Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang bijaksana, guru besar, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan. Selamat pagi dan salam sejahtera. Pada hari ini saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Cara-cara membalas jasa ibu bapa”. Hadirin yang dihormati, Pernahkah anda mendengar cerita “Si Tanggang”? Sebuah kisah sedih tentang anak yang menderhaka kepada ibunya. Pernahkah anda melukai hati ibu bapa anda? Tepuk dada tanya selera. Ibu bapa ialah insan yang paling bermakna dalam hidup kita. Tanpa mereka, kita tidak mungkin wujud di alam fana ini. Sejak dilahirkan lagi, kita dijaga oleh ibu bapa dengan penuh kasih sayang, bagai menatang minyak yang penuh. Mereka telah banyak berkorban untuk kita. Oleh itu, kita sewajarnya membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita. Antaranya, kita perlu belajar bersungguh-sungguh. Kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran sudah tentu mampu menggembirakan ibu bapa yang bersusah payah membesarkan kita. Sesungguhnya setiap ibu bapa inginkan anaknya berjaya dalam pelajaran kerana pelajaran boleh menentukan masa depan kita. Kedua, kita hendaklah menjadi anak yang berperibadi mulia. Kita mestilah sentiasa berkelakuan baik dan berlemah-lembut semasa
bertutur dengan ibu bapa. Kita hendaklah patuh kepada ibu bapa dan jadikan nasihat mereka sebagai pedoman hidup. Ketiga, kita mestilah bersikap ringan tulang. Ibu bapa telah penat bekerja seharian untuk mencari nafkah demi menyara keluarga. Sebagai anak, kita hendaklah membantu ibu bapa melakukan kerja rumah bagi meringankan beban mereka. Contohnya mengemas rumah, menjaga adik dan sebagainya. Kesimpulannya, hargailah jasa ibu bapa ketika masih mempunyai peluang. Janganlah kita bersikap bagai kacang lupakan kulit kerana kasih sayang ibu bapa tiada ternilai dengan wang ringgit. Sekian, terima kasih.