Pandangan hidup Islam
Musbri Mohamed DIL; ADIL ( ITM ) Pursuing MBL ( UKM )
1
Ustaz Mahmood Zuhdi dalam wawancara untuk sebuah rancangan televisyen berkata, ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan sebagainya bukan ibadat yang sebenar. Ini kerana semua itu hanya merupakan orientasi untuk menuju ke arah ibadat yang sebenar. Allah s.w.t berfirman: Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah. Ini bermaksud manusia diciptakan untuk berabdi dan beribadat.
2
Prof. Mahmood Zuhdi berkata, perlu memberitahu masyarakat bahawa yang dimaksudkan ibadat itu adalah selangkah lebih jauh daripada ibadat ritual itu.
3
Berdasarkan pandangan hidup Islam, manusia tidak diciptakan sia-sia tanpa tujuan. Ia bukanlah kejadian yang sengaja diciptakan tanpa fungsi dan tugas, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad dalam bukunya , Pembangunan Islam Hadhari (muka surat 11-12). Untuk membuktikan bahawa Allah tidak mencipta manusia sia-sia, Nakhaie berhujah dengan ayat 115 daripada surah al-Mukminun dan ayat 56 daripada surah az-Zariat. Ayat pertama bermaksud: Adakah kamu sekalian menyangka bahawa Kami mencipta kamu hanya siasia dan kamu tidak dikembalikan semula kepada Kami.
4
Ustaz Nakhaie menjelaskan bahawa manusia ditempatkan di bumi sebagai pusat kegiatan kekhalifahannya. Ia mempunyai kaitan yang rapat dengan bumi dan bertanggungjawab membangunkannya. Allah s.w.t berfirman: Dialah yang membentuk kamu dari bumi dan menuntut kamu membangunkannya. Segala yang terdapat di bumi, sama ada di permukaannya, di perutnya di segenap lapisannya, di lautan dan langit, telah dipermudahkan atau ditundukkan untuk manusia.
5
Dr. Mahamed Said Samadan alBouti pula berkata, Al-Quran bukan kitab agama dan ibadat kecuali dari sudut mempertanggungjawabkan manusia membina tamadun. (Manhaj al-Hadharah al-Insaniah Fi al-Quran - Pendekatan Tamadun Manusia dalam alQuran, muka surat 24). Maksudnya ibadat dan agama Islam itu dijadikan anutan umat manusia adalah bertujuan untuk membina tamadun.
6
Allah melengkapkan di dalam diri manusia, akal yang dapat menjana kekuatan ilmu pengetahuan yang membolehkannya menguasai bumi ini. Juga menguasai makhluk di dalamnya, terdiri daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan, pelbagai bahan logam, sumber tenaga dan bermacam lagi yang terdapat di bumi ini. 7
Pembangunan tidak boleh dilakukan semata-mata untuk membangun tanpa hala tuju yang memberi makna dan erti kepada kehidupan di dunia dan akhirat.
8
Manusia telah diberikan kekuatan dan keupayaan yang cukup bagi menggerakkan jihad untuk membangunkan masyarakat hadhari. Kekuatan akalnya yang berupaya menjana ilmu, kekuatan nalurinya yang menggerakkan potensi dalaman dan keinginan yang kukuh untuk terus mara ke hadapan, dan kekuatan anggotanya yang berupaya dilatih dengan pelbagai kemahiran.
9
Allah s.w.t tidak pernah menyatakan dalam al-Quran bahawa dunia perlu dibahagi mengikut agama. Begitu juga Rasulullah s.a.w. Cuma ulama ada membuat pembahagian wilayah atau negara kepada Darul Islam (wilayah atau negara Islam) dan Darul Kufr (wilayah atau negara kafir), Darul Silm/Darul `Ahd (wilayah atau negara damai/perjanjian) dan Darul Harb (wilayah atau negara perang).
10
Tanggungjawab tidak hanya terbatas kepada amalan-amalan ritual dan ibadat khusus yang dilakukan dengan sikap individualistik, semata-mata untuk menyelamatkan diri sendiri dari neraka.Sudah lama masyarakat kita akibat kejahilan, melihat Islam dari aspek ritual ini. Sudah tiba masanya bangsa kita mengungkap kembali kefahamannya mengenai Islam supaya sesuai dan seiring dengan pandangan hidup Islam yang terpancar daripada petunjuk Al-Quran, bahawa manusia ini bukan hanya dicipta melakukan kerja-kerja ritual ini. Manusia mempunyai tanggungjawab besar mengurus kehidupan di dunia dalam pelbagai bidang dan membina peradaban berdasarkan kepada sistem yang telah ditentukan oleh Allah.
11
Dalam kehidupan yang sejahtera dan makmur di dunia ini maka manusia mempunyai masa dan kesedaran untuk bersiap sedia melengkapkan dirinya dengan bekalan di hari akhirat. Persiapan dan bekalan yang cukup untuk menuju akhirat, merupakan jaminan supaya kesejahteraannya di dunia, bersambung hingga ke akhirat dengan kenikmatan dan kebahagiaan yang berganda. Insyallah.
12