Contoh Penulisan Refleksi PnP Pendidikan Islam
Alhamdullillah proses pembelajaran dan pengajaran berjalan dengan baik. Hasil pembelajaran yang dirancang tercapai. Murid-murid berasa sangat seronok ketika set induksi. Set induksi pada hari ini sangat menarik minat murid dan menjadikan murid bersedia menghadapi pembelajaran. Saya akan sentiasa berusaha menyediakan set induksi yang menarik dan kreatif pada masa akan datang. Walaubagaimanapun terdapat beberapa kekurangan dan kelemahan ketika sesi pembelajaran dan pengajaran berlangsung iaitu ketika aktiviti berkumpulan. Aktiviti kumpulan agak tidak teratur dan tidak terarah. Ini adalah kesilapan saya sendiri. Ini kerana ketika aktiviti kumpulan saya sepatutnya memastikan murid telah berada dalam kumpulan masing-masing. Setelah murid bersedia barulah arahan pelaksanaan aktiviti diberikan, supaya murid-murid tahu apa yang mereka perlu laksanakan dan aktiviti kumpulan berjalan seperti yang dirancang. Ketika aktiviti kumpulan juga, saya dapati ada di antara murid-murid yang tidak memberikan kerjasama dan tidak mengindahkan aktiviti yang dilakukan oleh ahli kumpulan tersebut. Ini mungkin disebabkan aktiviti itu agak susah iaitu membina dan menulis ayat berdasarkan perkataan yang diberi menggunakan tulisan jawi. Melalui pemerhatian saya, mereka yang tidak mengindahkan aktiviti ini ialah murid yang tidak pandai membaca tulisan jawi. Hanya mereka yang pandai membaca dan menulis jawi sahaja yang melaksanakan aktiviti ini. Begitu juga ketika sesi pembentangan aktiviti kumpulan, hanya yang mahir menulis dan membaca jawi sahaja membentangnya. Untuk itu, saya perlu memikirkan atau menyediakan satu aktiviti yang lebih sesuai mengikut tahap penguasaan murid tersebut dan melibatkan semua murid. Saya juga perlu mempelbagaikan aktiviti berkumpulan seperti belajar sambil bermain dan aktiviti yang melibatkan didik hibur dalam pembelajaran. Oleh sebab itu, saya akan berjumpa dengan guru pembimbing saya untuk mendapatkan tunjuk ajar mengenai aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk dijalankan memandang kelas yang saya ajar ini adalah terdiri dari murid yang agak lemah dalam semua mata pelajaran. Saya juga akan sentiasa berhubung dengan guru mata pelajaran lain untuk mendapatkan pandangan dan tunjuk ajar dari mereka. Begitu juga dari pensyarah pembimbing saya sendiri iaitu Ustazah Norhafizah Zakaria. Saya berharap supaya sepanjang saya berada di sekolah ini iaitu selama 3 bulan, akan menaikkan bilangan murid yang mampu membaca tulisan jawi. Saya juga akan memanggil murid-murid yang lemah ini dan memberikan bimbingan secara peribadi di luar sesi PdP. Semoga segala pengalaman dan usaha saya ini akan memberi nilai tambah kepada diri saya sendiri dan kepada anak didik saya.