FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU JXEA 1104 HIKAYAT BAYAN BUDIMAN
NAMA : NORADIBAH HANIM BINTI MOHD NASIR NO . MATRIK : JEA 080079 NAMA PROF : DR . AMRAN MUHAMMAD
SEMESTER 1 SESI 2008/2009 AKADEMI PENGAJIAN MELAYU UNIVERSITI MALAYA
Pengenalan
Perkataan hikayat berasal daripada bahasa arab yang bermaksud “pelbagai sejarah”. Secara umumnya, kesusasteraan hikayat adalah suatu bentuk sastera yang berdasarkan khayalan dan imiginasi . Binaan strukturnya dibina atas rentetan pelbagai peristiwa yang dasar hubungannya merupakan watak atau watak yang sama . pengarang bertindak sebagai pencerita yang serba tahu . Kesusasteraan hikayat merupakan genre yang terbesar bilangannya dalam perbendaharaan kesusasteraan tradisional. Walaubagaimanapun, sebagai akibat perubahan masa , cerita – cerita jenis ini menjadi cerita rekaan berbentuk naratif . Kesusasteraan hikayat menjadi cerita yang mendukung fungsi hiburan yang begitu ketara .
Struktur cerita rakyat agak kompleks. Ceritanya bermula dengan penganalan watak - watak yang terlibat , masalah yang timbul yang melibatkan watak utama , diikuti dengan pengembaraan watak utama , penemuaan apa –apa yang dihajati , dan timbul pula masalah baru yang terpaksa dihadapi oleh watak utama. Akhir sekali , wira digambarkan dapat mengatasi segala rintangan dan seterusnya hidup bahagia . Melalui peristiwa yang melibatkan watak utama inilah kita memperoleh pengajaran dan pendidikan moral yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seperti kegigihan , ketaatan, dan kehidupan yang mulia. Unsur keagamaan juga turut diselitkan tanpa mengira kesesuaiannya dan perkara seperti pendaulatan bangsa, agama dan raja amat dititikberatkan dalam sesebuah karya .
Oleh yang demikian , tugasan ini juga merupakan salah satu daripada karya klasik melayu . Saya telah memilih “Hikayat Bayan Budiman” sebagai tajuk tugasan saya. Seperti hikayat atau karya klasik lain, bentuk sastera ini banyak berdasarkan mitos dan lagenda. Pelbagai peristiwa dapat digambarkan dengan penyampaian watak-watak yang terlibat dalam karya ini misalnya , Bayan Budiman , Tiung Rencana , Khojah Maimun , dan Bibi Zainab . Hikayat ini mampu menggambarkan atau menjelaskan fungsi / tujuan / makna yang tersirat yang perlu dihayati oleh pembaca . Kesinambungan plot dalam Hikayat Bayan Budiman ini akhirnya memberikan pengajaran dan pendidikan moral kepada pembaca . Oleh yang demikian , sinopsis kisah ini bolehlah dilihat pada muka surat seterusnya .
Petikan Hikayat Bayan Budiman
Maka sahut isterinya “Benar semata seperti kata tuan hamba itu,tetapi sungguhpun perniagaan dilaut itu sangat besar labanya,balanya pun amat besar.Tiada seharusnya tuan hamba pergi .Kerana harta didunia ini nyawa yang mulia terserling ke dalamnya. Kerana derham itu kongkong segala yang bebal;adalah ia seumpama air yang manis,mangkin diminum bertambah dahaga olehnya;syahadan,warnaya pun kuning,seperti muka orang durjana.Tetapi jikalau tuan hamba hendak belayar,sayugianya hamba dibawa oleh tuan hamba kerana kami perempuan ini seperti umpam kaus,nescaya kaki pun binasa.’’ Maka kata Khojah Maimun, ‘Hai nyamwaku dan buah hatiku dan cahaya mataku ! Amat benarlah kata tuan hamba itu; tetapi akan hal kita manusia hidup di dalam dunia ini , jikalau tiada emas , barang suatu pekerjaan tiadalah hasil , dari kerana emas itu kerjanya menghasilkan segala kehendak yang dimaksudkan sekalian ; harta itu tiada , kita cari juga . Adalah hamba dengan tuan hamba seperti mengerna dengan peta , binasa mengerna itu peta pun binasalah ia , dan rumahnya pun tiada kebajikan lagi .Adapun akan hamba pergi ini , hati hamba kebelakanglah , melainkan diperbanyak – banyaki doa tuan hamba kepada Allah subhanahuataala ; dan tuan hamba pun telah hamba serahkanlah kepada Tuhan seru sekalian alam.Tetapi amanat hamba , jikalau ada barang suatu pekerjaan , hendaklah tuan hamba muafakat dengan dua ekor unggas itu ; hubaya – hubaya jangan tiada,hai nyawaku! Kerana fitnah dunia ini amat besar lagi terlalu tajam daripada senjata.’ Setelah Khojah Maimun berpesan itu , maka ia pun bermohonlah kepada isterinya lalu dipeluk diciumnya akan isterinya itu , air matanya bercucuran habis basah kain bajunya . Maka lalulah diserahkan isterinya kepada dua ekor unggas itu , seekor bernama Bayan Budiman dan seekor bernama Tiung Rencana . Setelah sudah , maka Khojah Maimun pergilah belayar . Hatta , beberapa lamanya sepeninggalan Khojah Maimun itu belayar , maka dengan takdir Allah subhanahu wataala ke atas hambanya , maka pada suatu hari isteri Khojah Maimun , iaitu Bibi Zainab namanya , ia pun bercintalah akan suaminya yang pergi ,kerana beberapa lamanya tiada datang daripada belayar itu . Maka ia pun naiklah duduk pada tingkap mahligai itu berangin – angin seraya memandang ke jalan raya . Syahadan , pada ketika itu , maka anak raja di dalam negeri Ajam itu pun lalulah berkuda , dihampirinya sisi mahligai itu . Maka isteri Khojah Maimun pun memandang ke bawah . Maka anak raja pun sedang memandang ke atas mahligai itu . Maka sama bertemu mata sama mata , terpandanglah muka sama muka . Demi dilihat anak raja itu rupa Siti Zainab itu terlalu elok lagi baik parasnya , maka anak raja itu pun tersenyum . Maka Siti Zainab pun tersenyum pula . Maka dengan takdir Allah taala anak raja itu berahilah di dalam hatinya akan isteri Khojah Maimun itu; dan akan Siti Zainab pun tersangkutlah pada hatinya rupa anak raja itu . Setelah sudah , maka anak raja itu pun menyimpanglah ke rumah seorang perempuan tua . Setelah sampai , maka kata anak raja itu , “ Hai ibuku , pergi apalah ibuku , kusuruhkan kepada isteri Khojah Maimun itu , katakan padanya aku berkehendakkan dia dengan sesungguhnya , tiada boleh tidak , bagaimana juga daya upaya ibukulah akan meluluskan maksudku itu .” Setelah didengar oleh orang tua itu demikian kata anak raja itu , maka orang tua itu pun dengan segeralah ia pergi mendapatkan isteri Khojah Maimun itu . Setelah ia
sampai kepada Bibi Zainab itu , maka dikhabarkannya segala pesan perkataan anak raja itu ; serta lagi dengan beberapa pantun seloka madah dan syair yang memberi ghairat berahinya dengan pujuk yang lemah lembut , serta dengan manis mukanya meletakkan segala perkataan itu , memberi asyik berahi hati Bibi Zainab itu . Setelah didengar oleh Bibi Zainab akan segala perkataan orang tua itu , maka hatinya pun terikatlah akan raja itu dan api yang bernama asyik itu pun bernyalalah di dalam dadanya . Maka Siti Zainab pun berkehendaklah akan anak raja itu , seraya katanya, “ Hai ibuku , pergilah katakana kepada anak raja itu bahawa sekarang lagi siang hari , kalau – kalau didlihat orang banyak! Maka malam sekaranglah hamba pergi mengadap anak raja itu , tetapi jangan ibuku katakana pada seorang jua pun rahsia ini .” Setelah orang tua itu mendengar kata isteri Khojah Maimun demikian itu , maka ia pun segeralah kembali mengadap anak raja itu dengan sukacitanya . Sebermula , maka tersebutlah perkataan isteri Khojah Maimun itu . Setelah hari malam , maka ia pun memakailah pakaian yang amat indah –indah serta memakai bau – bauan yang amat harum baunya , akan ia hendak pergi mendapatkan anak raja itu . Setelah sudah , lalu ia pun turunlah keluar hendak berjalan . Maka ia pun teringatlah akan pesan suaminya itu , lalu ia pergi kepada burung tiung itu seraya katanya , “ Hai Tiung , beri apalah kira bicaramu , bahawa aku sangat berahi akan anak raja itu ; kerana sebab itulah aku hendak mendapatkan dia pada malam ini .” Maka diceritakanlah perihal berahinya itu . Setelah didengar oleh tiung kata Bibi Zainab itu , maka ia pun menampar dadanya dengan sayapnya , seraya katanya , “ ya tuan yang kecil molek , siti yang baik rupa , pekerjaan apakah yang tuan hamba hendak kerjakan ini ? Tiadakah tuan takut akan Allah subhanahu wataala dan tidakkah malu akan Nabi Muhammad , maka tuan hendak mengerjakan maksiat lagi dilarang Allah taala dan ditegah Rasullullah sallallahualaihi wasallam . Istimewanya puala sangat kejahatan , dan tiada wajib atas segala perempuan membuat pekerjaan yang demikian itu . Tiadakah tuan mendengar dalam Quran dan kitab Hadis Nabi , maka barangsiapa perempuan yang menduakan suaminya , bahawa sesungguhnya disulakan oleh malaikat di dalam neraka jahanam seribu tahun lamanya ? Sebagai lagi pula , tiadakah tuan malu dengan segala makhluk di dalam dunia ini , kerana tuan isteri saudagar ? Sabar apalah tuan dahulu , kerana hampirlah suami tuan datang , insyaAllah bangat juga ; jikalau diketahuinya , tiadakah tuan takut mati dibunuh ? Alangkah aibnya nama tuan disebut segala isi alam dunia ini . Setelah sudah isteri Khojah Maimun mendengar kata tiung , maka ia pun terlalulah marah , katanya , “ Kerana bagimu tiada engkau tahu akan hal hati orang berahi! Ku sangkakan engkau ada menaruh timbang rasa , kerana sama perempuan . “ Maka disentakkannya tiung itu dari dalam sangkarannya lalu dihempaskannya ke bumi. Maka tiung pun matilah . Setelah dilihat oleh Bayan kelakuan Bibi Zainab membunuh tiung itu tiada dengan semena – menanya , maka ia pun mendiamkan dirinya pura –pura tidur . Maka Bibi Zainab pergilah mendapatkan bayan serta dibangunkannya . Maka bayan pun pura –pura terkejut , serta katanya , “ Apakah tuan dating ke mari dalam malam kelam ini? Tiadakah tuan takut membangunkan hamba tuan sedang lelap tidur ini? Apatah maksud tuan yang besar , maka dating ini? Dan hendak ke mana gerangan tuan ini? “
Maka oleh isteri Khojah Maimun segala perinya berahi akan anak raja itu dikatakannya , ujarnya , “ Aku hendak pergi mendapatkan anak raja itu , kerana sangatlah asyik berahinya hatiku akan dia . Betapa bicaramu , hai bayan yang bijaksana ?” Setelah didengar bayan kata isteri Khojah Maimun demikian itu , maka ia pun berfikir seketika didalam hatinya , “ Jikalau tiada kuturutkan kehendak perempuan celaka ini , kalau – kalau aku pun diperbuatnya seperti tiung itu! Jikalau demikian , baiklah kuperlalaikan dan kusukakan hatinya dengan barang daya upayaku .“
Sinopsis Hikayat Bayan Budiman
Pada suatu hari , Khojah Maimun menyatakan kepada dua unggasnya bahawa beliau ingin pergi berniaga ke negeri lain selama beberapa waktu . Maka beliau berpesan kepada unggasnya supaya menjaga isterinya yang jelita itu . Setelah beberapa lama ditinggalkan suaminya , Bibi Zainab merasa kesepian . Suatu hari dihadapan rumahnya lalu seorang anak raja negeri itu . Bibi Zainab merasa tertarik hatinya , begitu juga dengan anak raja tersebut . Maka Bibi Zainab pun berniat pergi menemuinya untuk memenuhi hasratnya pada malam hari . Sebelum berangkat , Bibi zainab bertanya kepada Tiung Rencana tentang niatnya itu . Tiung Rencana menasihati Bibi Zainab untuk membatalkan niatnya kerana melanggar ajaran tuhan . Zainab pun marah lalu membunuh Tiung Rencana. Melihatkan perbuatan Bibi Zainab , Bayan pun khuatir bahawa dia akan dibunuh juga jika menyanggah cakap tuannya . Maka ketika Zainab meminta pendapatnya tentang apa yang ingin dilakukannya , maka Bayan pun berceritalah tentang sebuah hikayat .
Zainab sangat tertarik mendengar cerita Bayan sehingga dia tidak sedar hari telah menjelang pagi setelah cerita itu selesai dikisahkan . Keesokan harinya , ketika Zainab berniat pergi menemui anak raja , Bayan menceritakan satu lagi hikayat dan Zainab sukacita mendengarkan hingga pagi menjelang . Begitu seterusnya sehingga Zainab lupa memenuhi hasratnya untuk menemui anak raja . Kisah pertama yang diceritakan oleh Bayan Budiman adalah tentang burung yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar . Kisah
ini mengisahkan tentang isteri yang berzina semasa peninggalan suaminya yang belayar . Kisah pertama ini memberi nasihat awal kepada Bibi Zainab untuk menghalangnya berzina . Setelah mendengar kisah tersebut , cubaan Zainab untuk bertemu anak raja itu terbatal kerana hari sudah siang takut diketahui umum .Pada malam berikutnya Zainab sangat tertarik mendengar cerita Bayan Budiman sehingga dia sendiri memaksa Si Bayan bercerita meskipun bayan memujuk Zainab supaya mengunjungi putera raja . Ini menunjukkan bahawa pesan yang disampaikan cerita Si Bayan Budiman memberikan pengajaran berharga kepada Zainab .Bayan menceritakan sebuah cerita setiap malam sehingga mencapai 24 malam .
Setelah kisah ke – 24 , Khojah Maimun akhirnya pulang ke negerinya . Bertemankan nasihat Bayan Budiman, Bibi Zainab bersabar menunggu kepulangan suaminya (Khojah Maimun) . Maka ketika Khojah Maimun pulang dari pelayaran , Zainab tidak pernah berzina dan suaminya berasa terharu dengan kesetiaan isterinya itu . Sebagai bentuk pengucapan terima kasih kepada Bayan Budiman , Zainab memohon kepada suaminya untuk melepaskan Bayan Budiman supaya dapat kembali kepada keluarganya di hutan . Namun demikian , Bayan Budiman tetap mengunjungi kedua suami isteri itu setiap enam hari sekali .
Menurut pandangan falsafah .
Falsafah dapat ditafsirkan sebagai pendapat , penyelidikan , pegangan , ilmu pengetahuan dan proses mengukur atau menguji sesuatu kejadian . Falsafah sering dikaitkan dengan tokoh – tokoh ternama seperti Aristotle , Plato , Thales , Ibnu Sina dan sebagainya . Falsafah juga berkait rapat dengan pemikiran serta tindakan yang benar iaitu keputusan yang dibuat berdasarkan logik akal . Ilmu falsafah cuba menyelami atau merungkaikan sesuatu secara lebih mendalam dan terperinci daripada sifat zahir/fizikal/luaran yang ditafsirkan melalui pancaindera .
Merujuk teks Hikayat Bayan Budiman , terdapat falsafah disebalik kisah tersebut . Falsafah yang dimaksudkan ialah tema , pegangan atau pun moral cerita yang ingin disampaikan melalui kisah tersebut . Melihatkan teks Hikayat Bayan Budiman , antara nilai dan konsep yang dapat dirungkaikan ialah konsep ketaatan dan kasih sayang . Konsep ini dapat dipecah-pecahkan kepada beberapa bahagian iaitu ketaatan dan kasih sayang antara suami (Khojah Maimun) dan isteri (Bibi Zainab) , haiwan peliharaan ( Bayan Budiman dan Tiung Rencana ) dengan tuannya dan kasih sayang antara Bibi Zainab dengan anak raja . Oleh yang demikian , pengarangnya menggabungkan fungsi penggunaan akal , pancaindera dan hati/kalbu secara saling bergantungan . Nilai ini jelas memaparkan kasih sayang dan ketaatan Bibi Zainab kepada suaminya (Khojah Maimun) . Nilai ini dapat dilihat ketika Khojah Maimun membuat keputusan ingin belayar . Kasih sayang yang ditunjukkan Bibi Zainab mengumpamakan “…kerana kami perempuan ini seperti umpama kaus ; jika tiada kaus , nescaya kaki pun binasa. “) , dimana Bibi Zainab mengibaratkan kaum perempuan sebagai pelengkap dalam sesebuah keluarga . Nilai
kasih sayang yang terdapat dalam petikan itu menggambarkan keutuhan ikatan kasih sayang yang erat sehingga tidak mahu terpisah antara suami isteri . Konsep ini lebih menggunakan kredibiliti hati/kalbu , dimana keputusan yang dibuat Bibi Zainab lebih mentafsirkan jawapan mengikut emosi dan perasaan . Pada mulanya , Bibi Zainab berasa berat hati ingin membenarkan suaminya pergi belayar . Hal ini kerana dia memikirkan tentang risiko yang tinggi ketika di laut . Namun demikian dengan rasa hormat , taat dan kasih kepada suaminya, Bibi Zainab membenarkannya pergi belayar ke laut .
Selain itu , konsep kasih sayang dan ketaatan ini dapat juga ditafsirkan antara haiwan peliharaan dan tuannya . Tiung Rencana serta Bayan Budiman taat dan patuh kepada amanat yang diberi tuannya supaya menjaga Bibi Zainab . Bibi Zainab juga diminta bekerjasama dengan unggas – unggas itu dalam menentukan sebarang pekerjaan . Melalui sudut pandangan epistimologi iaitu kajian tentang ilmu pengetahuan , kasih sayang dan ketaatan Bayan Budiman serta Tiung Rencana dengan amanat tuannya dapat dilihat melalui nasihat – nasihat dan kerjasama yang diberikan oleh mereka . Bayan Budiman menggunakan pendekatan nasihat yang berbentuk tersirat , iaitu secara halus dengan menceritakan kisah hikayat kepada Bibi Zainab sebelum dia berhasrat keluar menemui anak raja itu . Manakala , Tiung Rencana menasihati Bibi Zainab secara tersurat iaitu dengan menilai dan mengkritik perbuatan Bibi Zainab lalu membandingkan dengan nilai disisi agama . Menggunakan logika iaitu pertimbangan akal fikiran , Bayan Budiman memilih untuk menceritakan beberapa hikayat kepada isteri tuannya apabila diajukan pendapat . Nilai kasih sayang dan ketaatan ini amat kuat sehingga kisah hikayat
yang disampaikannya mampu membuatkan Bibi Zainab berfikir serta membantutkan niatnya untuk bertemu anak raja itu . Merujuk kepada nilai dalam hikayat ini dapat mencerminkan bahawa dengan menggunakan kewibawaan akal fikiran , maka segala masalah dapat diselesaikan . Hal ini disokong oleh tokoh Rene Descartes yang merupakan pengikut aliran rasionalisme , dimana beliau menegaskan bahawa segala ilmu pengetahuan itu selalunya diperolehi dari fakulti akal .
Konsep kasih sayang dan ketaatan dalam kisah hikayat Bayan Budiman ini dapat ditunjukkan juga melalui hubungan antara anak raja dan Bibi Zainab . Perasaan ini berputik ketika anak raja melalui rumah Bibi Zainab yang berada dijendela ketika itu . Setelah terpandang kejelitaan wajah Bibi Zainab , anak raja mula tertarik hati kepadanya. Oleh kerana anak raja itu tertarik dengan rupa paras Bibi Zainab , maka baginda menyuruh seorang tua untuk menyampaikan pesan akan kehendaknya kepada Bibi Zainab . Konsep kasih sayang antara Bibi Zainab dengan anak raja ini lebih menggunakan kewibawaan penggunaan pancaindera dalam kehidupan . Sesetengah pendapat mengatakan sumber ilmu dengan pancaindera hanya sementara dan tidak kekal dengan pengukuran kebenarannya . Hal ini dapat dibuktikan apabila , Bibi Zainab tidak lagi mahu ingin bertemu anak raja setelah mendengar kisah – kisah hikayat yang diceritakan oleh Bayan Budiman , dimana pada mulanya masing – masing tertarik akan kecantikan rupa paras mereka . Merujuk dunia sebenar , terdapat aliran falsafah yang turut menggunakan pertimbangan pancaindera semata – mata iaitu aliran Empirisisme, dimana pengikut aliran ini lebih mempertimbangkan perkara yang dilihat dan dialami .
Selain nilai kasih sayang dan ketaatan yang terdapat dalam Hikayat Bayan Budiman ini , terdapat juga nilai kebijaksanaan yang dapat diketengahkan . Nilai kebijaksanaan ini telah ditunjukkan oleh watak utama iaitu Bayan Budiman . Misalnya , melalui pendekatan nasihat yang diberikan Bayan kepada Bibi Zainab . Bayan memilih untuk menasihati Bibi Zainab secara penceritaan hikayat – hikayat apabila melihat Tiung Rencana yang dibunuh akibat menasihati Bibi Zainab secara telus iaitu dengan cara membandingkan perlakuannya dengan pandangan dari sudut keagamaan . Beberapa hikayat telah diceritakan setiap malam bagi mengelakkan Bibi Zainab bertemu anak raja . Hikayat yang diceritakan Bayan mendukung pengajaran tersendiri yang mampu memberi kesedaran kepada Bibi Zainab , meskipun Bayan Budiman cuba memancing Bibi Zainab supaya berjumpa anak raja itu . Kisah pertama yang diceritakan ialah mengenai burung yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar yang berzina semasa peninggalan suaminya . Kisah pertama ini pemberi nasihat awal kepada Zainab untuk menghalangnya berzina . Kebijaksanaan akal Bayan akhirnya mampu melindungi tuannya daripada melakukan kesilapan , dan dia akhirnya mendapat ganjaran iaitu dibebaskan dan pulang kepada keluarganya . Dengan kebijaksanaan penggunaan akal fikiran manusia juga dapat menyelesaikan apa juga masalah , tambahan lagi dengan pelbagai kemudahan yang didapati kini .
Rumusan Secara tuntasnya , nilai dan konsep dalam kisah Hikayat Bayan Budiman ini dapat memberikan pengajaran dan pedoman kepada masyarakat . Walaupun nilainya disampaikan secara tersirat , namun ia mampu membuatkan manusia berfikir akan makna yang ingin disampaikan . Nilai kasih sayang dan ketaatan begitu penting dalam sesebuah institusi masyarakat , ini kerana perpaduan dan keamanan negara bermula daripada kasih sayang serta ketaatan yang utuh dari ikatan kekeluargaan . Manakala , konsep kebijaksanaan pula mendidik manusia berfikir tentang makna , fungsi dan tujuan sesuatu kejadian itu berlaku atau dicipta . Kemahiran penggunaan akal mampu mengelakkan manusia dari melakukan kesilapan serta membolehkan manusia memikirkan idea – idea baru berikutan perkembangan kemudahan sains dan teknologi masa kini . Oleh itu , karya – karya klasik ini hendaklah diberi lebih perhatian kerana setiap karya klasik itu terdapat intipati yang ingin disampaikan .
Bibliografi
Awang Sariyan . 2007 . Falsafah dan Logika Melayu . Selangor : Synergate Sdn Bhd .
Hashim Musa . 1998 . Falsafah dan Logika Melayu . Kuala Lumpur . Akademi Pengajian Melayu .
Winstedt , Richard Olof , Sir 1878 – 1966 . Hikayat Bayan Budiman . Petaling Jaya . Selangor : Fajar Bakti , 1985 . Adnan Abd.Majid . 2005 . Mutiara Sastera Melayu Tradisional . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka . http://ms.wikipedia.org/wiki/Hikayat_Bayan_Budiman http://klasik.blogmas.com/2007/11/15/hikayat-bayan-budiman/