PENULISAN REFLEKSI Nama : Muhammad Alif Qhuwarizmey bin Kamarezan Subjek : Pengurusan Kokurikulum Kod
: MPU 3031
Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izinnya saya telah berjaya menyempurnakan tugasan bagi mata pelajaran Pengurusan Kokurikulum (MPU 3031) ini. Saya bersyukur kerana melalui pelaksanaan kerja kursus ini, banyak manfaat yang telah saya perolehi untuk diaplikasikan bukan sahaja pada hari ini bahkan untuk masa akan datang. Melalui Kerja Kursus Projek Pengurusan Kokurikulum ini, saya berasa sungguh teruja kerana dapat mengetahui proses penyediaan segala jenis dokumen penting sebelum menjayakan sesuatu program khususnya program Rehlah Mahabbah termasuklah pembikinan kertas kerja, surat makluman kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Ketua Penyeleras Subjek Pengurusan Kokurikulum, En Mokhtar Bin Ishak, pembikinan buku program, surat memohon barangan stor, pengutipan dana dan lain-lain lagi. Pada tanggal 16 April 2016, satu program Rehlah Mahabbah telah berjaya direalisasikan oleh para pelajar Pismp 2.02 dengan kerjasama pensyarah iaitu Ustaz Ali Imran bertempat di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Program Rehlah Mahabbah ini diketuai oleh saudara Hasan Bin Abdullah dan Naib Ketuanya ialah Nor Atikah Binti Abd Aziz. Jaulah Mahabbah ini telah disertai oleh 15 orang pelajar dan dinilai oleh pensyarah kami, En Ali Imran Bin Md Shah. Semua pelajar menaiki kenderaan, yang diuruskan oleh JK pengangkutan iaitu sebanyak 3 buah kereta, Myvi, Viva dan Kancil. Seterusnya, Rehlah Mahabbah ini dimulai dengan sesi pendaftaran pada pukul 8:30 pagi dan disusuli dengan sarapan pagi yang disediakan oleh JK makanan. Kemudian, Rehlah Mahabbah diteruskan lagi dengan bacaan doa oleh saudara Ahmad Anas Bin Mohamad dan disusuli dengan ucapan pengarah program iaitu saudara Hasan Abdullah. Majlis ini dikendalikan oleh saudara Hasnul Hakim Bin Roslan selaku pengacara majlis yang tampan lagi segak bergaya.
Antara manfaat yang saya perolehi semasa menjalankan tugasan yang diberikan ialah saya dapat menambahkan ilmu pengetahuan mengenai sistem pengurusan sesuatu aktiviti mahupun program. Lantaran itu, pengurusan program terutamanya agak sinonim dalam kalangan pelajar sekolah dan masyarakat zaman sekarang yang sentiasa ingin menganjurkan sesebuah program demi mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli rukun tetangga. Oleh itu, saya dapat mengaplikasikan program ini dalam kehidupan seharian yang mana sangat bermanfaat dan boleh diamalkan apabila saya mengajar di tempat-tempat tertentu suatu hari nanti. Apabila mengadakan perbincangan mengenai tentatif program ini, saya juga secara tidak langsung dapat mendekatkan diri dengan sahabat lain dan pensyarah. Walaupun saya berada dalam bidang pengkhususan Bahasa Arab, namun tidak mustahil bagi saya untuk mengajar pelajaran berkaitan subjek ini
semasa saya menjadi guru kelak. Hal ini dapat dibuktikan
bahawa ramai daripada kalangan ustaz meminati program-program luar lalu tercetuslah idea untuk mengadakan program khususnya dalam bidang agama. Pengetahuan yang diperolehi dari mata pelajaran akademik ini dapat diperkukuh dan diamalkan melalui kerja kokurikulum. Ini juga dapat memberi peluang kepada para pelajar memahami konsep pengurusan dalam bidang tertentu dengan menggunakan pengetahuan tersebut dalam konteks yang lebih bermakna dan realistik. Di samping itu cara begini juga dapat memberi pengalaman yang mungkin tidak terdapat di dalam bilik darjah. Segala gerak kerja kokurikulum hendaklah dirancang terlebih dahulu supaya selaras dan saling melengkapi dengan apa yang diajar di bilik darjah. Setelah menyiapkan kertas kerja, setiausaha iaitu saudari Aisyah telah meminta kebenaran daripada pihak pengarah untuk diluluskan. Alhamdulillah permohonan untuk mengadakan program diluluskan lalu membuatkan kami berasa sungguh gembira dan teruja di samping sudah terbayang dalam fikiran kami keseronokan yang bakal menjelma. Di samping itu, melalui program yang dibuat, ianya adalah bersesuaian dengan profesion saya sebagai bakal guru, berinteraksi dengan masyarakat dan orang lain adalah sangat penting di samping menjadikan kajian ini sangat berguna untuk mendekatkan diri dengan masyarakat. Ini kerana, dalam proses menyampaikan ilmu, interaksi adalah penting demi melengkapkan suatu proses pembelajaran yang sempurna. Selain itu, berdasarkan pengetahuan yang saya pelajari, saya dapat memanfaatkan ilmu serta kemahiran yang saya perolehi ketika mengajar kelak.
Selain itu, banyak nilai positif turut saya perolehi ketika menyiapkan tugasan ini,antaranya pengurusan masa. Di sini saya terpaksa merancang sebaik mungkin masa yang ada supaya masa yang ada tidak terbuang dengan begitu sahaja. Dalam menyiapkan tugasan ini, saya banyak merujuk sumber dari perpustakaan berkaitan protokol majlis dan sebagainya. Seterusnya, saya juga banyak merujuk bahan di internet untuk penambahbaikan maklumat. Bertitik tolak daripada itu, ucapan terima kasih kepada pensyarah iaitu Ustaz Ali Imran bin Md Shah yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar. Selain itu kawan-kawan juga banyak membantu di samping memberi dorongan dan bimbingan kepada saya. Tidak lupa juga kepada keluarga yang jauh di sana kerana mereka juga banyak memberi motivasi dan dorongan kepada saya. Sekian, terima kasih.