PENONTONAN FILEM CEREKA DI MALAYSIA: TINGKAH LAKU, CITARASA, PERSEPSI DAN HARAPAN SK/19/2006/GLK
Prof. Madya Fuziah Kartini Hassan Basri Prof. Madya Dr. Faridah Ibrahim Prof. Dr. Mohd Safar Hasim
ABSTRAK Setelah hampir 70 tahun filem cereka Melayu pertama ditayangkan di pawagam, penonton filem cereka di Malaysia masih menjadi suatu misteri. Yang jelas, mereka wujud dalam suatu pasaran terbuka yang menyaksikan penerbitan tempatan bersaing hebat dengan hidangan antarabangsa, dari Hollywood, Bollywood, Cina, Korea dan lainlain lagi. Kajian ini dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 2007 untuk memahami tingkah laku, citarasa, persepsi, dan harapan rakyat Malaysia terhadap filem cereka Malaysia. Melalui tinjauan soalselidik terhadap 1000 responden yang disampel secara bertujuan dan perbincangan tiga kumpulan fokus, kajian ini menemui tiga golongan penting penonton filem cereka di Malaysia, yakni penonton yang mengutamakan cerita, penonton yang mencari hiburan, dan penonton yang kritis tentang teknik. Namun demikian, hanya segelintir sahaja menonton filem cereka di pawagam kerana banyak orang menonton filem di rumah sendiri melalui televisyen dan/atau VCD/DVD. Tahap persekolahan, citarasa, jenis filem dan genre, persepsi tentang manfaat dan kepentingan filem, mutu dan strategi persembahan didapati ada hubungan dengan proses buat keputusan audien untuk menonton filem, di samping laporan media. Filem Inggeris paling dipilih oleh semua audien, tetapi orang Cina lebih condong ke arah filem Cina, orang India lebih memilih filem Hindi dan Tamil, manakala orang Melayu mengakomodasikan semua filem. Namun begitu, industri filem cereka tempatan dianggap mempunyai masa depan yang cerah jika para penggiatnya serius memposisi dan mempakej filem mereka secara menyeluruh melalui perancangan strategi pemasaran yang mantap dan profesional serta tidak meremeh-temehkan penerbitan mereka. Ketara dari kajian ini, dasar komprehensif untuk menyokong industri perfileman tempatan masih belum wujud walaupun kesedaran terhadap filem sebagai komoditi ekonomi dan budaya sudah menular. Pemegang taruh dan pemain dalam industri ini harus yakin bahawa kejayaan sesebuah filem terletak pada perancangan yang dibuat untuk mencari penontonnya, dan bukannya penonton yang mencari filem itu. Sesungguhnya filem boleh
mencipta penontonnya sendiri jika digarap, diposisi dan dipakej untuk segmen khalayaknya. Dimensi inilah belum diteroka pembikin filem cereka tempatan justeru sering hampa di pawagam.