PEMIKIRAN MELAYU MENGENAI ILMU Oleh: Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya
1.
a) Tradisi ilmu dan pengilmuan China sudah amat mantap lantaran ketamadunan China adalah tamadun yang wujud lama, maka oleh sebab itu terdapat hadis Nabi Muhammad s.a.w, bahawa tuntutlah ilmu sehingga ke China. b) Berpusat di tapak teras lagi utama di Sungai Huang Ho (Yellow River), dan Maharaja China yang terkenal Qin Huangdi yang wujud 200 sebelum Masehi yang berperanan menyatukan kebudayaan China. c) Negara China sekarang ini telah menjadi salah satu kuasa besar ekonomi, politik dan ketenteraan bermula dengan pembaharuan yang digerakkan oleh Deng Xiaoping. d) Siapa yang tak kenal konsep Ying-Yang, Seni peperangan Tsun Tzu, ilmu perubatan China dan sebagainya, yang di antara keagungan ilmu dan pengilmuan China. e) Tulisan ini cuba secara etimologis menelusuri konsep ilmu, dan menghurai sumber ilmu Melayu, bagaimana pula pemikiran Melayu mengenai ilmu, dan perubahan yang berlaku.
2. a)
“Penakik pisau diraut Ambil galah batang lintabung Seludang jadikan nyiru Setitik jadikan laut Sekepal jadikan gunung Alam terkembang jadikan guru” b) Kata alam cukup penting untuk orang Melayu sehingga melahirkan
konsep peng + alam + an (pengalaman), suatu konsep yang cukup mendalam maknanya. Perbilangan “alam terkembang jadikan guru” adalah suatu falsafah praktis (amali) untuk orang Melayu menata dan mengatur kehidupan “rosak kelapa kerana salah kukur, rosak manusia kerana salah atur” c) Manusia Melayu amat menghargai orang yang berpengalaman, orang yang tahu segala selok-belok alam, ibarat melayari lancang kuning berlayar malam, dan seandainya nakhoda tidak pandai perahu akan tenggelam.
d) Dikatakan lebih dahulu makan garam. Seorang yang tahu lagi berpengalaman adalah seorang yang memahami seluruh khazanah alam, sama ada yang manusiawi, bendawi hatta yang ghaibi. e) Menata kehidupan manusia khasnya interaksi sesama manusia, orang Melayu mengaturnya dengan adat- Ilmu adat disusun dan dikategorikan dengan adat yang sebenar adat, adat yang teradat, adat istiadat dan adat resam f) Dilengkapi pula dengan struktur budi yang mengawal tingkah laku (budi-pekerti), tutur-kata (budi-bahasa), pertimbangan (budibicara), perasaan (hati-budi) dan pemikiran (akal-budi) diperkukuhkan pula dengan aspek kepercayaan dan keagamaan yang berperanan untuk berinteraksi dengan alam ghaib atau dengan ruang spirituality atau ruang metafizikal. g) Dari alamiah dan bendawi ke adat dan budi hingga ke yang metafizikal.
3. a) Proses tahu dan kenal, dan sehingga dapat memahami kejadian setiap objek, usaha ini jelas sekali digambarkan di dalam ungkapan “… aku tahu asal-usul mu”,seperti yang terdapat di dalam mantera Melayu - asal-usul ini bukan sekadar tahu mengenai sesuatu objek tetapi juga mengenali dan memahami asal-usul dan susunan setiap sesuatu kejadian, termasuk bagaimana sesuatu objek itu terjadi, bermula dan berakhir seperti kata asal-usul ini: Membaca dari alif, Membilang dari sa; Mengkaji dari asal, Asal-usul jangan dilupa. b) Merupakan kaedah Melayu membuat penjenisan, klasifikasi, pengkategorian (taxanomy) setiap benda atau objek yang terdapat di dalam alam lahiriah sahaja.
c) Usaha penjenisan atau pengklasifikasian terhadap pelbagai jenis tumbuhan dedaun, buah-buahan, air, tanah, galian, batubatan, awan-awanan, dan lain-lain sudah mengandung maksud saintifik dan tidak berbeza dengan sains moden kini. d) Usaha untuk mengenali alam lahiriah – pancaindera digunakan untuk mengenali setiap benda secara empirikal. e) Indera batin untuk memahami alam ghaib atau alam batiniah. Dalam usaha untuk mendapat ilmu pengetahuan yang sempurna (holistik) orang Melayu menggabungkan kedua-dua unsur lahiriah dan batiniah. f) Di dalam masyarakat Melayu tradisi, orang yang tahu, orang yang kenal ialah orang yang pandai. Siapakah orang yang pandai, iaitu orang yang mengkhusus di dalam bidang tertentu seperti tukang kayu, pandai besi, pandai emas, yang disebut juga sebagai tukang atau juru (experts) atau orang yang mahir
g) Jika ia pandai berniaga dipanggil saudagar, pandai ke laut – juragan, nakhoda, malim; pandai bersilat dan memiliki ilmu persilatan dipanggil pendekar, panglima; pandai ilmu agama dipanggil Tok Guru, Tok ‘Alim, Tok Lebai. h) Alam itu sendiri memberi pengetahuan kepada manusia, untuk mengenal siang dan malam; bulan dan matahari; mengenal peredaran dan pergerakan masa; mengenal ruang alam; mengenal sempadan, wilayah negeri, mengenal penjuru alam (kosmologikal). i) Alam memberi manusia pengetahuan tentang alamnya, pengetahuan tentang budayanya apabila berinteraksi dengan manusia; manusia mengenali sumber air, jenis air, jenis tanah dan sebagainya.
j) Seperti kata perbilangan; yang pandai teman berunding, yang alim minta doanya, yang kaya minta emasnya, yang cerdik teman berunding. Kalau nak tahu dalamnya paya Tanyalah kepada puyuh Kalau nak tahu lebarnya rimba Tanyalah kepada denak Kalau nak tahu luasnya padang Tanyalah kepada belalang Kalau nak tahu panjangnya tanjung Tanyalah kepada bebarau
k) Tidak menghairankan di dalam masyarakat yang pre-literate terdapat perhatian kepada Tukang Cerita, seperti Tok Selampit, Awang Batil, Tok Dalang, Tukang Syair dan melalui cerita-cerita rakyat inilah digunakan untuk mendidik, mengajar orang ramai serta diberi maklumat sesuai dengan konteks zaman.
Di dalam Syair Martabat Ilmu, Martabat ilmu amat tingginya Emas dan intan bukan sandingan Barang siapa mendapat dianya Nikmat sejahtera jua kiranya Berkatalah ilmu “akulah sultan” Kuasa perintahku darat dan lautan Jahil berseru “akulah syaitan” Ikutlah aku merata hutan. L) Begitulah pula dengan pegawai adat yang pandai berthamthil ibarat, bergurindam, berpetatah-petitih - Peribahasa pepatah, petitih, perbilangan adat adalah sumber tradisi yang sudah wujud sebelum manusia mengenal tulisan. Ia lahir dari kebijaksanaan orang dahulu dalam menyusun kata-kata; seperti dari alam ikan; siakap senohong, gelama ikan duri, cakap bohong, lama-lama mencuri .
m) Peribahasa, empat sudah bersimpul satu, bermaksud, sesuatu kesempurnaan yang telah diperlakukan oleh empat orang iaitu yang berilmu, berakal, mahir dan berusaha - Peribahasa, isi dada bekal berjalan, membawa maksud, dengan ilmu, ke mana sahaja boleh mendapat kehidupan. n) orang yang berilmu hendaklah menyampai atau mengajar ilmunya, seperti kata peribahasa, Alim yang kikir akan ilmunya itu seumpama senjata yang berkarat di dalam sarungnya; dan si jahil yang enggan belajar seumpama si buta malu bertongkat. Kadangkala orang yang berilmu tidak suka menzahirkan kemuliaannya; kata peribahasa Melayu, Tempayan yang penuh itu tidak berkocak airnya; bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk.
Dari alam juga mereka mengetahui asal-usul alam seperti tergambar dalam mantera asal-usul dunia (alam): Allah belum bernama Allah Muhammad belum bernama Nabi Bumi belum bernama bumi Bumi bernama pusat negeri Langit bernama payung negeri Bumi itu segedang talam Langit itu segedang payung o) Apabila menguasai ilmu asal-usul, seorang yang pandai seperti pawang, bomoh, dukun; mampu melembutkan atau mencairkan yang keras, melemahkan yang kuat, menghilang benci jadi sayang, racun jadi penawar dan sebagainya - Mereka inilah manusia khas lagi istimewa yang mampu membaca melalui indera batinnya, melihat melalui mata hati, dan berbicara melalui kata hati
4.
Dengan kedatangan Islam di Alam Melayu, Islam memperkukuhkan ilmu dan pengetahuan Melayu. Di peringkat awal berlaku penyesuaian (sinkretisme), dan kemudian secara perlahan perubahan berlaku sesuai dengan keyakinan baru (Islam). a) Dimensi ufuk (horizon) ilmu pengetahuan semakin meluas; ilmu tidak dilihat sebagai milik peribadi. Manusia Melayu telah mampu membezakan antara yang benar dengan yang tidak (yang haqq dengan yang bathil); di dalam waktu yang sama, adat tetap dihormati dan agama dijunjung. b) Pelbagai ilmu baru diketahui oleh orang Melayu seperti Fiqh, Tauhid, Ilmu Kalam, Tasawuf, akhlak, ilmu membaca al-Quran (sains al-Quran) dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini didokumentasi melalui kitab-kitab agama, ditulis, dikarang, disalin-semula oleh para ulama-Melayu di Alam Melayu.
Dikatakan Abdullah Arif pada abad ke-12 telah menulis Bahr-ullaht, satu kitab fiqh syariah dan tasawuf, manakala Syed Naguib alAttas (1988), telah menemui pula kitab Aqaid al-Nasafi, yang dianggap beliau sebagai kitab tertua Melayu pada abad ke-15. c) Kitab-kitab agama ditulis di dalam pelbagai bidang yang banyak ditulis pada abad ke-17 yang digunakan di pondok atau pesantren di Alam Melayu. Kitab-kitab tersebut terdiri dari kitab agama, perubatan, syair-syair, cerita-cerita Nabi dan sebagainya. Kitab-kitab tersebut dikembangkan oleh para ulama di seluruh pelosok Alam Melayu. Pengilmuan Islam meresap ke dalam jiwa orang Melayu – melalui proses pembudayaan bukannya melalui paksaan dan peperangan d) Konsep ilmu Melayu turut berubah, sudah ada konsep atau kategori Aqli dan Naqli.
d) Kepada orang Melayu, al-Quran adalah sumber ilmu, bukan sahaja ilmu ketuhanan (teologi),keimanan, tetapi juga ilmuilmu lain yang dapat digunakan untuk kepentingan manusia seperti hukum-hakam; hubungan antara manusia; kejadian langit dan bumi; perjalanan matahari, siang dan malam; apatah lagi alQuranadalah doa dan penawar untuk manusia; bukan sekadar ilmu agama sahaja. Setiap orang Islam sering berdoa agar ditambahkan ilmu mereka. Sesungguhnya Allah ditaati dan disembah dengan ilmu. Begitu juga kebaikan dunia dan akhirat bersama ilmu, sebagaimana kejahatan dunia akhirat kerana kebodohan.
5. a) Kemasukan tradisi sains Barat ke Alam Melayu, ke dalam akalbudi atau benak akal Melayu, telah secara halus menghakis seluruh ilmu Melayu dan mengecil lagi menyempitkan peranan ilmu agama Islam. b) R.O. Winstedt telah memperkecilkan seluruh ilmu budaya Melayu seperti sastera, seni dan pustaka ilmunya sebagai satu warisan yang penuh mitos, tidak ilmiah, dan tidak rasional. R.O. Winstedt (1961) telah memperkecilkan tamadun Melayu dengan berpendapat bahawa tamadun Melayu penuh dengan unsur luar atau asing, unsur peribumi (indigenous) tidak kelihatan. c) Secara jelas di dalam korpus kesusasteraan Melayu, Winstedt telah mengelompok perundangan Melayu dan ketatanegaraan Melayu seperti Hukum Kanun Melaka, UndangUndang Johor sebagai sastera undang-undang. Begitu juga dengan sebahagian kitab keagamaan dikelompokkan pula sebagai sastera kitab atau ada yang menyebutnya sebagai kitab kuning.
d) Secara halus Winstedt dan mereka sepertinya sudah memainkan peranan sebagai reductionist,memperkecilkan ilmu Melayu kepada tahap ilmu tradisional. Apakah mungkin pintu akal-budi kita akan tertutup dengan kemunculan dan usaha pengukuhan tradisi berbahasa Inggeris di semua peringkat pendidikan dan pengajian. e) Kita perlu mengkaji apakah tradisi tulis Melayu di dalam konteks zamannya. Bahawa Sulalatus Salatin, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Patani, Hikayat Aceh dan seumpamanya bukan sahaja suatu refleksi terhadap tradisi tulis dan mengarang Melayu tetapi juga sebagai satu dokumen sejarah dalam konteks zamannya.
f) Barangkali sewajarnya seluruh ilmuan Melayu berusaha semoga yang herot dapat diluruskan, yang tenggelam ditimbulkan dan digali, agar, disingkap tabir akalnya, dibuka pintu ilmunya, dibentangkan alam seluasnya. Apa tanda batang tebu Batang tebu halus uratnya Apa tanda orang berilmu Orang berilmu halus sifatnya
Sekian, terima kasih.