Tugasan 3 (ajea).docx

  • Uploaded by: Usamah Young
  • 0
  • 0
  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Tugasan 3 (ajea).docx as PDF for free.

More details

  • Words: 2,152
  • Pages: 7
TUGASAN 3 Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dan sebuah negara yang dikenali sebagai masyarakat majmuk. Hasil campurtangan zaman penjajahan British dalam struktur sosio-politik masyarakat Melayu tradisi memberi kesan kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Kini, perpaduan seringkali dijadikan isu dalam masyarakat yang berbilang kaum. Hal ini kerana setiap kaum mempunyai prinsip kepercayaan, agama dan budaya hidup yang berbeza. Namun begitu, semangat perpaduan dan integrasi yang diamalkan terbukti dapat mematahkan apa jua halangan yang boleh memecahbelahkan sesuatu masyarakat bersamaan dengan pepatah Melayu bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Perpaduan merupakan satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama. Manakala, integrasi pula boleh diertikan sebagai satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah daripada segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik bagi mewujudkan perasaan cinta dan banggakan tanah air (Shamsul Amri, 2007). Jika digabungkan kedua-dua perkataan ini, perpaduan dan integrasi bermaksud mewujudkan satu masyarakat bersatu padu dengan satu identiti nasional. Hal ini menggambarkan perpaduan dan integrasi merupakan tunjang utama dalam memastikan kestabilan politik, ekonomi dan kesejahteraan sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Terdapat pelbagai faktor yang menjurus kepada pengukuhan perpaduan di Malaysia antaranya perkongsian kuasa politik. Faktor kejayaan besar Parti Perikatan adalah disebabkan oleh perpaduan dan gabungan tiga kaum yang terbesar di negara iaitu UMNO, MCA dan MIC. Ekoran semangat kerjasama dan perpaduan yang erat ini telah menyebabkan kemerdekaan Tanah Melayu dipercepatkan lagi. Sehingga ke hari ini kerjasama yang erat masih lagi diteruskan walaupun penukaran nama kepada Barisan Nasional. Kejayaan demi kejayaan yang besar dapat dicapai sepanjang lebih 60 tahun kemerdekaan disebabkan konsep integrasi nasional yang dilaungkan oleh kerajaan Malaysia sehingga kini. Usaha melaksanakan Gagasan 1 Malaysia antara elemen bagi membentuk masyarakat Malaysia di bawah satu payung yang sama yang cinta akan tanah air. Wawasan 2020 juga menekankan aspek perpaduan dan kerjasama di antara pelbagai kaum untuk keharmonian dan kesejahteraan negara. Kekuatan dan kejayaan Parti Perikatan adalah menunjukkan politik yang berasaskan sikap perkauman secara tolak ansur lebih senang diterima oleh orang ramai (Khoo Kay Kim, 1974). Perngukuhan perpaduan dan menerapan integrasi sejak dahulu lagi telah membuktikan prasyarat utama kestabilan potitik dalam negara pelbagai kaum di Malaysia.

Menurut Denison Jayasuria (2010) pula menyatakan bahawa perpaduan merupakan tema utama dalam pembinaan negara terutamanya setelah negara merdeka. Dengan mempunyai masyarakat yang pelbagai kauum sekali lagi isu berkaitan dengan perkongsian kuasa dikatakan sebagai antara mekanisme utama untuk mencapai perpaduan dan integrasi tersebut. Pandangan yang lebih jelas terhadap struktur perkongsian kuasa semakin ditekankan akhir-akhir ini supaya ianya dapat menyumbang kepada keamanan, perpaduan dan integrasi dalam sesebuah negara. Misalnya Kartini dan Suhana (2010), menekankan bahawa perkongsian kuasa politik yang melibatkan lebih dari dua kumpulan etnik akan mampu menghasilkan kesan yang baik. Contohnya Pilihanraya Umum Ke-14 yang akan diadakan tidak lama lagi menunjukkan gabungan beberapa kumpulan etnik dalam setiap parti-parti politik negara seperti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Ianya akan memastikan bahawa gabungan tersebut tidak akan meminggirkan mana-mana kumpulan. Setiap kumpulan akan mempunyai nilai daya saing secara positif untuk menyumbang kepada kesejahteraan negara. Hal ini sangat penting diamalkan dalam sesebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia. Pendangan ini disokong Tan Chee Beng (1982) melihat perspektif hubungan etnik di Malaysia berfokus kepada dua kelompok utama yang dilihat signifikan iaitu masyarakat Cina dan Melayu. Hubungan antara dua kumpulan masyarakat ini sering dilihat turun naik tetapi sangat penting dalam menentukan keseimbangan politik dan sosio-ekonomi Malaysia. Walau bagaimanapun, Thock Ker Pong dalam Sarjit dan Lee (2008) berpendapat bahawa meskipun Malaysia memiliki satu model politik yang ampuh untuk masyarakat majmuk bertunjangkan gabungan parti-parti politik, namun hakikatnya stabiliti yang wujud dalam negara sebenarnya masih rapuh. Sebagai contoh akhir-akhir ini sentiasa terpapar didada-dada akhbar mengenai konflik yang sering timbul di antara parti-parti politik negara sehingga menyebabkan pergaduhan atau tuduhan menfitnah dan sebagainya. Hal ini disokong kajian yang dilakukan oleh Arend Lijphart (1977) iaitu keseimbangan yang dicapai dalam negara majmuk tanpa penguasaan akan bersifat sementara dan bakal membahayakan hubungan etnik dimasa hadapan. Perkara ini telah dibuktikan apabila berlaku peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dahulu. Selepas itu muncul pula situasi hagemoni Melayu iaitu satu hakikat yang sukar diterima oleh orang-orang Cina di Malaysia. Oleh itu, perpecahan perpaduan kaum yang berlaku walaupun bersifat sementara telah menjadi satu titik hitam dalam sejarah Malaysia yang boleh mengakibatkan runtuhnya sesuatu institusi negara dan struktur politiknya akan terus terumbang-ambing. Keadaan yang berlaku telah menggambarkan betapa pentingnya amalan perpaduan dan menerapan integrasi dalam masyarakat majmuk bagi menjamin kestabilan politik negara.

Selain kestabilan politik, pemupukan perpaduan dan penerapan integrasi juga mempengaruhi kepada kemajuan ekonomi negara. Berdasarkan sejarah awal Malaysia, orang Cina dan India telah dipanggil datang ke Tanah Melayu untuk membantu pengurusan ekonomi di negara ini. Orang berbangsa Cina telah berkhidmat dalam sektor perlombongan dan perniagaan manakala orang India dihantar ke ladang-ladang. Maka, orang Melayu telah dinafikan penglibatan mereka dalam sektor ekonomi komersil dan bidang pekerjaan professional. Akibat daripada pengenalan dasar pecah dan perintah oleh penjajah, kehidupan orang Melayu dilihat begitu mundur kerana hanya hidup di kampung-kampung dengan menjalani kehidupan tradisional dan ekonomi sara diri seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sahaja. Mengikut pandangan Furnivall (1948), konsep masyarakat majmuk merujuk kepada masyarakat yang dicirikan dengan perpecahan tetapi dalam masyarakat majmuk perbezaan yang wujud dari segi ras dan etnik itu selari dengan perbezaan ekonomi sehingga ketegangan dan ketidakstabilan lebih mudah berlaku. Oleh sebab itu sebagai buktinya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah mula diperkenalkan oleh kerajaan setelah menyedari berlakunya keadaan ketidakseimbangan sosial ekonomi (Pusat Maklumat Rakyat, 2012). Era baru bermula dengan pelancaran Dasar Wawasan Negara (DWN). Dasar Wawasan Negara (DWN) yang terdapat dalam tempoh dekad kedua dalam pembangunan di bawah wawasan 2020 tertumpu kepada membangunkan negara yang maju dan terkenal di mata dunia. Tujuan pelakasanaan DWN dan DEB ialah untuk membasmi kemiskinan dengan menambah pendapatan dan menyusun semula masyarakat bagi memulihkan keadaan ekonomi yang tidak seimbang berdasarkan kepada kegiatan ekonomi dan tempat tinggal. Pelaksanaan DEB ini juga merupakan rancangan kerajaan untuk menghapuskan pengenalan kaum melalui pelbagai fungsi ekonomi. Melalui sektor ini, kerajaan membina perumahan sebagai penempatan kepada pekerjapekerja yang secara tidak langsung akan menjalani kehidupan dalam kejiranan yang sama. Dengan ini, bangsa dan kaum tidak lagi dikenali mengikut sektor atau pekerjaan seperti yang dilakukan semasa penjajahan British. Buktinya menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan peningkatan nilai ringgit yang kini telah melepasi paras psikologi 4.0 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), memberikan isyarat positif bahawa mata wang tempatan itu akan terus mengukuh dan berkembang seiring dengan pertumbuhan asas ekonomi negara (Berita Harian, 2018).

Slogan yang digunakan, “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” juga menunjukkan betapa komitednya kerajaan ke arah pembangunan negara yang menjadikan perkembangan ekonomi seimbang dalam kalangan kaum di Malaysia. Program ini jelas menyatupadukan masyarakat majmuk di Malaysia supaya hidup dalam keadaan harmoni seterusnya mengukuhkan lagi kestabilan ekonomi negara. Perpaduan kaum dan integrasi juga akan menarik pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia. Kedatangan pelabur asing ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dan akan meningkatkan pendapatan negara. Industri pelancongan merupakan salah satu industri yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (2013) industri pelancongan menjadi sektor kelima terbesar yang menyumbang kepada ekonomi negara dengan menjana pendapatan negara kasar (PNK) sebanyak RM36.9 bilion dengan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 24 juta orang pada tahun 2009. Dijangkakan menjelang tahun 2020, industri ini akan terus berkembang dan akan menyumbang RM103.6 bilion kepada PNK dan bilangan pelancong akan meningkat kepada 36 juta orang. Hal ini demikian, perpaduan kaum dan integrasi nasional yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia akan menarik minat pelancong dari luar negara untuk melihat sendiri amalan perpaduan kaum dan menerapan integrasi yang menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia. Seterusnya, kesejahteraan sosial dalam kalangan kaum di Malaysia juga dapat diwujudkan apabila elemen perpaduan dan integrasi diberikan keutaman. Dasar Sosial Negara (DSN) adalah satu dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap. Menurut Ting Chew Peh (1987), proses mencapai sebuah masyarakat integrasi bukanlah sesuatu yang mudah. Integrasi adalah suatu proses yang kompleks. Banyak contoh yang boleh dilihat hari ini bagaimana sesebuah negara boleh hancur disebabkan rapuhnya perpaduan dan tiada integrasi di kalangan rakyatnya. Sebagai contohnya ialah negara Iraq di mana perpecahan di kalangan penduduk puak Sunni dan Syiah telah membuka ruang dan peluang kepada tentera penceroboh untuk masuk campur dan juga memporak-perandakan negara tersebut. Pertumpahan darah juga sering berlaku di negara ini sehingga menyebabkan begitu ramai penduduk yang telah kehilangan nyawa. Ekoran daripada Peristiwa 13 Mei 1969, Jabatan Perpaduan Negara kini dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ditubuhkan bagi menggerakkan program-program yang boleh memupuk perpaduan dan integrasi secara lebih menyeluruh.

Antara program yang telah dijalankan ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program yang bermula pada tahun 2004 ini bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk keharmonian kaum dan integrasi kebangsaan, membentuk perwatakan positif melalui nilai moral, menanam semangat kesukarelaan dan membentuk golongan muda yang aktif dari aspek fizikal, mental dan berkeyakinan diri. "Program kita tidak sama seperti di negara luar kerana program mereka lebih kepada ketenteraan, tapi Malaysia lebih kepada kepada perpaduan, pembentukan jati diri dan kerja-kerja kemasyarakatan.", kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara dalam Jamaluddin (2011). Dapatan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara Kementerian Pertahanan Malaysia mendapati hasil indeks pada tahap 8.4512 per 10 yang menunjukkan impak positif patriotisme kepada bekas pelatih PLKN. Majoriti bekas pelatih juga berpendapat program ini memberi impak yang tinggi kepada kenegaraan dan kesejahteraan sosial. Walaupun pada awal tahun pelaksanaannya ia menerima pelbagai reaksi dan kritikan lebih-lebih lagi dari segi pengurusan, namun kini diakui oleh pelbagai pihak bahawa program ini dapat membentuk sikap yang lebih positif seterusnya mewujudkan kesejahteraan sosial dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum terhadap diri, keluarga, dan negara. Sekolah wawasan juga telah ditubuhkan oleh kerajaan sebagai usaha menyatupadukan semua kaum di Malaysia. Sekolah wawasan ini melibatkan semua warganegara Malaysia di sekolah tidak mengira kaum. Hal ini dapat mengatasi masalah perbezaan jurang perkauman yang sebelumnya juga disebabkan oleh modul yang diambil daripada negara masing-masing seperti negara Cina dan India. Setiap kaum belajar menggunakana modul yang sama disamping menjalani separuh daripada kehidupan seharian di sekolah bersama-sama. Seterusnya, kerajaan juga telah menjalankan Gagasan 1 Malaysia dalam usaha menghadapi cabaran wawasan 2020 yang kelima iaitu mewujudkan masyarakat yang liberal dan bertolak ansur. Bagi menjadikan wawasan ini tercapai masyarakat perlu mempunyai kesedaran bahawa semua orang mempunyai tanggungjawab yang sama menghormati persamaan dan perbezaan setiap kaum dan etnik. Teras utama Gagasan 1 Malaysia ialah mengubah asas perhubungan etnik di Malaysia dari konsep toleransi kepada konsep penerimaaan. Transformasi ini amat penting kerana setiap etnik dan kaum perlu menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia dan bersaudara. Hal ini membuktikan bahawa adanya amalan perpaduan dan integrasi maka kesejahteraan sosial jelas dapat diwujudkan.

Kesimpulannya, sikap bertolak-ansur, hormat-menghormati antara kaum harus sentiasa berada di dalam jiwa nyawa setiap kaum demi memupuk persefahaman yang kukuh. Isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan perpaduan harus disingkirkan. Penekanan berterusan harus diberi kepada pengecilan jurang ekonomi di bandar mahupun di luar bandar, pendapat politik yang sepakat serta pembentukan masyarakat sehaluan. Cabaran-cabaran untuk mengekalkan perpaduan bukan sahaja setakat dilaung-laungkan sahaja tetapi dipraktikan dengan segera. Ini memberi iktibar kepada diri kita, bangsa dan masyarakat dengan harapan negara terus maju dan aman disamping menjadi teladah kepada dunia. Justeru beberapa pendekatan kerajaan seperti transformasi politik, transformasi kerajaan, plan transformasi ekonomi, konsep Satu Malaysia disarankan untuk dihayati oleh generasi hari ini. Ia memerlukan penghayatan, penghormatan, keyakinan serta pengetahuan terhadap semua pendekatan-pendekatan ini bagi membolehkan generasi muda mudah memainkan peranan serta tanggungjawab mereka dalam membina satu keyakinan generasi dewasa. Justeru perpaduan dan integrasi merupakan agenda penting dalam memastikan negara sentiasa dalam keadaan terjamin.

RUJUKAN

Arend Lijphart. (1977). Democracy in Plural Societies: A Comparative Exploration. New Haven: Yale University Press. Berita Harian. (Januari 8, 2018). Peningkatan ringgit bukti ekonomi kukuh – PM. Berita Harian. Denison Jayasuria, (2010) “ National Unity Advisory Panel: Opportunities & Challenges In A Multi Ethnic Society”. Managing Success in Unity. Department of National Unity and Integration Prime Ministers Department. Putrajaya. Jamaluddin. (2011). Sistem Pendidikan di Malaysia: Dasar, Cabaran, dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional. Sosiohumanika, Vol. 4 Iss: 1 pp. 33-48. Kartini dan Suhana. (2010), Managing Success in Unity. “Power Sharing And Unity: The Politics Of Alliance In Plural Society”. Department of National Unity and Integration Prime Ministers Department. Putrajaya. Laporan Tahunan Program Transformasi Negara. (2013). Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan. Jabatan Perdana Menteri. Putrajaya Khoo Kay Kim. (1974). “Kuala Terengganu: International Trading Centre” dlm. Malaysia in History. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia. Pusat Maklumat Rakyat. (2002). Diambil pada Mac 25, 2018, dari http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/88-dasar-dasar negara/237-dasar-ekonomi-baru-.html Sarjit dan Lee. (2008). Masyarakat Kepelbagaian Sosial di Malaysia. Serdang, Selangor: Penerbitan UPM. Shamsul Amri. (2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Penerbit UITM. Tan Chee Beng. (1982). Ethnic Relations in Malaysia dalam David Y.H Yu (ed). Ethnicity And Interpersonel Interaction – A Cross Cultural Study, Singapore; Maruzen Asia. Ting Chew Peh. (1987). Hubungan Ras dan Etnik. Kuala Lumpur: Pustaka Dimensi.

Related Documents

Tugasan 3
May 2020 13
Tugasan 3
May 2020 7
Tugasan 3
May 2020 9
Tugasan 3
May 2020 11
Tugasan 3.docx
December 2019 11

More Documents from ""

Tugasan 3 (ajea).docx
November 2019 14
Senarai Kandungan.docx
November 2019 24
Tugasan 3 (1).docx
November 2019 21
Inovasi Shahrul.docx
November 2019 25