JXEA 1104 FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU
KARYA KLASIK: HIKAYAT SI-MALIM KUNDANG (FALSAFAH DAN KUPASANNYA)
NAMA FAKULTI NO. MATRIK NAMA PENSYARAH
: : : :
NORSYAFADHILLAH BINTI MOHD NASIR AKADEMI PENGAJIAN MELAYU JEA080090 DR AMRAN MUHAMAD
PENGENALAN FALSAFAH Falsafah ditakrifkan berdasarkan pandangan, nilai, dan pegangan hidup pentakrifnya. Dalam falsafah Islam ada menjelaskan Islam adalah panduan yang berasaskan akidah, ibadah, dan akhlak daripada Allah S.W.T bagi mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.
Dikatakan Hikayat Si-Malim Kundang ini ditulis pada kegemilangan tamadun Melayu Islam di tanah Melayu kerana karya ini menceritakan tentang pentingnya menghormati ibubapa dan kebesaran Allah S.W.T memberi balasan kepada anak yang durhaka.
Karya ini digunakan sebagai panduan dan pengajaran dalam kehidupan
masyarakat Islam pada ketika itu.
SINOPSIS HIKAYAT Hikayat Si-Malim Kundang menceritakan tentang kehidupan Mande Rubayah yang hidup bersama suami dan anaknya iaitu Malim Kundang dalam keadaan serba sederhana. Malim Kundang dijaga dan dididik dengan penuh kasih sayang. Kehidupan Mande Rubayah berubah apabila suaminya meninggal dunia dan terpaksalah Mande Rubayah membesarkan Malim Kundang sendirian dalam serba kekurangan.
Setelah dewasa Malim berhasrat pergi merantau bagi mengubah nasibnya. Sejak pemergiannya itu, Mande Rubayah tidak pernah mendengar khabar berita tentang anaknya itu hingga bertahun-tahun lamanya. Dikatakan Malim telah menjadi bangsawan yang amat kaya dan berkahwin dengan seorang gadis jelita.
Setelah sekian lama
menunggu kepulangan Malim, akhirnya pada satu hari Malim kembali ke tanah airnya.
Dalam kemeriahan penduduk menyambut ketibaan Malim, Mande Rubayah mendekati Malim tetapi disebabkan terlalu malu kepada isterinya untuk mengaku ibu tua itu ialah ibunya, Malim terus menendang ibunya itu dan enggan mengaku ibu tua itu sebagai ibunya. Dengan linangan air mata, akhirnya Mande Rubayah memohon kepada Allah S.W.T supaya anaknya itu diberikan hukuman atas perbuatannya itu.
Selepas itu, Malim bersama isterinya belayar meninggalkan pesisir pantai. Tidak lama kemudian, tiba-tiba datanglah angin kencang, guruh, serta kilat sabung menyabung. Seluruh isi kapal berubah menjadi batu. Barulah timbul perasaan taubat di hati Malim Kundang tetapi sudah terlambat untuknya memohon ampun kepada ibunya itu.
KUPASAN FALSAFAH ‘He, orang tua kotor!’ sěru Malim Kundang. ‘Diam dan sěgěra běredar dari sini. Kalau ěngkau maseh juga kěras kěpala, akan ku-suroh orang-orang-ku měnchampakkan ěngkau ka-dalam laut. Měngěrti?’. ‘Baik-lah, anak-ku, aku akan pěrgi’ jawab Mande Rubayah děngan linangan ayer mata. Kěmudian ia měnampongkan tangan-nya ka-langit, lalu běrkata, ‘Ya Tuhan-ku! Děngarkan-lah pinta hamba-mu ini! Tunjokkan-lah kěběsaran dan kěkuasaan-Mu těrhadap anak durhaka ini. Buktikan-lah kapada-nya bahawa aku-lah ibunya yang tělah mělahirkan dia ka-dunia. Ěngkau saja-lah yang měngětahui hukuman apa yang patut di-jatohkan kapada-nya. Ya, Tuhan-ku! Ěngkau maha pěngaseh dan maha pěnyayang. Kapada ěngkau-lah ku-sěrahkan anak durhaka ini untok di-adili’. Sětělah itu Mande Rubayah pun turun-lah děngan těrhuyung-hayang dari kapal itu. Ia těrus pulang. (Hikayat Si-Malim Kundang, halaman 17-18)
Berdasarkan petikan daripada Hikayat Si-Malim Kundang ini dapatlah diberi sedikit kupasan tentang falsafah petikan tersebut. Falsafah yang terdapat di dalam petikan ini ialah sifat keredhaan iaitu keredhaan seorang ibu terhadap anaknya yang durhaka.
Keredhaan merujuk kepada perbuatan merelakan dengan sepenuh hati atau bersedia dengan seikhlas hati atau melepaskan dengan senang hati terhadap apa yang disayangi, dikasihi, dan disanjungi yang sebelum ini telah memberikan kesan yang mendalam bagi kehidupan seseorang individu itu.
Gambaran sifat keredhaan ini dipaparkan melalui watak Mande Rubayah iaitu ibu kepada Malim Kundang yang redha dengan sikap anaknya itu yang malu di hadapan isterinya untuk mengaku ibu tua itu ialah ibunya yang telah melahirkan, mengasuh, dan mendidiknya sehingga dewasa. Malim kundang sanggup menendang, menghina, dan meninggikan suara terhadap Mande Rubayah iaitu ibunya semata-mata kerana malu dengan keadaan ibunya yang sudah tua, comot, dan kotor itu.
Sungguhpun Mande Rubayah diperlakukan sebegitu rupa, Mande Rubayah tetap tidak berputus asa untuk menjelaskan kepada Malim Kundang bahawa dirinya itu adalah ibu yang telah ditinggalkannya bertahun-tahun lama sehingga keadaanya menjadi sedemikian rupa. Akhirnya, Mande Rubayah menerima dengan sabar dan redha bahawa sikap Malim Kundang itu telah berubah sehingga sanggup durhaka kepada dirinya sebagai ibu. Mande Rubayah memohon kepada Allah S.W.T supaya memberikan balasan yang setimpal terhadap anaknya walaupun pernah diberi kasih sayang sepenuhnya sebelum ini kerana sanggup durhaka kepada dirinya sebagai seorang ibu.
Sifat keredhaan boleh wujud atau lahir dalam diri seseorang itu yang berpunca daripada tindakbalas emosi atau perasaan dalam diri seseorang itu bermula dengan berlakunya sesuatu peristiwa yang tidak dijangkakan atau diharapkan terjadi seterusnya menghasilkan perasaan kecewa yang teramat sangat. Kekecewaan boleh berlaku dalam sebarang situasi yang mana, apa yang diharapkan atau diimpikan selama ini tidak dapat dicapai, tetapi berlaku pula perkara yang tidak diingini. Akhirnya akan melahirkan sifat keredhaan apabila bersedia dengan seikhlas hati atau melepaskan dengan senang hati terhadap apa yang disayangi itu.
Berdasarkan peristiwa yang dijelaskan di atas, perubahan sering berlaku dalam setiap kehidupan di dunia ini. Sama ada perubahan yang berlaku itu dari segi fizikal dan juga mental. Maka, terpulanglah sama ada seseorang itu untuk menerima perubahan itu atau tidak. Merujuk kepada watak Mande Rubayah, dia redha dan menerima dengan hati yang terbuka selepas melihat perangai anaknya itu yang berubah selepas menjadi bangsawan yang terkenal sehingga malu mengaku dirinya itu sebagai ibunya. Akhirnya, Mande Rubayah hanya redha dan berserah kepada Allah S.W.T supaya memberikan hukuman yang setimpal terhadap Malim Kundang atas perbuatannya itu.
Firman Allah S.W.T: Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Demi sesungguhnya kamu akan mendengar banyak perkataan yang menyakitkan hati dari orang-orang keturunan Kitab yang dahulu, dan dari orang-orang yang mempersekutukan Tuhan (penyembah berhala). Jika kamu bersabar dan bertaqwa dan memelihara dirimu. sesungguhnya hal itu termasuk urusan yang memerlukan keteguhan hati. (Surah Ali ‘Imran: Ayat 186)
Merujuk kepada firman Allah S.W.T seperti ayat di atas menjelaskan bahawa manusia tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian Allah S.W.T. Ujian yang diberi oleh Allah S.W.T bertujuan menguji tahap keimanan, kesabaran, keredhaan, dan ketaqwaan manusia terhadap Allah S.W.T. Setiap ujian yang dihadapi dengan tenang dan sabar akan mendapat ganjaran syurga daripada Allah S.W.T. Kejadian ini merupakan ujian daripada Allah S.W.T kepada Mande Rubayah. Mande Rubayah dapat dikatakan memiliki ciri-ciri orang yang berjaya menghadapi ujian Allah S.W.T kerana memiliki keimanan yang teguh kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati Allah S.W.T sama ada ketika senang dan susah iaitu dia akan meminta pertolongan hanya kepada Allah S.W.T di samping memiliki sifat sabar dan keredhaan yang tinggi dalam dirinya.
KESIMPULAN Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap karya Hikayat Si-Malim Kundang ini dapat dirumuskan bahawa setiap ujian yang diturunkan oleh Allah S.W.T perlulah dihadapi dengan penuh ketabahan dan menerima dengan keredhaan yang tinggi kerana Allah S.W.T menyediakan ganjaran kepada individu yang bersikap sedemikian itu.
BIBLIOGRAFI
Awang Sariyan. 2007. Falsafah dan Logika Melayu. Selangor: Synergymate Sdn. Bhd. Hashim Hj. Musa. 2001. Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu. Universiti Malaya: Akademi Pengajian Melayu. Hashim Hj. Musa. 2004. Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia Menghadapi Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Muhammad Daud Baharom. 1966. Hikayat Si-Malim Kundang. Kuala Lumpur: Oxford University Pess. Sheikh Abdullah Basmeih. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran. Kuala Lumpur: Darulfikir