Tugasan 1 - Penulisan Akademik.docx

  • Uploaded by: Lorraine Lee
  • 0
  • 0
  • April 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Tugasan 1 - Penulisan Akademik.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 2,150
  • Pages: 8
ABSTRAK Penulisan ilmiah ini membincangkan berkenaan masalah sosial iaitu rasisme yang berlaku dalam kalangan pelajar, khususnya remaja. Remaja hari ini adalah tonggak dan harapan generasi akan datang. Di usia remaja, para pelajar ini seharusnya tekun menelaah pelajaran mereka. Bidang pendidikan adalah satu pelaburan yang amat berharga buat remaja dan para pelajar ini. Dengan pendidikan, mereka akan menjadi manusia yang dapat menyumbang kepada negara, dan juga di dunia dan akhirat. Justeru itu, peranan para guru seharusnya memainkan tanggungjawab besar dalam pembentukan moral individu dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan supaya pengajaran mereka akan terkesan dalam hati para pelajar. Pengajaran yang berkesan ini akan menyentuh hati pelajar dan seterusnya menjadi peringatan kepada mereka dari terjebak dalam gejala sosial. Kata kunci: Rasisme, Dimensi Moral, Peranan Guru. PENDAHULUAN Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Keunikannya dapat diperhatikan daripada banyak segi. Kepelbagaian penduduk yang sekaligus menganuti pelbagai agama dan kepercayaan serta mempunyai aneka budaya dan cara hidup merupakan ciri istimewa yang mendasari keunikan itu. Menurut Ting dan Chua (1989), kepelbagaian etnik dan budaya merupakan cabaran kepada kerajaan dalam usaha mengintegrasikan rakyatnya. Masalah perpaduan dalam masyarakat pelbagai etnik akan menjadi semakin kompleks jika anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik tidak mengenali antara satu sama lain kerana perbezaan ciri asas seperti agama, bahasa, budaya dan ekonomi politik, wilayah dan pengalaman sejarah. Ciri-ciri perbezaan yang ketidaksamaan ini menjadi penghalang utama dalam proses pembinaan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan seterusnya berlaku masalah rasisme. (Rabuskha dan Shepsle, 1973). Bagi pandangan Ahmad Fawzi (1987), institusi pendidikan merupakan pendekatan yang paling sesuai dan berkesan untuk menghasilkan integrasi nasional. Polisi pendidikan Kebangsaan dengan jelas menyatakan integrasi nasional adalah matlamat utama sistem pendidikan kebangsaan. Pengukuhan perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat akan dapat dicapai melalui usaha pembangunan pendidikan negara yang utuh. Perubahan dan pembaharuan dalam bidang pendidikan negara perlu dilakukan demi memenuhi aspirasi negara maju yang beridentiti Malaysia. Hal ini menggambarkan bahawa pendidikan ialah satu aspek yang amat penting dalam pembinaan satu negara bangsa Malaysia bersatu, bersetia, beretika dan beragama,

berkeupayaan dan berketrampilan, memainkan peranan aktif dan produktif dalam masyarakat negara dan masyarakat antarabangsa. Sebagai seorang siswa guru yang akan menjawat jawatan sebagai seorang guru suatu hari nanti, pihak guru harus memainkan peranan untuk menerapkan system kehidupan yang baik dalam menangani masalah moral tersebut melalui penerapan nilai perpaduan dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc), penggalakan pergaulan pelbagai kaum dan pemberian contoh teladan. PERMASALAHAN KAJIAN Berdasarkan Hishamuddin Rais (2013), rasisme merupakan satu bentuk kepercayaan, sikap dan amalan yang mendiskriminasi segolongan manusia berdasarkan ciri-ciri perkaumannya. Pada dasarnya, kepercayaan ini mengandaikan bahawa manusia boleh dibahagikan kepada kaum yang berbeza dan melaui pembahagian tersebut, nilai dan darjat seseorang boleh ditentukan berdasarkan kaum yang diwakilinya. Tidak dapat dinafikan bahawa isu perkauman ini merupakan salah satu masalah sosial yang dihadapi di sekolah (Teo Kok Seong, 2015). Masyarakat sekolah merangkumi murid-murid, guru dan pekerja-pekerja am yang boleh terdiri daripada individu-individu yang berbilang kaum. Kepelbagaian tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang boleh digunakan untuk membanding-bezakan antara satu sama lain. Isu ini jarang dilaporkan dan kurang mendapat perhatian orang ramai. Mansor Mohd Noor (2017) menyatakan bahawa isu murid dipulaukan dan selalu bersendirian akibat perbezaan kaum selalunya dipandang remeh berbanding isu buli yang lebih fizikal. Namun, ramai yang tidak sedar akan kesan-kesan isu tersebut terhadap emosi murid-murid. Seseorang murid yang tidak mempunyai ramai rakan disebabkan oleh warna kulitnya akan membesar dengan perasaan malu atau kesal terhadap perbezaan antara dirinya dengan orang lain. Oleh itu, peranan guru amat penting dalam menghapuskan masalah sosial ini dalam kalangan pelajar. MAKSUD MORAL Moral merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia dalam hubungan sesama manusia, yang nilainya ditentukan oleh masyarakat berdasarkan kepada pemikiran umum yang tertentu (Abd Rahim, 2001). Dalam Kamus Dewan, moral bermaksud ajaran atau pegangan berkenaan baik buruk sesuatu perbuatan atau yang berkaitan dengan betul atau salah. Moral adalah tingkah laku manusia sejajar dengan ajaran, peraturan, adat dan agama yang ditetapkan oleh masyarakat. Ajaran, peraturan, adat dan agama ini menentukan bagaimana manusia harus hidup dan bertindak agar menjadi manusia baik. Manusia yang tidak memiliki

moral dikenali sebagai “amoral” yang bermaksud seseorang individu yang telah terpesong atau lari dari landasan akhlak yang sebenar atau tidak memiliki nilai positif di mata masyarakat lain. Moral secara ekplisit adalah hal-hal yang berhubungan dengan proses sosialisasi.Tanpa moral proses sosialisasi tidak akan berlaku. Moral adalah nilai mutlak dalam kehidupan bermasyarakat secara utuh. Penilaian terhadap moral diukur dari kebudayaan masyarakat setempat. Oleh itu, pelajar yang mempunyai sikap rasisme menunjukkan mereka tidak bermoral. Moral adalah produk dari budaya dan agama. DIMENSI MORAL Salah satu aspek konsep moral adalah dimensi moral. Seorang insan yang berakhlak mulia yang sempurna mengamalkan ketiga-tiga dimensi moral, iaitu penaakulan moral, perasaan moral dan tindakan moral. Berdasarkan Abd Rahim (2001), penaakulan moral bermaksud seseorang individu yang mempunyai emosi moral seperti empati, simpati, prihatin, belas kasihan, bermotivasi dan murah hati. Mereka dapat memikirkan sesuatu dilema moral ataupun tindak laku moral dan membuat pertimbangan berasaskan prinsip moral dan nilai-nilai moral yang diterima oleh masyarakat setempat. Secara ringkas, penaakulan, perlakuan, dan perasaan seseorang individu akan membenarkan individu sentiasa berada dalam keadaan yang berjaga-jaga supaya sesuatu yang dilakukannya adalah mengikut kehendak normatif di mana dia berada. Individu yang tidak bermoral ini sentiasa tidak sensitif terhadap kesengsaraan mangsanya. Hal ini kerana mereka sukar untuk memperoleh perasaan moral. Pelajar yang menunjukkan sikap rasisme membuktikan mereka ini tidak mempunyai nilai bertolak ansur dalam diri mereka. Perkara ini akan menyebabkan mereka tidak berfikiran rasional dan adil dalam membuat sesuatu keputusan yang boleh melukakan perasaan pihak lain. Oleh itu, ketiga-tiga dimensi moral ini perlu saling mempengaruhi antara satu sama lain untuk memupuk modal insan yang bermoral. Seseorang insan yang bermoral adalah insan yang berautonomi dan rasional dalam penaakulan, perasaan dan tingkah lakunya. PERANAN GURU Penerapan Nilai Murni dalam PdPc Proses pendidikan yang melibatkan pembelajaran dan pemudahcaraan merupakan satu proses yang biasanya dilakukan secara formal di dalam bilik darjah serta melibatkan dua pihak iaitu pengajar dan pelajar. Pendidikan perlu mengambil peranan yang penting dalam membina nilai-nilai yang positif kepada masyarakat ke arah menuju sebuah negara yang maju dan moden.

Tanpa penerapan elemen nilai-nilai murni ke arah pembangunan insan yang seimbang dari segi akademik dan akhlak, manusia akan menjadi huru hara. Dalam konteks sekolah, guru-guru tidak seharusnya hanya menerapkan nilai-nilai moral dalam matapelajaran seperti Pendidikan Islam dan Pendidkan Moral sahaja. Matapelajaran lain seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga harus diselitkan dengan pengajaran nilai-nilai murni untuk mewujudkan Elemen Merentas Kurikulum (EMK). Menurut Wan Marzuki Wan Ismail, Hafizoah Kassim dan Munira Abdul Razak (2016), EMK ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain yang ditetapkan dalam standard kandungan. Elemen-elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan. Oleh itu, guruguru harus menitikberatkan nilai perpaduan dalam proses PdPc untuk melahirkan generasi muda yang bersatu padu dan tidak mengambil kira perbezaan antara satu sama lain dari segi perkauman. Dari segi pelaksanaan, P Kamalanathan (2015) menyatakan bahawa guru-guru boleh menggunakan topik yang berkaitan dengan kepelbagaian kaum dalam proses PdPc menurut program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Sebagai contoh, guru boleh mengetengahkan topik tentang kepelbagaian makanan, pakaian tradisional ataupun perayaan di Malaysia. Murid-murid boleh diberikan tugasan untuk membincangkan manfaat atau kepentingan perkara tersebut dan cara-cara untuk mengekalkan kewujudannya serta kesan-kesan jika kepelbagaian itu terjejas pada masa yang akan dating. RIMUP perlu diperkukuhkan dengan menambah peruntukan agar lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan oleh pihak sekolah supaya guru-guru dapat menanamkan rasa kesyukuran akan keunikan negara dan seterusnya menimbulkan rasa tanggungjawab dalam kalangan murid-murid untuk menjaga perpaduan negara. Penggalakkan Pergaulan Pelbagai Kaum Guru juga harus menggalakkan pergaulan antara murid-murid berbilang kaum sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Pergaulan tersebut boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah kerja kumpulan atau pasangan, perbincangan, bersukan atau aktiviti riadah, makan bersama-sama pada waktu rehat dan lain-lain. Peluang untuk mengalami interaksi sebegitu amatlah tinggi di sekolah dan dengan adanya interaksi tersebut, nilai hormatmenghormati serta toleransi dapat dipupuk dalam kalangan murid-murid.

Berdasarkan pernyataan Mayo Liyya (t.t.), kebanyakan sekolah di negara ini mempunyai pelajar berbilang kaum, yang menjadi tempat mulanya perkenalan kanak-kanak dan remaja dengan rakan-rakan dan remaja pelbagai kaum. Sekolah jugalah menjadi tempat di mana mereka belajar dan mula tahu mengenai adat resam, budaya dan agama rakan-rakan daripada kaum lain. Tambahan pula, persahabatan terjalin mesra dalam pergaulan mereka tanpa ada rasa pengasingan atau peminggiran atas dasar kelainan itu. Pengalaman berkawan dengan rakan daripada kaum lain di alam persekolahan ini membina perspektif unik dalam diri kanak-kanak dan remaja sehinggalah dewasa apabila mereka mudah menerima serta mesra dalam pergaulan dengan rakan-rakan dari kaum yang lain. Menurut Hayati Ibrahim (2016), guru-guru boleh memainkan peranan mereka dengan memastikan setiap kumpulan terdiri daripada murid-murid berbilang kaum dalam pembahagian kumpulan untuk aktiviti sukan selaras dengan rancangan program 1Murid 1Sukan. Perkara ini membuka peluang kepada murid-murid untuk mempelajari sesuatu yang baharu mengenai suku kaum lain yang secara tidak langsung akan membantu dalam pembentukan pandangan serta pemahaman yang lebih meluas dan mendalam (Zacchaeus, 2015). Murid-murid juga akan lebih befikiran terbuka dan menerima perbezaan yang wujud di antara satu sama lain. Guru juga harus menggalakkan pergaulan sedemikian pada waktu lain. Contohnya, semasa waktu rehat, guru boleh menyuruh murid-murid yang berlainan kaum untuk duduk bersama-sama dan berkongsi tentang adat atau kepercayaan masing-masing. Hasil daripada perkongsian tersebut dapat dikongsikan lagi bersama murid-murid yang lain dalam perhimpunan sekolah untuk menunjukkan manfaat pergaulan mesra pelbagai kaum. Pemberian Contoh Teladan Di samping mengajar nilai perpaduan dan menggalakkan pergaulan, guru itu sendiri haruslah memberikan contoh teladan yang baik kepada murid-murid. Pada peringkat persekolahan, kebanyakan perkara yang dipelajari oleh murid-murid adalah melalui pengalaman daripada penglihatan dan pendengaran mereka dalam kehidupan seharian. Oleh itu, amatlah mudah untuk murid-murid untuk mencontohi perwatakan guru-guru mereka sama ada baik atau buruk. Guru-guru yang mempunyai idealisme yang tinggi terhadap pengajaran, pelajar dan masyarakat akan menampilkan ciri-ciri personal, interpersonal, profesional, intelektual dan kemahiran dalam pengajaran, pembelajaran dan urusan sehariannya dengan baik. Guru merupakan model yang sangat penting dalam menyalurkan mesej tentang nilai-nilai moral,

kepercayaan, falsafah dan sikap kepada anak-anak didik mereka. Guru juga merupakan orang yang penting dalam pembentukan sahsiah seseorang murid kerana mereka menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah sejak umur 7 tahun sehinggalah tamat persekolahan. Jika seseorang guru mempamerkan sikap menghormati dan bertoleransi terhadap semua kaum, maka murid-murid akan mencontohi amalan tersebut dalam persahabatan mereka. Dalam usaha memberikan contoh amalan yang boleh mengeratkan hubungan silaturahim antara murid-murid berbilang kaum, Program Guru Penyayang telah dilaksanakan di mana salah satu hasratnya adalah guru-guru harus mengamalkan nilai saling menghormati dalam kalangan mereka dan juga terhadap pelajar tanpa mengira perbezaan kaum (Khairul Abidin Nuar, 2012). Guru perlu bersikap adil dan memberi layanan yang sama kepada semua muridnya. Guru mesti sedar akan peranan penting yang perlu dimainkan dalam beramah mesra dengan kesemua murid dan bukan hanya dengan segelintir sahaja. Guru juga tidak seharusnya memberi pengecualian atau bersikap pillih kasih atas faktor perkauman. Guru harus mempunyai tanggapan yang sama terhadap semua murid-muridnya. Perbuatan ini akan membawa kepada amalan yang serupa dalam kalangan murid-murid yang secara tidak langsung akan mengelakkan berlakunya pemilihan kawan berdasarkan perkauman. KESIMPULAN Sebagai kesimpulan, isu rasisme di sekolah sememangnya suatu perkara yang tidak seharusnya dipandang sebelah mata lagi setelah sekian lama dipertikaikan. Guru-guru harus lebih berusaha dalam pengendalian isu tersebut. Dengan huraian dan penjelasan yang diberikan di atas, jelaslah bahawa pihak guru memegang tanggungjawab yang amat penting dalam menangani masalah rasisme dalam kalangan pelajar di sekolah. Sebagai seorang bakal guru, saya menyeru kepada semua pihak terutamanya pihak sekolah untuk bekerjasama dalam mengatasi isu tersebut melalui penerapan nilai perpaduan dalam proses PdPc, penggalakan pergaulan pelbagai kaum dan pemberian contoh teladan.

Rujukan Abd Rahim Abd Rashid. (2001). Nilai-nilai murni dalam pendidikan menghadapi perubahan dan cabaran alaf baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Ahmad Fawzi, B. (1987). Isu-Isu Perpaduan Nasional : Cabaran, Pencapaian dan Masa Depan. Kuala Lumpur: UUM. Hayati Ibrahim. (2016, Oktober 8). Jalan Ria 1Murid 1Sukan meriah. Harian Metro. Diperoleh dari https://www.hmetro.com.my/node/172415 Hishamuddin Rais. (2013). Rasisme perkauman dan sejarahnya. Diperoleh dari https://www.malaysiakini.com/columns/225813 Khairul Abidin Nuar. (2012, Mei 16). 'Budayakan Guru Penyayang'. Utusan Online. Diperoleh dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120516/dn_09/ Budayakan-Guru-Penyayang Mansor Mohd Noor. (2017, Julai 4). Tangani ucapan kebencian, tolak perkauman. Berita Harian. Diperoleh dari https://www.bharian.com.my/node/298700 Mayo Liyya. (t.t.). Sekolah pembentuk perpaduan. Diperoleh dari http://www.academia.edu/6870847/sekolah_pembentuk_perpaduan P Kamalanathan. (2015, Oktober 22). RIMUP satukan murid sekolah berbilang kaum. Berita Harian. Diperoleh dari https://www.bharian.com.my/node/90742 Rabashka, A. dan Shepsle , K., A (1972). Politics in Plural Societies : A Theory of Democratic Instability. Columbus: Ohio Charles E. Mervill Publishing Co. Teo Kok Seong. (2015, Jun 4). Hindari sekam api perkauman demi keharmonian. Berita Harian. Diperoleh dari https://www.bharian.com.my/node/59044 Ting, C. P.dan Chua, Y. Y. (1989). ‘Keberkesanan Dasar Ekonomi Baru dalam Menyusun Semula Masyarakat dan Mencapai Perpaduan Negara?’, dalam P. Mohd Hanafiah & S. Chamsuri (Eds.), Rancangan Malaysia Kelima. Bangi: UKM. Wan Marzuki Wan Ismail, Hafizoah Kassim & Munira Abdul Razak. (2016). Penerapan kreativiti di dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Jawi: Kajian rintis. Proceedings of The National Conference for Postgraduate Research, pp.512-518.

Zacchaeus, W. (2015, Mac 27). Sukan pemangkin terbaik perpaduan negara. Utusan Borneo Online. Diperoleh dari http://www.utusanborneo.com.my/2015/03/27/sukan-pemangkinterbaik-perpaduan-negara

Related Documents

Tugasan 1
October 2019 38
Tugasan 1
May 2020 19
Tugasan 1
May 2020 21
Tugasan 1
June 2020 19

More Documents from ""