KATA-KATA ALUAN PEGAWAI PELAJARAN DAERAH PONTIAN Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana Pejabat Pelajaran Daerah Pontian telah berjaya menjana wadah yang dapat dijadikan panduan ke arah usaha-usaha meningkatkan kecemerlangan akademik. Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada jawatankuasa kerja serta guru-guru yang telah berusaha menyediakan dokumen ini dengan jayanya. Adalah diharapkan Perancangan Strategik 2009 – 2011 ini akan memacu Pejabat Pelajaran Daerah Pontian ke arah kecemerlangan setanding dengan daerah-daerah lain dalam negeri Johor. Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa hasrat murni ini hanya akan menjadi realiti apabila semua strategi yang dirancangkan dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan. Matlamat dan objektif amat perlu dijiwai dan dijana ke arah pencapaian misi Pejabatan Pelajaran Daerah iaitu ‘Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti’. Perancangan strategik ini hendaklah dilaksanakan secara bersepadu dan selari dengan matlamat Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk mencapai kecemerlangan pada kedudukan lima terbaik pada peringkat kebangsaan dalam peperiksaan awam. Selain itu, kepimpinan peringkat sekolah hendaklah efektif dan efisien, mempunyai barisan guru berkualiti tinggi dalam keilmuan, kemahiran, sikap dan siasah untuk membangunkan potensi individu melalui pendidikan berkualiti. Adalah diharapkan usaha dan penggembelingan tenaga dapat melahirkan generasi gemilang. Pejabat Pelajaran Daerah Pontian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, bantuan dan keprihatinan yang jitu terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan di daerah ini. Sesungguhnya semua ini akan menjadi sumber inspirasi dan semangat kepada warga pendidik untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaras dengan slogan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian ‘Menjana Kecemerlangan Mencapai Kegemilangan’. Sekian, terima kasih.
AB. RAHIM BIN LAMIN PEGAWAI PELAJARAN DAERAH PONTIAN