TIADA SEPI BAGIMU : TEKNIK BERDISKUSI DALAM KULIAH
K AN
AJI
TINDAKAN OLEH: MAHAWA BINTI PILUS dan SITI NORKIAH BINTI DOLAH INSTITUT PERGURUAN ISLAM TIADA SEPI BAGIMU : TEKNIK BERDISKUSI DALAM KULIAH
Oleh MAHAWA BINTI PILUS dan SITI NORKIAH BINTI DOLAH INSTITUT PERGURUAN ISLAM ABSTRAK Kajian tindakan ini dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran mengajar saya dengan menggunakan teknik berdiskusi. Kajian dimulakan apabila mendapati tidak semua pelajar melibatkan diri semasa aktiviti berdiskusi, sama ada mereka mendominasi kumpulan atau berdiam diri. Saya bertindak untuk mengatasinya dengan memberi peranan kepada setiap ahli kumpulan. Setiap pelajar diberi giliran serta ditentukan masa untuk memberi sumbangan idea. Tindakan mengubah kedudukan pelajar dilaksanakan, dari susunan meja berbentuk tradisi kepada susunan meja berbentuk modular agar memudahkan interaksi pelbagai hala. Menstruktur semula penyusunan kerusi meja pelajar telah meluaskan jaringan sosial pelajar yang akhirnya menyumbang kepada keberkesanan komunikasi. Pelajar juga perlu membuat pembacaan terhadap tajuk-tajuk tertentu sebelum kelas bermula. Setiap diskusi dipantau. Pengurusan masa diperbaiki dengan penegasan setiap langkah pengajaran perlu mematuhi masa yang telah ditetapkan. Galakkan diberi kepada pelajar untuk berani berhujah, tugasan yang diberi pula memerlukan aras pemikiran tinggi. Pemerhatian, temubual, jurnal refleksi dan analisis dokumen digunakan untuk mengutip data. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perubahan positif di kalangan pelajar semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Kajian ini menyedarkan saya bahawa sosialisasi pelajar di dalam bilik darjah perlu dibaiki sebagai satu cara untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi, di samping persediaan perancangan yang rapi untuk mengendalikan sesuatu kelas dengan teknik berdiskusi.
Segalanya bermula di sini...
2
Institut Perguruan Aman yang terletak 7 km dari rumah saya merupakan satu destinasi wajib untuk saya setiap hari. Lima kali seminggu. Menempuh perjalanan merentasi Bandar Baru Bangi yang sibuk dan sesak setiap pagi, menyeberang sungai, jalan raya sesak dengan barisan lampu trafik yang tegak setia di setiap persimpangan, kilang-kilang yang berderetan merupakan pemandangan yang dihidangkan kepada pemandu sepanjang perjalanan ke kampus maktab. Perjalanan selepas jam 7.30 pagi ke kampus maktab adalah amat menyeksakan kerana deretan kereta akan berpusu di persimpangan lampu trafik di Sg. Merab, jalan pintas ke Putrajaya. Namun demikian, sebaik sahaja melepasi lampu trafik di persimpangan Sg. Merab keadaan menjadi sebaliknya, sunyi dan tiada sebuah kenderaan yang lalu di situ. Tersergam di atas bukit tulisan khat yang besar tertulis Institut Perguruan Aman, Masjid berkubah biru atau nama rasminya Masjid As-Shafie merupakan satu mercu tanda yang indah menggambarkan keunikan maktab ini yang mendokong lambang keislaman kerana hampir semua pelajarnya serta pensyarahnya adalah beragama Islam. Dengan kekuatan tenaga seramai 140 orang tenaga pengajar, institut ini mengkhusus dalam bidang pengajaran berasaskan Pendidikan Islam dan pensyarahnya disebarkan kepada 12 jabatan. Walaupun terdapat 11 jabatan lain di kampus ini, namun Jabatan Ilmu Pendidikan memikul tugas berat kerana jabatan ini merupakan jabatan yang menjadi nadi dan mendasari semua jabatan di maktab sini. Tenaga pengajar yang seramai 20 orang di jabatan ini diharapkan dapat menyediakan pelajar yang cekap, mengintegrasikan dan menyebatikan ilmu psikologi pendidikan dan pedagogi dengan kandungan mata pelajaran pengkhususan mereka. Harapan yang digalangkan ke bahu kami ialah agar pelajar yang keluar dari kampus ini dapat disediakan sebagai guru permulaan yang berketrampilan dan disegani dari segi kandungan ilmu dan pedagoginya. Inilah cabaran untuk saya, yang masih ”hijau” dengan Ilmu Pendidikan khususnya Psikologi Pendidikan dan Pedagogi. Berhijrah ke IP Aman dari sebuah maktab di Lembah Pantai rupa-rupanya memindahkan saya ke dunia baru, meneroka ke alam baru iaitu di ”Jabatan Ilmu Pendidikan” mulai Januari 2004, sebelum ini saya amat berbahagia dengan subjek saya : Bahasa Melayu yang sudah mendarah daging dan berakar umbi dalam diri kini saya perlu mengajar subjek Psikologi dan Pedagogi! Dengan pengalaman yang dangkal serta cetek mengendalikan subjek Psikologi Pendidikan, saya biasanya terbabas apabila mengendalikan kelas, ketika berjinak-jinak atau memberanikan diri ”mencuba” menggunakan kaedah perbincangan atau berdiskusi. Sering kali kelas saya menjadi ”kedai kopi” kerana bising yang tidak terkawal atau menjadi ”malam sepi” kerana tiada pelajar yang berbincang, sekadar setia menanti jawapan dari mulut saya. Akhirnya saya tersedar di penghujung kelas bahawa saya menjawab semua soalan saya sendiri! Waktu sudah pun berlalu... 1 jam sudah berakhir! Mungkin kerana fitrah diri saya yang peramah, menjadikan saya lebih selesa memberikan kuliah daripada mewujudkan sesi berdiskusi. Namun, saya berasa teruja untuk mengendalikan sesi perbincangan apabila saya diberi kesempatan melihat Ketua Jabatan saya mengendalikan Bengkel Pembelajaran Kooperatif di kalangan guru-
3
guru di Daerah Kelang. Semua peserta terlibat, tiada yang tertinggal. Kelas menjadi hidup, walaupun kelas waktu itu berada dalam ”zon dibuai mimpi” iaitu jam 2.30 – 4.30 petang! Kalaulah saya boleh melakukannya... Dengan harapan yang sebegitu tinggi, saya diamanahkan untuk mengajar kelas PISMP Bahasa Arab seramai 18 orang pelajar yang terdiri dari semua pelajar perempuan! Kelas PISMP ini terletak di tingkat 4. Kelas ini pada asalnya ialah sebuah kelas yang besar tetapi memandangkan bilik kuliah yang tidak mencukupi, bilik kuliah yang besar ini dibahagi kepada dua kelas. Jadi keadaan kelas ini agak ganjil kerana pintunya terletak di belakang dan semua suis kipas dan lampu adalah di bilik sebelah! Bilik kuliah dibekalkan dengan perabot yang sangat asas iaitu sebuah meja guru terletak di hadapan kelas, beralaskan alas meja usang berwarna merah tua yang sudah lusuh. Langsir berwarna merah jambu juga sudah berubah warna menjadi putih dan agak berdebu. Sejambak bunga plastik berdebu dengan gubahan yang sudah terurai di sana sini diletakkan di dalam pasu yang mungkin diwarisi dari bilik kuliah tahun sebelumnya, menghiasi meja guru dengan sebuah bekas meletakkan pen yang berlatarbelakangkan Masjidil Haram. Sebuah papan putih tersangkut kukuh di dinding. Sebuah jam dinding yang masih berfungsi dengan baik menjadi pengurus setia masa untuk pelajar-pelajar ini. 18 buah meja pelajar setia dengan susunan tradisi. Dua meja tambahan diletakkan di hadapan kelas sebagai tempat untuk meletak LCD dan OHP apabila diperlukan. Mestikah selama-lamanya begini? Inilah kali pertama saya diberi kelas PISMP opsyen Bahasa Arab. Program PISMP yang membawa maksud Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ialah satu progam yang baru diperkenalkan pada tahun 2004 dan sebelum itu pelajarpelajar ini mengikuti kursus persediaan PISMP. Para pelajar ini adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Pengalaman mengajar saya sebelum ini hanyalah mengajar kelas KPLI (Kursus Perguruan Lepas Ijazah) dan KDPM (Kursus Diploma Perguruan Malaysia). Kelas Bahasa Arab di bawah tanggungjawab saya ini terdiri daripada 18 orang pelajar yang semuanya puteri. Entah berapa kali saya memasuki kelas ini dengan menggunakan kaedah kuliah yang saya gemari dan sesekali menggunakan teknik diskusi sewaktu pengajaran. Kelas menjadi begitu ”khusyuk” apabila saya menggunakan kaedah kuliah dalam pengajaran saya. Mungkinkah kerana semua pelajar saya bergelar ustazah, maka mereka semuanya ”khusyuk dan tawaduk” ketika mendengar saya memberi kuliah. Tiada gangguan, tiada soalan, semua berjalan lancar, tetapi kelas sunyi sepi, hanya kedengaran suara saya sendiri! Pelajar duduk diam dengan penuh sopan! Apabila tiba ke penghujung kelas, saya meminta mereka memberi respon dan jawapan klise yang pasti saya terima ialah ”faham puan”.
4
Saya berasa ada beberapa ketikanya saya bosan dengan cara saya mengendalikan kelas ini. Ada kalanya ekor mata saya merakam pemandangan yang tidak ingin saya lihat : Pelajar tersengguk dan mengantuk! Kajian membuktikan bahawa kaedah kuliah menyebabkan pensyarah menguasai 80-95 % daripada masa pengajaran dan seringkali menyebabkan pelajar menjadi pasif (Lewis, 1982). Saya ingin menukar teknik pengajaran saya agar lebih melibatkan pelajar supaya pengajaran saya tidak menjadi sehala sahaja. Memang terasa tercabar berbaur sedikit cemburu apabila melihat Ketua Jabatan saya mengendalikan kelas dengan begitu ceria, bergaya, hidup dan yang pastinya , objektif pengajarannya tetap tercapai! Mengapa saya tidak boleh jadi seperti beliau? Tidak ada salahnya jika saya mencuba! Daripada hasil pembacaan dan pengalaman saya, saya dapati teknik diskusi adalah salah satu cara untuk melibatkan pelajar secara aktif. Nah, Inilah peluang saya! Saya mencuba menggunakan teknik diskusi dalam kelas saya. Malang sekali hasilnya tidak seperti yang saya jangkakan. Ada dua situasi yang membimbangkan apabila saya menggunakan teknik ini. Kelas menjadi warung/kedai kopi! Bising dan tidak terurus, tidak membincangkan apa yang sepatutnya dibincangkan. Parasit? ”Sleeping partner?” Ini kebimbangan kedua saya. Saya berasa bimbang dengan pelajar-pelajar kelas saya apabila saya memberikan mereka tajuk-tajuk untuk dibincangkan di dalam kelas, kebanyakan daripada mereka tidak mahu berbincang atau memberikan idea. Hanya seorang dua sahaja yang berbincang dan yang lainnya bersikap tunggu dan lihat atau bercerita tentang perkara yang lain. Apabila saya mendekati kumpulan tersebut barulah mereka kembali kepada tajuk perbincangan yang saya berikan tadi, keadaan mereka seperti terpaksa sahaja untuk berbincang. Pandangan dari pelbagai dimensi. Saya memerlukan rawatan untuk memperbaiki kelemahan diri. Kata Airasian & Gullickson (1997) kajian tindakan memberi fokus terhadap pembangunan profesional dan penambahbaikan di peringkat bilik darjah atau sekolah. Manakala Carl & Kemmis (1986) pula menyatakan : Action research is a form of self-reflective enquiry undertaken by participants (teachers, students or pincipals, for example) in social (including educational) situations in ider to improve the rationality and justice of (a) theii own social or educational practices, (b) their understanding of these practices, and (c) the situations (and institution) in which these practices are carried out.” Inilah terapi yang boleh memperbaiki amalan diri saya, kajian tindakan! Bagaimana memperbaiki teknik berdiskusi dan menjadikan pembelajaran lebih aktif? McGoven (1993) mencadangkan supaya;
5
"Instructors must also help students in all disciplines in higher education to develop skills to adapt to a rapidly changing, interdependent world. Individuals are required to think critically and to synthesize large quantities of new information, to be sensitive to diversity, and to develop attitudes and skills that promote lifelong” Sehubungan itu, tindakan yang perlu saya laksanakan dalam teknik diskusi perlu memasukkan unsur-unsur pemikiran kritis. Mengapa jadi begini? Pelbagai persoalan melingkari minda saya. Persoalan demi persoalan mula saya fikirkan. Mungkinkah pelajar-pelajar saya tidak biasa dengan teknik berdiskusi yang betul serta terancang kerana saya juga tidak mengamalkannya dengan betul! Adakah saya seperti ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul? Atau mungkinkah kerana mereka kurang memahami tajuk yang diberikan, atau mungkin juga mereka kurang bersedia dengan tajuk yang diberikan sehingga menghalang mereka membuat persediaan awal. Atau sayakah yang terlupa mengingatkan mereka tentang tajuk-tajuk pengajaran yang akan diajar? Bagaimanakah saya boleh memperbaikinya? Soalan ini membawa saya ke alam realiti, siasatlah diri sendiri, pasti ada jawapan yang menanti! Merenung ke dalam diri, saya berasa bahawa ada beberapa kekurangan dalam diri, saya mesti berani mengakui… Inilah gambaran sebenar tentang amalan saya seperti kata Craig (2004) Kajian tindakan menyediakan satu gambaran sebenar tentang sesuatu persekitaran. Saya tidak bijak mengendalikan teknik berdiskusi dengan berkesan. Kalau saya bijak sudah tentu tidak jadi begini? Perancangan pengajaran saya tidak rapi, bagaimana mengagihkan tugasan semasa sesi diskusi berlangsung. Adakah mereka dibiarkan sendiri, di manakah tindakan saya untuk mengemudikan diskusi ini agar tetap berada dalam landasan yang betul, tidak tersasar dan tidak terbiar? Adakah saya memantau setiap kumpulan sewaktu mereka berdiskusi? Jangan biarkan mereka lari dari tajuk yang diberi! Nah! Saya sudah mula melihat ruang untuk memperbaiki diri, analisis diri tadi memandu saya ke beberapa siri tindakan yang sudah tergambar dalam fikiran saya kini. Merenung tindakan diri… Tinjauan awal saya lakukan dan hasil pemerhatian dan temubual saya terhadap pelaksanaan teknik diskusi yang saya laksanakan di dalam kelas ada beberapa perkara yang dapat saya gariskan. Sewaktu pemerhatian dibuat, saya dapati tidak semua pelajar melibatkan diri dalam sesi diskusi, ada yang hanya menjadi rakan kumpulan yang pasif (sleeping partner) sahaja dalam kumpulan tersebut dan ada juga pelajar yang mendominasi kumpulan mereka. Hasil temu
6
bual saya dengan beberapa pelajar mereka menyatakan mereka tidak dapat memberi sumbangan disebabkan rakan mereka lebih petah bercakap dan mengeluarkan idea sehingga mereka tidak dapat memberi pandangan mereka kerana semuanya sudah dibolot oleh rakan sekumpulan mereka yang lain. Inilah fokus saya. Sudah pastilah kerana saya ingin meningkatkan kemahiran mengajar saya. Saya juga dapat melaksanakannya dengan segera kerana fokus kajian ini berada dalam kawalan saya. Malahan kajian ini penting bagi membantu penambahbaikkan dalam organisasi saya. Apa yang hendak saya kaji? Pasti! Memang sudah pasti! Tujuan saya memang mengendalikan kajian ini untuk meningkatkan kemahiran mengajar dengan menggunakan teknik berdiskusi. Inilah kelemahan saya, selama ini. Oleh itu, saya perlu merancang dan melaksana tindakan untuk meningkatkan kemahiran mengajar dengan menggunakan teknik berdiskusi agar pengajaran saya menjadi lebih mantap. Pastilah saya juga akan meneroka isu-isu yang timbul bagi tujuan menambah baik tindakan saya pada kitaran kedua nanti. Siapakah yang melibatkan diri? 18 orang puteri dari PISMP opsyen Bahasa Arab nampaknya tidak sukar untuk didekati. Mereka bersetuju untuk melibatkan diri dalam kajian ini. Kumpulan ini merupakan kumpulan pelajar cemerlang lepasan SPM yang berusia sekitar 2022 tahun. Mereka juga memerlukan perubahan ini. Carl Glickman menyatakan: "Action research helps reinforce and cement the belief that together we can make a difference."
Ayuh berdiskusi, hidupkan kelas ini! Teknik berdiskusi menjadi fokus saya dalam kajian ini. Teruja dengan usaha untuk memperbaiki diri, saya mula memikirkan perancangan dan tindakan yang bakal saya lakukan untuk menjadikan pengajaran kali ini menggunakan teknik berdiskusi yang boleh mengubah kelas saya agar bernafas dan pelajar bebas mengekspresi diri ketika berdiskusi. Beberapa langkah tindakan telah muncul dalam imaginasi, selari dengan usaha saya merujuk beberapa nota dari buku pembelajaran kooperatif dan berbincang dengan rakan sejawat saya.
7
Langkah dalam imaginasi saya perturunkan perancangan pengajaran yang lebih terperinci.
di dalam
kertas
berbentuk
Namun pada minggu itu saya dibebani dengan pelbagai tugas lain di maktab, masa saya sentiasa dipenuhi dengan pelbagai tugas sehingga tidak menang tangan. Saya rasa terbeban, tetapi saya perlu meneruskan kerana selama mana saya harus biarkan kelas diskusi saya tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya. Dilema mula menghantui. Jurnal refleksi saya menjadi saksi: tetapi bila perancangan tarikh ditetapkan, terlalu banyak halangan kerana pada minggu ini dan minggu depan kami sama-sama mempunyai jadual yang ketat. Saya terpaksa menjadi fasilitator untuk kursus KPKM dan Pn. Norkiah menjadi peserta kursus di Melaka. Akhirnya kami bersetuju untuk melaksanakan kursus ini pada minggu awal Mei. Tarikh yang dipilih ialah minggu pertama dan kedua bulan Mei kerana tarikh lain tidak dapat dilaksanakan kajian ini;pelajar akan menghadapi peperiksaan pertengahan semester. Saya berasa lega apabila persetujuan sudah dibuat. (JrefMP : 24 April 2006) Tugas rencam di sana sini, menyebabkan saya perlu memikirkan kembali adakah saya mampu meneruskan perjuangan ini? Dalam kesempatan yang terbatas, saya perlu menanamkan azam yang kental bahawa saya perlu meneruskan misi ini. Kalau tidak sekarang bila lagi? Keprihatinan saya terhadap misi untuk memperbaiki pengajaran saya, menjadi motivasi paling tinggi. Beban tugas lain yang datang pada saat yang hampir serentak, perlu diketepi, tindakan perlu mengikut keutamaan! Bukankah mengajar merupakan periuk nasi? Dengan pendirian ini, semangat saya kukuh kembali. Masuk ke kelas dengan pelbagai bahan pengajaran seperti kertas sebak sudah membantu saya menyuntik sedikit keyakinan dalam diri. Sahabat saya juga turut mengekori bersama borang senarai semak untuk memastikan saya mematuhi perancangan yang telah menjadi imaginasi. Melangkah ke kelas dengan satu misi yang sentiasa bernyanyi di dalam hati: Hidupkan kelas ini! Hidupkan kelas ini!. Kelas dimulakan dengan menyatakan tajuk kuliah pada hari itu secara lisan lantas mencatatkannya di papan putih agar fokus pelajar tidak lari. Pelajar yang seramai 18 orang itu saya beri ID iaitu dengan menamakan mereka A, B, C dan D. ID saya beri secara berselang-seli iaitu pelajar yang duduk paling akhir mendapat ID A, dan di sebelahnya mendapat ID B dan seterusnya diulang sehingga semuanya mendapat ID. Semua pelajar yang diberi ID A saya kumpulkan dalam satu kumpulan dan kini mereka ”digaul” dengan rakan yang duduk di belakang dan di depan. Empat kumpulan sudah terbentuk dengan 4 – 5 orang ahli.
8
Gambar 1 :Kelas yang sudah diubah susunatur kerusi meja berbentuk modular Untuk menjadikan semua ahli berfungsi, tidak sekadar menjadi rakan yang berdiam diri, saya memberikan setiap ahli peranan tertentu iaitu sebagai pelapor, pencatat, penjaga masa dan juga pegawai sumber untuk menguruskan semua peralatan yang akan diberi. Modul PISMP OUM yang dimiliki oleh pelajar saya pecahkan kepada 4 subunit kecil untuk diberi kepada setiap kumpulan. Dengan memastikan mereka diberi peluang selama 3 minit setiap orang untuk mengekspresi apa yang ada dalam minda mereka, setiap pelajar dikehendaki menurunkan idea mereka pada sehelai kertas A4. Setiap kumpulan telah diberi satu tajuk untuk dibincangkan. 3 minit seorang peruntukan masa diberi kepada setiap pelajar untuk memberikan idea mereka yang dituliskan dalam sekeping kertas A4. Melihat mereka termenung seketika, mencari dan membaca dengan teliti modul yang mereka miliki, dan ada kalanya mereka mencatat lintasan idea mereka pada kertas yang diberi. Penjaga masa mesti berfungsi dan mereka menggunakan jam tangan malahan menggunakan telefon bimbit sebagai pengawal masa. Selepas 3 minit berlalu, saya meminta mereka berbincang sesama ahli untuk mendapatkan kesepakatan tentang jawapan terhadap soalan yang saya beri. Perbincangan sesama ahli nampaknya sudah mula mendasari kumpulan demi kumpulan yang tadinya agak sunyi ketika memikirkan jawapan yang diberi secara sendiri. Tingkah suara sudah mula didengari mewarnai suasana kelas. Kini mereka berpeluang berinteraksi sesama ahli dengan penjaga masa tetap mengurus masa seperti yang disepakati. Giliran yang diberikan kepada setiap ahli dipatuhi. Rakan sesama kumpulan mendengarkan idea dari rakan mereka sementara menunggu giliran mereka tiba. Di sini saya dapat menyedari adanya percubaan setiap ahli untuk saling mempengaruhi agar idea mereka menjadi idea
9
pilihan kumpulan. Hujah dan elobrasi mereka secara lisan menepati misi saya. Hidupkan kelas ini! Kelas tidak lagi menjadi malam sepi dan tidak juga menjadi warung kopi? Pencatat masa menguruskan masa dengan teliti dan giliran dipatuhi. Nampaknya penjaga masa menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Jam tangan dan telefon bimbit digunakan untuk menentukan jangka masa ketika ahli kumpulan menyampaikan idea mereka.(PTS1: ms : 2) Perjuangan ahli-ahli kumpulan agar idea mereka terpilih untuk mewakili kumpulan untuk masing-masing kini menjadikan kelas hidup dengan diskusi! Masa berdiskusi sesama ahli tamat. Konsensi sudah diperolehi, kini tiba masa untuk mereka menurunkan keputusan kumpulan di atas kertas sebak untuk dikongsi bersama rakan sekelas sewaktu pembentangan nanti. Jawapan yang mereka persetujui dicatat atas kertas sebak dan nampaknya mereka masih berdiskusi agar persembahan mereka menjadi lebih harmonis, representatif dengan melukis peta minda banding beza dan sebagainya. Jari jemari pencatat menari di atas kertas sebak, melukiskan, mencatat dan mewarnai jawapan mereka agar persembahan nanti bakal mencabar kumpulan yang lain. Pencatat setiap kumpulan menampalkan kertas sebak di papan putih setelah semuanya dicatat. Mereka kembali ke tempat duduk setelah selesai tugas mereka. Terpapar di papan putih empat kertas sebak yang mewakili setiap kumpulan. Kini giliran pelapor pula melaporkan hasil diskusi kumpulan. Seorang demi seorang saya panggil ke hadapan untuk menyampaikan konsensi kumpulan mereka. Sementara itu, pelajar lain diminta bersedia untuk memberi komen tentang jawapan yang dibentangkan oleh kumpulan tadi. Setelah selesai semua kumpulan membentangkan hasil perbincangan mereka, saya meminta kelas membuat refleksi tentang jawapan yang mereka bentangkan. Pelbagai suara kedengaran, ada yang bertanyakan sesuatu yang tidak mereka fahami, untuk dijelaskan oleh kumpulan yang membentang. Berani dan yakin nampaknya pelajar ini. Mariani bangun untuk menyoal Rafidah ketika sesi dibuka untuk komen daripada kelas. Wajahnya serius dan lontaran suaranya jelas didengari oleh semua(PTS 1 : ms 5) Kumpulan yang terlibat menjelaskan semula kepada ahli lain yang mungkin kabur terhadap penjelasan pada awal tadi. Nampaknya suara-suara sudah berbunyi, kelas ini tidak lagi menjadi malam sepi! Giliran saya pula merumuskan semua jawapan kumpulan dan memberi komen agar kelas ini akan lebih bermotivasi. Bagaimana saya melalui kajian ini?
10
Saya merancang tindakan saya dalam jangka masa seminggu dan menggunakan dua masa pengajaran iaitu setiap satu sesi pengajaran dan pembelajaran mengambil masa 1 jam. Jadual pelaksanaan kajian saya bermula dengan menulis kertas cadangan kajian pada 20 April 2006 seterusnya diikuti dengan membuat tinjauan awal serta membina instrumen kajian pada awal Mei. Tinjauan awal untuk melihat fokus kajian diteruskan pada bulan Mei, setelah saya memfokuskan masalah yang hendak dikaji pada 25 Mac 2006. Sepanjang April saya merancang dan melaksanakan tindakan dan kemudiannya saya mentadbir instrumen kajian untuk mengumpul data. Analisis. interpretasi data dan penulisan refleksi saya laksanakan sepanjang Jun. Akhirnya saya laporan kajian saya lengkapkan pada 25 Julai 2006. Bagaimana data saya perolehi? Pemerhatian berstuktur dan tidak berstruktur menjadikan salah satu cara pengumpulan data saya. Pemerhatian berstruktur dilaksanakan oleh rakan saya yang telah menggunakan borang senarai semak untuk melihat tindakan saya agar mematuhi perancangan yang saya galurkan. Pemerhatian tidak berstruktur pula saya gunakan untuk melihat respons pelajar saya terhadap tindakan saya. Pemerhatian ini ditulis sebaik sahaja kelas berakhir dan data ini telah digunakan sebagai bahan temubual untuk membuat triangulasi dengan cara pengumpulan data yang seterusnya. Selain itu, untuk menyokong pemerhatian saya, temubual dengan pelajarpelajar telah saya laksanakan agar saya dapat memahami tindakan saya dan meneroka isu-isu yang timbul. Pelajar yang telah dipilih merupakan pelajar yang petah bercakap dan bersedia untuk berkongsi perasaan mereka terhadap tindakan yang telah saya laksanakan. Mereka telah saya temubual di pusat sumber yang menyediakan suasana yang kondusif untuk perbualan sebegini. Pelajar-pelajar ini telah pun saya jelaskan tujuan kajian saya dan mereka telah bersetuju untuk memberikan kerjasama secara sukarela. 4 pelajar telah saya temubual dan hanya seorang sahaja yang memberi kebenaran untuk dirakamkan perbualan, sementara yang lain, menjadi agak kaku ketika perakam suara diletakkan di hadapan mereka dan akhirnya mereka memilih untuk ditemubual tanpa menggunakan perakam suara. Saya menghormati kebebasan mereka kerana saya tidak boleh mengenakan paksaan dan ancaman terhadap pelajar saya ini. Kesudian mereka untuk berkongsi pengalaman dan perasaan selepas tindakan rawatan yang saya lakukan terhadap pengajaran saya sudah cukup bermakna dan merupakan bonus bagi saya. Soalan yang saya kemukakan lebih kepada soalan jenis soalan terbuka untuk mendapat pandangan responden, nama mereka yang asal saya kaburi dengan menggunakan nama samaran sebagai memenuhi ciri-ciri etika dalam penyelidikan di samping melindungi responden daripada sebarang implikasi yang berkemungkinan berlaku terhadap mereka hasil daripada kajian ini.
11
Jurnal refleksi merupakan salah satu instrumen yang mendokong kajian saya. Dua jenis jurnal refleksi saya gunakan iaitu refleksi saya sendiri sepanjang saya melaksanakan tindakan dan juga refleksi pelajar saya sendiri sebaik sahaja tamat sesi saya meminta mereka menuliskan refleksi mereka di atas sekeping kertas yang saya beri. Bagaimana saya menganalisis data ini? Dua jenis pemerhatian dalam dua siri pengajaran telah saya analisis dengan menggunakan borang semakan yang ditandai oleh rakan saya. Sekerap manakah saya memberi ruang kepada pelajar untuk berdiskusi dan sekerap manakah saya menyeleweng dari tindakan saya. Rakan saya membuat pemerhatian dengan borang senarai semak tindakan agar saya tidak kembali ke cara lama saya iaitu memberi kuliah, walaupun pada awalnya merancang untuk menggunakan teknik berdiskusi! Pemerhatian tidak berstruktur telah saya analisis dengan melihat insiden-insiden kritikal yang muncul dalam pemerhatian yang telah saya kaitkan agar dapat menyokong dapatan saya. Temubual yang telah ditranskrip telah dianalisiskan dengan kandungan yang menggunakan kata-kata kunci, analisis dilema, analisis isu, analisis perkara yg tidak diduga atau analisis pola yang muncul dalam transkripsi untuk menjelaskan dapatan saya agar lebih kukuh. Inilah yang saya perolehi... Tindakan telah saya laksanakan, tindakan pertama saya selepas perancangan teliti nampaknya sudah membuahkan hasil yang memang saya ingini. Pelajar sudah mula membuka mulut, suara-suara sudah kedengaran dari pelbagai sudut, kelas yang tadinya sunyi selepas masa 3 minit diberi untuk membaca modul kini sudah bertingkah dengan suara-suara dari pelajar yang bergilir memberi idea tentang tugasan yang diberi (PTS1,ms : 3.) Susun atur kelas tradisi yang telah saya rombak menjadi kumpulan berempat memberi peluang kepada pelajar ini berinteraksi. Mereka nampaknya lebih selesa dan saling dapat berdiskusi dengan menggunakan kontak mata dan juga mengamalkan komunikasi bersaling. Kedudukan ini menyediakan peluang pelbagai hala interaksi. Rupa-rupanya selama ini mereka terkongkong dengan kedudukan tradisi yang kurang menyokong tindakan untuk berdiskusi. Saya langsung tidak menyedari...
12
“Lagi pun puan susun kerusi berkumpulan macam ni, menghadap muka kawan, senanglah nak bincang. Kalau macam dulu tu, kita senget-sengetkan badan aje, meja tidak diubah, serupa aje” (TB1, J16 - Aini) Perubahan tempat duduk dari belakang dipindahkan ke hadapan berupaya menggerakkan minda mereka, mereka dapat merasakan suasana baru dan menyumbang kepada sikap aktif mereka di dalam kelas. Kenyataan Laila membuktikan keadaan ini. Saya paling seronok (ketawa)(TB2,J9 - Laila)
sebab
dapat
duduk
depan!
duduk belakang ni, macam tak bersemangat. Kadang-kadang ‘tu khayal. Bila puan tukar semua kedudukan, duduk dalam kumpulan baru, depan pulak tu, semangatlah sikit. Rasa seronok dan tertarik dengan suasana baru. Bergerak sikit, kalau tak ‘tu jemu duduk aje, kalau bincang pun dengan rakan sebelah aje. Itu ajelah. Samasama duduk belakang, puan pun faham-faham ajelah…(senyum) (TB2, J10 - Laila) Perancangan saya agar mereka setiap individu diberi peranan menyemarakkan usaha mereka untuk berdiskusi. Tiada peluang untuk melepaskan diri! Peranan individu ini diatur secara bergilir memang saya rangkakan sebegini agar dapat mengawal parasit yang hanya menumpang dan juga mengelakkan kelas menjadi malam sepi atau warung kopi. Sebelum agenda lain mengambil alih pokok diskusi! Bila kena giliran ni, kita rasa bertanggung jawab puan. Kita diberi tugas tertentu, kena buat, kalau tak semua orang dalam kumpulan tu tak dapat jawapan dengan betul. Nanti kawan-kawan kita, salahkan kita. Bila kita ‘tau tugas kita dan giliran kita, kita rasa bersungguhlah. Tak ‘dalah lagi nak main-main. (TB2, J16 - Laila) Biasanya begitu sebab kita tak “diatur” kena buat apa, bila, masa tak tetap, gurau-gurau, bincang topik lain …macam-macam lagi lah. Ada juga yang seronok bincang dan ada yang duduk diam aje. Mereka tu dominasi perbincangan. Tapi kali ni puan beri masa dan giliran, nak tak hendak yang rasa mereka tu “pandai” sangat kena beri peluang kepada kawan-kawan lain dalam kumpulanlah… (wajah puas) (TB3, J5 - Zara). Apakah halangan lain yang menyebabkan selama ini mereka kurang berminat untuk berdiskusi? Inilah jawapan yang saya temui iaitu daripada 4 orang yang saya temubual, semuanya memberi jawapan yang hampir sama iaitu masingmasing hanya duduk dalam lingkungan rakan senegeri. Ini menyebabkan mereka
13
tidak banyak idea untuk berkongsi. Rakan yang sama sepanjang masa tidak memberi kelainan dan berupaya membuka jendela hati untuk berdiskusi. ...kami geng satu negeri puan, utara sama utara, macam saya, kedah sama kedah, yang Kelantan dengan yang Kelantan. Ikut negerilah…(TB1, J15- Aini) Dulu kita pilih kawan sendiri. Saya tengok “group” Kelantan dengan Kelantan, kali ni puan yang pilih, kami tak ada “chan” (chance) lah nak pilih “group” kami.(TB2, J4 - Laila) Seronok, sebab selama ni, saya tak tau pun kawan lain ada idea macam-macam, sebab kami selalu geng yang sama, di kelas, di asrama pun kami duduk dekat-dekat. Kenalah buat betul-betul sikit. Tak tu, malulah… kami pun tak biasa dengan mereka. (TB1, J16 Aini) Refleksi saya mengenalpasti kelemahan saya ialah saya tidak memberi masa yang cukup kepada pelajar saya untuk bersedia. Walaupun dalam jurnal refleksi saya bertarikh 2 Mei saya catatkan pesanan kepada pelajar untuk membuat persediaan bab 7 dan 8 modul mereka, tetapi pelaksanaan pengajaran akan dibuat pada 3 Mei, ini bererti mereka hanya mempunyai satu hari untuk bersedia. Mungkin masa itu tidak mencuukupi. Ini adalah penyumbang kepada pasifnya aktiviti berdiskusi di dalam kelas, ternyata ini benar sekali. Ada yang diam sebab mereka tak bersedia, saya rasa saya paling bodoh bila saya tak dapat beri idea atau bincang. Ini sebab kita tak baca topik tu, jadi bila suruh bincang, kita “jam” otak tak dapat fikir. Itu sebab saya diam aje, atau ada kawan yang diam, tak boleh “joint” bincang. (TB3, J6 - Zara) Membentangkan hasil perbincangan merupakan satu usaha tersirat saya agar mereka berdiskusi. Ini disebabkan, setiap pembentangan akan dinilai oleh rakan sekelas dan pensyarah, walaupun tiada markah diberi, perasaan untuk membuat persediaan yang lebih rapi itu memang tersemat di hati. Mereka mahu menjaga maruah mereka agar tidak diperlekeh atau ditertawakan apabila berada di hadapan nanti. Pemerhatian tidak berstruktur saya menjadi bukti: Setiap kumpulan berdiskusi dengan bersemangat,ada duduk, ada berdiri, masing-masing mahu keluar sebagai kumpulan terbaik, setiap ahli dalam kumpulan mengemukakan pendapat masingmasing sewaktu mereka mencari kata sepakat ketika hendak membuat konsensi. Wajah-wajah serius, terkadang lucu dengan mata yang dibesarkan,merenung kawan sekumpulan,gelengan
14
kepala pelajar-pelajar diselang seli dengan nada suara tinggi rendah berbaur dalam setiap kumpulan sewaktu berdiskusi. (PTS, ms : 4) Pemantauan perlu saya lakukan semasa pelajar sedang berdiskusi. Jika tidak mereka akan lari daripada tajuk yang diberi. Ilham ini timbul semasa saya membuat refleksi dan tinjauan awal sebelum memulakan teknik berdiskusi. Pemantauan menunjukkan bahawa saya sentiasa mengawal kelas agar tidak dibiarkan membawa haluan sendiri ketika berdiskusi. Tindakan ini menyebabkan mereka lebih berhati-hati. Soal jawab saya dengan Laila ketika saya memantau perjalanan diskusi kumpulannya membuktikan perkara ini. Tadi saya nampak Afifah bersungguh-sungguh bercakap dengan rakan sekumpulan. (sambil meniru gaya tangan Afifah) (TB2, S1- Laila). (ketawa)Wah…puan perhati saya ye! (TB2, J1- Laila ) Yalah…(senyum malu) sebab kali ni ada peraturan, ada giliran, lepas tu kena catat dan kena bentang. Masa pun kena jaga. Tak sempat nak main-main. Puan pun “round”(TB2, J6 – Laila)
Tidak semua yang diimpi menjadi realiti. Ini kenyataan yang perlu saya terima. Walaupun saya ”berasa” perancangan yang saya buat sudah cukup rapi, sebenarnya itu hanyalah helah bela diri untuk menutup gundah di hati kerana saya sedar semasa pelaksanaannya saya tercicir banyak perkara. Mungkin saya gementar untuk pertama kali. Sahabat saya pula berada di belakang mengekori gerak geri dengan senarai semak untuk memerhati! Jurnal refleksi ke-11 saya bertarikh 3 Mei jam 2.00 petang menjadi medan tempat saya mencurahkan isi hati: 1. Saya dapati pelajar tidak mempedulikan “peranan” mereka pada peringkat awal pengajaran. Apabila saya meminta pegawai sumber datang mengambil peralatan di depan, saya dapati ahli lain yang bukan pegawai sumber juga bangun dan mula bergerak dari kumpulan mereka. Sedikit kucar kacir berlaku ketika itu. Saya menyedari perkara tersebut dan saya terus menegaskan iaitu mengulang dengan nada kuat dan tegas bahawa ”hanya pegawai sumber sahaja, yang lain duduk” . Ketika penegasan berlaku, barulah pelajar sedar mereka tidak mematuhi peraturan yang telah saya nyatakan di peringkat awal tadi. Kelas dapat dikawal dengan cepat setelah saya ”berbunyi”. Saya amat pasti tujuan saya memberi peranan kepada setiap ahli kumpulan. Ini disebabkan saya ingin memastikan tidak berlakunya kelam kabut atau ”kedai kopi”
15
2. Pengagihan tugasan bagi kumpulan perlu lebih sistematik. Ini kerana saya tidak menulis tugasan mereka dalam sampul atau kertas terlebih dahulu. Apa yang saya lakukan ialah saya pergi kepada setiap kumpulan dan menyatakan tugasan mereka. Ini memberi kesan kepada pengurusan masa saya. Sebaik sahaja saya beredar kepada kumpulan lain, kumpulan yang telah mendapat tugasan telah memulakan perbincangan mereka tanpa mempedulikan kumpulan lain yang tidak menerima tugasan mereka. Manakala kumpulan lain yang lambat menerima tugasan sudah mula tidak sabar untuk berbincang dan tertinjau-tinjau apakah yang berlaku pada kumpulan lain. Saya sedar ini berlaku, tetapi saya tidak dapat menanganinya kerana pelajar terus melakukan aktiviti yang sepatutnya mereka laksanakan tanpa menunggu kumpulan lain bersedia dahulu. Saya teringat sepatutnya saya menuliskan tugasan mereka dalam sehelai kertas atau dalam sampul surat dan diambil serentak oleh pegawai sumber setiap kumpulan. Oleh itu saya boleh melihat kumpulan berbincang mengikut masa yang sama. Ini memudahkan pengawalan saya terhadap kelas. 3. Sewaktu pembentangan saya juga dapati pelajar begitu berani bercakap berbanding dengan pengajaran lalu, malangnya mereka sukar untuk berhenti dan memberi peluang untuk kumpulan lain. Saya terpaksa turut campur memberikan isyarat berhenti! Di sini saya perlu buat satu penambahbaikan pada masa akan datang iaitu, saya perlu memberi masa tertentu untuk pembentangan, kumpulan yang mendapat tugasan yang mudah diberi masa yang pendek berbanding dengan kumpulan yang mendapat soalan yang sukar. 4. Cara menampalkan kertas jawapan juga perlu dibaiki. Oleh sebab soalan yang berbeza, saya sepatutnya membenarkan setiap kumpulan keluar menampal di depan dan terus membentangkan jawapan mereka, tanpa perlu meminta mereka menampalkan semua jawapan dan kemudian setelah kembali ke tempat duduk barulah memanggil mereka semula. Jawapan tidak perlu dibandingkan kerana semua soalan berbeza. Saya perlu berhati-hati pada masa akan datang. 5. Saya perlu membawa kamera pada masa hadapan. Saya dapat rakamkan beberapa aktiviti mereka dalam kumpulan. Rakan saya juga menegur cara menuliskan tindakan yang tidak begitu terperinci langkah-langkahnya kerana kebanyakan langkah yang disediakan boleh
16
dipecahkan lagi agar tindakan saya nampak lebih jelas. Kebanyakan langkah terperinci itu ada dalam fikiran saya tetapi tidak saya perturunkan dalam bentuk bertulis menyebabkan kesulitan untuk rakan tadi mencatat pelaksanaan tindakan saya yang tidak bertulis. Selepas ini saya akan mengambil perhatian atas teguran rakan tadi. Nampaknya borang pemerhatian berstruktur saya tidak akan menjadi cantik...diconteng sana sini oleh pemerhati... Saya perlu membuat perubahan seperti kata Kemmis; ”It is concerned with changing situations, not just interpreting them. It takes the researcher into view. Action Research is a systematicallyevolving process of changing both the researcher and the situations in which he or she works.” Di hati saya masih berlagu dengan Lagu ”Ayuh berdiskusi, hidupkan kelas ini!” kali ini rentaknya semakin rancak. Tindakan kedua menyusul pula kerana tindakan pertama ada lompang di sana sini, walaupun berjaya, tetapi tidaklah sepenuhnya saya berpuas hati! Tindakan kedua saya mengambil tempat pada 10 Mei 2006. Melangkah ke kelas kali ini, saya terus menuliskan tajuk Pendidikan Khas di atas papan putih selepas meletakkan peralatan di atas meja guru. ”Post a question” aktiviti diskusi hari ini, terencana dengan lebih baik kali ini. Pelajar diarahkan menulis nama kumpulan dengan kertas di atas meja mereka. Kedudukan mereka masih sama seperti dalam kumpulan yang lalu dengan ahli yang masih sama. Biarkan mereka mesra sebelum ditukarkan ahli, demikian bisik saya dalam hati. Arahan untuk mengambil peralatan kepada pegawai sumber diberi. Setiap kumpulan mempunyai tiga tugasan yang perlu dilaksanakan iaitu mereka dikehendaki menyediakan satu soalan bagi setiap individu dalam kumpulan berkaitan dengan tajuk yang telah ditetapkan oleh saya (masa 5 minit). Mereka juga dikehendaki berbincang dan memilih satu soalan terbaik daripada 4 soalan tersebut ( 5 minit) seterusnya berbincang dan mencari jawapan iaitu menyediakan PMM bagi soalan pilihan kumpulan. (10 minit) Mereka juga perlu menuliskan soalan terbaik dalam kertas yang disediakan untuk diedarkan kepada 3 kumpulan yang lain dengan menggunakan sampul surat yang disediakan. ( 5 minit) Soalan yang telah disiapkan dihantar kepada 3 kumpulan lain setelah diarahkan. Mereka juga telah menerima soalan-soalan dari kumpulan lain pula (jumlah 3 soalan) Soalan yang diterima dari kumpulan lain dijawab secara berdiskusi dengan rakan sekumpulan. (15 minit) Pencatat menuliskan jawapan di kertas sebak dan menampalkannya di dinding sekeliling kelas. Wakil kumpulan membentangkan jawapan bagi kumpulan masing-masing dan seterusnya menerima respon dari rakan-rakan lain dari kumpulan lain dan kemudian mereka akan menerima jawapan yang betul dari kumpulan yang menyediakan soalan. (15 minit) Saya merumuskan jawapan dari semua kumpulan. Kemudian pelajar dikehendaki membuat refleksi bertulis selepas aktiviti diskusi kali ini.
17
Gambar 2 : Soalan diskusi yang dihantar kepada kumpulan lain dalam sampul surat. Apa sudah terjadi? ”Ayuh berdiskusi, hidupkan kelas ini!” Lagu hati saya nampaknya menjadi kali ini! Mata saya seakan tidak berkelip apabila melihat pelajar saya berdiskusi, hebat dan bersemangat. Arahan dipatuhi dan dari mula hingga akhir kelas menjadi membara dengan suara diskusi yang saling tingkah meningkah. Jarum jam di dinding sudah melewati 10 minit waktu kelas berakhir, tetapi tiada tanda-tanda untuk mereka berhenti! Wah! Apa sudah jadi? Rakan saya di belakang terus memerhati. Kerdip dan sinar matanya memberi isyarat bahawa dia sangat berpuas hati! (PTS 2 ms : 3) Degupan jantung saya hebat sekali. Sesi pembentangan soalan dan jawapan menjadi medan pertarungan sengit di antara ahli. Mereka berdiri dan mempertahankan jawapan yang mereka beri, manakala penggubal soalan pula tidak mahu berundur diri, masing-masing mempertahankan jawapan yang mereka gubal. Hangat dan membara, bagai api membakar semangat diskusi puteri-puteri ini. Bantahan mereka disertai hujah yang berisi. Saya kagum namun akhirnya saya terpaksa mencelah meredakan suasana, menyiram air mendinginkan hati, justifikasi yang diberi oleh rakan-rakan ada kalanya cukup bernas sekali. Mereka mesti mengakui, akur terhadap kelemahan diri. Masa untuk kelas ini sudah lama
18
berakhir, 20 minit sudah berlalu pergi, tiada siapa yang sedar kerana asyik berdiskusi. Memang saya menyedari tetapi saya berasa sayang sekali untuk memotong diskusi yang padat berisi ini. Fazida,menulis begini : Aktiviti menyeronokkan, dan mencabar minda dan memerlukan saya untuk berfikir dengan kreatif. Aktiviti ini berkesan kerana menggalakkan saya untuk memberi pendapat dan berkomunikasi dengan kawankawan....menggalakkan saya berfikir....tidak terikat dengan modul sahaja. Interaksi dan komunikasi berlaku dalam P & P. (JrefGP : 9) Zaida pula menulis dalam jurnal refleksinya, walaupun sedikit mencuit hati, tetapi kebenarannya perlu diakui: Kesimpulannya saya perlu banyak-banyak berfikir, aplikasi alat-alat berfikir yang selama ini saya belajar tetapi kurang praktis. Baru saya sedar otak saya berkarat! Saya juga perlu baca lebih dari modul (walau exam ikut modul sahaja) supaya ingatan saya lama dan pemahaman jelas.(JrefGP : 4) Semua jurnal pelajar saya senada, seirama, mengakui bahawa aktiviti berdiskusi kali ini mencabar minda, mengasak otak mereka untuk berfikir dan kini mereka sedari bahawa modul yang disediakan tidak cukup sebagai penyumbang ilmu, mereka perlu pergi lebih jauh dari itu... Keseronokan berdiskusi juga dinyatakan dalam semua refleksi (18 jurnal) Mereka menyatakan bahawa berdiskusi (dengan persediaan pembacaan awal) telah menyingkirkan rasa mengantuk mereka kerana waktu itu ialah jam 11.30 – 1.30 tengah hari. Mereka juga lupa perut mereka perlu diisi dengan makan tengah hari. Apa yang telah saya pelajari? Suatu perkara yang saya pelajari ialah untuk menjadikan diskusi berfungsi, hidup dan bermakna, menuntut satu perancangan yang sangat rapi. Jika sekadar melontarkan soalan dan meminta pelajar berdiskusi, maka hasilnya akan hambar. Jadilah kelas saya seperti yang lalu, tidak berstruktur, akhirnya tiada kesampaian objektif yang hendak dicapai, kemahiran juga tidak dapat diterapkan. Untuk menyediakan satu perancangan untuk satu pengajaran selama dua jam, saya telah memikirkannya beberapa hari. Pelajar juga dapat menilai persediaan saya kali ini, lebih bersistematik. Beberapa pelajar menyebut perkara ini di dalam jurnal refleksi mereka.
19
Sesuatu isu yang tidak saya jangka muncul. Rupa-rupanya sosialisasi pelajar di dalam kelas ini amat terhad, mereka sekadar bergaul dengan rakan senegeri atau yang sama minat. Kurangnya sosialisasi ini menyebabkan idea mereka tidak berkembang, keyakinan diri kurang kerana mereka tidak meneroka untuk mencari kawan baru. Berdiskusi membuka ruang untuk memperbaiki diri, menambah ilmu,berfikir dan membuka jendela hati. Persoalan-persoalan yang tidak berjawab memandu pelajar ini mencarinya ”di luar sana” , bukan sekadar modul yang disediakan oleh pihak universiti. ”Dia menimbulkan rasa... lebih nak tahu lebih mendalam tu.. ‘(TB4 :J22 - Normah) ‘ Termotivasi untuk membaca….ada benda yang kita rasa macam tak cukup”.(TB4 : J25 - Normah) Bagaimanakah kedudukan teknik pengajaran menggunakan diskusi di institusi? Pemerhatian saya menunjukkan bahawa teknik kuliah lebih disenangi, berbanding dengan berdiskusi. Sedangkan saya dapati kekuatan teknik berdiskusi lebih memberi pelajar peluang membina diri, meneroka ilmu tanpa paksaan. Bagaimana hendak berdiskusi kalau pengetahuan tentang sesuatu tajuk sangat dangkal? Ini mendorong pelajar saya membaca tanpa dipaksa. Saya mendapati pada masa akan datang saya perlu lebih bersedia. Gangguan tugas bukan hakiki perlu ditangani dengan segera, agar peluang untuk mendidik pelajar berdiskusi dengan terancang dan berstruktur menjadi misi. Dapatan saya menunjukkan bahawa berdiskusi ini menjadi salah satu titik tolak untuk menjana pemikiran yang kreatif dan kritis. Saya perlu meneruskan lagu hati saya, diskusi tidak boleh diabaikan selepas detik ini... Apa lagi selepas ini? Banyak lagi yang perlu saya perbaiki untuk menghadapi sesi pengajaran pada masa akan datang. Dua rawatan dan tindakan belum cukup untuk memantapkan diri. Pada kitaran kedua saya ingin membuat penambahbaikan dengan melakukan perubahan terhadap teknik berdiskusi ialah memasukkan elemen pemikiran kritikal dalam aktiviti-aktiviti diskusi. Dapatan kajian juga menunjukkan keperluan ini. Biar diskusi menjadi laluan untuk pelajar meneroka ilmu dari pelbagai sumber.
SENARAI RUJUKAN
20
Airasian, P. & Gullickson, A. (2002). Introduction to research in education. 6th Ed. Belmont : Wadswoth Andreoli Mathie, V., et al. (1993). Promoting active learning in psychology courses. In T. McGovern (Ed.). Handbook for enhancing undergraduate education in psychology (ms. 183-214). Washington, DC: American Psychological Association. Craig, D.V. (2004). Practitioner action research: Action research to improve practice: Work Based Learning in Primary Care, 2004 (2), 324-327. Glickman, C. D. (1995). Action research: Inquiry, reflection, and decision making. (Video 4-95037). Alexandria, VA: Association for Supervision and Curriculum Development Henry & Kemmis.(1985). A point-by-point guide to action research for teachers. Muat turun pada 26 Julai 2006 dari http://www2.deakin.edu.au/faculty/education/Edu_&_Change/artemus2music/Henry.html Kagan, S. (1994). Cooperative Learning.Resources for Teachers, Inc.Wee Co-op. Lewis, H. A. (1979). The anatomy of small groups. Studies In Higher Education, 4, 269-277.
21