Hanif

  • Uploaded by: zuhadisaarani
  • 0
  • 0
  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Hanif as PDF for free.

More details

  • Words: 2,651
  • Pages: 7
Hanif Basree dibebas dan dilepaskan Petikan intisari penghakiman lisan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong dalam perbicaraan kes bunuh Noritta Samsudin, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 1 Julai 2004. Apa pun yang telah dikatakan tentang kes ini di luar mahkamah ini serta apa sudut pun penyebarannya di media massa tidak boleh diberikan perhatian oleh mahkamah ini dalam membuat keputusannya. Kes ini pula tidak lebih daripada kes bunuh biasa yang memerlukan pembuktian terhadap unsur-unsur dalam kes itu seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Di peringkat keterangan kes pendakwaan, mahkamah ini ditugaskan untuk memutuskan sama ada pendakwaan telah berjaya mengemukakan bahawa terbuktinya satu kes prima facie telah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi dari sini bahwa di peringkat ini, mahkamah perlu memberi pertimbangan terperinci kepada pendakwaan. Juga penilaian yang maksimum seharusnya diberikan kepada keterangan itu. Ini bererti mahkamah ini diperlukan mencari penilaian terhadap setiap saksi serta apa yang disingkapkan oleh mereka dan naratif kes pendakwaan. Beban pendakwaan pula di peringkat ini ialah untuk menunjukkan satu cerita melalui keterangan saksi-saksinya dan bukti-bukti lain yang boleh diterima oleh mahkamah ini sebagai munasabah untuk memanggil tertuduh membela dirinya. Beban ini pula bukannya bererti cerita atau versi kes pendakwaan itu perlu dibuktikan pada tahap melampaui apa-apa keraguan munasabah. Mahkamah tidak akan memanggil seseorang tertuduh semata-mata untuk mendengar versinya terhadap cerita yang telah dimajukan oleh pendakwaan. Di sisi undangundang bukan menjadi beban bagi seseorang tertuduh mengemukakan naratifnya terhadap apa yang berlaku. Beban pembuktian kes ditetapkan ke atas pendakwaan sepanjang perjalanan perbicaraan di sisi undang-undang. Mahkamah pula tidak berhak memanggil pembelaan hanya untuk memuaskan hati atau atas dasar ingin mengetahui apakah ceritanya. Tertuduh hanya akan dipanggil membela dirinya jika nyata terbukti satu kes prima facie terhadapnya. Itupun dia tidak dimestikan memberi keterangan bersumpah atau berkata apa-apa pun jika itu menjadi pilihannya. KES PENDAKWAAN Ingin saya menyatakan bahawa jika seseorang itu dituduh membunuh, maka pendakwaan mestilah membuktikan yang telah berlaku satu kematian, dalam kes ini kematian Noritta jelas terbukti dan tertuduh dengan niat membunuh telah melakukan kematian itu. Talian tertuduh dengan pembunuh itu hendaklah dibuktikan oleh pendakwaan. Pembuktian ini boleh dikemukakan oleh pendakwaan. Pembuktian ini boleh dikemukakan sama ada dengan keterangan langsung atau seperti kes ini dengan keterangan tidak langsung dari mana boleh dibuat kesimpulan secara inferens yang tertuduhlah orang yang telah melakukan kesalahan ini. Kes pendakwaan bergantung semata-mata atas keterangan tidak langsung ataupun keterangan mengikut keadaan yang berlandaskan dua faktor genting untuk membuktikan yang tertuduh telah melakukan kesalahan ini.

Di atas keterangan tidak langsung yang bagi saya terpenting dalam kes pendakwaan ialah: i. Tertuduh telah dilihat bersama dengan si mati pada 1 pagi tanggal 5 Disember 2003 dan secara inferens adalah orang yang terakhir bersama si mati. ii. Keterangan saintifik melalui analisis DNA profiling menunjukkan yang tertuduh telah melakukan hubungan seks dengan si mati sebelum kematiannya dan ini mengukuhkan inferens yang dialah orang yang terakhir dengan si mati. Kedua-dua faktor ini menunjukkan peluang. iii. Selain daripada keterangan yang menunjukkan tertuduh mempunyai peluang untuk melakukan jenayah ini, pendakwaan juga menyatakan bahawa tertuduh bermotifkan perasaan cemburu. Ini menunjukkan sebab jenayah itu dilakukan. SUZAKI SUPOK DAN K.THANABALAN Keterangan oleh Suzaki dan Thanabalan dikemukakan untuk membuktikan yang tertuduh adalah orang yang terakhir bersama si mati. Keterangan mereka saling selaras, menyatakan dengan yakin bahawa mereka ada nampak tertuduh dan si mati pada pukul 1 pagi, 5 Disember 2003. Keyakinan mereka ini berharmonis sehingga dapat ingat secara terperinci pakaian kedua-dua tertuduh dan si mati serta warna pakaian tersebut. Pemerhatian mereka terhadap tertuduh dan si mati juga sungguh jelas sehingga juga dapat memastikan dengan tepat waktu mereka masuk ke kondominium dan gerak geri mereka seketika di bawah letak kereta. Bagaimanapun selepas di soal balas, maka terbongkar cerita yang sebenarnya, iaitu dalam keterangan mereka yang sebenarnya iaitu dalam kenyataan mereka kepada polis sebelum ditangkap pada 17 Disember tahun lalu. Mereka tidak pernah menyatakan yang mereka telah nampak kejadian itu. Malah apabila disoal siasat oleh polis pada awal pagi itu sendiri, tidak lama selepas mayat ditemui, kedua-dua saksi ini tidak pun memberitahu pihak polis akan apa yang mereka telah nampak. Thanabalan menyatakan yang dia tidak nampak tertuduh dan si mati awal pagi itu. Kesimpulan itu amat penting bagi saya dan tidak mungkin polis yang menyoal mereka tidak bertanya daripada mereka sama ada nampak si mati pada malam itu. Hanya selepas mereka ditangkap dan setelah disoal bertubi-tubi dengan gambar tertuduh ditunjukkan barulah terlintas dalam ingatan mereka akan peristiwa di pagi 5 Disember 2003 itu. Itupun dalam keadaan tertekan apabila Thanabalan sendiri berkata yang pada mulanya dia tidak kenal tertuduh dalam gambar itu dan selepas lima atau enam kali diminta ingatkan semula baru diakui yang dia kenal tertuduh. Sebelum itu Thanabalan dan Suzaki telah berkata mereka telah nampak tertuduh sebanyak 20 ke 30 kali atau lima atau enam kali seminggu datang ke kondominium itu dengan si mati dalam dua bulan sebelum tarikh kejadian. Alangkah anehnya Thanabalan tidak dapat mengenali tertuduh dalam gambar itu. Thanabalan akhirnya membuat pengakuan yang mengejutkan apabila dia berkata yang dia telah berdusta kepada polis dalam kedua-dua statementnya yang terdahulu di mana dia telah berkata yang dia tidak nampak tertuduh dan si mati pada pagi itu.

Suzaki pula menjelaskan yang fikirannya bercelaru pada mulanya dan setelah dapat merenung kembali di rumah pengawal keselamatan dari 5 hingga 17 Disember baru dia dapat ingat kembali kejadian pada pagi itu. Bagi saya penjelasan ini amat tidak meyakinkan dan seharusnya saya tidak menerima apa sahaja yang dikatakan itu. Isu penting ini menjadi cabaran hangat pembelaan dan sudah tentu boleh merakamkan percakapan mereka yang awal itu untuk menjelaskan apa yang telah ditanya kepada saksi-saksi itu. Akan tetapi ASP Mohan dan Cif Inspektor Nachimutu yang merakam percakapan Suzaki dan Thanabalan pada malam kejadian tidak dipanggil memberi keterangan. Mahkamah ini memutuskan bahawa kedua-dua saksi ini telah tidak berterus terang dalam keterangan mereka. Setelah melihat cara mereka memberi keterangan mahkamah ini memutuskan yang cerita mereka atas isu genting ini amat meragukan dan seharusnya ditolak sebagai keterangan yang tidak selamat disandarkan sebagai fakta kes. DNA PROFILING/POST MORTEM Daripada analisis DNA beberapa fakta boleh disimpulkan: i. Tertuduh telah melakukan hubungan seks dengan si mati 72 jam sebelum mayat dibedah siasat. ii. DNA profil seorang lelaki yang tidak dikenali terdapat di beberapa barang yang diambil daripada bilik si mati umpamanya bantal peluk, wayar elektrik yang digunakan untuk mengikat tangan si mati, kuku si mati dan beberapa helai rambut ditemui dari cadar tilam si mati. Ini membuktikan bahawa lelaki ini telah berada bersama si mati sebelum kematiannya. Oleh sebab tiada pula bulu tertuduh diperolehi daripada cadar si mati, ini pula boleh memberi inferens yang lelaki itu adalah orang yang terakhir berada di atas tilam si mati. iii. Lelaki yang tidak dikenali itu juga telah melakukan hubungan seks melalui faraj dan lubang dubur si mati dalam masa 72 jam sebelum kematian si mati. Dr. Halim juga berkata ada robekan di dubur si mati dan kesan darah juga dilihat di dubur itu. Kesan ini adalah kesan baru (kurang daripada 72 jam). Profil DNA lelaki tidak dikenali ini juga diperoleh daripada dubur si mati. Hal ini pula mengesahkan hujah pendakwaan yang jenayah ini telah dilakukan oleh seseorang yang dikenali oleh si mati. iv. Profil DNA si mati dan seorang perempuan lain yang tidak dikenali telah ditemui daripada sebahagian tuala muka yang terkeluar daripada mulut si mati. Daripada P16B pula hanya profil DNA si mati diperoleh selepas analisis. Pada pendapat mahkamah tuala ini telah menyebabkan tersekatnya saluran Oksigen dan pernafasan si mati dan mengikut keterangan Dr. Halim boleh menyebabkan kematian secara `asphyxial' . Pendakwaan telah berhujah bahawa tertuduhlah yang telah melemaskan si mati dengan tuala muka ini sebab dia adalah orang terakhir melakukan hubungan seks. Saya tidak dapat menerima hujah ini. Keterangan menunjukkan yang tuala P16 itu telah terkeluar sendiri daripada mulut si mati apabila badannya dialih. Keterangan saintifik juga menyatakan yang jika tuala sebegini disumbat ke dalam mulut, sehingga menyekat saluran pernafasan dan setelah rigor mortis berlaku selepas kematian, tidak mungkin tuala ini akan terkeluar dengan senang.

Kehadiran profil DNA tertuduh di atas tuala ini pula boleh memberi inferens yang ia pernah digunakan oleh tertuduh. Ini tidak menghairankan sebab tertuduh memang berada bersama si mati di dalam biliknya sekurang-kurangnya dua kali seminggu mengikut keterangan Nor Azora Abdul Hamid. Tambahan pula ada profil DNA perempuan lain menunjukkan tuala muka digunakan oleh orang lain selain si mati. v. Profil DNA lapan helai tisu yang dijumpai dalam bakul sampah di dalam bilik si mati menunjukkan kesan air mani tertuduh. Ahli kimia, Lim Kong Boon menyatakan telah melakukan satu ujian simple dan menentukan jika tiga titik air mani berada di situ sama ada ia akan kering selepas satu jam. Bagaimanapun tidak pula dilakukan experiment bagi lapan helai tisu dalam keadaan sama iaitu tergumpal dan yang basah seperti itu, sama ada ia akan kekal basah bagi jangkamasa yang lebih lama. Tidak ada bukti yang menunjukkan jika gumpalan tisu yang basah seperti P29 masih kekal basah selepas jangka masa itu. Dengan lain perkataan, ujian simple yang dilakukan oleh Lim itu tidak boleh membawa kepada kesimpulan yang tertuduh adalah orang terakhir melakukan seks dengan si mati. Kesimpulan mahkamah ini terdapat kedua-dua utas keterangan tidak langsung ini sama ada tersendiri atau digabung dengan bukti lain yang dihujahkan oleh pendakwaan boleh dipertimbangkan sebagai circumstantial evidences tidak menyakinkan mahkamah ini bahawa keterangan pendakwaan mencukupi untuk membawa kepada apa yang dikatakan oleh prinsip mantap sebagai ``irresistible inference that the accused is guilty of this offence''. JIKA TERBUKTI YANG TERTUDUH ADALAH ORANG TERAKHIR DENGAN SI MATI. APAKAH MOTIF PEMBUNUHAN? Perlu diingatkan bahawa tertuduh dan si mati telah menjalinkan perhubungan yang intim. Malah pada pagi itu sendiri mereka dilihat berkelakuan sebagai kekasih dan sebelum itu tertuduh pergi ke rumah si mati sebanyak 5 ke 6 kali, 20 ke 30 kali dalam dua bulan. Masanya antara pukul 1 dan 2 pagi dan kebiasaannya tertuduh akan berada bersama si mati selama satu jam. Tidak silap jika mahkamah ini membuat andaian yang perhubungan mereka adalah intim berdasarkan keterangan itu. Malah ini juga kes pendakwaan, tertuduh juga teman lelaki istimewa si mati sehingga gambar tertuduh sedang memandu disimpan dalam telefon bimbit si mati dan dia sendiri menunjukkan kepada ibu saudaranya sendiri. Jadi masih timbul persoalan genting: sebab apa tertuduh hendak membunuh kekasihnya itu?. Kata pendakwaan disebabkan cemburu. Untuk membuktikan perasaan cemburu ini, pendakwaan telah mengemukakan keterangan Lim Sin Kean Childs. Keterangan ini bagi saya membawa kepada kesimpulan bahawa dia cuma seorang kawan yang amat rapat dengan si mati. Perhubungan mereka mirip kepada hubungan profesional. Perhubungan antara Kean dan si mati pula banyak tertumpu kepada kerja masingmasing. Kean hanya berjumpa si mati pada waktu siang dan hanya ke rumah si mati

sekali sahaja itupun dalam kehadiran si mati. Kean juga pernah membawa si mati, ibu dan adiknya ke Singapura. Bagi saya keterangan pendakwaan sendiri menunjukkan yang persahabatan Kean dan si mati tidak ada unsur seksual, perhubungan platonik. Walaupun telah dicuba dikatakan oleh pembela yang Kean pernah melakukan hubungan seks. Dalam tempoh yang sama, semasa persahabatan terjalin di antara si mati dengan tertuduh, kemudiannya dan mereka kekal dengan perhubungan intim mereka. Saya tidak nampak dalam keadaan itu boleh timbulnya perasaan cemburu tertuduh. Tiada ada sebab bagi tertuduh merasa cemburu dengan Kean dalam persahabatan biasanya dengan si mati. Pada pendapat saya, motif cemburu ini tinggal satu teori yang langsung tidak dibuktikan dan tanpa motif itu terbukti persoalan penting kenapa tertuduh perlu membunuh dalam keadaan di mana perhubungan mereka masih mesra, intim malah menjadi satu tanda tanya yang tidak terjawab. Dan bagi pembuktian pembunuhan berlandaskan circumstantial evidence. Pembuktian motif menjadi satu keperluan untuk menguatkan kes pendakwaan. LELAKI MISTERI Bagi saya bukan seorang lelaki misteri tetapi dua orang. Apa yang terbukti hasil analisis DNA ini ialah kesan air mani lelaki misteri ini dikesan daripada faraj dan dubur si mati. Apa yang terbukti hasil analisis ialah lelaki misteri ini telah melakukan seks dengan si mati. Bukti yang sama juga telah ditunjukkan terhadap tertuduh dengan timbulnya profil DNA melalui kesan air mani yang diperolehi daripada badan si mati. Tetapi itu sahaja. Ia tidak bererti inferens boleh dibuat yang sama ada lelaki misteri ini atau tertuduh telah membunuh si mati. Dan seperti yang telah dihujahkan dengan tepat ini adalah kes bunuh, bukan hanya sekadar membuktikan perhubungan seksual. Urusan mahkamah ialah untuk meneliti keterangan yang telah berlaku dan dilakukan oleh tertuduh. Perlakuan telah banyak dihebohkan tidak langsung dalam keadaan memudaratkan kedudukan tertuduh dari segi pertuduhan

menunjukkan satu pembunuhan seks ini sahaja walaupun yang telah ditunjukkan ini.

Lelaki misteri kedua ialah orang yang berkulit gelap seperti India dan badannya berbau busuk yang telah berada dalam rumah si mati dan dilihat oleh Nor Azora sejurus sebelum mayat ditemui pada 4 pagi 5 Disember lalu. Jelas daripada keterangan Nor Azora sendiri bahawa lelaki ini bukan tertuduh yang bukan asing kepada Nor Azora dan mudah dikenali oleh Nor Azora jika bertembung. Bagi saya lelaki misteri kedua ini lebih genting. Kesannya dalam kes ini dan kehadirannya di tempat kejadian itu perlu ditinjau dengan serius oleh mahkamah ini. Kehadiran kedua-dua lelaki misteri di tempat kejadian jenayah ini seperti yang telah dibongkar oleh pendakwaan sendiri bagi saya telah mengaburkan kes pendakwaan itu sendiri.

Dengan terdapatnya pelbagai tanda tanya terhadap mereka ini, terutama lelaki misteri ini yang dilihat oleh Nor Azora keluar dari rumah si mati itu, maka pendakwaan telah dicemari dengan keraguan di peringkat penentuan prima facie ini. Persoalan yang mahkamah ini boleh tanya ialah: bolehkah tertuduh disabitkan dengan kesalahan ini, jika dia dipanggil untuk pembelaannya dan lantas dihukum mati, walaupun timbul keraguan tentang kemungkinan penglibatan lelaki misteri ini dalam jenayah ini? Jawapnya tidak. Mengikut ujian maksimum yang perlu diberikan terhadap kesemua keterangan yang dibentangkan ini oleh pendakwaan, saya akan gagal menjalankan kewajipan jika tidak mengambil kira semua keraguan yang telah ditimbulkan oleh saksi. Jika berlaku keadaan di mana keterangan saksi pendakwaan sendiri menimbulkan keraguan terhadap kesannya seperti yang telah berlaku dalam kes ini, mahkamah akan tanpa ragu-ragu membebaskan tertuduh dalam pertuduhan ini tanpa dipanggil membela dirinya. Inilah yang dimaksudkan oleh prinsip undang-undang berkenaan penilaian keterangan di tahap maksimum seperti yang telah diungkapkan oleh hakim-hakim terdahulu dalam kes iaitu jika keterangan yang tidak mencukupi untuk disabitkan tertuduh maka tidak terbukti kes prima facie terhadapnya. Telah juga diputuskan bahawa ungkapan `to warrant a conviction' bermaksud satu ungkapan yang kuat, kena dan berbentuk satu perintah kepada mahkamah supaya benarbenar berpuas hati dengan keterangan setakat ini yang membolehkan satu sabitan dijatuhkan, walaupun di peringkat penghujung kes pendakwaan. Kekaburan kes pendakwaan atas alasan yang telah saya nyatakan tadi terus menjadi gelap dengan adanya keterangan dua saksi bebas ini yang juga merupakan rakan serumah mangsa. Apabila sampai ke rumah, mereka berkata ada menghidu bau badan tetapi Nor Azora sendiri mengakui tertuduh tidak mempunyai bau badan sebegitu. Keterangan ini langsung mematahkan kes pendakwaan dan menimbulkan keraguan di peringkat ini. Pendakwaan kata tertuduh mungkin berbau akibat aktiviti seks dan langkah-langkah yang dilakukan sebelum membunuh si mati ditolak sebagai andaian semata-mata seperti juga saya menolak cadangan yang tidak berasas pihak pembela yang kemungkinan pihak pendakwaan tidak melengkapi siasatan dalam kes ini kerana ingin melindungi seseorang orang kenamaan yang terlibat dalam jenayah ini. Hujah-hujah yang tidak berlandaskan fakta kes seharusnya ditolak oleh mahkamah ini. Hujah saya mustahil jika Nor Azora tidak mengenali lelaki misteri itu sebagai tertuduh memandangkan tertuduh ialah orang yang biasa dengan Nor Azora dan dia berkata boleh dikenali pada bila-bila masa. Walaupun rumah gelap, ia tidak gelap gelita sehingga tidak langsung ada pandangan. Kesimpulan yang mahkamah boleh buat keterangan bahawa Nor Azora tidak nampak lelaki itu yang bukan tertuduh lari dari rumahnya dan yang dia fikirkan telah membunuh si mati. Juga diingatkan bahawa pada awal penyiasatan, polis mencari suspek yang deskripsinya tidak sama dengan tertuduh.

Siapa suspek ini tidak pula dijelaskan oleh pendakwaan dan pegawai penyiasat kes ini. Suspek itu pula adalah seorang lelaki berbadan gelap. Hal ini pula menimbulkan tanda tanya dan menggandakan keraguan kepada pendakwaan. Hasil daripada kesimpulan saya berlandaskan fakta kes dan inferens munasabah setelah memberi penilaian maksimum kepada kes pendakwaan, mahkamah ini memutuskan bahawa kes prima facie terhadap tertuduh tidak terbukti. Oleh itu mahkamah ini memutuskan agar tertuduh tidak dipanggil untuk membela dirinya. Hanif Basree awak dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan ini.

Related Documents

Hanif
November 2019 24
Hanif
November 2019 29
Muhammad Hanif
November 2019 24
Hanif Presentation
November 2019 25

More Documents from "Azalia Christ"

Hadiah Malam Jumaat
November 2019 37
Dalmation Dots
November 2019 41
Keistimewaan Wanita
November 2019 41
November 2019 31