PENDAHULUAN Pendekatan pengajaran guru dalam bilik darjah amat bergantung kepada bagaimana pelajar mempelajari kandungan sesuatu mata pelajaran. Ahli-ahli psikologi telah mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku dan menghasilkan beberapa teori pembelajaran. Teori ialah prinsip kasar yang menjadi dasar pembentukan sesuatu ilmu pengetahuan. Teori juga merupakan satu rumusan daripada pengetahuan sedia ada yang memberi panduan untuk menjalankan penyelidikan dan mendapatkan maklumat baru. Teori-teori ini boleh dibahagikan kepada teori-teori pembelajaran behaviorisme, sosial dan kognitif. Teori pembelajaran behaviorisme berfokus kepada tingkah laku dan persekitaran. Teori pembelajaran sosial berfokus kepada tingkah laku dan pemikiran, sementara teori pembelajaran kognitif berfokus kepada pemikiran. TEORI PEMBELAJARAN BEHAVIORISME Mazhab behavioris yang diperkenalkan oleh Ivan Pavlov dan dikembangkan oleh Thorndike dan Skinner. Mereka berpendapat bahawa pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Teori pembelajaran mereka kebanyakannya dihasilkan daripada ujian dan juga pemerhatian yang dilakukan ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung di dalam makmal. Mereka menumpukan ujian kepada perhubungan antara rangsangan dan gerakbalas yang menghasilkan perubahan tingkahlaku. Secara umumnya teori behavioris menyatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran akan mempengaruhi segala perbuatan atau tingkah laku pelajar sama ada baik atau sebaliknya. Teori ini juga menjelaskan bahawa tingkah laku pelajar boleh diperhatikan, dikawal dan diramal. Menurut ahli-ahli psikologi behavioral, pembelajaran adalah perubahan tingkah laku yang berlaku dalam diri seseorang individu yang disebabkan oleh pengalaman. Proses pembelajaran ini dilalui oleh setiap insan sejak dia dilahirkan, sehingga sukar bagi kita untuk membeza dan memisahkan antara pembelajaran dengan tumbesaran, kerana kedua-duanya adalah saling berkaitan. Behaviorisme menumpukan perhatian ke atas aspek tingkah laku manusia yang boleh diperhatikan dan boleh diukur. Ahli-ahli psikologi behavioris berpendapat sesuatu benda yang wujud adalah benda yang kita boleh perhatikan. Kita tidak dapat melihat pemikiran, tetapi kita dapat membuat pemerhatian terhadap perlakuan manusia. Dari tingkah laku ini kita dapat membuat kesimpulan tentang apa yang sedang difikirkan. Antara tokoh-tokoh behaviorisme yang terkemuka ialah ahli-ahli pelaziman klasik Pavlov dan Watson serta ahli-ahli pelaziman operan Thorndike dan Skinner. Kertas kerja kali ini akan memberi tumpuan kepada Teori Pelaziman Operan Skinner. Huraian dan kupasan terperinci akan dibuat agar melaluinya dapat memberi kefahaman kepada guru seterusnya dapat membantu teknik pengajaran guru.
1
BURHUS F. SKINNER (1904-1990) Burhus Frederic Skinner seorang ahli psikologi di Amerika Syarikat, juga merupakan pelopor dalam bidang kajian pelaziman operan dan telah mengkaji dan memperbaiki lagi teori-teori behaviorisme. Menurut beliau, pembelajaran akan berlaku jika ada rangsangan dan tindak balas yang berulangan.Skinner memulakan pengajiannya dalam bidang biologi dan didedahkan kepada penulisan Watson dan Pavlov. Pada tahun 1931, dia memperolehi ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang psikologi dari Universiti Harvard. Skinner telah menjalankan berbagai kajian dan buku pertamanya The Behavior of Organisms ditulis pada tahun 1938 yang menghuraikan prinsip-prinsip utama pelaziman operan (operant). Perkataan operan dicipta oleh Skinner yang membawa maksud bertindak ke atas. Pelaziman operan ialah apabila organisme menghasilkan sesuatu gerak balas kerana organisme itu mengoperat (operating) ke atas persekitarannya. Contohnya, seekor anjing akan menghulurkan kaki depannya sekiranya ia ketahui bahawa tingkahlaku itu akan diikuti dengan makanan. Begitu juga dengan seorang budak yang mengemaskan tempat tidur jika dia tahu dia akan dibelanja makan ais krim. Hipotesisnya berkaitan Teori Pelaziman Operan telah dibuktikan melalui beberapa eksperimen menggunakan binatang seperti tikus dan burung merpati, di mana tingkah laku binatang tersebut dikawal serta gerak balasnya dihitung dalam sebuah kotak yang direka bentuk dan dikenali sebagai Kotak Skinner (Skinner Box). Beliau telah menggunakan hasil daripada kajian ini untuk diaplikasikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Dalam eksperimennya, beliau meletakkan seekor tikus lapar ke dalam Kotak Skinner. Kotak itu dilengkapi alat penekan pada dindingnya. Apabila alat itu ditekan,
2
biji-biji makanan akan terkeluar. Pada permulaannya tikus itu berlari ke sana sini kerana lapar. Kemudian secara tidak sengaja, tikus itu terpijak alat penekan tersebut dan ini menyebabkan biji-biji makanan terkeluar. Proses yang sama diulangi beberapa kali sehingga tikus itu mendapati bahawa alat penekan dipijak maka makanan diperolehi. Ini menunjukkan tikus itu telah belajar cara untuk mendapat makanan di dalam kotak. Seterusnya Skinner memutuskan hubungan makanan dengan alat penekan. Ini menyebabkan makanan tidak terkeluar apabila alat makanan ditekan. Ini menyebabkan tikus itu berhenti dari menekan butang tersebut. Perbuatan menekan butang untuk memperoleh makanan disebut pelaziman operan. Pembelajaran melalui cara ini disebut pembelajaran melalui pelaziman. Eksperimen ini menunjukkan bahawa satu gerak balas hanya akan berulang jika wujud ganjaran. Contohnya, biji-biji makanan dalam eksperimen tersebut. Sekiranya ganjaran dihentikan, gerak balas itu akan terhapus juga. Dalam eksperimen di atas, konsep peneguhan amat jelas sekali. Skinner juga menjelaskan bahawa sesuatu peneguhan boleh bersifat negatif atau positif. Contoh peneguhan positif adalah pujian, ganjaran, hadiah dan sebagainya. Pujian adalah penting kerana ia akan mendorong seseorang pelajar itu mengeluarkan hasil yang baik pada masa hadapan. Manakala peneguhan negatif pula tidak boleh disamakan dengan hukuman atau denda. Menurut beliau, dalam teori pelaziman operan, gerak balas boleh diulangi atau dihapuskan jika diberikan peneguhan sejurus selepas gerak balas ditunjukkan. Menurut pendapat Amir Awang (1986), mengikut Pelaziman Klasik, murid akan menjadi pasif kerana ganjaran diberikan kepadanya bukan atas usahanya mendapatkan ganjaran tersebut. Manakala mengikut Pelaziman Operan, pelajar bertindak aktif kerana ganjaran diperoleh dengan cara berusaha sendiri. PERBEZAAN ANTARA PELAZIMAN OPERAN DENGAN PELAZIMAN KLASIK Dalam pelaziman klasik, organisme tidak mengubah keadaan persekitaran. Misal kata, anjing Pavlov tidak ada pilihan untuk bertindak dengan mengeluarkan air liur apabila diberikan makanan dan bunyi loceng. Manakala, dalam pelaziman operan, organisme mempunyai pilihan untuk bertindak atau tidak kerana gerak balasnya menentukan rangsangan (makanan) yang diberikan. PRINSIP-PRINSIP ASAS PELAZIMAN OPERAN Menurut Skinner, pelaziman operan terdiri daripada empat konsep utama : 1. Peneguhan (reinforcement) yang terbahagi kepada peneguhan positif dan peneguhan negatif. 2. Denda (punishment) 3. Prinsip Premack 4. Pelupusan PENEGUHAN POSITIF (POSITIVE REINFORCEMENT)
3
Pengukuhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan, yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. Menurut Rahil Mahyuddin (2002), peneguhan positif meningkatkan berlakunya sesuatu bentuk tingkah laku dengan adanya rangsangan tertentu. Perlu diingat bahawa sesuatu peneguhan boleh merupakan benda, sosial (seperti pujian) atau token (seperti markah ujian). Apa jua rangsangan yang boleh menambahkan kebarangkalian sesuatu tingkah laku itu akan berlaku disifatkan sebagai peneguhan positif contohnya : Tingkah Laku Pelajar kemukakan soalan dengan baik Tikus yang menekan kunci pintu (lever) Seorang budak menyelesaikan kerja rumah Pekerja yang mencapai prestasi tinggi dalam kerjanya
Kesan / Akibat Guru memuji pelajar Dapat makanan
Tingkah Laku Masa Hadapan Pelajar kemukakan lebih banyak soalan yang baik Ulang menekan kunci pintu lebih kerap
Menonton televisyen
Sentiasa menyiapkan kerja rumah
Diberikan bonus
Mengekalkan pencapaian prestasi tinggi
PENEGUHAN NEGATIF (NEGATIVE REINFORCEMENT) Peneguhan negatif adalah meningkatkan tingkah laku melalui penarikan keluar sesuatu rangsangan terutama yang tidak menyenangkan. Apa jua rangsangan yang menyakiti atau yang mewujudkan keadaan tidak selesa boleh menambahkan kebarangkalian sesuatu tingkahlaku itu akan berlaku. Organisme kemungkinan mengulang tingkah laku yang dapat mengelak atau mengurangkan keadaan yang negatif contohnya : Tingkah Laku Kesan / Akibat Pelajar tidak menyiapkan Guru menegur tugasan tepat pada waktunya pelajar Tidak tahan Seorang ibu melihat dengan tangisan anaknya menangis anaknya
Tingkah Laku Masa Hadapan Pelajar akan menyiapkan tugasan yang seterusnya tepat pada waktunya Mengangkat atau memujuk anaknya jika menangis lagi
DENDA (PUNISHMENT) Dendaan adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Tegasnya, dendaan adalah kesan negatif yang membawa kepada pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. Ia juga bertujuan untuk menghentikan sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Skinner berpendapat bahawa denda hanya boleh membawa kesan dalam tempoh yang singkat sahaja. Selepas itu, tingkah laku yang tidak diingini akan berulang lagi. Apa jua rangsangan yang menyebabkan kebarangkalian sesuatu gerak balas atau tingkahlaku yang terhasil berkurangan atau langsung dihapuskan. Contohnya seperti di bawah :
4
Tingkah Laku Pelajar membuat bising dalam kelas Seorang budak yang malas membantu ibunya
Kesan / Akibat Guru memberi amaran kepada pelajar Tidak diberi peluang bermain bola
Tingkah Laku Masa Hadapan Pelajar berhenti membuat bising dalam kelas Rajin membantu ibu sekiranya diperlukan
Dendaan boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu pertama dendaan persembahan dan kedua dendaan penyingkiran. Contohnya : Dendaan Persembahan Dendaan persembahan (presentation punishment) berlaku apabila sesuatu rangsangan menyebabkan berlakunya perubahan dalam tingkah laku diri pelajar tersebut. Dendaan bentuk ini tidak melibatkan fizikal, tetapi dapat menakutkan pelajar
Dendaan Penyingkiran Dendaan penyingkiran (removal punishment) berkaitan dengan penyingkiran rangsangan. Contohnya, ibu bapa atau guru-guru tidak memberi kemudahan apabila seseorang pelajar tidak berkelakuan betul
Untuk menjadikan dendaan lebih efektif, beberapa peringkatan perlu diambil kira antaranya ialah : 1. Dendaan dilakukan segera, sebaik sahaja perlakuan tidak diingini dipamerkan. 2. Orang yang menerima dendaan mesti tahu mengapa dia dihukum. 3. Dendaan hendaklah diberi atas dasar untuk mengubah kelakuan dan bukan sebagai balasan perlakuannya. 4. Dendaan dikenakan hendaklah tekal. Kalau si A dikenakan 3 rotan untuk kesalahan yang dilakukan, maka si B juga mesti dikenakan 3 rotan untuk kesalahan yang sama.
5
Ada pendapat yang mengatakan bahawa dendaan boleh menghasilkan gangguan emosi yang berpanjangan dan ia juga boleh membawa kepada persoalan etika. Dendaan yang keterlaluan boleh dianggap sebagai suatu deraan dan dendaan yang dikenakan secara berterusan boleh membentuk tingkah laku yang negatif, seperti pengasingan diri, rasa rendah diri dan menggangu perkembangan emosi dalam jangka masa yang panjang. PRINSIP PREMACK Konsep utama prinsip Premack ialah mengaitkan aktiviti yang kurang diminati dengan aktiviti yang lebih diminati untuk mengukuhkan tingkah laku terhadap aktiviti yang kurang diminati. Prinsip Premack juga dikenali sebagai Grandma’s Rule yang berasaskan kenyataan “kamu boleh keluar bermain selepas kamu habis memakan sayursayuran ini”. Sebagai guru, kita boleh menyelang-selikan aktiviti yang menarik dengan aktiviti yang kurang menarik dalam bilik darjah untuk meningkatkan kadar pembelajaran murid. Contohnya, selepas mengakhiri mata pelajaran matematik, satu aktiviti bermain computer akan diadakan. PELUPUSAN Pelupusan bermaksud perlakuan yang tidak diberi peneguhan akan lupus dengan sendirinya. Keadaan ini dapat di atasi jika : 1. Peneguhan untuk sesuatu perlakuan itu dapat dikenal pasti. 2. Peneguhan itu tidak lagi digunakan. 3. Guru sanggup bersabar dalam menghadapi proses pelupusan, kerana hasilnya tidak datang dengan serta merta. GENERALISASI, DISKRIMINASI DAN PENGHAPUSAN 1. Generalisasi : Peneguhan yang hampir sama dengan peneguhan asal juga boleh menghasilkan gerak balas yang sama. 2. Diskriminasai : Organisme bergerak balas terhadap sesuatu peneguhan tetapi tidak terhadap peneguhan lain. 3. Penghapusan : Gerak balas yang wujud akan berperingkat- peringkat terhapus apabila peneguhan atau ganjaran tidak diberikan lagi.
PEMBENTUKAN TINGKAHLAKU (SHAPING BEHAVIOUR)
MELALUI
PELAZIMAN
OPERAN
Berasaskan pelaziman operan, Skinner memperkembangkan teknik pembentukan (shaping) bagi melatih haiwan menguasai tingkah laku komplek yang juga relevan
6
kepada tingkah laku manusia. Teknik pembentukan terlibat dengan meneguhkan organisme setiap kali ia bertindak ke arah yang diingini sehingga ia menguasai atau belajar gerak balas berkenaan dan tidak lagi meneguhkan gerak balas itu lagi. Prosedur pembentukan boleh digunakan untuk mengawal tingkahlaku orang. Contohnya : 1. Seorang pelajar yang sentiasa berjenaka dan menjadi pelawak dalam kelas. Perakuan rakan sebaya (peer approval) memperkukuhkan kelakuan pelajar berkenaan. Apabila pelajar-pelajar lain ketawa tentang apa yang disebut atau melakukan, dia digalakkan untuk terus berjenaka dalam kelas. Pelajar berkenaan mungkin tidak akan menjadi pelawak jika tiada siapa dalam kelas ketawa apabila dia berjenaka. 2. Apabila seorang memberi ceramah, reaksi pendengar dapat mempengaruhi bagaimana penyampai bertindak. Segolongan pelajar mengangguk kepala mereka dan ini telah menyebabkan pensyarah mereka bergerak dengan lebih cepat dalam kelas. APLIKASI TEORI SKINNER DALAM BILIK DARJAH Teori pembelajaran Skinner boleh diaplikasikan dalam proses pengajaranpembelajaran dalam bilik darjah berasaskan kepada prinsip-prinsip berikut : 1. Pemberian peneguhan positif apabila pelajar melakukan sesuatu tingkah laku yang diingini hendaklah secara bersistematik. 2. Ganjaran yang diberi haruslah bersesuaian dengan umur pelajar. Wujudkan ganjaran mengikut kadar kepayahan tingkah laku yang diingini. 3. Guru perlu herhati-hati apabila memberi peneguhan negatif kepada pelajar kerana dia mungkin akan dianggap sebagai hukuman. 4. Gerak balas yang diperoleh hasil dari rangsangan haruslah dikukuhkan untuk membentuk pelaziman. 5. Guru perlu memberikan keutamaan kepada latihan dan gerak balas yang berulang ulang. 6. Peneguhan berterusan untuk ilmu/kemahiran baru dipelajari. 7. Peneguhan positif lebih baik daripada peneguhan negatif kerana keberkesanannya. 8. Pembetulan tingkah laku pelajar adalah lebih berkesan dilakukan melalui penghapusan. 9. Diskriminasi bertujuan untuk pelajar menguasai ilmu pengetahuan. 10. Gaya pengajaran guru dilakukan dengan beberapa kaedah dan dikawal oleh guru melalui pengulangan dan latihan-latihan. 11. Guru memberikan peneguhan berupa reward/ganjaran pada pelajar yang memberikan gerak balas stimulus sesuai dengan tidak balas aktif pelajar.
PENUTUP Pengajaran dan pembelajaran saling berkait rapat antara satu sama lain. Tanpa penguasaan dan pengetahuan tentang ilmu pendidikan seseorang guru tidak akan berjaya dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan di dalam bilik
7
darjah. Untuk itu seseorang guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu pendidikan iaitu psikologi, pedagogi dan profesionalisme keguruan agar tercapai matlamat untuk memberi kejayaan kepada pelajar. Berdasarkan daripada kaedah penyampaian yang digunakan, proses pembelajaran dan pengajaran yang dilaksanakan akan lebih terancang dan berkesan. Apabila guru menggunakan kaedah ini untuk proses pengajaran dan pembelajaran secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam suasana pengajaran dan pembelajaran, kemahiran-kemahiran bermaksud seseorang itu terlatih dan mempunyai pengalaman yang tinggi serta mendalam. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran kebolehan menguasai kemahiran tertentu harus ditegaskan oleh guru, terutama kemahiran asas seperti menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran mendengar, bertutur, kemahiran membaca dan menulis dan sebagainya. Apabila pelajar menguasai kemahiran asas ini akan dapat membantu pelajar tersebut menguasai bidang-bidang ilmu yang lain dengan lebih mudah. Teori behaviorisme menekankan peranan persekitaran dalam proses pembelajaran. Pembelajaran berlaku dengan wujudnya perkaitan antara sesuatu rangsangan dengan sesuatu gerak balas. Pelaziman klasik dan pelaziman operan adalah contoh teori behaviorisme yang menekankan kajian tentang tingkah laku yang dapat diperhatikan. Peneguhan positif dan negatif memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran dan boleh meningkatkan tingkah laku yang diinginkan. Denda mempunyai kesan yang tertentu dan tidak digalakkan sebagai cara untuk mengawal tingkah laku. Oleh itu, untuk mencapai matlamat itu, bukanlah satu perkara mudah, kerana ianya memerlukan pengorbanan, kesungguhan, kebijaksanaan dan ketabahan kedua-dua belah pihak iaitu guru dan murid agar pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan jayanya.
BIBLIOGRAFI Crow and Crow (1983). Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
8
Dewan Bahasa dan Pustaka (2007). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Ee Ah Meng (2003). Ilmu pendidikan: Pengetahuan dan Keterampilan Ikhtisas (Semester 1). Kuala Lumpur. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Kamarudin Hj. Husin (1997). Psikologi Bilik Darjah-Asas Pedagogi. Kuala Lumpur. Utusan Publication dan Distributors Sdn.Bhd. Mook Soon Sang (2009). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Sekolah Rendah: Komponen 1 & 2) Psikologi Pendidikan & Pedagogi. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
9