Pengajian Malaysia

  • Uploaded by: Shazana Binti Muhamed Sa'ad
  • 0
  • 0
  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pengajian Malaysia as PDF for free.

More details

  • Words: 2,746
  • Pages: 13
Usaha dan strategi yang diambil oleh kerajaan bagi memantapkan usaha mencapai perpaduan dan integrasi nasional. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum. Malahan, kepelbagaian ini adalah kekuatan yang mewarnai corak negara ini. Tidak hairanlah Malaysia menjadi model sebuah masyarakat majmuk kepada masyarakat yang lain. Oleh itu, perpaduan dan intergrasi nasional adalah satu keperluan bagi menjamin rakyatnya hidup dalam suasana aman damai. Perpaduan nasional umumnya merujuk kepada penyatuan berbagai-bagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial dan kebudayaan yang berbeza. Usaha ke arah perpaduan dapat dilihat melalui penyatuan Sabah, Sarawak dengan negeri-negeri Semenanjung. Selain itu, usaha tersebut juga boleh dilihat melalui usaha kerajaan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan meletakkan kumpulan etnik yang berlainan latar belakang di satu kawasan perumahan yang sama. Manakala konsep integrasi adalah lebih luas. Ia dikatakan satu proses yang abstrak, satu penyatuan yang sebati dan berpanjangan. Integrasi merupakan satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti. Ekoran kejadian 13 Mei 1969, kerajaan mula menumpukan usaha-usaha dan strategi-strategi ke arah mewujudkan integrasi nasional. Ringkasnya, perpaduan dan integrasi nasional adalah matlamat asas bagi nagara Malaysia. Konsep perpaduan sangat penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh dan bersatu padu. Secara tidak langsung, perpaduan dapat menjamin keselamatan negara, kestabilan ekonomi, politik dalam jangka masa panjang.

Bagi memantapkan lagi perpaduan di kalangan rakyat pelbagai etnik dan kaum, kerajaan telah mewujudkan beberapa strategi melalui pendekatan ekonomi, politik dan pendidikan untuk mencapai matlamat-matlamat perpaduan. 1. Strategi Pendekatan Ekonomi

Masalah ekonomi merupakan halangan yang terbesar dalam mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah merangka pelbagai rancangan dan strategi untuk membolehkan semua kaum dan etnik dan menyertai pelbagai sektor ekonomi dan semua peringkat pekerjaan. Dasar Ekonomi Baru merupakan satu contoh formula yang dilancarkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1970 untuk membetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud antara kaum, wilayah dan di antara kawasan dalam wilayah yang sama. Ini merupakan reaksi dari rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Falsafah dasar ini ialah “Pembangunan dan Pengagihan Bersama”. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru mempunyai dua matlamat utama selain perpaduan negara iaitu (a) pengambilan pekerja-pekerja di pelbagai sektor ekonomi dan di semua peringkat pekerjaan dan (b) hakmilik produktif yang terdapat di dalam negara disusun semula supaya orang-orang Melayu dapat memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah hakmilik tersebut pada tahun 1990. Selain itu, Dasar Ekonomi Baru mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum. Selain itu, penyusunan semula masyarakat perlu dilakukan untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Ini berpunca daripada dasar ‘pecah dan perintah’ yang telah menyebabkan berlaku tumpuan kaum mengikut fungsi ekonomi tertentu. Fenomena ini menyukarkan agihan kekayaan negara, keadilan ekonomi sekaligus menyukarkan perpaduan kaum.

Kerajaan

kemudiannya

telah

melancarkan

Dasar

Pembangunan

Nasional (DPN) pada tahun 1991, kesinambungan daripada Dasar Ekonomi Baru. DPN juga bermatlamat untuk menghapuskan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi negara. Dasar ini menggariskan beberapa strategi yang jelas menggambarkan kemakmuran dan membina bangsa yang bersatu padu. Dengan terhapusnya perbezaan kuasa ekonomi mengikut satu kaum sahaja, perpaduan dapat dalam sektor ekonomi dapat diwujudkan. Secara tidak langsung,

taraf

pembangunan

ekonomi

nasinal

keseluruhannya

dapat

ditingkatkan. 2. Strategi Pendekatan Politik

Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kumpulan etnik yang berbeza dari segi agama, pekerjaan, kebudayaan dan sebagainya. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan suasana politik yang stabil bagi menjamin keamanan dan ketenteraman rakyat di segenap lapisan masyarakat. Menerusi kaedah konsesus atau persetujuan, perpaduan politik negara dapat diwujudkan. Ini bermakna rakyat boleh menentukan kerajaan yang memerintah melalui proses pilihan raya yang diadakan lima tahun sekali. Pemimpin-pemimpin politik yang dipilih ini perlu mengamalkan semangat perundingan dan kerjasama di kalangan parti-parti politik untuk memastikan penyertaan bersama dalam proses pentadbiran negara. Penubuhan Barisan Nasional yang merupakan komponen perikatan UMNO, MCA, MIC dan beberapa parti yang asalnya adalah parti pembangkang telah diperluaskan. Semua komponen parti dalam Barisan Nasional telah membuat persetujuan politik untuk menghadapi segala masalah dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan kebudayaan melalui perbincangan dan mencari penyelesaian bersama di meja rundingan.

Kerjasama, persefahaman dan persetujuan di kalangan semua parti politik secara tidak langsung membawa kepada kestabilan dan perpaduan politik. Penghayatan dan pemahaman menerusi perpaduan politik dapat mengatasi sebarang pertelingkahan. Maka, wujudlah Negara Malaysia yang aman dan makmur. 3. Strategi Pendekatan Pendidikan

Sistem pendidikan merupakan salah satu cara memupuk integrasi dan mewujudkan perpaduan di antara kaum dan etnik. Dari situlah pelbagai kaum atau etnik dapat mempelajari nilai-nilai murni sesuatu kaum dan sterusnya menghayati proses sosialisasi secara mudah. Dengan cara tersebut bolehlah mereka mewujudkan perpaduan sebagaimana yang diharapkan oleh sekolah, masyarakat dan bangsa. Menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan, pelbagai strategi telah digubal untuk mencapai matlamat perpaduan kaum antaranya ialah menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama. Penggunaan satu bahasa rasmi akan dapat mengeratkan perhubungan dan perpaduan di kalangan murid-murid dan seterusnya di kalangan masyarakat pelbagai kaum. Kurikulum yang seragam dan berorientasikan Malaysia di semua sekolah tanpa mengira bahasa pengantarnya juga telah diperkenalkan.

Unsur-unsur pendidikan kewarganegaraan juga telah diterapkan ke dalam semua mata pelajaran. Melalui dasar ini juga, kerajaan mengamalkan pendemokrasian pendidikan dari segi peluang dan mutu pendidikan untuk memastikan agar semua kaum atau etnik dapat menikmati kemudahan yang sama. Peruntukan dan perhatian diberikan dengan adil, tidak kira sama ada bersekolah di dalam bandar atau di luar bandar mahupun golongan yang tidak bernasib baik. Dasar pendidikan kebangsaan juga turut digubal di peringkat maktab dan universiti bagi mencapai matlamat perpaduan yang lebih kukuh.

Pendidikan berperanan memupuk semangat patriotik kepada negara di kalangan pelajar sekolah. Di samping itu, pendidikan turut membentuk sifat-sifat toleransi, persefahaman dan tolak ansur bagi melahirkan sebuah masyarakat yang bersetupadu. 2. Jelaskan usaha-usaha yang boleh dilaksanakan di peringkat sekolah bagi menjayakan hasrat kerajaan itu. Sekolah merupakan unit yang terpenting dalam sistem pendidikan kita dalam menjayakan hasrat kerajaan mewujudkan integrasi di antara etnik. Antara usaha-usaha yang boleh dilakukan di peringkat seolah untuk mencapai hasrat tersebut ialah: i) Mengadakan dan Mempergiatkan Program-program Integrasi

Menurut Mohd Salleh Lebar (1998), integrasi yang diterima atau yang biasa dikehendaki ramai adalah satu proses yang cuba menyatupadukan masyarakat majmuk atau pelbagai kaum dan mewujudkan pula pembentukkan kebudayaan kebangsaan atau nasional yang tersendiri di kalangan mereka. Program integrasi perlu dianjurkan di sekolah-sekolah agar budaya integrasi antara pelbagai etnik dan budaya dapat dipupuk. Perpaduan dapat dipupuk melalui program-program integrasi seperti aktiviti ko-kurikulum dengan menyertai kelab-kelab, persatuan-persatuan, badanbadan beruniform, aktiviti-aktiviti sukan dan sebagainya. Penglibatan pelajar secara tidak langsung dapat memupuk persefahaman dan perpaduan di kalangan mereka yang berbilang kaum. Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan arahan kepada semua sekolah agar menggalakkan penyertaan murid-murid dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum daripada semua kaum dan segenap lapisan masyarakat.

Program-program integrasi yang dijalankan di semua peringkat hendaklah terus dipergiat dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini bertujuan supaya matlamat perpaduan di antara pelajar berbilang kaum dan pelbagai lapisan dapat dicapai. ii) Menanamkan Konsep Anak Malaysia di Kalangan Para Pelajar

Konsep ‘Saya Anak Malaysia’ ini patut diserapkan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan pelbagai kepercayaan semasa di peringkat sekolah rendah lagi. Melalui konsep ini, pelajar yang berjiwa patriotisme dapat dilahirkan. Konsep ‘Saya Anak Malaysia’ ini juga adalah pemangkin kepada masa depan bangsa Malaysia seperti yang dirancang dalam Wawasan 2020. Selain dapat menanamkan semangat bersatu padu dan mengeratkan perpaduan di kalangan rakyat yang pelbagai bangsa dan agama, konsep ini juga menjamin Malaysia ke arah negara yang aman dan makmur. iii) Menubuhkan Kelab Rukun Negara di Setiap Sekolah

Rukun Negara merupakan salah satu hasil penyatuan pemikiran cendikiawan dan pemimpin Negara yang ingin melihat rakyat di negara ini peka kepada perlunya pembangunan bangsa yang mempunyai identiti sendiri. Kesedaran terhadap pentingnya Rukun Negara dalam menjadi asas perpaduan rakyat telah membawa idea tertubuhnya Kelab Rukun Negara.

Menerusi kelab ini, para pelajar akan sentiasa menghayati konsep yang terkandung dalam Rukun Negara hingga dewasa kelak. Kelab ini patut ditubuhkan di setiap sekolah agar dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa bermuafakat bagi menghadapi sebarang ancaman selain satu usaha untuk menyemai kesedaran tentang pentingnya perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Langkah menubuhkan kelab ini di setiap sekolah bertujuan menjamin

perpaduan di kalangan para pelajar kerana mereka merupakan pewaris masyarakat pada masa akan datang. iv) Memperkukuhkan Keharmonian dan Perasaan Muhibah

Kepelbagaian etnik dan kaum yang mempunyai agama, kepercayaan dan adat budaya masing-masing dapat dilihat di dalam sesebuah sekolah. Pihak sekolah boleh memperkukuhkan keharmonian dan perasaan muhibah di kalangan warga sekolah melalui kemeriahan sambutan perayaan sesuatu kaum, aktiviti-aktiviti perpaduan dan sebagainya. Ini membantu menimbulkan sentimen perpaduan dan kerjasama di antara pelbagai etnik dan kaum serta membolehkan mereka berinteraksi serta bercampur gaul di antara satu sama lain. Keharmonian dan perasaan muhibah mampu menyumbang kepada perpaduan kaum di Malaysia. Ringkasnya, pendidikan di sekolah juga memainkan peranan dalam membentuk perpaduan kerana terdapat kepelbagaian kaum atau etnik di bawah satu bumbung yang sama. Dari situlah mereka dapat mempelajari nilai-nilai murni sesuatu kaum dan seterusnya menghayati proses sosialisasi secara mudah dan seterusnya perpaduan dapat diwujudkan sebagaimana yang diharapkan oleh sekolah, masyarakat dan bangsa. 3. Apakah bentuk-bentuk halangan yang wujud dan bagaimanakah mengatasinya. i) Perbezaan Agama dan Kebudayaan

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai penduduk yang berbilang bangsa, keturunan agama, bahasa dan adat budaya. Contohnya, majoriti orang Melayu beragama Islam dan mengamalkan tradisi nenek moyang mereka. Orang-orang India beragama Hindu manakala orang-

orang Cina beragama Buddha, Lao-Tze dan Conficius. Masing-masing mengamalkan budaya yang dibawa masuk dari negara mereka. Setiap etnik adalah jahil mengenai kebudayaan dan adat resam kumpulan-kumpulan etnik yang lain. Mereka menganggap kebudayaan mereka adalah terbaik. Oleh kerana tiada dasar yang tegas dan polisi semasa pentadbiran British untuk menyatu padukan mereka, maka timbullah sikap praasangka yang kuat dan saling curiga-mencurigai di kalangan mereka. Ini semua menghalang perpaduan di antara mereka. ii) Perbezaan Taraf Hidup dalam Bidang Ekonomi

Pada zaman pentadbiran British, orang-orang Melayu menguasai sektor primer yang memerlukan banyak tenaga manusia dan berteknologi rendah seperti mengusahakan pertanian tradisional dan nelayan. Orang-orang Cina memonopoli sektor perlombongan dan perdagangan yang lebih maju dan berteknologi moden manakala orang-orang India pula kekal mengusahakan estet-estet. Penglibatan ekonomi dan perbezaan taraf hidup menjadi jurang pemisah di antara golongan etnik ini dan menjadi penghalang untuk mencapai perpaduan di kalangan mereka. iii) Pemisahan Tempat Tinggal

Faktor ekonomi merupakan punca utama wujudnya penumpuan sesuatu golongan etnik di sesuatu penempatan. Hampir keseluruhan orang-orang Melayu tinggal di desa-desa, orang-orang Cina menetap di kawasan bandar-bandar manakala orang-orang India tinggal di kawasan estet-estet. Terdapat dua faktor pemisahan kaum iaitu: (a) Mengelakkan perselisihan atau pertentangan pendapat. Ini kerana setiap golongan etnik pada masa itu mengamalkan adat resam dan menganut agama yang berlainan. (b) Kaum pendatang berkecenderungan untuk berkampung sesama sendiri. Pada fikiran

mereka, berada dalam kumpulan yang sama keturunan, agama dan budaya adalah lebih selamat. iv) Fahaman dan Pengaruh Politik

Rentetan dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh British, buruh Cina dan India yang dibawa masuk ke negara ini menganggap penghijrahan mereka adalah bersifat sementara semata-mata untuk mencari rezeki. Oleh itu, timbullah perbezaan fahaman politik yang jelas di antara mereka. Kesannya, Parti Perikatan sukar untuk menang majoriti 2/3 dalam pilihan raya yang diadakan pada tahun 1969. Perti tersebut hanya memenangi 67 daripada 104 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Ditambah lagi dengan sikap setiap kumpulan etnik yang berusaha mengekalkan identiti, kaum, bahasa, budaya mereka menggunakan saluransaluran seperti akhbar, pendidikan, program keagamaan dan persatuanpersatuan sosial. v) Sistem Pendidikan

Terdapat empat aliran pendidikan ketika zaman pentadbiran British iaitu Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Walaupun pihak Brirish mengutamakan pelajaran Melayu dan Inggeris, sedikit sebanyak pertimbangan masih diberikan kepada pelajaran Cina dan Tamil. Bagaimanapun, tanggungjawab untuk pendidikan Cina telah diambil-alih oleh orang-orang Cina. Tiada sebarang sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu ketika itu sehingga Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956 diperkenalkan. Setiap golongan etnik menghantar anak-anak ke sekolah rendah yang menggunakan bahasa ibunda mereka. Keadaan ini membataskan pergaulan murid-murid di kalangan pelbagai bangsa.

Kurikulum sekolah Melayu mengutamakan kemahiran membaca, menulis dan mengira manakala sekolah Cina dan Tamil berasakan pendidikan yang dibawa daripada Negara China dan India. Ketiadaan bahasa pengantar yang tunggal serta kurikulum yang mempunyai objektif kebangsaan menimbulkan masalah kepada kerajaan untuk menyatupadukan seluruh rakyat. Usaha dan Langkah Kerajaan untuk Mengatasi Halangan-Halangan Perpaduan dan Intregrasi Nasional Rusuhan etnik 13 Mei 1969 telah menjadi satu titik utama ke arah pemikiran semula dasar-dasar negara dan proses re-enggineering masyarakat dilakukan dengan komprehensif meliputi semua bidang iaitu ekonomi, sosial dan politik. Kerajaan telah melancarkan usaha-usaha tertentu dalam menangani halangan-halangan. Antaranya ialah usaha politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. Langkah ini dijalankan secara serentak dan saling bertindan. Ia bertujuan merapatkan semula jurang antara kaum yang selama ini wujud dalam hubungan sosial mereka.

Perpaduan Politik

Perpaduan politik di Malaysia dapat dilihat bermula pada tahun 1950-an. Sistem ‘kerajaan campuran’ dari segi kepelbagaian kaum merupakan salah satu cara

bagi

menggabungkan

fahaman

politik

berbilang

kaum

dan

diperkembangkan lagi melalui sistem politik yang fleksibel. Ini jelas kelihatan apabila munculnya parti ‘Perikatan’ yang merupakan hasil gabungan dengan parti UMNO, MCA dan MIC.

Keanggotaan parti

komponen dalam parti ini juga semakin bertambah setelah kemunculan Barisan Nasional. Sistem ini juga tidak mengenepikan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak yang boleh menyertai kerajaan campuran pada peringkat pusat di Kuala Lumpur.

‘Kerajaan Demokrasi’ juga merupakan satu alternative mengatasi halangan perpaduan yang wujud. Semua warga Negara yang memenuhi syarat dan tidak melanggar undang-undang Negara boleh menyuarakan pendapat dan kritikan. Pemilihan calon dalam pilihanraya juga adalah bebas dan adil. Calon yang memenangi pilihanraya dengan suara majoriti berhak menjadi wakil rakyat dan boleh menyuarakan aspirasi rakyat melalui Dewan Undangan Negari atau Dewan Rakyat. Perpaduan Ekonomi

Proses perkembangan ekonomi telah dirangka untuk membolehkan semua kaum menyertai semua bidang dan peringkat kegiatan ekonomi. Untuk mencapai

hasrat

tersebut,

kerajaan

telah

mengambil

langkah

dengan

mengintegrasikan ekonomi. Beberapa dasar pembangunan telah digubal seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, dan lain-lain dasar pembangunan ekonomi negara. Dasar-dasar ini diambil untuk memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk membolehkan pertumbuhan lebih sama rata dan saling melengkapi antara satu sama lain. Tujuan dasardasar ini diperkenalkan adalah kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk meninggikan taraf hidup rakyatnya. Dasar-dasar ini juga merupakan satu usaha kerajaan untuk melibatkan semua rakyat menyertai pembangunan negara supaya negara boleh mencapai kemajuan yang lebih membanggakan. Dengan terhapusnya gejala perbezaan fungsi ekonomi mengikut kaum akan dapat melahirkan perpaduan dalam kegiatan-kegiatan ekonomi di kalangan rakyat berbilang kaum. Ini akan meninggikan lagi taraf pembangunan ekonomi negara.

Perpaduan Sosial dan Kebudayaan Melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), kerajaan telah melaksanakan beberapa program dan aktiviti ke arah memelihara dan memperkukuhkan semangat perpaduan negara melalui strategi jangka pendek dan jangka panjang. Strategi jangka pendek adalah melalui pelaksanaan aktiviti yang menggalakkan interaksi dan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Strategi jangka pendek dilaksanakan secara berterusan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan kawasan-kawasan Rukun Tetangga. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan melibatkan masyarakat setempat dari pelbagai peringkat umur dan keturunan etnik mencakupi bidang sosial pendidikan, sukan, rekreasi, kesenian dan kebudayaan serta kesihatan dan alam sekitar, kebajikan, keagamaan, ekonomi dan keselamatan. Lawatan-lawatan integrasi juga dianjurkan untuk para penduduk melawati wilayah-wilayah lain ketika majlismajlis perayaan umum negara. Dengan adanya aktiviti yang berterusan ini, akan membolehkan rakyat berinteraksi dan menjalinkan perhubungan antara mereka. Di samping itu, dapat mewujudkan suasana persefahaman yang mesra dan harmoni. Sementara itu, strategi jangka panjang pula dilaksanakan melalui dasardasar dan program-program kerajaan yang menjurus ke arah perpaduan nasional seperti Dasar Pembangunan Negara, Dasar Belia Negara, Dasar Sosial Negara, Program Latihan Khidmat Negara dan sebagainya termasuklah program-program sukan, kebudayaan dan perayaan-perayaan seperti majlismajlis rumah terbuka Malaysia sempena menyambut hari perayaan-perayaan umum kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia. Akhirnya apabila perpaduan dapat dijadikan sebagai satu budaya masyarakat Malaysia kita akan mencapai perpaduan dalam erti yang sebenar mewujudkan bangsa Malaysia yang kita telah tentukan sebagai matlamat terulung negara.

Perpaduan Pendidikan

Matlamat pendidikan Negara adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dalam memupuk semangat kewarganegaraan dan rasa bangga terhadap bangsa dan agama. Dasar yang dimainkan oleh pendidikan pula sangat penting dalam proses integrasi dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai dasar telah dilaksanakan sejak merdeka hingga ke hari untuk menyeragamkan sistem pendidikan. Jawatankuasa Barnes, Laporan Fenn-Wu, Ordinan Pelajaran 1952, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan lain-lain dasar berhubung isu pendidikan berperanan untuk memupuk perpaduan. Pendemokrasian Pendidikan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan adalah untuk memastikan agar semua kaum atau etnik diberi perhatian dan peruntukan serta kemudahan yang sama dan adil dalam pendidikan sama ada mereka bersekolah di dalam bandar atau di luar bandar. Oleh itu sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya terus mempertahankan nilai-nilai perpaduan yang diasaskan sebelum ini. Hanya menerusi pendidikan saja, rakyat Malaysia yang berbilang etnik dapat disemai rasa semangat kekitaan sejak kecil hinggalah dewasa. Penutup

Kesimpulannya, perpaduan negara adalah tanggungjawab bersama. Justeru, segala dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam usaha memupuk integrasi antara kaum haruslah disokong sepenuhnya oleh setiap rakyat Malaysia. Sesuai dengan perubahan masa, pelbagai dasar yang telah diperkenalkan sejak zaman merdeka hinggalah sekarang perlu sering disemak bagi memastikan setiap dasar yang dirancang dapat mewujudkan perpaduan dan integrasi antara etnik dengan berkesan.

Related Documents


More Documents from "bukit senyum"