UNIVERSITI MALAYA AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
JXEA 1104 FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU
“HIKAYAT LEBAI MALANG”
NAMA : ZAITON BINTI ZAKARYA NO MATRIK : JEA 080158 SESI : 2008/09 NAMA PROFESER : DR. AMRAN MUHAMMAD NAMA TUTOR : CIK FATMAWATI BINTI SIDIK
“HIKAYAT LEBAI MALANG”
“ Falsafah boleh ditakrifkan sebagai satu penyelidikan atau pengajian dan ilmu yang berasaskan renungan ( reflective ) dan pentaakulan ( reasoning ) untuk merumuskan sifat, hakikat dan kandungan alam wujud atau alam semesta dilihat secara keseluruhan sebagai satu kesatuan, berdasarkan penelitian dan pengkajian terhadap data dan fakta yang diambil daripada semua aspek alam wujud atau semesta “ (B.A.G. Fuller A History of Philosophy, 1995 : 1)1
Dalam tugasan ini, saya akan mengupas salah satu karya klasik atau tradisional masyarakat melayu iaitu “Hikayat Lebai Malang”. Perkataan ‘hikayat’ berasal daripada bahasa Arab, hikaya. Makna asal yang didukung oleh perkataan Arab ini ialah “pelbagai sejarah” tetapi menerusi peredaran zaman maksudnya berubah menjadi cerita rekaan yang berunsur naratif dengan kecendungan menghibur yang ketara2. Kesusteraan hikayat ini dihasilkan dalam bentuk prosa dan puisi. Oleh itu, karya kesusteraan hikayat banyak membawakan cerita ajaib yang berunsur hiburan hasil daripada imaginasi pengarangnya. Hikayat Lebai Malang merupakan salah satu karya klasik masyarakat Melayu, oleh itu saya akan menunjukkan dan mengupas bagaimana asas-asas falsafah dan logika melayu diterapkan dalam kehidupan masyarakat Melayu. Penelitian struktur cerita Hikayat Lebai Malang bertujuan memaparkan sebaik mungkin fungsi dan perkaitan antara pelbagai unsur karya satera yang sama-sama membentuk keseluruhan karya itu. 1
Falsafah, logik, teori nilai dan etika Melayu SUATU PENGENALAN, Hashim bin Haji Musa, Ph.D ( Akademi Pengajian Melayu 2001 ) hlm.1 2 Mutiara Sastera Melayu Tradisional, Adnan Abdul Majid ( Dewan Bahasa dan Pustaka, KL ) 2003.
2
Ringkasan isi cerita Hikayat Lebai Malang ialah kegagalan seorang lebai untuk mengikuti dua jamuan yang diadakan pada waktu yang sama. Akibat terlalu banyak pertimbangan untung ruginya, dia mundar-mandir sambil berfikir tempat yang akan dikunjunginya. Namun ketika dia memutuskan untuk menghadiri perjumpaan yang berada dihilir dan sampai ditempat itu, terdengar para tetamu mengucapkan “amin” tanda jamuan sudah selesai. Lalu dia segera mengayuh perahunya ke tempat yang lain, begitu juga saat dia tiba di tempat itu sudah terdengar orang mengucapkan “amin”. Itulah sebabnya lebai itu di sebut Lebai Malang. Setelah memaparkan ringkasan cerita “Hikayat Lebai Malang” dapat diungkapkan bahawa upaya yang tidak disertai ketetapan hati akan mengakibatkan kerja menjadi sia-sia. Dia tidak membulatkan hati untuk memilih tempat yang akan dikunjunginya. Ini menunjukkan Lebai Malang merupakan seorang yang tidak mempunyai pendirian dan seorang yang tamak kerana ingin mengunjungi kedua-dua majlis tersebut. Akibatnya, dia tidak dapat menikmati masakan kedua-dua majlis tersebut.
Setelah memaparkan ringkasan cerita “Hikayat Lebai Malang” dapat diketahui bahawa jalan cerita Si Lebai Malang ini lurus maju. Cerita ini berakhir terbuka, peristiwa yang merugikan tokoh Lebai Malang memerlukan renungan pembacanya. Pada awal cerita penulis memperkenal tokoh Lebai Malang kepada pembaca.
“Maka ini suatu bidal Melayu. Barang siapa rugi atau tiada sampai hajatnya pada halnya bukan dengan sebab perbuatan orang lain, hanyalah semata-mata
3
kelengahannya sendiri, maka orang lain dapat, Si Lebai Malang juga yang putih matanya tiada dapat. Maka dikatakan orang Melayu Lebai Malang”. (Jusuf, 1984 : 48)3
Petikan diatas merupakan pemaparan dalam cerita “Hikayat Lebai Malang” yang menyebabkan dia disebut Lebai Malang. Kemudian cerita ini berlanjutan pada pemaparan tentang kehidupan Lebai Malang. Pada suatu hari, dia mendapat undangan kenduri di dua tempat berbeza tetapi pada waktu yang sama. Dia tidak dapat memutuskan tujuan kunjungannya kerana terlalu memperhitung keuntungan yang akan diraihnya. Tokoh Lebai Malang adalah manusia yang rugi kerana ketamakan dan kebodohannya. Hal yang menarik dalam cerita Melayu ini adalah sebuah imej yang tidak menguntungkan; nasib yang tidak beruntung, motif-motif keculasan, dan lain-lain. Jika dikaitkan antara penyataan yang tersirat (makna) dengan penyataan yang tersurat (kata atau ayat) justeru imej manusia seperti Lebai Malang menjadi oposisi daripada wujud aktual yang dikehendaki, tetapi wujud ini boleh berpindah menjadi wujud potensial. Wujud potensial ini boleh menjadi negatif misalnya nasib seseorang yang adakalanya tidak beruntung. Tetapi boleh pula wujud potensial positif seperti nasib seseorang itu menjadi baik (untung).4 Oleh itu, makna sebenar bukan kepada wujud aktual tetapi wujud potensial. Wujud potensial berkait rapat dengan teks-teks sastera tradisional yang dimaklumi sebagai cerita-cerita didaktik.
3
Struktur Karya dan nilai budaya dalam Hikayat Pak Belalang dan Lebai Malang, Hikayat Abu Nawas, dan Hikayat Mahsyud Hak, Nikmah Sunardjo, Sulistiati, Amir Mahmud ( Pusat Bahasa Depertemen Pendidikan Nasional Jakarta ) 2000, hlm. 34. 4 Cerita Pak Belalang dan Lebai Malang, Haji Ibrahim Datuk Kaya Muda Riau ( Drs.Elmustian Rahman, M.A ) hlm. 22 dan 23.
4
Setelah memahami ringkasan, tokoh dan perwatakan cerita, tema dan amanat cerita pula akan diuraikan. Inti cerita “Hikayat Lebai Malang” ialah keserakahan yang mengakibatkan dia selalu bernasib malang.
“Maka jadi terlepas hajatnya semuanya. Jadi, dikata orang Lebai Malang hingga masa ini dijadikan bahasa kepada barang siapa yang begitu hanya dikatakanlah jadi Lebai Malang” (Jusuf, 1984 : 49).
Amanat yang terdapat dalam “Hikayat Lebai Malang” ini ialah janganlah serakah kerana akan mendapat celaka. Selain struktur cerita, tujuan pokok penelitian atau tema dan amanat juga mendeskripsikan nilai budaya yang terdapat dalam hikayat ini. Nilai budaya ini akan mendukung tema dan amanat di dalam cerita ini. Nilai budaya merupakan konsepsi yang hidup dalam alam fikiran warga masyarakat mengenai hal-hal yang dianggap paling bernilai dalam kehidupan. Oleh itu, suatu sistem nilai budaya selalunya berfungsi sebagai pedoman aturan dalam masyarakat.
Nilai budaya dalam cerita “Hikayat Lebai Malang” ini terbahagi kepada empat hubungan iaitu hubungan manusia dengan Tuhan,manusia dengan masyarakat, manusia dengan manusia dan juga hubungan manusia dengan dirinya. Sebagai contoh saya akan menghuraikan nilai budaya dalam hubungan manusia dengan Tuhan. Dalam hubungan manusia dengan Tuhan, nilai budaya yang terdapat dalam cerita ini hanya satu,iaitu suka berdoa.
5
“Maka serta sampai sudah berdiri amin, tuan imam membaca doa. Jadi, terlepaslah yang disebelah hulu, maka berkayuh pula dengan bersungguh-sungguh kehilir. Maka serta sampai berdiri pula doa tuan imam di situ jadi terlepaslah pula” (Jusuf, 1984 : 49).
Kesimpulannya tujuan dan hasil yang diharapkan dalam penelitian ini bertujuan mendeskripsikan struktur “Hikayat Lebai Malang”. Struktur yang telah dikaji dan dikupaskan adalah ringkasan cerita, penokohan, tema dan amanat serta nilai budaya. Nilai-nilai budaya yang tinggi dapat dimanfaatkan bagi masyarakat umum dewasa ini. Asas-asas falsafah dan logika akan diterapkan dalam kehidupan masyarakat Melayu untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai murni yang akan mampu memartabatkan bangsa Melayu di mata dunia. Nilai budaya itu dapat dijadikan teladan dan pengajaran kepada masyarakat bagi melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
6
Bibliografi :
1.
Hashim bin Hj Musa, Ph.D,2001. Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu, SUATU PENGENALAN. Akademi Pengajian Melayu, UM, KL.
2.
Adnan Abdul Majid; 2003. “Mutiara Sastera Melayu Tradisional” Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.
3.
Drs. Elmustian Rahman, M.A. Seni Karya dan Kajian Haji Ibrahim Datuk Kaya Muda, Cerita Pak Belalang dan Lebai Malang.
4.
Nikmah Sunardjo, Sulistiati, Amir Mahmud; 2000. Struktur Karya dan Nilai Budaya dalam hikayat Pak Belalang dan Lebai Malang, Hikayat Abunawas, dan Hikayat Mahsyud Hak; Pusat Bahasa Departemen Pendidikan Nasional Jakarta.
7