Agama Boleh Bendung Cubaan Bunuh Diri 18 Mac, 2009 12:26 PM Oleh Melati Mohd Ariff KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Krisis bunuh diri mungkin menimpa individu yang mengalami penderitaan emosi atau fizikal. Bagi golongan ini, mereka tidak lagi sanggup menanggung penderitaan atau yakin tidak ada lagi jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi. Mereka juga mungkin merasakan masalah itu tidak akan berakhir. Demikian pandangan Dr Nor Hayati Ali, penyiasat utama Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM). Beliau juga merupakan pakar perunding dan ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kajang. Dr Nor Hayati menjelaskan bahawa individu yang sudah tidak sanggup menanggung penderitaan berada dalam situasi di mana penderitaan emosi atau fizikal sudah sampai kepada paras yang dia tidak lagi sanggup menahannya. "Bagi golongan ini mereka percaya tidak ada jalan penyelesaian bagi derita emosi atau fizikal yang dialami, mereka sudah tidak nampak jalan keluar untuk merungkai masalah yang mendatangkan penderitaan kepada mereka. "Individu yang mengalami derita emosi atau fizikal yang agak lama pula menjangka keadaan yang mendatangkan penderitaan tidak akan berubah dengan sendiri. "Ini mencerminkan rasa putus asa yang juga pencetus risiko bunuh diri," kata Dr Nor Hayati dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Hospital Kajang baru-baru ini. PERANAN AGAMA Pakar psikiatri ini berpendapat pegangan agama dan keimanan individu boleh melindungi seseorang itu daripada terdorong untuk membunuh diri. "Agama menekankan tingkah laku yang soleh dengan kepercayaan bahawa Tuhan akan sentiasa bersama kita dalam apa jua keadaan. Ini sudah tentunya menjadi penawar kepada sebarang perasaan kecewa atau putus asa. "Bagaimanapun, sekiranya seseorang pesakit itu mengalami kecelaruan mental atau satu kejadian kehidupan yang amat hebat, ini mungkin akan menjejaskan kemampuannya untuk membuat pilihan," jelasnya. Pada peringkat ini, kata Dr Nor Hayati, anggota keluarga, kawan rapat serta masyarakat
mempunyai peranan utama untuk memastikan individu berkenaan tidak merasa terpinggir atau disisih. "Individu ini amat memerlukan perhatian dan bantuan segera," katanya. MENCEGAH BUNUH DIRI Dr Nor Hayati menjelaskan seterusnya bahawa kajian telah menunjukkan satu daripada kaedah pencegahan bunuh diri yang berpotensi yang boleh diketengahkan dikenali sebagai latihan 'gatekeeper'. 'Gatekeepers', katanya adalah mereka yang mungkin bertembung atau bersemuka dengan individu yang mahu membunuh diri, dalam urusan kerja mereka seharian seperti pegawai polis, guru agama, pegawai penjara, guru dan kakitangan sekolah, pekerja kebajikan dan doktor. Sering kali, individu berkenaan menerima latihan yang sedikit atau tidak mendapat sebarang latihan khusus dalam mengenal pasti risiko bunuh diri dan bagaimana mereka boleh membantu individu tertentu. "Latihan Gatekeeper ini bukan sahaja membabitkan maklumat mengenai cara menilai risiko serta pengendalian segera individu yang mempunyai naluri bunuh diri. "Ia juga secara umumnya menyediakan maklumat mengenai perujukan serta bantuan yang boleh diperoleh daripada perkhidmatan lain dalam kalangan masyarakat mereka, termasuk rawatan untuk kemurungan, ketagihan arak dan penyalahgunaan najis dadah," katanya. Dr Nor Hayati turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah perlu ke arah pencegahan bunuh diri, satu daripadanya ialah dengan menggalakkan pihak media supaya menyiarkan laporan yang lebih bertanggungjawab. "Individu yang mungkin terdahulunya pernah menyimpan niat untuk membunuh diri tetapi menukar fikiran apabila memikirkan kesan negatifnya, boleh terpengaruh apabila melihat satu-satu kes bunuh diri yang dipaparkan oleh media dengan begitu hebat, seolah-olah tindakan membunuh diri itu diterima media," katanya. Fenomena ini dipanggil sebagai "peniru bunuh diri" atau "kesan berjangkit". Oleh itu adalah amat penting bagi akhbar tidak menjadikan bunuh diri sebagai satu berita sensasi atau menyiarkan laporan yang terlalu terperinci mengenai kes cubaan bunuh diri atau kes bunuh diri, katanya. MINDA ANDA KESIHATAN ANDA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan kesihatan sebagai keadaan
lengkap fizikal, mental dan kesejahteraan sosial dan bukan semata-mata tiada penyakit. Justeru, menurut Dr Nor Hayati, kesihatan mental yang merujuk kepada fungsi minda adalah komponen penting kesihatan seseorang individu. "Individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik sering merasa seronok dengan dirinya. Mereka juga merasa senang dengan orang lain termasuk dalam jalinan hubungan peribadi serta mampu memenuhi tuntutan hidup," jelasnya. Beliau berkata individu yang mempunyai kesihatan mental yang tidak memuaskan biasanya merasa tidak gembira, berada dalam keadaan lemah dan sangsi dengan kehidupan semasa juga masa depan mereka. Katanya individu itu juga mempunyai rasa harga diri yang rendah di samping merasa diri terpinggir daripada masyarakat. Individu-individu berkenaan juga merasa terhimpit dengan kejadian kehidupan yang buruk dan sering merasa tekanan hidup yang tidak dapat dikawal. "Kemurungan adalah penyakit fizikal yang menjejaskan otak, menyebabkan ketidakseimbangan kimia di kawasan yang mengawal fungsi biologikal dan sosial," katanya. Menurut beliau, kajian dalam "kualiti kehidupan" menunjukkan kemurungan mempunyai impak yang lebih serius ke atas kemampuan seseorang untuk berfungsi, seperti mengingati sesuatu, membuat keputusan atau pergi bekerja apabila dibandingkan dengan penyakit kronik yang lain. Dr Nor Hayati berkata jika seseorang itu terlalu uzur untuk mengenal pasti kesulitan yang dialaminya, keluarga dan rakan individu itu disarankan agar membantu beliau mendapatkan rawatan yang sewajarnya. DAPATKAN RAWATAN Dr Nor Hayati juga mengakui bahawa persepsi negatif terhadap orang yang mengalami kesukaran kesihatan mental mungkin menyebabkan orang berkenaan enggan tampil mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, keadaan itu dijangka beransur-ansur berubah kerana lebih banyak bukti saintifik menunjukkan kecelaruan mental mempunyai asas biologikal di dalam otak, dan ia bukan setakat 'kelemahan kerohanian'. "Dalam kebanyakan kes, mereka boleh didiagnos dan dirawat. Kebanyakan kemudahan kesihatan di Malaysia mempunyai pelbagai jenis ubatan yang boleh digunakan untuk merawat kemurungan. Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh mendatangkan penderitaan bukan sahaja kepada individu berkenaan tetapi juga keluarga dan masyarakat," katanya.
Dr Nor Hayati menasihatkan: "Sekiranya orang yang berhasrat mahu membunuh diri datang kepada anda untuk mendapatkan bantuan, kemungkinannya individu itu percaya anda adalah lebih penyayang dan anda lebih mengetahui bagaimana cara untuk menghadapi kesukaran hidup. "Mereka juga mungkin menjangkakan bahawa anda mampu untuk merahsiakan apa yang mereka ingin kongsikan. Walaupun apa yang diluahkan kepada anda mungkin begitu teruk dan negatif, individu itu tetap mempunyai pandangan yang positif terhadap anda." Menurut beliau terdapat banyak langkah kecil yang dapat kita lakukan untuk membantu mereka yang mahu membunuh diri dan untuk memudahkan mereka mendapatkan bantuan. "Biarpun kecil, langkah-langkah ini boleh menyelamatkan banyak nyawa dan mengurangkan penderitaan manusia," kata Dr Nor Hayati. MASING-MASING BERPERANAN Dalam menangani isu bunuh diri, Dr Nor Hayati percaya setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan. Beliau turut menyokong usaha Kementerian Kesihatan yang menjalin kerjasama dengan agensi-agensi lain yang menawarkan bantuan kepada mereka yang mahu membunuh diri seperti pertubuhan bukan kerajaan 'The Befrienders'. "Dengan lebih banyak data dihasilkan oleh NSRM, diharapkan kita dapat menyebarkan pemahaman asas terhadap faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang sakit mental. "Maklumat itu juga boleh membantu memahami faktor yang menyebabkan meningkatnya risiko untuk seseorang itu membunuh diri di Malaysia," katanya. Menurut Dr Nor Hayati, pengetahuan tertentu perlu juga disediakan mengenai ke mana orang yang berisiko tinggi perlu dihantar untuk mendapatkan penilaian dan rawatan lanjut serta pentingnya menjalani rawatan susulan. "Membantu orang untuk mempelajari kemahiran menyelesaikan masalah dan konflik serta mengendalikan pertelingkahan tanpa membabitkan sebarang unsur ganas juga menyumbang kepada pencegahan bunuh diri," jelas beliau. -- BERNAMA