JXEA 1104 KUPASAN KARYA KLASIK MELAYU DARI SUDUT FALSAFAH
NAMA:HAFFIDAH BINTI ABDULLAH NO.MATRIK:JEA080020 NAMA PENSYARAH:DR.AMRAN MUHAMAD
SESI 2008/2009 SEMESTER 1 AKADEMI PENGAJIAN MELAYU UNIVERSITI MALAYA
PENGENALAN Secara umumnya hikayat adalah suatu bentuk sastera yang berdasarkan khayalan dan imaginasi. Binaan strukturnya dibina di atas rentetan pelbagai peristiwa. Kesusasteraan hikayat merupakan genre yang terbesar bilangannya di dalam perbendaharaan kesusasteraan tradisional. Perkataan hikayat berasal daripada bahasa arab yang bermaksud “pelbagai sejarah”. Struktur cerita hikayat ini agak kompleks dan seringkali diselitkan dengan unsur-unsur agama dalam karya tanpa mengambil kira kesesuaiannya.
SINOPSIS Hikayat Bayan Budiman mengisahkan tentang seorang saudagar di negeri bernama Ajam yang bernama Khojah Mubarak. Beliau mempunyai seorang anak bernama Khojah Maimun. Khojah Maimun telah dikahwinkan dengan Bibi Zainab apabila telah cukup umurnya. Khojah Maimun bercadang untuk pergi berlayar dan berniaga. Sebelum berlayar, Khojah Maimun telah membeli dua ekor burung sebagai peneman isterinya semasa beliau pergi berlayar. Seekor Burung Bayan dan seekor lagi Burung Tiung. Semasa hendak pergi berlayar Khojah Maimun berpesan kepada isterinya supaya sentiasa bermuafakat dengan burung-burung itu sebelum melakukan sesuatu perkara. Sepeninggalan Khojah Maimun, Bibi Zainab berasa kesunyian. Semasa duduk termenung di tingkap, seorang putera raja lalu di hadapan rumahnya dan mereka saling
berbalas senyuman. Semenjak hari itu Bibi Zainab dan putera raja saling jatuh berahi. Dengan perantaraan seorang tua pertemuan antara mereka telah dapat diatur. Sebelum meninggalkan rumah Bibi Zainab telah menyatakan hasratnya kepada Burung Tiung. Bibi Zainab berasa marah kepada Burung Tiung lalu menghempaskan Burung Tiung ke lantai sehingga matilah Burung Tiung. Bibi Zainab kemudiannya meminta nasihat daripada Burung Bayan. Burung Bayan tidak melarang Bibi Zainab untuk bertemu dengan putera raja tersebut, namun begitu Burung Bayan telah berjaya menarik perhatian serta melalaikan Bibi Zainab dengan cerita-ceritanya. Bibi Zainab terpaksa menangguhkan hasratnya dari satu malam ke satu malam untuk bertemu putera raja. Sehinggalah Khojah Maimun pulang dari berlayar. Burung Bayan yang bijak telah dapat menyelamatkan nyawanya dan menyekat Bibi Zainab daripada curang serta dapat menjaga nama baik tuannya.
Hikayat Bayan Budiman mempunyai rentetan pelbagai cerita yang terdapat didalamnya. Dalam Hikayat Bayan Budiman ini, saya memilih Bab 23 iaitu cerita Sultan Adam sebagai teks kupasan saya. Dalam teks cerita Sultan Adam ini, terdapat banyak nilai-nilai yang disampaikan oleh pengarang. Antara nilai-nilai tersebut adalah nilai kepercayaan kepada agama, ketaatan dan kasih sayang. Cerita Sultan Adam ini, menceritakan mengenai seorang Sultan yang memerintah sebuah kerajaan. Kerajaan yang diperintah oleh Sultan Adam terletak di dalam negeri Baghdad. Ketika zaman pemerintahan Sultan Adam, kebanyakan raja-raja memandang tinggi dan menghormati Sultan Adam. Hal ini dapat dibuktikan apabila raja-raja dan negeri-negeri lain menghantar ufti dan memberi pelbagai jenis hadiah. Sultan Adam turut mempunyai seorang putera yang bernama Raja Nasruddin Alim Syah. Putera tersebut merupakan pewaris yang akan menggantikan takhta Sultan Adam. Dalam cerita ini, pengarang telah memasukkan nilai-nilai agama. Agama merupakan kepercayaan dan pegangan setiap individu. Namun terdapat juga sesetengah masyarakat yang tidak mempercayai akan adanya agama. Dalam Hikayat Bayan Budiman ini , pengarang memaparkan bahawa Sultan Adam dan para pembesarnya menganuti ajaran agama Islam. Selain itu, rakyat dinegeri tersebut turut menganuti agama Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa setiap masyarakat dinegeri tersebut mempunyai pegangan agama masing-masing. Sultan Adam juga merupakan individu yang percaya akan keesaan Allah s.w.t. Hal ini dapat dijelaskan apabila Sultan Adam memberi nasihat kepada anaknya bahawa segala yang terdapat didunia ini adalah ciptaan Allah semata-mata untuk semua makhluknya. Apa yang diberi kepada kita didunia ini adalah sekadar pinjaman sahaja. Allah juga boleh mengambil dan memberi segala yang diberikan itu pada bila-bila masa
sahaja. Setiap individu haruslah menerima dengan hati yang terbuka sekiranya Allah memberi sesuatu dugaan dan bersyukur sekiranya mendapat rahmat daripada Allah. Dalam ajaran agama islam ilmu merupakan sesuatu yang sangat penting. Oleh sebab itu Sultan Adam telah pergi mengembara bagi mencari ilmu yang berguna di dalam kehidupan. Dalam pengembaraan itu Sultan Adam telah menjadi seperti seorang rakyat biasa. Beliau telah menanggalkan pakaian karajaan yang sentiasa dipakainya dan digantikan dengan pakaian yang memperlihatkan beliau seperti seorang yang miskin. Sehinggakan tiada seorang pun mengenali Sultan Adam. Hal ini menunjukkan Sultan Adam benar-benar ingin mencari ilmu sehingga sanggup melepaskan segala kemewahan yang beliau miliki. Sultan Adam turut menunaikan kewajipannya sebagai seorang islam yang berkemampun iaitu dengan menunaikan fardu haji. Beliau telah pergi menunaikan haji bersama-sama dua puluh orang fakir. Setelah selesai menunaikan haji beliau telah tinggal disebuah kampung iaitu Kampung Ulama. Tujuan Sultan Adam tinggal di kampung tersebut adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t Di sana beliau hanya mengaji dan melakukan amal ibadah. Hal ini menunjukkan Sultan Adam adalah seorang yang berilmu dan mementingkan ilmu pengetahuan. Ini kerana untuk mengerjakan ibadat haji seseorang itu haruslah mempunyai ilmu tentang fardu haji dan sebagainya. Selain itu Sultan Adam juga seorang yang mempunyai akhlak mulia dan berbudi pekerti. Ini dapat dibuktikan apabila Sultan Adam memberi nasihat kapada anaknya supaya memerintah negeri dengan adil dan saksama, bersifat sabar serta tidak mengikut hawa nafsu. Nasihat ini memperlihatkan beliau adalah seorang yang berakhlak.
Terdapat juga nilai kasih sayang yang dipaparkan oleh pengarang di dalam cerita ini. Nilai ini dapat dilihat diantara Sultan Adam dan anaknya iaitu Raja Nasruddin Alim Syah. Apabila Sultan Adam menghilangkan diri Raja Nasruddin segera memberikan perintah kepada menterinya supaya pergi mencari ayahandanya. Beliau jaga turut berasa sedih sehingga menangis di dalam bilik. Setelah Sultan Adam ditemukan barulah Raja Nasruddin berasa gembira sehinggakan beliau memeluk ayahandanya. Sultan Adam turut kasih kapada puteranya dengan memberikan pelbagai ilmu yang berguna kepada puteranya itu. Selain itu, Sultan Adam juga turut memberikan nasiha-nasihat yang berguna kepada puteranya.Sultan Adam turut membekalkan puteranya dengan ilmu agama yang secukupnya untuk menjalani kehidupan seharian dan untuk memimpin kerajaan yang diketuainya. Nilai kasih sayang ini juga dapat dilihat diantara Burung Bayan Budiman dengan Bibi Zainab. Bibi Zainab sayang akan Burung Bayan kerana Burung Bayan memahami akan isi hatinya dan turut suka menghiburkan hatinya. Ini dapat dibuktikan apabila Bibi Zainab tidak membunuh Burung Bayan Budiman seperti mana Burung Tiung Kencana. Walaupun Burung Bayan seekor burung namun ia juga turut mempunyai perasaan sayang terhadap tuannya itu. Hal ini dapat dilihat apabila Burung Bayan Budiman berusaha melalaikan Bibi Zainab dengan menceritakan pelbagai cerita yang menarik untuk perhatian Bibi Zainab. Burung Bayan turut dapat menjaga maruah dan nama baik tuannya itu.
KESIMPULAN
Pada pandangan saya, Hikayat Bayan Budiman memberikan banyak pengajaran yang berguna kapada para pembaca. Nilai-nilai murni yang terdapat di dalam Hikayat Bayan Budiman ini boleh di jadikan sebagai panduan kita di dalam kehidupan seharian. Di dalam Hikayat Bayan Budiman ini, kita boleh mencontohi dan menteladani sifat-sifat baik yang ditunjukkan oleh Sultan Adam seperti memerintah negeri dengan adil, tidak mengikut hawa nafsu, mempunyai pegangan agama dan sebagainya. Pegangan agama yang dimiliki oleh seseorang boleh menjadikan seseorang itu insan yang berjaya di dunia mahupun di akhirat ini kerana pengangan agama dapat membimbing dan menjadi panduan untuk malakukan sesuatu dengan betul. Sekiranya seseorang itu mempunyai pegangan agama mereka akan dapat mengelakkan diri daripada perkara-perkara yana dilarang oleh Allah dan hanya melakukan perkara-perkara yang diperintah sahaja. Nilai-nilai baik yang terdapat di dalam kehidupan kita ini akan menjadikan kehidupan kita dirahmati dan mendapat keberkatan daripada Allah.
Sebermula, maka kedengaranlah kepada Sultan Nasruddin akan ayahanda baginda datang itu. Maka baginda pun segeralah keluar mengalu-alu kan ayahanda baginda dengan sukacitanya; setelah bertemulah, lalu sujudlah dikaki ayahanda baginda. Maka dipeluk dicium baginda akan anakanda baginda lau masuk ke negeri lalu naik ke istana. Maka Sulatan Nasruddin hendak memulangkan kerajaan kepada paduka ayahanda baginda, maka baginda pun tiada mahu. Maka ia duduk kepada suatu madrasah berfakir dirinya serta ibadat nya malam dan siang. Hatta, beberapa lamanya maka baginda pun minta izin hendak pergi haji kepada anakanda baginda kepada segala wazir menteri. Maka beberapa baginda mengajari paduka anakanda, demikian katanya, “hai anakku, bahawasanya Allah subhanahuwata'ala itu telah menjadikan kebesaran diatas hambanya itu pinjman sahaja. Maka engkau memegang kerajaan, janganlah menurutkan hawa nafsu dan hendaklah engkau berbuat adil dan bersikap sabar, kerana sebagaimana pun kebesaran didunia ini akan fana juga, adanya, hai anakku! Kerana dunia ini tempat persinggahan juga dan tiada akan kekal.” Maka pelbagai-bagailah pengajaran baginda kepada anakanda baginda. Setelah sudah, maka Sulatan Adam pun memohonlah kepada anakanda baginda itu dan kepada semua wazir dan pegawai-pegawai baginda maka baginda pun berjalanlah ke negeri Makkatul Musyarrafat yang maha mulia itu serta dengan 20 orang fakir bersama-sama dengan baginda. Hatta, maka beberapa lamanya maka baginda pun sampailah ke Mekah kepada sepuluh haribulan Zulhijjah, pada ketika segala isi Mekah pun keluarlah tawaf. Maka sultan Adam pun masuklah tawaf. Setelah sudah, maka duduklah baginda kepada kampung ulama, di sana baginda mengaji dan berbuat ibadat. Maka kata pula setengah, lalu baginda kembali ke rahmatullah dalam negeri Mekah itu; kalu inna lillahi wainna ilaihi rajiun. Maka kata bayan,”Demikianlah kisah Raja Adam.” Maka kata isteri khojah Maimun,”Hai bayan,sungguh engkau anakku;seperti anak yang aku jadikan rasanya boleh engkau melipurkan hatiku,hai anakku!” Maka kata bayan,”Ya Tuanku,bukannya mudah orang yang beranak angkat itu!Jikalau anaknya tiada berbuat bakti kepada ibunya,jadai sia-sailah anak itu;jikalau ada anak seperti anak Raja Ghair Malik itu,sempurnalah orang menjadi anak orang!” Maka kata Bibi Zainab ,”Hai bayan,ceritakanlah agar supaya ku dengar;mudahmudahan dapat dihayat,dari sebab itu lipur hatiku.” Maka Bayan pun berceritalah:
BIBLIOGRAFI Adnan Abdul Majid. 2005. Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Awang Sarian. 2007. Falsafah Dan Logika Melayu. Selangor:synergate Sdn. Bhd. Hashim Musa. 1998. Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu. Winstedt, Richard Olof, Sir. 1985. Hikayat Bayan Budiman. Petaling Jaya Selangor: Fajar Bakti. Http://ms wikipedia. Org./wiki/Hikayat_Bayan_Budiman