Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera. Salam Sinar Keharmonian
Sedarlah, tragedi di Lembah Jaya Melabak, Kisah pemisahan China dan Rusia, Konflik agama di Mindanao Filipina dan Dua puluh satu episod tragedi peperangan yang terkejam di dunia Berlaku akibat daripada titik permuafakatan dan persefahaman yang tidak pernah bertemu.
Sekalung asprisasi buat saudara/saudari pengerusi majlis, dif dif berinovatif, kombinasi juri berintegriti, hadirin, warga dewan yang budiman. Ayuh renungilah mauduk pidato saya yang bertajuk “Masyarakat Sepakat Membawa Berkat”.
Masyarakat adalah kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu, manakala sepakat bermaksud sependirian. Berkat pula membawa rahmat. Tuntasnya, hidup bermasyarakat merupakan tuntutan semulajadi yang pada akhirnya membawa berkat dan rahmat kepada kita semua. Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama perlu memelihara dan mengekalkan perpaduan agar keharmonian hidup dapat terus subur mekar dalam hidup bermasyarakat. Oleh itu, empat kupusan idea akan saya unjurkan.
Hadirin sekalian, Pertama,
Hidup bermasyarakat dengan mereka yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa dan keturunan, adat resam dan sebagainya akan menambah lagi pengetahuan dan kenalan kita. Antaranya, mendapat tunjuk ajar jika berjirankan dengan seorang guru atau pensyarah, mendapat nasihat kesihatan jika berjirankan dengan seorang doktor, mendapat nasihat guaman jika berjirankan seorang peguam. Hal ini tidak termasuk ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh masyarakat sekeliling seperti ilmu bercucuk tanam, landskap, jahitan, komputer dan sebagainya.
Kedua,
Masyarakat yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman, kecurian, pecah rumah, najis dadah, penculikan, dan sebagainya. Hal ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa
Keselamatan Kampung atau kempen-kempen kesedaran. Perlakuan atau gejala sosial seperti berkhalwat, penderaan, lari dari rumah, dan banyak lagi dapat dibendung jika masyarakat memainkan peranan dan mengambil prakarsa melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali berlakunya perkara ganjil dan meragukan.
Menyusul pula isi saya yang ketiga,
Sikap sepakat dan berkerjasama antara satu membolehkan kumpulan masyarakat tersebut mengadakan program setempat. Kerjasama ini boleh dipermantapkan melalui JKK atau Persatuan Penduduk Taman. Jawatankuasanya mesti menjalankan aktiviti bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim sesame jiran. Individu yang berpengaruh dan berpengalaman luas hendaklah dipilih menerajui persatuan tersebut, manakala yang lain turut menyumbang dalam bentuk pemikiran, wang ringgit, kebendaan, tenaga dan sebagainya bagi menjayakan
segala
program
yang
dirancang.
Aktiviti
seperti
bergototng-royong
membersihkan kampung, masjid, longkang dan sebagainya dapat memberi faedah yang baik kepada masyarakat.
Hadirin, Keempat
Masyarakat sekeliling atau jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga atau harta bendakita diketahui oleh jiran kita terlebih dahulu. Oleh itu, jiran ialah orang yang paling dekat untuk kita mendapatkan pertolongan pada saat kita ditimpa musibahseperti kebakaran, kecurian, atau kematian. Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa. Hanya jalinan dan kemesraanyang kuat antara jiran dan masyarakat sekeliling dapat melahirkan suasana seperti ini.
Sebagai kesimpulan, hidup di dalam sebuah masyarakat yang sepakat dan harmoni merupakan keperluansemua manusia. Hidup dalam masyarakat yang harmoni akan menambahkan lagi kenalan dan pengetahuan, menjamin keselamatan kawasan setempat, program setempat dapat dijalankan serta pertolongan semasa kecemasan dapat diberikan. Keharmonian hidup berjiran juga memberi kita kemudahan, dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah. Oleh itu benarlah bak kata pepatah “Masyarakat Sepakat Membawa Berkat”.