Islam Turut Promosi Kesihatan Mental
Khairul Azhar Bin Idris
Fellow 06/10/2009 | Berita Harian
Usaha mempromosi kesihatan mental amat sinonim dengan agensi atau jabatan tertentu yang berkaitan secara khusus dengan perubatan dan kesihatan. Justeru itu di negara ini, tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Kesihatan memang sentiasa aktif dengan sebarang isu berhubung rawatan dan penjagaan kesihatan mental. Begitu juga di peringkat antarabangsa, usaha advokasi dan promosi rawatan serta penjagaan kesihatan mental ini pula dipelopori oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Memandangkan betapa pentingnya segala maklumat kesihatan mental ini sampai kepada seluruh masyarakat dunia, maka 10 Oktober setiap tahun telah dijadikan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia oleh Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH). Pada 10 Oktober tahun ini, sambutan akan meraikan tema berikut; ’Mental Health in Primary Care: Enhancing Treatment and Promoting Mental Health’, atau Kesihatan Mental dalam Penjagaan Utama: Mengukuhkan Rawatan dan Promosi Kesihatan Mental. Antara lain matlamat sambutan ini adalah bagi meningkatkan kesedaran awam berhubung pentingnya mendapatkan rawatan dan penjagaan sempurna untuk memelihara kesejahteraan mental sepanjang masa. Malaysia juga tidak ketinggalan untuk turut serta dalam menjayakan usaha yang murni ini agar dapat dikecapi oleh setiap penduduknya demi memelihara kesejahteraan mental mereka. Begitu juga, secara umumnya, sama ada disedari atau tidak, dalam usaha memelihara atau meningkatkan kesejahteraan mental pada setiap masa, Islam telah menyediakan pelbagai pendekatan, cara atau teknik tertentu bagi tujuan itu. Ia bermula dari tasawwur atau bagaimana Islam menggambarkan konsep kehidupan. Ini diikuti pula dengan penerapan nilai-nilai murni yang ditunjangi keimanan dan ketakwaan, selain dikukuhkan lagi dengan beberapa amalan ritualistik yang dilihat sebagai teknik tertentu ke arah peningkatan kesihatan mental. Islam melihat dunia sebagai satu pengkalan yang sementara sahaja sifatnya, di mana ia menyediakan pelbagai sumber dan peluang sebelum perjalanan lanjut diteruskan. Pandangan Islam terhadap dunia adalah sebagai tempat untuk umatnya bersedia dengan amalan-amalan yang boleh menyelamatkan dirinya dan ahli-ahlinya dalam perjalanan menuju ke alam akhirat yang lebih sempurna kelak (Al Quran, Surah 6, ayat 32). Dunia turut dilihat sebagai satu gelanggang yang sarat dengan segala macam ujian, untuk menilai siapa antara mereka yang mampu melepasinya. Konsep ini amat berbeza dengan pandangan sekularism yang menilai dunia sebagai syurga, manakala kehidupan selepas kematian dicanang sebagai kepalsuan. Akibatnya, dunia dilihat sebagai lubuk kemewahan atau tempat membina kekayaan tanpa had. Namun, tidak semua manusia itu mampu mengaut kemewahan sepanjang masa, kerana kehidupan dunia diibaratkan seperti roda. Lantaran itu, kegagalan yang melanda diiringi dengan rasa kekecewaan, kebimbangan, dan putus asa yang berakhir dengan kekesalan, kemurungan dan bunuh diri. Amat menakutkan apabila statistik negara ini menunjukkan kadar bunuh diri yang meningkat antara 9-12 orang bagi setiap 100,000 populasi sejak kebelakangan ini berbanding 8 orang sekitar lewat 80an.
Begitu jua, ketika mencari perteduhan yang sementara di pengkalan ini, terdapat segelintir manusia yang lalai dan hanyut lantas menjadi rakus, lalu terlepas peluang dan segala sumber untuk menyiapkan diri dengan bekalan tersebut yang akhirnya merugikan diri apabila memasuki alam akhirat yang lebih kekal abadi. Akibat dari situasi ini, muncul pelbagai tanda gejala yang berpunca dari kelalaian dan kerakusan sikap mereka sendiri, yang turut mengakibatkan beberapa tanda gejala gangguan kejiwaan seperti tekanan mental atau stres dan keresahan serta kebimbangan. Malahan memang tidak dapat dinafikan bahawa kebimbangan dan kerisauan merupakan tanda gejala utama gangguan mental. Penghidap skizofrenia umpamanya, mereka turut mengalami tahap kebimbangan kronik. Begitu juga, pemikiran risau secara melampau yang tidak berasas pula merupakan simptom utama penyakit mental seperti fobia dan gangguan panik. Bagi mencegah gangguan mental yang berpunca dari tahap kebimbangan melampau ini, Islam mengutamakan nilai-nilai murni yang ditunjangi oleh rasa keimanan dan ketakwaan (Al Quran, surah 16, ayat 97). Di peringkat individu, Islam mendidik mereka supaya sentiasa sabar dan redha dengan kehidupan serta mampu menilai ujian sebagai penghapus dosa dan peningkatan keimanan. Amalan ini akhirnya akan menghilangkan rasa kecewa dan putus asa mereka. Malah mereka akan diberi ganjaran pahala pula kerana sentiasa sabar dan redha dengan segala bentuk ujian yang diberi. Pemikiran risau yang membelenggu juga boleh dihapuskan jika amalan solat, membaca Al Quran dan berzikir itu dihayati sepenuhnya (Al Quran, Surah 13, ayat 28). Ini kerana ketika melakukan aktiviti tersebut, pemikiran telah difokuskan ke arah aktiviti yang neutral dan positif sahaja, manakala rasa risau dan bimbang telah dapat dikurangkan dan dihapuskan. Kajian sains turut membuktikan bahawa pemikiran yang positif dan tenang seperti ini mampu menstabilkan imbangan cecair otak manusia seperti serotonin, dopamin dan endorfin, yang seringkali didapati terjejas di kalangan pesakit jiwa. Malah kerana aktiviti itu, mereka berasa puas dan gembira pula lantaran diberi ganjaran pahala dan peningkatan kedudukan sebagai seorang mukmin dan pastinya syurga yang menanti mereka atas amalan yang penuh keihklasan ini. Manakala di peringkat komuniti, nilai-nilai murni kemasyarakatan seperti toleransi, berbaik sangka dan tolong menolong mampu menghindarkan rasa gemuruh dan gementar di kalangan masyarakat memandangkan manusia asasnya adalah makhluk sosial yang amat bergantung kepada sikap kerjasama bagi menjamin keutuhan sesebuah masyarakat itu. Kerjasama ini pula didirikan atas asas nilai-nilai murni yang ditunjangi rasa keimanan. Manakala nilai murni yang ditunjangi keimanan pula mampu mencegah gejala-gejala mental seperti kes ragut, bunuh, kecelaruan seksual dan sebagainya. Sebagai satu langkah meningkatkan kesedaran awam, sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diadakan pada tanggal 10 Oktober saban tahun ini telah memperkenal, memperbaharui dan memajukan pelbagai kaedah dan teknik bagi merawat dan memulih, serta mendidik dan mencegah pelbagai penyakit berkaitan mental dan emosi. Situasi ini pula telah berjaya mempertingkatkan lagi tahap pemulihan penyakit tersebut secara optimistik, di samping dapat mengurangkan kadar ulangan penyakit dan kebergantungan sosial yang kronik. Secara tidak langsung juga, ia dapat menangkis sesetengah tanggapan singkat masyarakat umum bahawa penyakit mental merupakan penyakit yang tiada ubat atau sukar untuk dipulihkan. Pendekatan tema pada tahun ini juga adalah satu langkah lanjut bagi mengurangkan stigma dan diskriminasi umum terhadap penyakit mental.