SUDUT PELAJAR SMJK CHUNG HWA, KOTA BHARU
BAHAGIAN A Lihat catatan di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan semangat kejiranan tersebut. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN •
Mewujudkan masyarakat bersatu padu
•
Melahirkan masyarakat yang prihatin Mengakrabkan hubungan sesama jiran
•
Contoh Jawaban Jiran ialah sekelompok masyarakat setempat yang tinggal berhampiran antara satu dengan lain. Jiran diibaratkan sebagai saudara kandung tempat kita mengadu atau mendapatkan pertolongan. Jiran yang baik ibarat ‘cubit paha kiri paha kanan pun terasa’ amat sukar ditemui.’ Sesungguhnya, banyak kepentingan yang diperoleh jika kita mengutamakan hubungan yang erat sesama jiran atau mengamalkan semangat kejiranan. Salah satu kepentingan semangat kejiranan ialah kita dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya ziarah-menziarahi semasa perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, Hari Gawai dan Deepavali. Selain itu kita juga boleh berkunjung ke rumah jiran ketika mereka mendapat musibah atau sakit. Kunjungan kita ke rumah jiran mungkin dapat melegakan penderitaan yang dialami mereka dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim. Selain itu, hubungan antara kaum dan agama juga dapat dieratkan. Semangat kejiranan juga berupaya mewujudkan masyarakat yang prihatin. Hal ini boleh terjadi seandainya jiran tetangga saling mengambil berat antara satu dengan lain. Hubungan yang terjalin akan memudahkan kita untuk meminta bantuan ketika dalam kesusahan. Selain itu, kita juga boleh mengharapkan jiran memerhatikan rumah kita semasa kita pulang ke kampung atau pergi melancong. Pada masa yang lain mungkin kita pula akan dipinta oleh mereka untuk berbuat perkara yang serupa. Tegasnya, semangat kejiranan akan melahirkan rasa prihatin dalam kalangan masyarakat. Semangat kejiranan yang dipupuk juga memudahkan tugas yang besar dilaksanakan secara bergotong-royong. Apabila hubungan sesama jiran sudah menjadi akrab seperti aur dengan tebing, sesuatu tugas yang berat dan besar seperti membersihkan kawasan kampung atau perumahan dapat dilaksanakan secara bersama-sama tanpa sebarang masalah. Oleh itu, tugas yang berat menjadi mudah laksana ‘hati kuman sama dicecah hati gajah sama dilapah.’ Lantas suasana yang harmoni dapat dibentuk dalam masyarakat. Kesimpulannya, semangat kejiranan wajar dipupuk dalam masyarakat kita agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni. Sekiranya hal ini dapat dilakukan, maka akan tercapailah cita-cita negara untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu dan penyayang sebagaimana dihasratkan dalam matlamat Wawasan 2020.
BM 1 SPM – BAHAGIAN A – ESEI RANGSANGAN