Revolusi sains dan pencorakan peradaban moden LAZIMNYA kita mengaitkan ledakan maklumat dengan teknologi digital, atau teknologi siber. Ramai pemerhati, penulis dan cendekiawan menganalisis kesan daripada ledakan maklumat ini. Namun, bagaimanakah dapat kita faham bahawa setiap peradaban yang pemah wujud adalah cetusan daripada ledakan maklumat?Bagaimanakah dapat kita kaji pengaruh budaya cetak serta maklumat yang disebarkan dalam konteks ledakan maklumat? Apakah penemuan yang boleh mengaitkan fenomenon revolusi maklumat dalam konteks peradaban moden dan budaya cetak? Fellow, Pusat Kajian Media Antarabangsa, AHMAD MURAD MERICAN, membicarakannya. SATU pendekatan yang dapat digunakan dalam memahami keadaan diri kita dalam konteks revolusi maklumat ialah dengan mengkaji sejarah dan meninjau ciptaan, rekaan, serta idea yang serupa pada masa Ialu. Mungkin ramai berpendapat ciptaan komputer yang membawa kita kepada arus ledakan maklumat itu, tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah manusia. Mungkin ramai menganggap revolusi komputer itu unik yang dalam konteks moden, ia satu inovasi yang tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana ciptaan manusia. Jika kita mengimbau sejarah peradaban manusia, sekurang-kurangnya ada tiga inovasi masa Ialu yang menghasilkan ledakan maklumat serupa dengan yang kita alami kini. Kebanyakan dihasilkan oleh saluran media dan teknologi. Ketiga-tiga inovasi itu menggunakan teknologi yang mengakibatkan pengurangan kos dan usaha dalam pengeluaran, penyimpanan dan penyebaran maklumat. Inovasi yang dimaksudkan itu ialah bahasa, penulisan dan percetakan. Bagi memahami kepentingan inovasi itu, kita perlu meletakkannya dalam konteks sejarah. Sejarah membuktikan setiap inovasi itu berjaya menghasil dan mewujudkan satu bentuk baru dalam institusi masyarakat manusia. Bahasa dikaitkan dengan permulaan masyarakat manusia, penciptaan penulisan dengan permulaan peradaban, serta perkembangan dalam teknologi percetakan kepada permulaan peradaban moden. Sejarah peradaban berkait rapat dengan satu inovasi yang mencetuskan ledakan maklumat. Ia mengandaikan suatu perhubungan sebab-musabab yang menjurus kepada transformasi peradaban yang berlaku. Bagi membuktikan perhubungan sebab-musabab itu wujud, kita terlebih dulu perlu menunjukkan terdapat keterbatasan dalam pengeluaran maklumat yang mengehadkan kemajuan dalam era sebelum ledakan maklumat itu. Hakikatnya, peradaban adalah maklumat. Ciri peradaban seperti etika, undang-undang, teknologi, seni, kesusasteraan, ilmu, falsafah dan weltanschaaungnya, dan konsep ketuhanan dianggap sebagai media dan bentuk maklumat. Budaya yang dibentuk oleh sesuatu peradaban itu boleh disifatkan sebagai satu sistem maklumat yang merangkumi bahasa, bentuk-bentuk idea dan pemikiran, institusi kekeluargaan, politik dan agama.
Jika dihalusi, bahasa sebenarnya memudahkan maklumat dikumpulkan, disimpan dan dipindahkan atau diperturun daripada satu generasi ke generasi lain.Bentuk-bentuk idea dan pemikiran, serta unit-unit maklumat itu dapat disimpulkan sebagai sistem penceritaan, membabitkan ciri alam dan kedudukan manusia, serta catatan sejarah. Sistem penceritaan ini merangkumi maklumat dalam sesuatu budaya. Budaya kemudiannya membentuk dan mencirikan institusi-institusi lain dalam sesuatu peradaban itu melalui maklumat yang dibentuk, disusun dan direka. Namun gagasan dan keagungan sesuatu peradaban itu biasanya dibatasi oleh maklumat daripada sumber fizikal lain. Umpamanya, peradaban klasik seperti Yunani, Mesir dan Mesopotamia, mempunyai semua sumber fizikal yang diperlukan untuk mencipta teknologi yang ada sekarang ini seperti komputer, televisyen, roket, kereta, peti sejuk, ketuhar mikro dan barangan pengeluaran dan pengguna. Bagaimanapun, mereka tidak berupaya mencipta teknologi dan barangan itu kerana mereka tidak mempunyai maklumat yang diperlukan. Keterbatasan maklumat, selain daripada berbentuk kuantitatif, juga berbentuk kualitatif, yakni dari segi cara dan kaedah melakukan sesuatu. Satu faktor ketara dalam keterbatasan kualitatif ini ialah dalam kewujudan dan kegunaan bahasa. Teknologi dan pencapaian sosial manusia memerlukan kesedaran pemikiran, yang bergantung kepada bahasa. Perhubungan di antara penciptaan penulisan dan permulaan peradaban lebih jelas dan dapat dilihat dalam peradaban seperti Mesopotamia, Lembah Indus, dan China. Faktor utama yang membezakan budaya peradaban itu dengan budaya kontemporari lain ialah penciptaan penulisan. Faktor lain seperti perdagangan dan urbanisasi dimiliki sedikit sebanyak oleh budaya lain pada masa itu. Sesebuah peradaban bermula dengan penciptaan penulisan. Kita dapat katakan bahawa penulisan wujud hanya dalam sesuatu peradaban, dan sesuatu peradaban itu tidak dapat wujud tanpa penulisan. Perhubungan antara penciptaan percetakan dan asal-usul peradaban moden amat penting. Ledakan maklumat mencetuskan teknologi percetakan dan inovasi itu kemudiannya memungkinkan kadar pengeluaran maklumat yang tidak pernah terfikir sebelumnya. Di antara teknologi dan pengeluaran maklumat ini terdapat satu faktor penting yang juga membawa satu transformasi dalam bentuk pengeluaran peradaban moden - komersilisme. Pasaran yang meluas, kemunculan golongan perdagangan dan perniagaan dan penubuhan universiti yang berlandaskan kepada humanisme sekaligus mencetuskan penyebaran idea dan maklumat yang tidak terbatas. Potensi ekonomi dari teknologi percetakan ini dilihat apabila teknik dan cara pengeluaran semula idea dan maklumat tersebar dari Jerman ke lebih dari 10 negara lain di Eropah menjelang akhir abad ke 15. Pada masa itu, lebih kurang 40,000 edisi buku dicetak. Tidak dapat dinafikan juga, persitiwa seperti revolusi Copernicus dalam astronomi serta revolusi sains lain adalah terhasil daripada teknologi percetakaan.
Dalam mengkaji keberkesanan teknologi percetakan, yang pada umumnya diterima dengan mesin cetak Johann Gutenberg dari Mainz, Jerman pada tahun 1450an, kita sebenarnya dapat memahami kuasa-kuasa sosial dan budaya yang kini membentuk pemikiran moden. Mesin cetak Gutenberg wujud pada zaman Renaissance. Oleh itu, dapat kita andaikan teknologi mesin cetak adalah salah satu pelopor kepada perkembangan zaman Renaissance di Eropah yang bermula dari abad ke 14 dan seterusnya membentuk sistem dunia kepada apa yang ada sekarang ini. Zaman Renaissance menyaksikan beberapa peristiwa unggul dalam sejarah dan peradaban manusia - seperti revolusi Copernicus, Reformasi - perpecahan Gereja dan Negara, dan penemuan benua Amerika oleh Columbus yang kini banyak mempengaruhi peradaban moden. Ada pandangan mengatakan perkembangan teknologi dan aktiviti percetakan yang mendadak bermula dari tahun 1450an menggerakkan peristiwa itu terutama sekali memberi ruang dalam reformasi bidang astronomi, yang banyak mengalami pelbagai perubahan dan peralihan hala tuju sejak dari zaman Yunani ke Ptolemy seterusnya ke Copernicus. Tanpa teknologi percetakan, Copernicus mungkin ketandusan sumber. Tanpa teknologi percetakan, manuskrip Copernicus, yang mengubah, malah merevolusikan pandangan alam manusia mengenai dunia dan kewujudan, mungkin dilupakan atau disimpan atas rak-rak buruk di perpustakaan gereja. Dari apa yang diketahui, ada 1,000 naskhah percetakan manuskrip Copernicus dalam edaran pada abad ke 16, dan ia diedarkan secara meluas. Sebuah daripadanya, misalnya, sampai ke Mexico menjelang tahun 1600. Memanglah 1,000 naskhah bukanlah banyak mengikut ukuran sekarang ini, tetapi jumlah itu juga tidak mampu dicapai oleh sebarang peradaban tanpa, dan sebelum tercipta teknologi mesin cetak seperti yang dihasilkan oleh Gutenberg. Percetakan dan pengedaran manuskrip Copemicus adalah satu contoh penyebaran maklumat hasil ciptaan mesin cetak. Kepentingan pecetakan pada zaman refomasi dapat dilihat dengan jelas, dalam pengeluaran semula dan pengedaran kitab Injil. Pihak Gereja serta kuasa-kuasa politik yang lain mengambil kesempatan dengan menggunakan "kuasa" percetakan.Bagaimanapun, "kuasa" percetakan itu berkembang luas sehinggakan tidak terkawal. Ini memberi ruang kepada pergerakan anti-Gereja untuk menyebarkan maklumat mengkritik dan menyoal kembali asas-asas kepercayaan di Eropah pada masa itu. Umpamanya, pemimpin pergerakan Reformasi, Martin Luther menggunakan mesin cetak dengan meluasnya. A G Dickens dalam bukunya Reformation and Society in Sixteenth Century Europe, terbitan tahun 1966, menyatakan di antara tahun 1517 hingga 1520, 30 penerbitan Luther mungkin dijual lebih 300,000 naskhah. Itulah pertama kali dalam
sejarah Barat di mana satu idea yang bersifat radikal disebarkan dalam bahasa tempatan (dan bukan Latin). Pihak Gereja mendapati ia sukar dikawal. Lutheranisme adalah "anak sulung" buku pertama yang tercetak, dan saluran percetakan membolehkan Luther mengacuankan weltanschaaung tamadun Barat, membentuk pemikiran Eropah, dan yang kemudiannya bedaya mempengaruhi dan membentuk pemikiran dan nilai masyarakat dunia moden. Menyingkap penemuan benua Amerika, buku-buku utama ialah geografi dan sejarah tabii. Christopher Columbus, misalnya, memiliki sekurang-kurangnya empat buku yang baru dicetak pada masa itu. Buku-buku yang dimilikinya itu bukan hanya mempunyai kepentingan dalam perkembangan idea Columbus mengenai geografi tetapi juga dalam keupayaannya dalam membentangkan hujah-hujahnya kepada beberapa ahli geografi Sepanyol yang mempunyai pengetahuan yang lebih dalam ilmu pelayaran dan berapa jauhnya di antara satu wilayah dengan wilayah lain. Kesan ledakan pengeluaran dan percambahan maklumat (bukan semuanya betul) dapat menerangkan pencapaian-pencapaian di Eropah pada zaman Renaissance. Apa yang berlaku di Eropah pada masa itu bukan sahaja disebabkan oleh kepintaran manusia, malah oleh kuantiti maklumat yang secara mendadak dibekalkan kepada kepintaran itu. Teknologi mesin cetak membekalkan mereka yang pintar dengan maklumat yang benarbenar diperlukan, serta membolehkan mereka menyebarkan idea dan penemuanpenemuan dengan cepat kepada beribu-ribu orang. Eisenstein dalam kajiannya mendapati kandungan buku-buku awal sebelum penggunaan mesin cetak mengandungi banyak kesilapan. Bagaimanapun, kuantiti kesilapan itu didapati berkurangan selepas penciptaan mesin cetak Gutenberg. Sebahagian daripada jawapan lanjutan persoalan tersebut dapat dilihat dalam perkembangan kaedah-kaedah saintifik dalam abad-abad ke 16 dan ke 17. Ini mencetuskan satu persoalan lagi - kenapakah terdapat kemunculan kaedah-kaedah saintifik? Sebahagian daripada kaedah saintifik membabitkan penilaian maklumat berasaskan kepada pemerhatian dan ujian. Sebahagian lagi membabitkan hubungkait hukum-hakam dan peraturan-peraturan alam. Pada asasnya, aspek itu membabitkan teknik mengkaji dan menguji kuantiti maklumat yang banyak dengan mencari pola-pola dalam menerangkan sesuatu fenomena. Teknik-teknik saintifik itu bukan sebenarnya baru, malah ia wujud dalam usaha-usaha mencari ilmu dalam semua peradaban - dari peradaban Yunani kepada zaman tokohtokoh agama dan ilmuwan Islam sebelum jatuhnya kerajaan Abbassiyah. Akan tetapi, teknik-teknik itu digunakan dengan banyaknya dalam abad-abad ke 16 dan ke 17, sehingga menjurus kepada era Revolusi Sains.Dengan kata lain, berikutan dengan penciptaan mesin cetak, pengeluaran maklumat bertambah dengan banyak. Teknologi percetakan telah membolehkan saintis-saintis serta pertubuhan-pertubuhan saintifik di
Eropah menyebarkan ide dan penemuan-penemuan. Proses komunikasi ilmu sains - dan penyebaran epistemologi sains modenpun bermula tanpa batas. Ini sealiran dengan usaha mengkaji dan menghalusi maklumat yang ditemui dan disebarkan. Apakah ataupun adakah kaitannya di antara kuantiti maklumat serta kualiti maklumat itu? Satu andaian ialah wujudnya revolusi sains pada abad-abad ke 16 dan ke 17 itu merupakan satu response kepada percambahan maklumat hasil daripada pengeluaran dan pengeluaran semula maklumat akibat daripada terciptanya mesin cetak. Jumlah kuantiti maklumat yang dikeluarkan memaksa wujudnya kaedah-kaedah saintifik bagi mengkaji dan menilai maklumat itu. Prinsip sains yang menekankan kepada pengulangan berkalikali sesuatu ujian itu dimungkinkan oleh percetakan. Maklumat yang dikumpulkan itu juga telah menghasilkan berbagai-bagai inovasi yang kemudiannya memberi pengaruh ke atas pemikiran manusia Eropah yang menggunakan kemunculan teknologi cetak dalam seni, kesuasteraan, falsafah dan politik. Jika ditumpukan perhatian kepada teknologi pereetakan pasa masa itu, kita dapat lihat bahawa ia memudahkan satu lagi revolusi, iaitu, revolusi komunikasi. Bersama dengan bahasa pertuturan, penulisan, dan media elektronik, teknologi mesin cetak telah mengubah paradigma pemikiran manusia. Transformasi intelektual yang dibawa oleh mesin cetak kepada tamadun Barat, mengasaskan prinsip piawaian, pembuktian, dan komunikasi yang berasal dari satu sumber dan disebarkan kepada sejumlah penerima melampaui batasan geografi.Dalam pada itu, ia memberi satu cabaran kepada pengawalan pemikiran dan idea oleh institusi agama dan raja pada masa itu. Apa yang dapat disebut sebagai media massa kini bermula dengan terciptanya mesin cetak. Kini dengan teknologi siber, budaya cetak masih lagi wujud. Walaupun budaya cetak bukan sebab unggul dalam mencetuskan maklumat dan perubahan besar dalam pemikiran manusia dan struktur masyarakat, ia memberi pengaruh yang besar ke atas tamadun budaya Eropah dan seterusnya tamadun moden. Budaya cetak dan maklumat yang dihasilkan lalu disebarkan telah membawa satu anjakan perspektif dalam sains, fahaman tentang agama, politik dan bentuk-bentuk pemikiran yang biasanya dikaitkan dengan budaya Barat. http://www.geocities.com/Yosemite/Trails/7111/yartikel4.htm 13/11/08