SUDUT KARYA PELAJAR SMJK CHUNG HWA
Wajarkah guru dipersalahkan kerana masalah sosial yang menular dalam kalangan pelajar ini?
Format Rencan a
Oleh : Lee Liang Wai (T 5S2) Masalah sosial yang menular dalam kalangan pelajar kini bukanlah suatu isu baharu. Malah, penyakit ini boleh disifatkan sebagai isu lapuk yang membelenggukan sistem pendidikan negara dan menjejaskan pelan pembangunan modal insan. Pihak kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan dan inisiatif demi membendung masalah sosial pelajar daripada menjadi lebih serius. Walau bagaimanapun, pelbagai langkah yang dilaksanakan bagai hujan jatuh ke pasir dek sikap orang ramai yang hanya tahu mengkritik dan memberi komen tetapi tidak berusaha untuk bekerjasama dengan kerajaan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, masalah sosial merangkumi aspek yang luas untuk dibincangkan dengan lebih lanjut. Dalam konteks pelajar, masalah sosial boleh disifatkan sebagai unsur negatif yang menyekat perkembangan pelajar secara menyeluruh, sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Seandainya seseorang pelajar terlibat dalam kumpulan kongsi gelap, pelajar terbabit akan hilang minat untuk belajar lantas menyebabkan pelajarannya merosot. Bukankah ini memberi petanda yang tidak baik kepada institusi pendidikan negara? Malangnya, ketika sistem pendidikan negara menghadapi krisis yang membimbangkan ini, sesetengah pihak khususnya badan bukan kerajaan(NGO) asyik bertindak menuding jari terhadap pihak guru. Kononnya, guru gagal memanfaatkan profesion mereka untuk mencanai sikap disiplin dalam diri pelajar kini. Apakah faedahnya menyalahkan pihak guru dalam hal ini? Guru ialah penggerak nadi negara. Memang kita setuju dengan penyataan ini. Profesion perguruan merupakan profesion yang mulia yang memerlukan ketabahan, apatah lagi saban hari guru terpaksa berdepan dengan senario pembelajaran yang membebankan. Pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin akan dihantar kepada guru disiplin untuk dihukum dan sebagainya. Guru sebenarnya telah berusaha melaksanakan tanggungjawab mereka dengan efisien dan amanah. Di sekolah misalnya, guru disiplin akan cuba mendisiplinkan pelajar-pelajar yang bermasalah dengan pendekatan psikologi. Mungkin pengalaman mengajar mereka bahawa hukuman sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Pelbagai operasi telah dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk mengesan pelajar yang terjebak dalam masalah sosial. Perhatian yang lebih akan diberikan kepada golongan pelajar ini supaya langkah-langkah lebih membina dapat dilaksanakan untuk mereka. Hasilnya, kebanyakan pelajar yang mempunyai masalah sosial telah kembali ke pangkal jalan dan berusaha ke arah yang lebih baik. Di sekolah, guru berjaya mengesan dan mencungkil bakat seseorang pelajar dalam sukan olahraga, pelajar berkenaan akan berasa dirinya lebih dihargai, lantas mungkin meninggalkan tabiat lamanya yang suka melepak. Bukan itu sahaja, warga pendidik juga telah memikirkan langkah-langkah untuk menyemaikan nilai-nilai murni dalam hati nurani pelajar-pelajar yang bermasalah. Usaha ini dilakukan dengan memberi peluang kepada mereka untuk memimpin sesebuah
ganos@smjk chung hwa kb
SUDUT KARYA PELAJAR SMJK CHUNG HWA persatuan. Pihak guru juga bertindak menggalakkan pelajar-pelajar yang dikesan yang mempunyai masalah-masalah sosial untuk menyertai pelbagai aktiviti yang memanfaatkan masa mereka. Oleh itu, tidak hairanlah jadual sekolah biasanya padat dengan aktiviti menarik. Tujuannya bukanlah untuk bersaing mendapat pengiktirafan kerajaan tetapi mempunyai objektif tersendiri sebagaimana yang disebut di atas. Begitu pun, ada kalanya ibu bapa menghalang hasrat anak-anak mereka untuk bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan sebegini. Keadaan ini tentunya menambah derita kepada anakanak mereka. Remaja khususnya, cenderung berasa bosan dan suka mencari hiburan di luar rumah. Natijahnya, mereka lambat-laun akan mula mengadbikan diri mereka dengan dadah, arak dan hubungan seks bebas dan sebagainya. Realitinya , masa yang terluang jika dimanfaatkan sepenuhnya akan membawa kebaikan. Walau bagaimanapun, masa jika dihabiskan untuk kegiatan yang tidak berfaedah hanya akan menjuruskan seseorang ke lembah kebinasaan. Sebenarnya, anakanak sejak kecil lagi hendaklah diterapkan dengan nilai-nilai murni dan juga nilai-nilai agama. Nilai agama khususnya dapat menerbitkan kesedaran pada diri mereka untuk menjaga adab dan kesusilaan dalam kehidupan seharian. Apabila meningkat remaja kelak, ibu bapa haruslah sentiasa peka dan mengambil berat segala keperluan jasmani dan aspek penjagaan maruah diri mereka, bagaimana dan dengan siapa mereka berinteraksi. Tanggungjawab ini semestinya tidak dapat dilaksanakan oleh pihak guru di sekolah apatah lagi tempoh seseorang pelajar berada di sekolah adalah terhad. “Jauh panggang dari api” sekiranya masyarakat hanya mengharapkan guru menyemai adab-adab disiplin dalam diri pelajar sekolah masa kini tanpa menggembleng usaha membendung masalah sosial daripada terus meruncing. Sebagai anggota masyarakat, segala pendapat atau cadangan untuk memperkukuh institusi pendidikan negara hendaklah disalurkan kepada pihak berkenaan dengan harapan ikhlas untuk memperbaik sistem pendidikan yang sedia ada. Janganlah kita hanya tahu mengkritik dengan bertindak menyalahi antara satu dengan yang lain. Tindakan ini tidak akan mendatangkan faedah langsung, bak kata pepatah “kalah jadi abu, menang jadi arang”. Tindakan sedemikian adalah seperti menjatuhkan integriti guru. Dalam konteks ini, kita tidak harus bersikap ‘seperti kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak.’ Kita haruslah menganalisis kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menuding jari ke arah pihak guru. Harus diingat, pihak guru juga merupakan manusia biasa yang mempunyai sensitiviti masing-masing. Tuduhan yang dilemparkan sewenang-wenangnya sudah semestinya tidak adil dan pahit untuk ditelan. Masalah sosial yang membelenggu perjalanan sistem pendidikan negara merupakan “penyakit” yang harus diatasi segera. Namun, set minda golongan hipokrit yang hanya suka berpeluk tubuh sambil mengkritik juga harus diubah. Masalah sosial ini memerlukan kerjasama semua pihak untuk bersatu hati mencari penyelesaian bersama dan membanteras habis-habisan. Untuk mencapai matlamat ini, kita tidak menafikan guru memainkan peranan penting dalam hal ini. Ibu bapa yang sebenarnya memainkan langkah dominan untuk melentur keperibadian anak-anak mereka ke arah yang lebih dinamik dan terpuji. Justeru, tindakan menyalahkan guru gagal membendung masalah sosial dalam kalangan remaja adalah tidak adil sama sekali. Dengan kata lain, pihak guru tidak patut dipersalahkan kerana penularan masalah sosial dalam kalangan pelajar kini.
ganos@smjk chung hwa kb