleh diambil kira dalam mengukur keberkesanan sama ada dari aspek pentadbiran mahupun pengajaran guru. Hal ini adalah kerana, keberkesanan sekolah turut dapat diukur berdasarkan kepada
peningkatan pencapaian, kepuasan guru di sekolah serta iklim sekolah secara keseluruhannya yang menunjukkan perubahan dari masa ke semasa. Model ini sesuai untuk diaplikasikan dalam menilai keberkesanan sekolah kerana dapat dilihat berdasarkan kepada ciri-ciri atau input yang wujud di sekolah. Berdasarkan input ini, pelbagai proses yang merangkumi aktiviti dan program sekolah dapat dinilai keberkesanannya apabila output yang dihasilkan menunjukkan peningkatan atau sebaliknya. Input ini melibatkan guru dan murid yang difokuskan kepada kemahiran belajar tentang sesuatu perkara. Sebagai contoh, di Malaysia, kurikulum yang diwujudkan sememangnya menekankan tentang kepelbagaian aktiviti yang boleh dijalankan semasa proses PdP yang sememangnya berguna untuk kehidupan murid pada masa akan datang. Proses pengajaran secara kumpulan yang menggalakkan interaksi sosial murid menjadikan murid lebih berani berdepan dengan situasi yang mencabar di luar sekolah. Ia juga sesuai dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia yang sentiasa menekankan tentang aspek perancangan dan proses perlaksanaan sesuatu program di sekolah. Aspek perancangan dan proses ini difokuskan kerana hasil yang berlaku terkesan daripada setiap perancangan dan proses perlaksanaan sesuatu aktiviti atau program. Oleh yang demikian guru menjadi lebih proaktif dalam memilih isi kandungan kurikulum yang bersesuaian dengan latar belakang murid dari segi kriteria dan tidak terlalu bergantung kepada objektif pembelajaran semata-mata. Melalui cara ini, guru dapat merancang aktiviti PdP yang secara tidak langsung dapat menghasilkan murid yang aktif semasa proses pengajaran. Model ini juga bersesuaian dengan sistem pendidikan di Malaysia yang turut menumpukan kepada penilaian kendiri oleh guru dimana segala kekuatan dan kelemahan semasa proses perlaksanaan aktiviti diambil kira dan dilihat secara detail oleh guru. Penilaian kendiri selepas pengajaran misalnya boleh dikategorikan sebagai output yang dihasilkan dapat menunjukkan tahap keberkesanan sesuatu aktiviti sekaligus guru dapat merencanakan tindakan atau intervensi untuk aktiviti seterusnya.
Walaubagaimanapun, Model Proses ini turut mempunyai pelbagai kelemahan dalam menilai keberkesanan sekolah. Antaranya ialah dari aspek pemantauan proses perlaksanaan yang memerlukan dokumentasi dan juga pengumpulan data tentang aktiviti atau program yang dijalankan. Sebagai contoh, proses pengajaran yang melibatkan aktiviti secara berkumpulan menyebabkan guru mengalami kekangan dalam kawalan kelas. Aktiviti yang memerlukan murid melibatkan diri secara aktif dan menyelesaikan
pelbagai tugasan menyebabkan guru tidak fokus pada pemantauan aktiviti dan
terganggu dengan kawalan kelas yang menjadi cabaran kepada guru semasa proses pengajaran ini. Model Proses juga sangat menumpukan kepada proses berlakunya sesuatu aspek misalnya proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru. Justeru itu, guru cenderung untuk mementingkan proses perlaksanaan semata-mata tanpa menghiraukan hasil yang diperolehi murid dalam proses tersebut dimana pada akhirnya murid seharusnya mempunyai peningkatan kemahiran dan pencapaian dalam apa yang dipelajari. Ini turut mencerminkan model ini mempunyai kelemahan dari segi andaian yang cenderung untuk dilakukan semasa proses aktiviti dilaksanakan samada melibatkan pengurusan pentadbiran dan juga pengajaran yang sentiasa mengharapkan dan berganatung kepada respon yang positif dalam mengendalikan guru dan murid semasa aktiviti dijalankan. Kesimpulannya, Model Proses sesuai digunakan dalam menilai keberkesanan sekolah dan model ini boleh diaplikasikan dalam menilai keberkesanan sekolah di Malaysia kerana keberkesanan sekolah tidak hanya merujuk kepada hasil semata-mata tetapi turut diukur berdasarkan proses peningkatan yang dialami semua warga sekolah termasuk guru dan murid dalam proses pentadbiran dan juga proses pengajaran yang dilalui setiap hari. Nilai tambah yang diperoleh warga sekolah semasa melaksanakan pelbagai aktiviti dan program inilah yang menjadikan proses pengurusan pentadbiran serta proses pengajaran dan pembelajaran dapat diperbaiki dan dinilai keberkesanannya dari masa ke semasa.