1.0 PENGENALAN Pada 28 Februari 2019 yang lepas, saya dan beberapa orang rakan saya yang lain telah menemubual beberapa orang guru di Sekolah Kebangsaan Mejar Jeneral Dato Ibrahim. Antara guru tersebut ialah Guru Besar iaitu Encik Ahmad Mustaffa Bin Haji Idris, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid iaitu Encik Ismail Bin Haji Yunus dan Ketua Panitia Bahasa Inggeris iaitu Encik Majidi. Temubual tersebut dilaksanakan bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkaitan peranan guru profesional, isu dan cabaran serta perundangan yang berkaitan dengan kerjaya guru. 2.0 PROFESION DAN PROFESIONAL Profesion keguruan adalah antara profesion yang tertua di dunia. Berdasarkan temubual yang telah dijalankan bersama-sama Encik Ismail, beliau telah menyatakan bahawa bidang perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan insan dan ihsan manusia yang sempurna. Selain itu, beliau juga telah menjelaskan konsep profesionalisme ialah satu nilai yang berkait rapat dengan fungsi pekerjaan seseorang. Beliau telah menekankan bahawa perkara ini perlu wujud dalam diri seseorang jika matlamat pekerjaan menuju ke arah keberkesanan, kecekapan dan tanggungjawab. Antara ciri-ciri guru professional ialah guru yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kepakaran serta kemahiran yang pelbagai. Berdasarkan kepada hasil temu bual bersama-sama Encik Ahmad, beliau telah menyatakan bahawa guru perlu meningkatkan diri dalam tiga aspek iaitu sikap, kemahiran dan ilmu pengetahuan. Dalam dunia pendidikan masa kini, beliau juga menyarankan supaya guru meningkatkan pengetahuan tentang pembelajaran seperti peta IThink. Selain itu, antara peranan guru profesional ialah melaksanakan pengajaran yang merangsang pemikiran kritis murid-murid. Perkara ini telah disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ismail iaitu “Antara langkah yang boleh diambil oleh guru untuk meningkatkan kemahiran PdPc abad ke-21 ini ialah, kita perlu sebenarnya melaksanakan pengajaran yang merangsang pemikiran kritis dari segi penyoalan aras tinggi dan kita juga perlu melihat cara respons murid tersebut”. 3.0 ETIKA, AKAUNTABILITI DAN INTEGRITI GURU Etika ialah suatu cabang dari ilmu falsafah yang berkaitan dengan moral dan tingkah laku manusia (Rosli Mamat, 2017). Akauntabiliti pula merujuk kepada sifat tanggungjawab seseorang terhadap sesuatu tindakan dan keputusan. Integriti ialah kesempurnaan atau keikhlasan (Nik
1
Hairi Omar, 2015). Antara etika yang boleh diamalkan oleh guru ialah menunjukkan contoh teladan yang baik supaya dapat menjaga nama baik profesion keguruan. Perkara ini disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ismail iaitu “Sebagai seorang guru, kita perlu menjadi contoh kepada anak murid kita sendiri.” Selain itu, tingkah laku yang baik juga disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ahmad iaitu “Bila sebut guru, kalau kita lihat dari sudut Bahasa Sankrit ni, guru ni membawa maksud penunjuk contoh yang terbaik”. Seterusnya, akauntabiliti dalam profesion keguruan boleh dilihat apabila seseorang guru itu menjalankan tanggungjawabnya untuk membina kemahiran berfikir murid. Perkara ini telah disokong oleh petikan temu bual bersama-sama Encik Ismail iaitu “Sebagai contoh, guru di sekolah ini telah lama menekankan kemahiran berfikir dan kemahiran konstruktif. So, biasanya guru di sekolah ini akan bersoal jawab dengan murid supaya pelajar tu berfikir”. Guru juga seharusnya berusaha memastikan objektif pembelajaran tercapai. Perkara ini disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ahmad iaitu “Setiap guru harus menetapkan dalam diri mereka menunjukkan kebertanggungjawaban terhadap tugas itu dan dia kena memastikan bagaimana muridnya mencapai objektif yang dirancang”. Selain itu, guru menghadapi banyak cabaran dalam mengekalkan integriti pada masa kini. Antara cabaran tersebut ialah dari segi kepelbagaian budaya. Perkara ini disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ismail iaitu “So, kita tengok dari soalan yang Amir tanya untuk kekalkan integriti ini ialah cabaran dari segi kepelbagaian budaya. Dalam satu kelas itu, memang terdapat murid yang pelbagai latar belakang, kaum dan agama”. Guru harus bersikap kreatif untuk memikirkan cara dalam mengatasi cabaran masa kini seperti tidak mengelompokkan murid mengikut kaum tertentu sahaja (Hayati Ismail, 2018). Perkara ini juga telah disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ismail iaitu, “Lepas itu, guru tidak seharusnya membezakan bangsa murid dan tidak mengelompokkan murid mengikut kaum tertentu sahaja. Senang cerita, guru perlu bersikap adil lah sebab itu adalah amanah untuk kita didik”. 4.0 PERANAN GURU SEKOLAH RENDAH Peranan guru sekolah rendah pada Abad ke-21 amat mencabar dengan keperluan transformasi pendidikan (Hakimi Ismail, 2015). Antara peranan guru dalam memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran masa kini ialah guru harus bijak mengagihkan masa. Perkara ini telah disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ismail iaitu “Peranan guru yang pertama ialah guru harus bijak sebenarnya mengagihkan masa ketika berada di sekolah”. Selain itu, guru menghadapi masalah pengurusan masa disebabkan oleh beberapa faktor seperti sistem 2
pemfailan. Perkara ini juga selari dengan apa yang dikatakan oleh Encik Ismail iaitu “Sebagai contoh, sistem pemfailan, inventori, rekod kemas kini dan sebagainya yang mana perlu dilengkapkan dan diurus dengan baik”. Peranan guru yang lain ialah guru harus menguasai kaedah pedagogi yang terkini seperti yang telah dinyatakan dalam petikan temubual bersama-sama Encik Ismail iaitu; “Guru mesti menguasai kaedah pedagogi yang sinonim dengan pengetahuan sedia ada murid yang bersifat homogenius iaitu menggunakan bahan bantuan mengajar yang sistematik”. Guru juga berperanan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid (Suresh Kumar N Vellymalay, 2016). Sebagai contoh, guru menunjukkan sikap yang prihatin terhadap murid. Perkara ini juga disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ismail iaitu, “Sebagai contoh, sikap prihatin kepada murid. Tanya murid dah makan ke belum dan sebagainya”. 5.0 KEPEMIMPINAN GURU Kepemimpinan adalah satu proses mempengaruhi tingkah laku orang lain untuk menggalakan mereka bekerja ke arah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan (Abdullah Sani Yahaya, 2015). Antara contoh kepemimpinan guru yang dapat dilihat di sekolah ialah apabila seseorang guru tersebut diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan program ataupun sambutan di sekolah. Perkara ini disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ismail iaitu “Di sekolah ini, kita beri guru-guru untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti sekolah seperti perhimpunan, sambutan tahunan dan lain-lain. Semua ini adalah untuk membentuk kepimpinan dalam diri guru tersebut”. Ciri-ciri kepemimpinan perlu ada dalam diri setiap guru supaya kualiti guru dapat dipertingkatkan seterusnya dapat meningkatkan kualiti sekolah (Zainuddin Masrom, 2016). Perkara ini juga disokong oleh petikan temubual bersama-sama Encik Ahmad iaitu “Mahu tidak mahu seorang guru kena berusaha menjadi guru yang berkualiti. Maksudnya apa sahaja tanggungjawab yang diberi dia buat sehabis baik”. 6.0 KESIMPULAN Sudah terang lagi bersuluh, peranan guru amat penting dalam memastikan murid untuk bersedia menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21. Justeru, guru juga peru bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut dengan menambah ilmu pengetahuan dan menguasai kemahirankemahiran baharu yang sesuai dengan pendidikan masa kini. Kesimpulannya, cabaran – cabaran dalam pendidikan abad ke-21 ini pastinya dapat diatasi sekiranya guru-guru mempunyai usaha untuk berubah dan meningkatkan kualiti diri.
3
RUJUKAN Abdullah Sani Yahaya (2015). Guru Sebagai Pemimpin. PTS Profesional. Hakimi Ismail (2015, Mei 15). Cabaran Baharu Kerjaya Guru Abad Ke-21. Utusan Online, diakses daripada http://www.utusan.com.my/pendidikan/umum/cabaran-baharu-kerjaya-guruabad-ke-21-1.91781 Nik Hairi Omar (2015). Integriti dari perspektif Pengaduan Awam: Kajian Kes di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia: Jurnal E- Bangi 7(1) 141-155, April. Hayati Ismail (2018, Januari 15). Pembelajaran Abad Ke-21: Harapan, Realiti dan Cabaran. Utusan Online, diakses daripada http://www.utusan.com.my/rencana/utama /pembelajaran -abad-ke-21-harapan- realiti-dan-cabaran-1.590819 Rosli Mamat (2017). Amalan Etika Perguruan di Kalangan Guru Sekolah Menengah Daerah Kuala Terengganu. Projek Sarjana Muda. Universiti Teknologi Malaysia. Suresh Kumar N Vellymalay (2016). Keberkesanan Hubungan Guru Kelas-Murid Dalam Merangsang Kesedaran terhadap Integrasi Etnik Dalam Kalangan Murid Di Bilik Darjah. Jurnal Ilmi 6(1) 69-88. Zainuddin Masrom (2016). Amalan Etika Profesion Perguruan Di Kalangan Guru Sekolah Menengah Kampung Melayu, Kulai Johor. Tesis Sarjana. Universiti Teknologi Malaysia.
4