“The mediocre teacher tells. The good teacher explains. The superior teacher demonstrates. The great teacher inspires.” (William Arthur Ward)
Laporan Temubual Petikan di atas menggambarkan betapa pentingnya peranan guru sebagai penyampai ilmu dan kemahiran kepada pelajar-pelajar dan mencorak mereka. guru boleh diibaratkan sebagai lilin yang menyinarkan hidup pelajar. Namun, sebagai guru, kita harus peka terhadap perubahan yang berlaku dalam pendidikan. Guru sebagaimana ditakrif oleh Iman Al-Ghazali sebagai seseorang yang menyampaikan sesuatu yang baik, positif kreatif atau membina kepada seseorang yang berkemampuan tanpa mengira peringkat umur walau terpaksa melalui dengan pelbagai cara dan kaedah sekali pun tanpa mengharapkan sebarang ganjaran Melalui pemerhatian saya, Puan Arozani sangat peduli akan murid-muridnya. Kepedulian terhadap murid inilah etika guru yang perlu ada dalam setiap insan yang bergelar guru. Kepedulian boleh ditakrifkan sebagai perasaan mengambil berat terhadap orang lain. Kepedulian guru boleh dikategorikan kepada beberapa aspek seperti kepedulian guru terhadap murid, profesion perguruan dan intelektual ataupun perkembangan profesion. Menurut Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Shubki Miskon ( 2004 ) mendefinisikan kepedulian sebagai “ambil peduli, mengambil berat dan menyayangi, yang melibatkan responsif sensitif terhadap orang lain berdasarkan sikap keterbukaan dan prihatin terhadap pengalaman mereka”. Berbalik kepada diri saya sendiri, sebagai bakal guru, saya sangat menyokong dan bersetuju dengan tindakan Puan Arozani yang peduli akan murid-muridnya. Hal ini dapat dibuktikan dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Puan Arozani semasa mengendalikan murid-muridnya di dalam kelas mahupun semasa berada di kantin. Beliau akan sentiasa cuba untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada murid-muridnya. Kebanyakan murid-murid Puan Arozani mengalami masalah pembelajaran Autisme yang teruk, di mana mereka memerlukan latihan yang sangat intensif untuk mencapai tahap kefungsian yang lebih tinggi. Selain daripada apa yang dibincangkan di atas, sebagai guru juga, penting untuk kita mengetahui perkembangan permasalahan murid yang mempengaruhi pembelajaran mereka seperti faktor keluarga, rakan sebaya, masalah komunikasi, masalah peribadi serta faktor-faktor dari segi psikologi. Sebagai guru, membimbing murid membuat penyelesaian dalam peribadi social, emosi, akademik, perkembangan mental dan akhlak serta membantu murid dalam membuat keputusan yang rasional.
Saya juga tertarik dengan pernyataan Puan Arozani yang berbunyi, ‘Apabila kita hendakkan sesuatu, buat sampai jadi’. Puan Arozani sentiasa berusaha untuk membina suasana pembelajaran dan pengajaran yang kondusif di dalam kelasnya. Hal ini kerana, murid yang dapat belajar dalam suasana kondusif dapat meningkatkan dan memperkembangkan potensi yang ada dalam diri mereka. Jika seseorang guru itu dapat mewujudkan suasana sesi pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, ia akan memberikan standard yang tinggi untuk setiap sesi pengajaran dan pembelajaran kepada murid. Oleh itu, guru akan lebih kawalan dan dapat memotivasikan muridnya di sekolah. Akhirnya guru mempunyai kepedulian yang tinggi terhadap emosi dan persekitaran murid akan mewujudkan suasana yang menyokong dan selamat kepada murid. PPPM yang berhasrat untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara kita setanding dengan negara-negara maju yang lain, sikap ambil berat guru terhadap murid sangat penting untuk merealisasikannya. Guru yang mengambil berat terhadap murid dapat memberikan keyakinan kepada murid untuk terus bersaing dalam arus era globalisasi yang semakin mencabar. Keyakinan murid untuk terus bersaing sangat penting untuk mereka terus berminat untuk mempelajari pelbagai perkara. Sebagai contoh, seseorang guru yang sentiasa menunjukkan sifat mesra dan dekat dengan murid seperti sentiasa berdialog secara terbuka dengan murid akan membuat murid tersebut bersemangat dan berkeyakinan untuk belajar. Selain itu, ia juga boleh dianggap sebagai salah satu bentuk motivasi kepada murid untuk belajar. Oleh itu, guru mestilah mencuba sedaya upaya untuk menunjukkan sikap ambil peduli terhadap murid untuk memastikan murid dapat merasai kesungguhan guru tersebut membantunya. Sehubungan dengan itu, guru yang mempunyai nilai kepedulian yang tinggi terhadap murid sepatutnya mampu untuk menunjukkan komitmen mereka dalam mengajar dan sentiasa menyedari kekuatan dan kelemahannya dalam cara menghasilkan murid yang baik. Pengetahuan berdasarkan buku teks sahaja tidak memadai memandangkan perkembangan maklumat dan pengetahuan baharu sentiasa berlaku. Selain daripada itu, kaedah pengajaran dan bahan yang digunakan oleh guru menjadi tanda aras kepada tahap kepedulian guru terhadap murid. Pendidikan merupakan pelaburan yang penting dalam sesebuah negara, dan kualiti generasi di masa hadapan sebahagian besarnya terletak di tangan guru-guru. Justeru, guru perlu sentiasa bersedia menghadapi transformasi dalam bidang pendidikan dengan meningkatkan profesionalisme diri dari segi keilmuan, ketrampilan dan kemahiran serta pembentukan sahsiah yang berakhlak mulia. Dengan ini, guru dapat bergerak seiring dengan arus perubahan dalam era teknologi dan globalisasi.
Rujukan S. I. Syed Mustafa, A. Subki Miskon (2014), Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional. Pelan
Pembangunan
Pendidikan
Malaysia
2013-2015.
Diperolehi
daripada
http://www.moe.gov.my/v/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia-2013-2025 Day, C. (1999). Developing teachers: The challenges of lifelong learning (Perkembangan guru: Cabaran pembelajaran seumur hidup). London: Falmer Press. Mohamed Amin Embi, Muhammad Kamarul Kabilan & Azmi Abdul Latiff. (2002). Online professional development for a community of practicing English language teachers (Perkembangan profesionalisme online untuk komuniti guru bahasa Inggeris). Dalam Prosiding seminar kebangsaan profesion perguruan. Bangi: Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Hamid Fahmy Zarkasyi. (1990). Pemikiran Al Ghazali tentang pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.