Sejarah asal usul nasi dagang
Secara asasnya, sejarah nasi dagang ini dikatakan bermula apabila nasi dagang dihasilkan bertujuan untuk diper’dagang’kan kerana ia merupakan makanan yang enak, tahan lama, mengenyangkan dan boleh dimakan pada bila-bila masa. Hidangan nasi dagang ini pada suatu masa dahulu amat terkenal di beberapa buah kawasan, seperti selatan Thailand (Narathiwat, Pattani dan Songkhla), Kelantan dan Terengganu.
Terdapat pelbagai versi dan kisah yang diceritakan mengenai sejarah dan asal usul terhasilnya nasi dagang ini. Mari kita lihat dahulu asal usul nasi dagang ini berdasarkan kisah dan versi yang diceritakan dari negeri Kelantan. Kisah asal usul nasi dagang ini di Kelantan ini membawa kita kepada kisah Puteri Saadong yang merupakan antara Raja Perempuan yang memerintah negeri Kelantan di antara tahun 1667 hingga 1671 dan nasi dagang ini dikatakan telah dicipta dan dihasilkan oleh Puteri Saadong ini.
Puteri Saadong merupakan anak perempuan kepada Datuk Loyor dan datuknya adalah Raja Sakti. Puteri Saadong ini telah dijadikan sebagai anak angkat oleh Cik Siti Wan Kembang, iaitu Raja Perempuan Kelantan. Baginda juga berkahwin dengan sepupunya, iaitu putera kepada Sultan Samiruddin (Raja Jembal), yang bernama Raja Abdullah.
Berdasarkan sebuah kisah yang kerap diceritakan oleh orang-orang tua, dikatakan bahawa salah seorang daripada Raja Siam telah terpesona dengan kecantikan Puteri Saadong dan telah menangkapnya untuk dibawa ke Siam bertujuan untuk mengahwininya. Namun, terdapat suatu yang ajaib pada Puteri Saadong di mana Raja Siam tersebut langsung tidak dapat mendekati atau menyentuuhnya. Malah, Raja Siam itu juga mempunyai sejenis penyakit kulit misteri yang tidak dapat disembuhkan untuk suatu tempoh masa yang lama.
Puteri Saadong yang mengetahui akan rahsia Raja Siam ini telah menawarkan diri untuk membantu menyembuhkan penyakit yang dialami oleh Raja Siam tersebut. Namun, Puteri Saadong telah mengenakan syarat, bahawa baginda harus dihantar pulang ke Kelantan sekiranya Raja Siam berjaya sembuh daripada penyakit berkenaan. Dengan izin Tuhan, maka hasil rawatan yang diberikan oleh Puteri
Saadong, Raja Siam tersebut telah sembuh dan baginda terpaksa menunaikan janjinya terhadap Puteri Saadong.
Maka, Puteri Saadong telah dihantar pulang ke Kelantan bersama satu rombongan yang khas oleh Raja Siam. Setelah beberapa lama berlayar, akhirnya rombongan tersebut sampai ke Kelantan dan berlabuh di suatu tempat yang bernama Kuala Kemasin. Pada waktu ketibaan mereka itu, kesemua bahan-bahan makanan yang mereka bawa dari Siam, seperti beras, lauk pauk dan kelapa hampir kehabisan. Ahliahli rombongan mula merasa risau dan tidak tahu apa yang harus mereka lakukan bagi memasak makanan untuk rombongan tersebut.
Puteri Saadong yang juga terkenal dengan kebijaksanaannya telah menggunakan kesemua bahan masakan yang masih tinggal tersebut dan masakan tersebut telah dinamakan sebagai ‘nasi dagang’ sesuai dengan keadaan mereka pada waktu itu. Begitulah cerita mengenai nasi dagang versi negeri Kelantan yang telah disampaikan dari mulut ke mulut sejak beberapa waktu yang lalu.
Berbeza pula dengan kisah asal usul dan sejarah nasi dagang bagi versi negeri Terengganu. Kisah nasi dagang Terengganu ini sebenarnya lebih kepada kisah para nelayan yang menjadi pekerjaan utama bagi penduduk Terengganu pada suatu ketika dahulu. Kisahnya ringkas sahaja, di mana masyarakat nelayan di Terengganu dikatakan telah menghasilkan nasi dagang sebagai bekalan buat mereka ketika di lautan. Nasi ini yang dihasilkan dengan santan dan mempunyai lauk ikan yang berkuah, bertujuan untuk memberi tenaga yang mencukupi untuk mereka bertahan di lautan.
Malah, suatu ketika dahulu, golongan nelayan yang tinggal berhampiran dengan istana di Terengganu turut mempersembahkan hidangan nasi dagang ini ke istana pada setiap kali menjelangnya perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ini dianggap sebagai satu simbolik kerana hidangan nasi dagang juga merupakan antara hidangan kegemaran golongan kerabat istana dan merupakan hidangan istimewa pada setiap kali acara dan perayaan di Terengganu.
Perbezaan nasi dagang Terengganu dan Kelantan
Meskipun nasi dagang ini merupakan antara jenis nasi yang utama di kedua-dua buah negeri Terengganu dan Kelantan, namun sebenarnya terdapat beberapa perbezaan yang ketara dari segi rupa dan rasa nasi dagangnya.
1. Nasi dagang terengganu
Nasi dagang Terengganu secara kebiasaannya, diperbuat daripada campuran beras biasa dan beras pulut dan dimasak bersama santan kelapa (dikukus). Bagi lauknya pula, nasi dagang Terengganu dihidangkan bersama kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan Aya Hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar, dipotong. Selain itu acar timun juga disediakan. Nasi dagang Terengganu pada hari biasanya menjadi hidangan sarapan pagi bagi masyarakat Terengganu dan juga hidangan istimewa bagi acara-acara tertentu.