1.0
PENGENALAN
Semantik merupakan salah satu daripada ilmu linguistik seperti morfologi dan sintaksis. Semantik ialah bidang yang berkaitan dengan makna kata dan ayat. Semantik sangat penting dalam sesuatu bahasa kerana tanpa makna, sesuatu bahasa itu tidak akan lengkap. Semantik yang menghubungkan makna kalimat dengan wacana atau teks. Menurut Michel Breal (1991), perkataan semantique dalam bahasa Perancis mempunyai kaitan dengan bidang pragmatik.
2.0
SEJARAH PERKEMBANGAN SEMANTIK DALAM BAHASA MELAYU
Menurut Norhashimah Jalaluddin (2014), sejarah perkembangan semantik dalam bahasa Melayu mempunyai tiga peringkat perkembangan iaitu peringkat satu iaitu semantik struktural, peringkat dua yang merupakan semantik generatif dan interpretif dan peringkat tiga iaitu semantik syaratbenar (truth condition semantic). Pada peringkat satu, tradisi ahli golongan struktural masih dikekalkan. Ahli struktural menganalisis semantik sama seperti mereka menganalisis ilmu fonologi. Setiap perkataan diberikan fitu tersendiri untuk memperlihatkan fitur khasnya dan perkaitan antara fitur-fitur tersebut. Gadis
Teruna
+ Perempuan
-Perempuan Jadual 1.0 menunjukkan fitur makna perkataan gadis dan teruna
Persamaan dan perbezaan semantik bagi setiap perkataan dapat dijelaskan. Pengkaji semantik pada peringkat ini juga menganggap bahawa fitur semantik bagi sesuatu perkataan dalam sesuatu ayat dapat dikategorikan untuk mendapatkan maksud seluruh ayat (Wan Mohd Soaphy Amizul Wan Mansor, 2010). Namun begitu, pendapat ini tidak dapat kerana jika perkataan yang sama disusun mengikut susunan yang tidak sama, maksud ayat tersebut juga akan berbeza. Sebagai contoh, ayat ‘Kucing mengejar tikus’. Daripada aspek tatabahasanya, ayat ini dalam susunan yang betul dan daripada aspek semantik, ayat ini juga membawa fitur makna yang logik. Namun begitu, apabila ayat ini diubah kedudukan subjek dan objeknya, ayat ini akan menjadi ‘Tikus mengejar kucing’ yang membawa maksud yang tidak logik. Kedua-dua ayat ini tidak mempunyai makna yang sama walaupun fitur semantik bagi kesemua perkataan ialah sama. Pada peringkat kedua pula, banyak melibatkan ilmu logik. Ahli logik akan memberikan fitur khas semantik kepada sesuatu ayat. Mereka berpendapat bahawa jika sesuatu ayat itu sama erti 1
dengan ayat yang dibandingkan maka maksud bagi ayat tersebut ialah sinonim. Sebagai contoh, ayat ‘Ali teruna’ membawa sama maksud ‘Ali belum berkahwin’ kerana fitur khas yang membawa maksud yang sama. Golongan logik juga membawa kenyataan bahawa ayat bahasa asli dan diberikan fitur khas semantik. Bentuk logik akan dimasukkan bagi mendapatkan interpretasi semantik. Pada peringkat ketiga pula, semantik syarat-benar atau semantik interpretif diamalkan kerana golongan pengamal semantik ini cuba mencari perkaitan segala pengucapan linguistik kepada bentuk hubungan dalam dunia kemungkinan (Nor Hashimah Jalaludin, 2011). Segala bentuk hubungan ialah syarat-benar bagi pengucapan linguistik. Sebagai contoh, ayat ‘Aisyah nampak seekor kucing’ akan mempunyai syarat-syarat pehubungan dalam interpretasi ayat ini. Bagi memberikan syarat-benar ayat tersebut, sekurang-kurangnya golongan ini perlu memastikan kebenaran ini sahih dalam dunia seperti ada seekor kucing dan Aisyah melihat kucing itu. Pendekatan ini terdapat banyak kepincangan dan terus dikritik kerana tidak dapat menerangkan kebenaran dan ketidakbenaran ayat bukan penyata.
3.0
PEMBAHAGIAN SEMANTIK DALAM BAHASA MELAYU BERDASARKAN PENDAPAT TOKOH DALAM BIDANG SEMANTIK
Dalam bidang semantik dalam bahasa Melayu, terdapat beberapa pembahagian ilmu iaitu semantik dan pragmatik, fitur makna, makna leksikal dan makna ayat. Menurut Norhashimah Jalaludin (2007), pengkajian makna seharusnya melibatkan ilmu pragmatik, iaitu ilmu penginterpretasian makna yang melibatkan faktor linguistik dan bukan linguistik. Gabungan antara kedua-dua faktor linguistik dan bukan linguistik ini dapat membantu pengkajian makna yang lebih berkesan. Semantik dan pragmatik mempunyai perkaitan yang rapat dalam hal-hal dalam bahasa. Semantik merupakan bidang kajian tentang makna dalam ilmu linguistik tetapi pragmatik pula berkaitan dengan pemahaman terhadap hal-hal di luar bahasa. Setiap kata terbahagi kepada dua iaitu kata yang mempunyai makna referens dan kata yang tidak mempunyai makna referens. Sebagai contoh kata yang ada referens atau makna referensial ialah ‘kucing’, ‘hijau’ dan ‘gambar’. Hal ini demikian kerana perkataan-perkataan ini ada acuan di dunia nyata. Jika perkataan yang tidak mempunyai acuan di dunia nyata, perkataanperkataan itu dipanggil tidak mempunyai referens atau non-referensial seperti ‘dan’ dan ‘kerana’.
2
Seterusnya, menurut Maxim Stamenov yang dipetik oleh Rusli Abd. Ghani (1998) menyatakan bahawa fitur makna dalam sesuatu perkataan dapat menjelaskan makna sesuatu perkataan dengan sebaik-baiknya. Makna itu sendiri bersifat dinamis iaitu boleh berubah-ubah dan evolusi iaitu boleh berkembang. Fitur makna atau ciri makna sering dipengaruhi oleh pilihan ungkapan, budaya, konteks dan makna dalam peribahasa. Menurut Maslida Yusof, Rahim Aman, Karim Harun, Shahidi Hamid dan Sa’adiah Ma’alip (2010), cara yang mudah untuk menunjukkan fitur makna adalah dengan menggunakan simbol (+) bagi ciri yang hadir pada perkataan yang hendak dianalisis dan (-) bagi ciri yang tiada pada perkataan yang hendak dianalisis. Guru
Doktor
Peguam
+kakitangan kerajaan
+kakitangan kerajaan
-kakitangan kerajaan
+perkhidmatan
+perkhidmatan
+perkhidmatan
+waktu kerja terhad
-waktu kerja terhad
-waktu kerja terhad
-tempat kerja milik sendiri
-tempat kerja milik sendiri
+tempat kerja milik sendiri
Jadual 2.0 menunjukkan fitur makna antara guru, doktor dan peguam
Dengan adanya jadual ini, analisis perkataan boleh dilihat dengan lebih jelas dan difahami oleh pengkaji bahasa. Perkataan ‘leksikal’ membawa maksud makna sesuatu perkataan itu sendiri (Mohd Salleh dan Nor Saadah, 2015). Dalam semantik, makna leksikal terbahagi kepada beberapa bahagian seperti tafsiran makna leksikal sinonim, antonim, hiponim, homonim, polisemi, ameliorasi atau peningkatan makna dan pejorasi atau penurunan makna. Menurut Ruth M. Kempson (1977), dalam membicarakan konsep leksikal, takrifan kata perlu dikenali terlebih dahulu. Sebagai contoh, makna leksikal sinonim yang membawa maksud perkataan yang seerti atau hampir seerti. Antaranya perkataan ‘jelita’ dan ‘cantik’, ‘suka’ dan ‘gemar’ serta ‘lompat’ dan ‘loncat’. Namun begitu, perkataan-perkataan ini bukan seratus peratus sinonim maknanya. Misalnya, perkataan ‘hangat’ dan ‘panas’ yang mempunyai maksud yang sama dalam konteks menunjukkan keadaan air seperti ayat ‘Air itu hangat’ dan ‘Air itu panas’. Jika diubah kepada konteks cuaca, ‘hangat’ tidak boleh digunakan kerana menurut Ratifah Md Taib dan Shahabuddin Hashim (2014), bukan semua perkataan boleh memberikan makna dalam semua konteks. Terdapat juga hubungan semantik antara kata yang dijumpai di dalam ayat. Menurut Hashim bin Haji Musa dan Ong Chin Guan (1998), antara ciri kerangka Generatif Chomsky ialah binaan ayat dapat dihuraikan dengan memahami struktur luaran dan struktur dalaman ayat. Sebagai contoh, ayat ‘Abang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia’. Apabila ayat ini diterbitkan dengan 3
kaedah penyusunan semula atau parafrasa, ayat ini akan menjadi ‘Tempat abang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia’. Walaupun perbezaan struktur berlaku dalam ayat tersebut namun tidak memberi perbezaan makna kepada ayat tersebut kerana mengandungi perkataan sinonim. Seterusnya, Geoffrey Leech (1990) mengkategorikan makna kepada tujuh jenis. Antara maknanya ialah makna konotatif yang membawa maksud makna yang berbeza dengan makna asal atau makna tersirat yang mengandungi makna emotif dan makna evaluatif. Sebagai contoh, dalam perkataan ‘mati’, ‘gugur’,’mangkat’ dan ‘meninggal’. Kesemua perkataan ini merupakan perkataan sinonim yakni sama erti namun mempunyai konotasi yang berbeza. Kesemua perkataan ini membawa maksud ‘jiwa telah bercerai daripada tubuh’. Perkataan ‘mati’ lazimnya digunakan bagi binatang berbanding perkataan ‘meninggal’ kerana perkataan meninggal lebih sesuai digunakan untuk manusia. ‘Gugur’ pula digunakan bagi pahlawan-pahlawan. ‘Mangkat’ digunakan bagi raja-raja dan kerabat diraja kerana darjat mereka yang tinggi. Makna konotasi mempunyai kaitan dengan emotif dan nilai tertentu.
4.0
PENUTUP
Pemilihan kata yang sesuai dalam perbualan bukanlah sesuatu yang mudah. Bidang pengkajian makna ini sangat penting kerana jika tiada makna yang diucapkan, sesuatu bahasa itu tidak akan lengkap dan maklumat yang hendak disampaikan akan terbatas. Oleh itu, dengan adanya pemahaman yang mendalam terhadap ilmu semantik ini, setiap ujaran yang dilontarkan akan kelihatan sopan dan teratur. Ilmu semantik ini harus diperkembangkan hari demi hari agar bahasa Melayu terus berkembang maju seiring dengan zaman.
4