PsIkologi
PENDIDIKAN KPP (1033)
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
MENGAPA PELAJAR KURANG MEMINATI SUBJEK SENI
Disediakan oleh:
AT 23
PENDIDIKAN SENI (SESI 2008/2009)
D20071029673
MOHAMAD AFIFFUDDIN BIN MOHAMAD TAKIUDIN
Disemak oleh:
DR SUPPIAH a/l NACHIAPPAN
PENDAHULUAN Syukur kepada Allah S.W.T yang telah memberi taufik dan hidayah sehingga usaha penulisan ilmiah ini berjaya jua akhirnya. Penulisan ilmiah ini bertujuan memenuhi kehendak kursus UBM 1022 Bahasa Melayu Profesional. Kekurangan dari segi kandungan berjaya diatasi dengan membuat rujukan yang lebih. Penyemakan telah dilakukan beberapa kali bagi memastikan mutu penulisan memenuhi ketetapan yang telah diberikan. Penulisan ilmiah ini mengandungi beberapa tajuk kecil yang menyentuh beberapa aspek berkaitan tajuk iaitu ’Mengapa Pelajar Tidak Meminati Subjek Pendidikan Seni Visual?’. Aspek yang disentuh ialah seni dan masyarakat, definisi pendidikan seni visual, sejarah perkembangan pendidikan seni di Malaysia, pendidikan seni masa kini, matlamat pengajaran pendidikan seni, bidang kerja yang berkaitan dengan seni dan lain-lain. Tajuk ini dipilih bertujuan untuk memberi penerangan secara ringkas mengenai subjek pendidikan seni yang merangkumi cabaran yang dihadapinya, peranan mahupun kebaikannya (bagaimana pendidikan seni menyumbang kepada lahirnya modal insan). Oleh itu persepsi sempit masyarakat kita yang menganggap remeh mata pelajaran ini dapat diubah. Pada kesempatan ini saya percaya bahawa masih ada ruang yang perlu dibaiki dalam penulisan ilmiah ini. Dengan demikian, pandangan dan teguran yang membina amat diperlukan bagi memantapkan penulisan ilmiah saya di masa akan datang. Saya berharap agar penulisan ini dibaca dengan kritis dan memberi manfaat dalam meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai pendidikan seni di negara kita. Akhirnya, saya mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua rakan-rakan yang telah menyumbang idea kepada saya dalam menyiapkan penulisan ilmiah ini. Terima kasih juga diucapkan kepada pensyarah kursus ini iaitu Dr. Suppiah Nachiappan yang memberi tunjuk ajar dan panduan penulisan ilmiah ini. MOHAMAD AFIFFUDDIN BIN MOHAMAD TAKIUDIN Pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni (AT23) Fakulti Seni dan Muzik Universiti Pendidikan Sultan Idris 35900 Tanjung Malim, Perak. 15 Mac 2009
1.0 PENGENALAN 1.1 SENI DAN MASYARAKAT Dalam arus kemajuan Negara Malaysia masa kini yang semakin laju menuju matlamat menjadi Negara maju pada tahun 2020, aspek pembangunan teknologi amat diititik beratkan. Kemajuan teknologi merupakan antara pemacu utama sesebuah Negara dalam mempertingkatkan perkembangan ekonomi dan produktiviti Negara. Justeru itu antara langkah yang diambil oleh kerajaan adalah dengan memberi penekanan dari akar umbi lagi iaitu pada peringkat sekolah. Terutama sekali pada mata pelajaran sains dan matematik. Banyak dasar-dasar yang dibuat khas untuk subjek subjek sains dan matematik. Antaranya penggunaan bahasa inggeris dalam mata pelajaran tersebut. Selain itu bantuan komputer riba kapada guru mata pelajaran sains dan matematik. Pada peringkat pendidikan tinggi juga begitu. Kuota bagi aliran sains dan matematik lebih besar berbanding aliran lain. Melihat kepada keadaan ini, situasinya seolah-olah mata pelajaran lain di sekolah dipinggirkan dan tidak diambil berat oleh kerajaan. Terutama sekali subjek pendidikan seni. Bukan hanya pihak kerajaan malahan masyarakat juga begitu. Lebih ironi, pelajar sekolah juga mengganggap subjek pendidikan seni sebgai subjek yang tidak penting ataupun subjek tempelan dan picisan. Mereka beranggapan bahawa pendidikan seni adalah subjek untuk pelajar yang lemah dalam pelajaran sahaja kerana seni dianggap sesuatu yang mudah dan kurang menyumbang kepada negara. Mereka tidak sepatutnya beranggapan begitu kerana seni wujud dalam diri setiap manusia dan mereka perlu kenal apakah itu pendidikan seni dengan lebih mendalam. 1.2 DEFINISI PENDIDIKAN SENI VISUAL 1.2.1
MAKNA PENDIDIKAN:
Umumnya bagi masyarakat Malaysia, pendidikan seni adalah pelajaran lukisan. Pandangan sempit beginilah yang seharusnya diubah dari kotak minda masyarakat. Sebelum mengenali seni kita apakah dia ’pendidikan’ terlebih dahulu. Terdapat pelbagai tafsiran bagi pendidikan. Menurut bangsa Yunani, pendidikan ialah ilmu menuntun anak. Masyarakat Jerman pula menganggap pendidikan sebagai ’erzhiehung’ iaitu membangkitkan kekuatan terpendam ataupun mengaktifkan kekuatan dan potensi anak. Selain itu pendidikan juga dikatakan sebagai usaha ataupun proses menitiskan sesuatu ke dalam diri manusia menurut Professor Syed Naquib al-Attas. Ulama dan cendekiawan Islam, Imam al-Ghazali pula mengatakan bahawa pendidikan ialah mengeluarkan perangai yang buruk yang ada pada manusia dan meyemai perangai dan sifat yang baik.
Keseluruhannya pendidikan merupakan satu proses membimbing seseorang ke arah kebaikan dengan menyemai ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada indvidu tersebut dan orang disekelilingnya.
1.2.2
MAKNA SENI
Seni mempunyai pelbagai definisi yang diutarakan oleh tokoh terkenal dalam bidang seni. Menurut Frank Cizek, beliau menganggap seni adalah pernyataan diri seseorang. Maksud beliau adalah setiap individu dilahirkan dengan potensi seni. Persekitaran yang membentuk perkembangan seni individu. Linderman (1997) pula mengatakan bahawa seni adalah suatu bahasa yang mengandungi roh(nilai spiritual) yang dapat membenarkan seseorang menghasilkan sesuatu dan menghargainya. Seni membantu individu untuk mengenal personaliti diri dan potensi yang ada dalam diri seseorang. Menurut beliau lagi, seni merupakan suatu bahasa non verbal bagi manusia secara global. Seni menurut acuan Islam merujuk kepada keindahan sama ada keindahan yang zahir mahupun keindahan yang batin. Seni adalah berasaskan kepada prinsip tauhid. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w, ”Allah itu indah dan ia suka akan keindahan”. Seni adalah kesenangan estetik dan konsep keindahan menjadi pertemuan antara seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Misalnya, bagi orang yang berilmu, jika menemui objek alam seperti bunga, serangga dan sebagainya ia akan melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaan terhadap objek tersebut. Menurut Sidi Ghazalba,seorang seniman Islam menyatakan perkaitan antara seni dan Islam. Kata beliau, ”motif seni dalam Islam adalah ’kerana Allah untuk manusia’. Islam menghendaki supaya seni itu dilaksanakan berlandaskan akhlak Islam(nilai baik dan bebas dari nilai haram). Islam menyatakan yang indah itu baik dan baik adalah nilai akhlak(etika). Seterusnya akhlak dibentuk oleh ajaran al-Quran dan Hadith. Menurut tokoh seni Malaysia pula misalnya, Syed Ahmad Jamal yang juga merupakan seorang guru mengatakan seni tampak ialah rupa dan jiwa. Bagi beliau, seni ialah sesuatu yang indah berlandaskan akal, etika, dan proses. Menurut Iberahim Hassan pula, seni merupakan rekod pencapaian manusia, manifestasi nilai dan kepercayaan menusia yang dijelmakan menerusi karya seni atau bentuk-bentuk tampak.
1.2.3
APAKAH ITU PENDIDIKAN SENI
Iberahim Hassan (2000) menjelaskan pendidikan seni adalah suatu bidang ilmu yang boleh memberi pendidikan yang mana mencabar keupayaan individu membuat pemerhatian, pengamatan, penaakulan, pemilihan, pentafsiran dan penterjemahan idea kepada bahan atau media. Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan seni merupakan satu disiplin ilmu yang melibatkan ketiga-tiga domain manusia.
2.0 SEJARAH PENDIDIKAN SENI DI MALAYSIA Bermulanya pendidikan seni secara formal di negara kita,Malaysia adalah pada tahun 1816. Iaitu sekolah yang terawal mengajar matap pelajaran pendidikan seni ialah ‘Penang Free School’ yang ditubuhkan pada tahun 1816. pada ketika itu seni diajar mengikut gaya pendidikan barat. Pendidikan seni terus dikembangkan oleh seorang seniman tersohor negara iaitu Abdullah Ariff. Beliau merupakan seorang guru dan penyelia lukisan di ’Anglo Chinese School’, di Pulau Pinang. Pada tahun 1949, belau menjadi pengerusi Kesatuan Kesenian Guru Pulau Pinang dan beliau merupakan ahli Penang Impressionist. Seterusnya di Pulau Pinang juga pada tahun 1906, Chong Hua Confusius Pulau Pinang memperkenalkan mata pelajaran seni kaligrafi dan anyaman yang diajar dalam bahasa Cina. Pada tahun 1916 pula Laporan Winstedt dikeluarkan bagi memperkemas sistem pendidikan rendah di Tanah Melayu. Antara yang dinyatakan di dalam laporan tersebut ialah sekolah melayu dan maktab mengajar mata pelajaran lukisan dan subjek anyaman diletakkan di bawah subjek sains pertanian. Seterusnya berkembanglah pendidikan seni di negara ini yang dipacu oleh institusiinstitusi pendidikan, buku-buku, pertubuhan seni, dan dasar-dasar pendidikan. Antara intistusi pendidikan yang menawarkan pendidikan seni ialah sekolah-sekolah, Sultan Idris Training College (1922), maktab perguruan ilmu khas Kuala Lumpur(1960),institut Teknologi Mara (1967), Universiti Sains Malaysia,Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 1997(yang berasal dari Sultan Idris Training College- Maktab Perguruan Sultan Idris-Institut Perguruan Sultan Idris- Universiti Pendidikan Sultan Idris ), dan banyak lagi. Buku-buku yang diperkenalkan bagi mengajar subjek seni antaranya ialah Art and Crafts oleh R.O Winstedt mengenai sejarah seni dan seni pertukangan, Pedoman Guru Penggal Pertama(1928) oleh Winstedt juga yang berkenaan pengajaran lukisan dan kerja tangan, buku Craft Work 1932 Third Year Practical ork for Senior Schools yang ditulis oleh Taylor dan Snell,
Buku Panduan Guru 1957 terbitan Kementerian Pelajaran Persekutuan tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka, The Art Paper(1958) oleh Marjorie Clark dan W.T. Swinbanks yang diterbitkan oleh Donald Moore dan seterusnya terdapat pelbagai buku lagi yang diterbitkan. Pendidikan seni di negara kita juga dipacu oleh kewujudan pertubuhan dan institusi seni. Antaranya ialah Wednesday Art Group (1951) yang diasaskan oleh Peter Harris (seorang pengawas seni lukis di Kementerian Pelajaran), Majlis Kesenian Malaya (1952) yang diasaskan oleh Tan Sri Mubin Sheppard dan Datuk Zainal Abidin Hj. Abbas, Penang Teachers’ Art Circle, Malay Teachers Union (1954), Thursday Art Group (1957), Balai Seni Lukis Negara, dan lainlain. Dasar kerajaan juga memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan seni misalnya Penyata Rahman Talib. Pihak yang memainkan peranan sebagai pusat perkembangan kurikulum yang bertanggungjawab menggubal kurikulum pendidikan seni adalah Kementerian Pelajaran Malaysia. Ini membuktikan bahawa mata pelajaran pendidikan seni adalah antara mata pelajaran yang penting sejak dahulu lagi terutama sekali sewaktu zaman penjajahan British kerana orang Barat memandang seni dalam ruang lingkup dan skop yang luas. Bagi mereka seni adalah sesuatu yang serius dan penting. Oleh itu, pemikiran seperti inilah yang harus diterapkan dan ditanam dalam minda masyarakat di Malaysia.
3.0 PENDIDIKAN SENI MASA KINI 3.1 PENGENALAN Masyarakat harus sedar bahawa pendidikan seni bukan seperti dahulu. Pada masa kini, ruang lingkup dan cakupan dalam pengajaran seni adalah luas selari dengan arus kemodenan dunia. Penyesuaian pengajaran pendidikan seni di sekolah di negara kita dapat dilihat menerusi perubahan bagi nama mata pelajaran pendidikan seni itu sendiri. Bermula dengan nama Lukisan dan Pertukangan Tangan berubah kepada Lukisan dan Kerja Tangan, seterusnya Lukisan dan Kraf Tangan, kemudian dipermudah kepada Lukisan sahaja, seterusnya diubah kepada Pendidikan Seni dan kemudian diubah pula kepada Pendidikan Seni Visual sehingga kini. Pendidikan Seni Visual menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Setiap perubahan nama yang dilakukan bukanlah secara membuta tuli sahaja. Akan tetapi melambangkan apa yang ingin disampaikan oleh mata pelajaran ini. Jika dilihat pada nama subjek pendidikan seni visual, apa yang ingin ditunjukkan di sini bahawa mata pelajaran ini mengajar bidang seni yang luas dan dapat ditatap dan dilihat oleh semua manusia.
3.2 MATLAMAT PENGAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
3.3 APAKAH YANG DIAJAR DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL? Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan. Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri.
Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri. Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonal dan intrapersonal. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.
4.0 ”MENGAPAKAH PELAJAR KEBANYAKKANNYA TIDAK MENGGEMARI SUBJEK PENDIDIKAN SENI” Namun begitu, mengapakah matapelajaran ini tidak diminati ramai oleh pelajar? Sedangkan ianya juga memainkan peranan penting pada era millenium masa kini. Seni masa kini bukanlah suatu bidang yang sempit lagi. Ianya meliputi bidang industri dan teknologi terutamanya dalam aspek reka cipta industri. Tetapi mengapa hal ini berlaku? Dalam masalah ini kita boleh kategorikan puncanya kepada beberapa faktor iaitu faktor pelajar itu sendiri, guru, persekitaran kelas pendidikan seni, ibu bapa dan juga kerajaan. 4.1 FAKTOR DIRI PELAJAR: Seperti yang kita tahu, setiap orang mempunyai bakat ataupun kecerdasan yang berbeza. Seperti yang dinyatakan oleh Howard Gardner dalam Teori Kepelbagaian Kecerdasannya. Ianya mengatakan bahawa terdapat sembilan kecerdasan bagi setiap manusia iaitu kecerdasan logik matematik, muzik, kinestetik, naturalis, verbal linguistik, interpersonal, intrapersonal, visual ruang dan eksistensialisme. Seni termasuk dalam kecerdasan ruang visual dan ada juga naturalis yang mana memerlukan kepekaan terhadap alam sekeliling. Begitu juga halnya bagi pelajar. Setiap dari mereka mempunyai kemahiran yang berbeza-beza. Maka dengan itu minat mereka juga berbeza-beza. Tidak ramai yang berbakat dalam bidang seni. Ini kerana mungkin mereka mempunyai bakat dalam bidang lain dan lebih meminatinya berbanding seni.. Walaupun begitu, bakat seni ini bukanlah tidak boleh diasah dan dibina. Ianya memerlukan latihan yang gigih dan menganggap yang mereka boleh melakukannya. Apa yang menyebabkan pelajar tidak minat mata pelajaran seni ini ialah mereka tiada keyakinan terhadap diri sendiri.
Bukan dalam bidang seni sahaja, dalam bidang lain pun jika pelajar yakin yang mereka boleh melakukannya maka mereka pasti dapat hasilnya. Selain itu, sikap pelajar yang menganggap subjek pendidikan seni ini adalah leceh dan menyusahkan. Ini kerana dalam tugasan pendidikan seni, pelajar dikehendaki membawa alatan dan bahan-bahan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P & P). Kos penyediaan alatan dan bahan juga turut menjadi faktor. Malah ada yang beranggapan bahawa wang yang digunakan untuk membeli alatan seni adalah lebih baik digunakan untuk membeli barangan keperluan lain. 4.2 FAKTOR CARA PENGAJARAN GURU Apa yang menyebabkan pelajar tidak meminati matapelajaran ini bukan sahaja disebabkan diri mereka, malah juga disebabkan oleh guru yang mengajar subjek tersebut. Dalam konteks ini ianya merujuk kepada guru yang terlalu tegas dalam mengajar subjek pendidikan seni. Tegas di sini bermaksud guru tersebut mahu pelajar menyiapkan tugasan mengikut acuannya. Guru tersebut mahu hasil kerja pelajar menjadi seperti yang dimahukan. Malah ada yang lebih teruk, terdapat tugasan pelajar yang tidak dihargai langsung. Misalnya, guru tersebut mengoyakkan dan mencampak kertas lukisan pelajar yang tidak menepati kehendaknya. Maka dengan itu akan menyebabkan para pelajar tersebut takut untuk masuk ke kelas pendidikan seni kerana takut dimarahi oleh guru. Seterusnya mereka akan menganggap bahawa mereka tidak berbakat seni dan kemudiannya tidak akan meminati subjek tersebut. Selain itu, faktor pengaruh guru subjek lain juga mempengaruhi minat pelajar terhadap subjek pendidikan seni. Terdapat guru yang memendang rendah subjek pendidikan seni. Malah menganggap pelajar yang mengambil subjek tersebut sebagai pelajar yang lemah dan memandang rendah terhadap mereka. Guru seperti ini juga sering mempengaruhi pelajar lain agar tidak mengambil subjek seni dan mengatakan subjek tersebut tiada masa depan. Maka dengan itu, di atas sifat naif sebagai pelajar, mereka terpengaruh dengan kata-kata guru tersebut. 4.3 FAKTOR PERSEKITARAN KELAS PENDIDIKAN SENI Persekitaran kelas atau studio seni juga memberi pengaruh. Contohnya ialah kelas yang tidak mempunyai kemudahan untuk melakukan kerja-kerja seni. Dalam kelas seni, kemudahan yang harus ada antaranya ialah paip ( untuk membasuh berus cat), apron, alatan seni yang sukar diperolehi oleh pelajar (pahat ukir, mesin pemutar tanah liat dan lain-lain), dan sebagainya. Ketiadaan alatan ini akan menyebabkan pelajar sukar melakukan tugasan seni yang diarahkan oleh guru. 4.4 FAKTOR IBU BAPA Selain itu, faktor ibu bapa juga memainkan peranan. Jika ibu bapa memberi sokongan kepada pelajar untuk mengambil subjek pendidkan seni dan meminatinya, maka pelajar juga akan terus
meminati subjek tersebut. Tapi sebaliknya akan berlaku jika ibu bapa sendiri tidak menggalakkan anak-anak mereka meminati subjek seni. Kebanyakkan ibu bapa lebih memandang subjek sains dan matematik sebagai subjek yang boleh menjamin masa depan anakanak mereka. Bagi mereka, seni bukanlah suatu subjek yang penting. Kerana bagi mereka seni itu hanyalah lukisan dan sesiapa yang meminati seni akan menjadi pelukis di masa hadapan. Apa yang menyebabkan mereka berfikiran seperti itu ialah sejarah nama pendidikan seni itu sendiri. Ini kerana sewaktu era persekolahan mereka, subjek pendidikan seni dikenali dengan nama subjek ’Lukisan’. Jadi, itulah yang menyebabkan mereka menganggap pendidikan seni itu hanya mengajar cara melukis sedangkan pendidikan seni pada masa kini adalah suatu bidang yang luas. 4.5 FAKTOR DASAR KERAJAAN Dasar kerajaan juga turut menjadi faktor pelajar tidak meminati subjek pendidikan seni di sekolah. Tindakan kerajaan yang terlalu menumpukan mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris telah menyebabkan para pelajar malahan guru dan ibu bapa menganggap subjek tersebut sahaja yang dapat menjamin masa depan negara. Oleh itu mereka tidak menganggap seni sebagai subjek yang penting. Hal ini terbawa-bawa ke dalam P&P, di mana pelajar menunjukkan sikap tidak minat tehadap subjek pendidikan seni malah sanggup memonteng kelas seni. 5.0 CARA MENGATASI MASALAH PELAJAR TIDAK MEMINATI SUBJEK PENDIDIKAN SENI
5.1 MEMBERI PENERANGAN MENGENAI BIDANG KERJA YANG BERKAITAN DENGAN SENI Dalam dunia yang semakin maju dan mencabar, kita perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan situasi semasa. Begitu juga bagi mata pelajaran pendidikan seni. Sukatan pelajaran pendidikan seni masa kini diubah dan disesuaikan dengan keperluan arus kemajuan dan kemodenan selaras dengan keperluan bidang pekerjaan masa kini. Tujuannya adalah bagi memberi input(ilmu) terkini dan bermanfaat kepada pelajar yang mana dapat mendedahkan kepada mereka keperluan seni dalam bidang pekerjaan. Melalui ilmu yang diberikan, diharapkan pelajar dapat mengaplikasikannya di alam pekerjaan. Seni amat penting peranannya pada masa kini. Terdapat banyak bidang kerja yang memerlukan seni dalam pelaksanaannya. Antaranya ialah bidang seni bina, industri, animasi, pengiklanan, perfileman, grafik komputer, dan banyak lagi. Oleh kerana itu pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia menyesuaikan sukatan pelajaran dengan bidang kerja masa kini bagi menyediakan pelajar ke arah alam pekerjaan.
5.2 MENYESUAIKAN SUKATAN PELAJARAN DAN SOALAN PEPERIKSAAN PENDIDIKAN SENI VISUAL DENGAN SITUASI MASA KINI Soalan-soalan peperiksaan bagi subjek pendidikan seni juga disesuaikan. Misalnya, pada tahun 2004, pelajaran Tingkatan Lima yang mengambil subjek pendidikan seni perlu membuat kerja kursus menghasilkan produk pembungkusan bagi kertas 3 pendidikan seni visual Sijil Pelajaran Malaysia. Ini bertujuan mendedahkan kepada para pelajar kepada bidang industri. Pada tahun 2006 pula, para pelajar Tingkatan 6 Atas yang mengambil subjek pendidikan seni mendapat tugasan pilihan bagi kertas 3 pendidikan seni visual. Antara tugasannya ialah menghasilkan reka bentuk dalaman ruang legar sebuah syarikat menggunakan perisian komputer. Tujuannya adalah bagi mendedahkan para pelajar kepada bidang seni reka bentuk dalaman dan seni grafik. 5.3 PIHAK SEKOLAH MENGADAKAN BULAN APRESIASI SENI Pihak sekolah pula boleh memainkan peranan iaitu dengan mengadakan minggu atau bulan apresiasi seni. Di mana pelbagai aktiviti mengenai seni di adakan sepanjang bulan tersebut. Anatra aktiviti yang boleh dijalankan ialah bengkel kesenian bagi setiap bidang seni seperti seni batik, ukiran, catan, arca, reka bentuk industri dan lain-lain. Pertandingan-pertandingan kesenian juga boleh diadakan bagi menarik minat para pelajar. 5.4 PIHAK KERAJAAN MENYEDIAKAN LEBIH BANYAK PELUANG PEKERJAAN BERKAITAN SENI apabila kerajaan memperbanyakkan peluang pekerjaan berkaitan seni, maka sudut pandangan masyarakat yang terdiri daripada ibu bapa dan juga pelajar itu sendiri akan berubah. Mereka akan memandang seni juga adalah satu subjek yang dapat menjamin masa depan.
6.0 KESIMPULAN Kesimpulannya, pendidikan seni pada masa kini adalah satu mata pelajaran yang sangat penting sepertimana subjek-subjek lain terutama sekali di dalam dunia yang semakin mencabar pada masa kini. Seni diaplikasikan dalam setiap bidang ilmu dan bidang kerja. Sepertimana yang dikatakan oleh Walter Gropius,”seni seharusnya memberi faedah dan berfungsi kepada kehidupan seharian dan masyarakat. Bukan sekadar untuk menyatakan hasrat diri”. Maksudnya antara fungsi seni adalah memberi manfaat kepada manusia iaitu dengan menggabungkan seni halus (tradisional) dengan seni gunaan untuk kehidupan seharian. Ilmu dalam bidang seni yang dipelajari dapat membantu pelajar dalam hidup mereka iaitu dengan mengaplikasikannya dalam hidup mereka.
BIBLIOGRAFI Hassan Mohd Ghazali(2000). Teks Lengkap Pendidikan seni Tingkatan 4 dan 5. Petaling Jaya: Fajar Bakti Ocvirk, Stinson, Wigg, Bone, Cayton,(1998). Art Fundamentals: Theory and Practice, Edisi ke8, McGraw-Hill En.Baba Ahmad bin Omar.(8-11 Oktober 2001). Pengertian dan peranan seni visual. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Taklimat Sukatan Pelajaran Seni Visual Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Golden Straits Villas Beach Resort, Part Dickson, Negeri Sembilan. Ahmad Khair Mohd Nor, Idris Mohd Radzi, dan Mohd Ra’in Shaari(2005). Bahasa Melayu Profesional Edisi Semakan, terbitan ketujuh. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman(2008). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum Edisi Kedua. Quantum Books, Tanjong Malim, Perak
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (2000).Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR tahun 5. [On-line]. Diperoleh pada Disember,22,2008 dari World Wide Web: http://www41.websamba.com/sjkttapah/files/hsp_pseni_y5.pdf Kementerian Pelajaran Malaysia (2000). Sukatan Pelajaran Bersepadu Sekolah Rendah Pendidikan Seni Visual. [On-line]. Diperoleh pada Disember,22,2008 dari World Wide Web: http://myschoolnet.ppk.kpm.my/sp_hsp/seni/kbsm/sp_pseni_kbsm.pdf