AKU GURU KAYA (dialog : sajak ini ditujukan kepada mereka yang : Menyesal jadi guru, Mereka yang tanpa niat menjadi guru Mereka yang tidak berminat menjadi guru Mereka yang terpaksa menjadi guru Mereka yang tidak sengaja menjadi guru. Hari ini … kita luruskan niat kita Inilah hadiah penyejuk jiwa dari saya Sebuah puisi dari hati, berjudul AKU GURU KAYA) I aku menjadi guru kerna disuruh ibuku aku menjadi guru kerna hanya itu saja pekerjaan yang kuperoleh ketika itu aku menjadi guru bukan kerana kemahuanku…. Musim demi musim berlalu status guru DG41 masih menjadi milikku Anak didikku suatu waktu dulu Bergelar tuan pengarah, pegawai daerah malah jurutera berjaya dengan gaji beribu-ribu serta megah berkereta mercedez dan juga BMW, Aku?... masih seperti dulu Guru DG 41, dengan dompet kempis penuh debu Sedang muridku dompetnya kembung wang beribu. Aku masih seperti dulu. Sepalit kesal tercalit di kalbu. Kekayaan tidak menjadi milikku! II Lalu Allah pun membuka mata hatiku… Tatkala terbaring lesu di katil hospital penuh jemu, Jemari lembut seorang jururawat, dengan lunak suaranya menghiburku katanya…bukankah puan guruku dulu? Pabila lama berdiri di kaunter imigresen Pegawai datang mempersilakan aku lalui lorong “VVIP” Katanya…bukankah puan guruku dulu?
Tika aku asyik memilih sepasang baju, Yang amat berkenan di hatiku, Terdengar tulus suara itu, Ambillah cikgu, ini hadiah ikhlas dariku Bukankah puan guruku dulu? Ahh…mereka semuanya anak didikku… Benar…dompetku hingga kini masih kempis seperti dulu Tapi hatiku mekar segar melihat anak didikku.. III Tiap kali tatkala selesai solat, akan kedengaran suara-suara tulus bermunajat, Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Ghafuur, Ya ‘Afuwwu, Ampunkahlah dosaku, 3 kali – minta penonton tadah tangan Dosa kedua ibu bapaku Dan dosa guru-guruku…. (baca nota di bwh utk penerangan tulisan warna merah)
Aduhai…. Inilah siraman salju di hati insan bergelar guru Doa-doa tulus selalu mengiringi dirimu. Apabila matinya seorang anak adam…. La illlahilllah…….la illlahiallah….laillahiallah… Maka terputuslah segala amalnya kecuali…tiga perkara Sedekah jariyahnya Ilmu bermanfaat yang disebarkannya Doa anak soleh yang didiknya…. Lantas… Akulah guru kaya, akulah guru kaya… Kerna ilmu yang kusebarkan tika nafasku masih ada kini menjadi cahaya di alam gelap gulita…. Sekian, terima kasih. Nukilan: mahawa pilus 10 Julai 2007 11.10 malam. Bandar Baru Bangi.
Nota : Ya Ghafuur & Ya ‘Afuwwu ialah asma ul husna iaitu 2 daripada 99 namanama Allah. Ya Ghafuur Ya ‘Afuwwu
= =
maha pengampun maha pengampun dan meleburkan dosa malahan menggantikannya dosa dengan kebaikan. Nama ini amat agung dan jika digandingkan dengan Ya Ghafuur maka amatlah besar nikmat pengampunan dosa yang diberikan oleh Allah kepada hambanya.
Berzikirlah dengan nama ini selalu… Telah dideklamasikan di Dewan Besar dengan lebih 1000 orang hadirin (yang semuanya terdiri dari bakal guru, guru dan pendidik guru) sempena sambutan hari guru peringkat Universiti Kebangsaan pada 25 Julai 2007 dan sajak ini telah berjaya mengetuk pintu hati para guru yang hadir dan mencapai objektif penulisannya iaitu untuk meletakkan niat menjadi guru di atas landasan yang betul dan lurus…