Cerpen: Gadis di sudut itu Pertemuan pertama di Art Case Gallery masih segar di ingatannya. Mataku terpana memerhatikan gerak geri gadis itu, gemalai langkahnya tersusun satu persatu. Aku pasti yang aku tak pernah melihat gadis ini berkunjung ke mana-mana galeri lukisan lain mahupun galeri milik Raja Azhar Idris, pelukis terkenal di Malaysia ini. Gerak gerinya juga nampak agak canggung, “Barangkali ini kali pertama dia mengunjungi galeri lukisan”, otakku meneka sendirian. Aku mengorak langkah, menghampirinya yang masih asyik merenung lukisan di depannya. “Maaf mengganggu, tapi apa yang kau nampak dari lukisan ini?”, aku memulakan bicara, menanti reaksi darinya. Matanya masih menatap lukisan bertajuk ‘Beware’ tanpa menoleh ke arahku. “Ehem..ehem”, aku mencuba lagi mengalih perhatiannya. Kiranya percubaan kali kedua ku berjaya... “Saya tak pandai mentafsir lukisan sebab saya bukan pengkritik seni ataupun pengumpul karya lukisan. Tapi saya tahu ada banyak cerita tersirat di sebalik lukisan ini. Banyak persoalan muncul, erm..contohnya apa pakcik tu buat kat taman permainan..kenapa selipar budak ni tinggal sebelah je?” …aduh, panjang bicaranya, lancar bibirnya berkata-kata, namun matanya masih belum singgah ke wajahku. “Kau peminat Abdul Latif Maulan?” tanya ku lagi. “Siapa?” soalnya kembali. “Pelukis untuk lukisan-lukisan yang kau tengok di pameran hari ni” aku menjawab, nada suara ku sedikit jengkel kerana agak sensitif apabila pelukis pujaanku seperti diperlekehkan oleh gadis ini. Dia menoleh sejenak ke arahku lalu matanya menatap risalah di tangannya yang tertulis‚ ’ABDUL LATIF MAULAN: PARALLEL UNIVERSE ~ FIRST SOLO EXHIBITON 7 June 2006 -16 July 2006’, setelah terarah oleh jari telunjukku. “Oh, sebenarnya housemate saya yang hadiahkan tiket ini sebagai hadiah hari lahir, sebab tu saya datang. Saya kena berterima kasih dengan dia, hadiah ini mungkin hadiah paling tak ternilai dalam hidup saya”, luahnya jujur. Aku merasakan kejujuran itu terpancar dari wajah kudusnya. Wajahnya tidak secantik Erra Fazira, bicaranya tidak selembut Siti Nurhaliza, suaranya juga tidak semanja Ella, tapi ada aura pada dirinya menarik aku untuk lebih mengenalinya. Dia melangkah pula ke lukisan ’Silhoutee Journey’, lama dia merenung lukisan itu. Aku tak berniat mengganggunya lalu aku mengambil keputusan berdiam,memberinya masa menilai karya itu. Bergenang kelopak matanya, cepat-cepat dia menyapu setitis air mata yang mengalir di pipinya apabila tersedar yang aku masih di sebelahnya. “Ini lukisan tentang kes realiti yang pernah jadi dulu kan?” tanyanya merujuk kepadaku. Aku mengangguk setuju. Paparan seorang wanita berseorangan di dalam bas, dan bayangbayang hitam di bahagian tempat duduk belakang seperti sedang merenungnya tajam. Satu keluhan panjang kedengaran,“tak baik mengeluh“,aku menegurnya. Kekaguman terbit lagi dari hatiku.? Bukan calang-calang orang mampu mentafsir karya ini
kerana karya Abdul Latif Maulan biasanya dikaitkan dengan sesuatu tersembunyi di sebalik yang nyata di mata. Dia tersenyum manis, menampakkan lesung pipit di pipi kirinya. Sungguh aku tak pernah merasakan tarikan sebegini, malah gerakan jari jemarinya membetulkan tudung di kepalanya pun nampak indah di mataku sehingga aku merasakan seperti mendengar alunan suara Ray Charles menyanyikan lagu What A Wonderful World. Mabukkah aku hasil air setan yang aku teguk malam tadi?. “Gadis ini biasa saja, tiada yang menarik lalu mengapa aku mengaguminya?”, suara hatiku bermonolog sendiri. Aku mencuri pandang lagi pada wajahnya, kulitnya putih kuning, hidungnya tidak mancung tapi tidak juga penyek, badannya tidak kurus tapi tidak juga gemuk, penampilannya tidak terlalu bergaya tapi tidak juga terlalu kekampungan...mungkin kesederhanaannya yang memikat. Aku memejam mata, cuba memahat wajahnya dan gayanya kukuh di ingatanku, agar dapat aku abadikan ke layar kanvas selepas ini. Aku membuka mata, dan dia telah tiada di depanku. Cepat-cepat aku berlari mencarinya sehinggakan aku hampir terlanggar Shahimah, isteri pemilik galeri ini. Tak mungkin sepantas itu dia hilang. Akhirnya aku terpandang gadis itu di satu penjuru galeri, sedang menjawab telefon. Barangkali tidak mahu mengganggu tumpuan pengunjung lain lalu dia memilih penjuru sunyi itu. Ku potretkan detik itu di mindaku, mencurah-curah ilham untuk mengabadikan gerak geri gadis ini. Usai menjawab panggilan itu, dia bergerak terus ke pintu keluar. Aku berlari lagi,mengejarnya yang semakin jauh dari pandangan. Aku menarik tangan kirinya sebelum dia melintas jalanraya, dia menoleh pantas dan tangan kanannya juga pantas menampar pipiku. Berpijar dan panas aku rasakan..rasa pekak sekejap gegendang telingaku, mengalir darah merah di penjuru bibirku. Wajahnya serba salah sebaik dia sedar niatku untuk mengelakkan dia dari menjadi mangsa ragut lelaki bermotosikal yang hampir-hampir berjaya meragut tas tangannya. Lelaki jahanam itu pantas memecut laju, menyelit di antara deruan kenderaan lain yang bertali arus. “Takpe, aku ok’, aku bersuara cuba meredakan kegusarannya. “Maaf awak, saya tak perasan, saya ingat orang yang berniat jahat tadi’, jawabnya yang barangkali masih terbawa-bawa dengan bebanan perasaan dari lukisan Silhoutee Journey tadi. Aku menyambut huluran tisu dari tangannya, terpandang jari jemarinya, “erm...takde cincin lagi“, gumamku sendirian. “Apa?”, tanyanya. “Erm..kenapa kau nak cepat-cepat balik?. Banyak lagi karya yang kau tak tengok” aku menyoal tanpa menjawab soalannya tadi. “Saya ada hal sikit, tapi saya akan datang lagi bila ada masa. Lagipun pameran ni sampai hujung minggu depan kan? Insya Allah, panjang umur, ada kelapangan saya akan datang lagi”, jawabnya sopan dan dia mengatur langkah ke tempat letak kereta. Dia menoleh sekilas ke arahku, “terima kasih banyak-banyak”, ucapnya lalu melangkah terus dan hilang dari pandangan mataku. Aku masih terpaku di situ, terpesona dengan gerak gerinya sehinggalah aku tersedar dari lamunan bila bahuku ditepuk pensyarahku Suzlee Ibrahim. Beliau merupakan insan yang pernah bertanggungjawab membentuk bakatku sewaktu masih menuntut di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM.
“Dah habis mengkaji lukisan Latif ataupun Ayie dah dapat ilham untuk pameran solo sendiri pulak?” tanyanya seperti dapat menuras isi hati ku ketika itu. Aku sengih sambil melangkah kembali ke dalam galeri, aku mau berlama-lama di sana, mengorek seberapa banyak ilmu yang mungkin aku boleh dapatkan dari pelukis-pelukis hebat lain. Minggu ini aku habiskan masa di galeri ini, menikmati dan menelaah hasil karya pelukis kontemporari yang aku kagumi. Aku melukis apa yang aku lihat, aku tak mampu menjadi pemikir yang tersirat seperti Latif yang mampu merakam dua warkah berbeza dalam setiap karyanya, tapi aku punya sedikit anugerah kurniaan Yang Esa, lalu aku gunakan untuk menyuarakan isi hatiku dengan coretan warna dan palitan garisan membentuk wajah di atas kanvas. Kalau orang seusia aku mengagumi bakat Mawi, Yusry, Adam, Sofaz,Kristal ...rasanya aku lebih mengagumi bakat Yusof Ghani, Prof. Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob, Raja Azhar Idris, Muid Latif, Ahmad Shukri Elias, Prof. Madya Ramlan Abdullah, Intan Rafiza, Khalil Ibrahim, Ismail Latif dan ramai lagi pelukis-pelukis Malaysia yang hebat. Karyaku lebih tertumpu kepada kehidupan kotaraya seperti ’my mom and I’(sepasang ibu dan anak membeli belah), ’how do he got it?’( lelaki muda berkereta mewah), ’60’s sibling’(sekumpulan adik beradik pencinta lagu 60-an sedang bermain gitar),’anak ikan’ (gelagat gadis muda di temani lelaki tua) dan ’gothic or ska or punk or i’m confused?’(kerenah belia sekarang dalam berfesyen) antara lukisan-lukisan yang pernah aku hasilkan. Aku duduk di penjuru dinding yang pernah gadis itu berdiri. Cuba mengutip kembali sedetik memori itu, jariku pantas melakar nukilan itu di kertas putih ditanganku. Balik rumah nanti akan ku pindahkan lakaran awal ini ke kanvas besar. Aku ke galeri ini saban hari, masih menunggunya dengan harapan, kadang-kadang terasa diri ini dungu, tak mampu bertanya nama nya. Hari ini hari terakhir pameran ini. Aku sudah menyiapkan sepuluh keping lakaran gadis itu di berbagai sudut galeri ini, lakaran gadis itu di jalanraya, lakaran tamparannya di pipiku, senyuman manisnya..aduh,aku diserang angau. Menanti sesuatu yang tak pasti, namun sekurang-kurangnya aku mampu berkarya kembali. Karya terakhir yang aku hasilkan sebulan lalu masih mampu menanggung hidup bujangku. Aku terkesima, diakah itu? Baju kurung biru bermotif bunga-bunga kecil menyerlahkan keayuannya. Jari ku pantas lagi melakar dan memotret gerak gerinya. Aku membiarkan dia menikmati lukisan-lukisan ’Open For Business’, ‘Toxic Waste’, ‘Forest Reserved’, ‘Belakang’, ‘Ulam Mencari Sambal’, ‘Fantasy Dream’ dan ‘One Way’ karya-karya Abd Latif Maulan. Kali ini aku tak berniat mengganggu tumpuannya, walhal aku jua semakin asyik melakar gerak gerinya. Hampir 10 lakaran dirinya mampu aku hasilkan secara goresan biasa selama dua jam dia di galeri ini. Aku cepat-cepat memasukkan kertas-kertas ini ke beg ’mortar’ku. Dia menyedari kehadiranku selepas selesai tawafnya mengelilingi galeri itu. “So, macamana?“. Berkerut sedikit dahinya mendengar soalanku, tapi pantas juga dia mengerti bila aku mengarahkan mata ku ke arah lukisan-lukisan itu. “Amazing artwork, lukisan yang kemas, penggunaan warna yang menekankan penceritaan, ringkas tapi penuh bermakna. Ibarat membaca yang tersembunyi dalam hidup di kotaraya ini.
Perlu banyak berfikir, tapi maksudnya memang sampai terus ke hati“, jawabnya penuh keyakinan. “Kau ni belajar seni atau sastera ke?”,berkerut lagi dahinya sebelum bibirnya mengorak senyuman. “Saya pernah belajar aeronautical engineering dan sekarang saya jadi pensyarah dalam bidang yang sama. Salahkah orang tak de pendidikan seni sama-sama menikmati keindahan ini?“,tukasnya lalu memandangku menunggu jawapan. Aku memang jenis manusia yang tak suka menjawab soalan,lalu kubiarkan soalannya tergantung dan menyoal lagi, „“Ada ke aku cakap salah? Apa yang patut aku tahu tentang keindahan aeronautical engineering kau tu?. Terus terang aku tak pernah dengar pasal bendabenda ni. Kau boleh bawak kapal terbang ke?”. Dia ketawa kecil, masih bersabar dengan kerenah aku yang banyak bertanya dari menjawab. “Saya belajar tentang rekabentuk kapal terbang, kelakuan kapal terbang masa tengah terbang, aliran aerodynamik udara, sifat kelakuan bendalir, kekuatan struktur bahan, menyelesaikan masalah secara sistematik, berapa geseran udara yang manusia kena tempuhi untuk berdiri tegak...itulah keindahannya“, jawapannya tegas dalam kelembutan. “Aku tak nampak apa yang indah pun dalam apa yang kau ceritakan tu“, aku membangkang pendapatnya sekadar untuk mengheret dia dalam perbualan yang lebih panjang. “Kapal terbang kena ikut graf penerbangan yang di hadkan oleh batasan-batasan tertentu contohnya had kuasa engin, had daya angkat(lift), had suhu, had tekanan kabin, had tekanan dinamik dan had ketahanan struktur. Semua ni berkait dengan hidup juga, sebab setiap sesuatu dalam hidup ini ada batasannya dan peraturan yang telah ditetapkan untuk kita patuhi, tak kira kita suka atau tak.“, jawapannya kali ini membuat aku terkedu. Betapa selama ini aku terleka dalam dunia ku sendiri. Terbayang di ruang mataku solatku yang terabai kerana asyik dengan layar kanvasku, berkurung seharian di studio, berjoli di kelab malam dengan hasil jualan lukisanku malah tanpa sedar aku melupakan had batasan yang telah ditetapkan dalam diri seorang muslim sepertiku. Aku sepatutnya mencontohi Dr. Sulaiman Esa yang merupakan pelukis Malaysia yang mempelopori seni lukisan kontemporari Islam dan sentiasa menyelitkan sedikit pendidikan dan pengajaran berguna dalam karyanya. “Zahri Asyaari, saya memiliki salah satu karya lukisan awak. Saya memang mengagumi hasil kerja awak, dan saya yakin awak akan berjaya macam pelukis-pelukis terkenal lain. Barangkali lebih tersohor dari Van Goh, Da Vinci, Lippi ataupun Del Verrochio. Carilah ketenangan dalam hati awak bukan di tempat lain. Ketenangan itu akan membantu awak berkarya.“, tenang bicaranya satu-satu menusuk telingaku tembus terus ke jantungku. Kali ini aku terdiam, tiada lagi soalan di benakku, huluran sampul merah jambu dari tangannya aku sambut. Dia berlalu pergi selepas memberi salam, meninggalkan aku tegak berdiri di sudut penjuru galeri itu. Sudut yang sama aku memehatikannya dulu, sudut yang sama aku melakar wajahnya dan sudut yang sama ini juga lah hatiku pecah berderai. Aku meneliti muka depan kad itu, tertera gambar gadis itu di penjuru kanan dan di penjuru kiri gambar seorang lelaki yang seperti ku kenali. Kata-kata di bahagian dalam merentap jantungku, ’Undangan ke majlis kesyukuran perkahwinan puteri kami Nur Cherrina Emilyia
yang bertemu jodoh dengan Akmal Syukry’. Akhirnya aku teringat, lelaki ini lah salah seorang dari pemain gitar dalam lukisan ’60’s siblings’ yang pernah aku hasilkan dulu. Aku ingat lagi lelaki ini dan adik-adiknya berhenti memainkan alat muzik apabila azan berkumandang, menunaikan kewajipan solat bersama adik-adiknya. Masih jelas juga lagi di ingatanku aku menolak ajakannya berjemaah dengan alasan pakaianku kotor dengan warna cat,dan dengan berhemah di hulurkan pakaian bersih buatku. Hari itu aku solat selepas sekian lama tidak sujud kepadaNya.... “Jika ku tanya padamu manakah arah kiblatmu,apakah jawapanmu sama denganku? Satu rumpun budaya,satu akar bahasa, satu soalan nak ku tanya, adakah kita punya satu suara?“, lagu Satu Suara nyanyian Rausyanfikir yang berkumandang di Radio Tm FM mengembalikan aku ke alam nyata dan menghentikan lamunanku pada peristiwa tahun lalu. Benarlah kata orang, insan seni jiwanya halus, mudah terasa, mudah juga terluka. Aku terluka kerana terlebih menyimpan rasa buat gadis itu, tapi aku juga terasa bahawasanya dia muncul untuk menyedarkan aku dari lena ku yang dulu. Esok aku akan mengadakan pameran lukisan solo ku : ZAHRI ASYAARI ~ SINAR DALAM GELITA. Kali ini aku muncul dengan lukisan lakaran kasih sayang dalam kehidupan dan lukisan ’gadis di sudut itu’ bakal menjadi lukisan utama untuk majlis perasmian. Sesuatu yang pasti, aku sudah mengirimkan undangan istimewa buat pasangan Akmal Syaary & Nur Cherrina Emilyia! Romantica de Maya Oleh : Azwa Safwa
[email protected] Go to my site PART 1 Jam menunjukkan pukul 11.00 malam. Bibirnya menguntum senyum bila seseorang yang dinanti sejak semalam telah active five!. Pantas hujung jarinya klik pada nick yang tertera.. Romeo: “Hi.. Juliet, how are U? dari semalam I tunggu U tau! Mana U pegi nih!?” laju jemarinya mengetuk papan keyboard menyapa pelayar disebelah sana. Juliet: “Haloo... Sori I busy semalam dan ngantuk sgt! Lama ke U tunggu?” ringkas jawapan yang diberi. Romeo: “Busy sgt ker? Sampai tak bleh nak online sekejap?” Dia rasa macam tak puas hati. Geram pun ada. Juliet: “Betul. I busy. Malam I pengsan! Tak bleh dah nak angkat mata!” Romeo: “Bosan tau I semalam tak dapat chat ngan U.. frust!” Juliet: “Aik, kan ramai chatters U bleh sembang? U kan Romeo? Kurang hilang U punya
bosan..” Romeo: “Tak sama mcm I sembang ngan U!.. yang lain tuh semua cam hampeh jer! Semua gedik! Nyamfah!” Juliet: “Amboi, tak baik U nih suke rasa hati jer kutuk orang.. agaknya I pon U kutuk samakan?” Romeo: “Tak. U lain! I like U!..” Juliet: “Hmm.. ok arr Romeo.. I terpaksa out! my sister nak guna phone..” Romeo: “Ala.. I blum puas lagi chat ngan U.. cam nak ngelat dari I jer?..” Juliet: “Tak la. Sungguh sister I nak guna phone! Esokkan masih ada darling.. be cool bebeh.. (ikon kenyit mata) ” Perghh ayat membunuh jiwa lelakinya! Romeo: “U nih buat I…” Senyumnya dah sampai ketelinga. Juliet: “Buat apa?? Hah dah jangan nak pikir mcm2 arr.. Good Nite!” Juliet: “Quit.” Ceh! Dia ketap bibir geram.. Minah nih bisa buat aku jadi gila! Danial menggaru bawah dagunya yang gatal. Selalu Juliet meninggalkan dirinya dengan penuh tanda tanya dan membuatkan dirinya hari-hari rasa teruja!. Bagaimanakah rupa dia agaknya? Apa pekerjaannya? Berapa umurnya? Apa statusnya? Berbagai persoalan bermain dikepalanya. Gadis itu terlalu banyak berahsia dengannya. Arghh.. aku tak kira! Aku akan bongkarkan siapa dia sebenarnya!. Kemudian dia sengih macam orang sengal! PART 2 “Sofea.. bungkuskan adik nih mee hoon goreng 2..” Dia pantas menurut arahan Kak Longnya. “Sambal lebih kak..” “Ok, RM2 jer..” Duit dan mee hoon bertukar tangan. Pagi-pagi begini ramai pula pelanggan yang datang ke gerai Kak Longnya. Tak menang tangan Sofea dibuatnya. “Cik.. nasi lemak sambal sotong satu! Sambal lebih! ” Tanpa memandang wajah peminta, pantas tangan Sofea membungkus nasi lemak yang diminta.
“Berapa?” Mata pemuda itu memandang tepat kedalam anak mata Sofea. Berderau kejap darahnya. “RM2.50..” Pemuda itu menghulurkan not RM1 tiga helai. “Keep the change!” Pemuda itu kenyit mata padanya kemudian berlalu dengan kereta Alfa Romeonya.. memancar kilat colour orennya!.. Nakalnya dia.. gaya bleh tahan! Perghh debomb!! Memang tip top! Terpukau Sofea dengan reaksi spontan pemuda yang baru berlalu. Sejak akhir ini rajin pula dia tenguk pemuda itu membeli nasi lemak disini. Nak tenguk aku kot?? Dia dah mula perasan! “Amboi.. gatalnya dia..” Tak semena pinggangnya diketil dari belakang! “Apa ni Kak Long? Adoii.. sakit la..” Sofea mengaduh kecil. Berbisa sungguh sepit ketam yang baru dia terima. “Cover sket .. awak tu perempuan..” Kak Longnya ketap bibir geram. Sofea sengih. Dua tiga orang budak yang menunggu giliran senyum-senyum pandang dia. Ishh.. aku belasah jugak bebudak nih! “Tu.. bungkus kueh koci RM1 bagi pada adik tu..” Kak Longnya mengarah. “Yes, mem!.” Wajah pemuda Alfa Romeo lenyap dari mindanya.. PART 3 Line connected.. Juliet: “Sorry ya?.. server slow!.. dimana kita tadi?” Sofea sambung berchatting dengan Romeo. Dua tiga kali dia login internet. Agaknya time begini ramai yang bertenet! Pasal tu server lembab giler! Romeo: “So k. hmm.. tadi kita bual pasal job.. Anyway Juliet. Boleh I ask U something?” Juliet: “Ok..” Romeo: “Bila U nak beritahu I tentang diri U yang sebenar? Tak pun U bagi no.phone U ker.. Boleh kita bual secara live di phone. Penat lah I asyik taip je.. I nak gak dengar suara U yang lemak merdu tu..” Amboi.. amboi.. si Romeo nih! Sofea sengih. Juliet: “U dah penat ker? Ok arr I out! Yer la siapa la kite ni kan?” Sofea sengaja taip ayat merajuk.
Romeo: “Sorry!.. I tak bermaksud begitu. Kita dah lama chatting.. Kalau boleh I nak kenal diri U lebih dalam lagi.. I tak faham la.. Why U masih nak berahsia!. I bukan nak jaja pon no phone U atau apa-apa ttg U kat semua orang.. I ikhlas nak kenal U!” Pergh!! Mamat nih.. serius semacam jer.. adoii.. Juliet: “Sori Romeo... Belum tiba masanya lagi. Sabar menanti ya?” Romeo: “Juliet... please trust me!.” Juliet: “SECRET!” . Sofea ketawa mengekek. Agaknya mesti bengang gila si Romeo disebelah sana. Romeo: “ Please Juliet.. I tak tahu kenapa.. Tapi I dapat rasa suatu perasaan aneh yang susah I nak terangkan bila chat dgn U.. I’m fall in love.. I love U Juliet!!” Juliet: “WHAT??!” Ayo mak kadawalei.. soram sojuk Sofea membaca ayat yang terpapar diskrin. Iee seramm! Line disconnected. Arghh.. malas Sofea nak login semula. Mesti Si Romeo bengang gila menunggu dia online semula. Entah iya entah tidak. Malas fikir panjang, Sofea off computer dan rebah atas katil. Bukan niat Sofea nak permainkan Romeo. Dia buntu!. Menerawang jauh dia memikirkan kata-kata Romeo. Ikhlaskah kata-katanya? Selama ini dia tidak pernah bertanya apa apa tentang diri Romeo. Wajah dia pun Romeo tak pernah lihat? Masakan Romeo punya perasan begitu padanya?. Adoii.. sakit kepala.. setakad ini bagi Sofea, cinta pada Romeo belum ada.. tapi suka tu ada.. err.. betul ker??.. senyuman Sofea melebar. Akhirnya dia dibuai mimpi. PART 4 Juliet: “Offline” Seminggu sudah berlalu.. Resah gelisah hati Danial menanti Juliet ke udara dalam laman cyber.. Dalam seminggu tu jugalah hidupnya serba tak kena. Penangan cintanya pada Juliet. Dia tak kisah siapa pun diri Juliet. Dia tetap terima. Cinta tak kenal siapa! Dan cinta itu sememangnya buta! Gabungan Romeo dan Juliet seakan serasi bagai sebuah kisah lagenda cinta sejati. Oh, Juliet sayangku.. jelmalah kau… fuhhh.. Juliet: “Online” Yes!! Rasa nak melompat dia dibuatnya!.. Terima kasih Ya Allah!.. Romeo: “Hi Juliet.. why lama hilang? Marahkan I ker?” Juliet: “Sori Romeo. I balik kampung. Tak la.. I tak marah U pun. Sebenarnya hari tu I terpukau tau!.” Romeo: “I tau U gelak kat I.. mesti U ingat I nih crazy!”
Juliet: “I tak kata pun.. U yang selalu pikir bukan-bukan..” Romeo: “Macam manalah I tak pikir bukan2.. U tu banyak berahsia dari I !! why balik kampung? Ada orang minang U ker?” Tiba-tiba Danial disapa cemburu. Juliet: “Tak la.. saja nak tenang fikiran…” Romeo: “Tentang apa??” Juliet: “Laa.. tentang kita la..” Berdebar-debar jantung Danial. Romeo: “Maksud U?” Juliet: “Ok.. malam ni I nak buka kunci tentang diri I.. dan U pun kena buka identiti U yang sebenar! Amacam?” Wajah Danial sudah melebar senyum. Romeo: “Sure?? I takut U ngelat! U kan banyak agenda??” Juliet: “Aik, tak percaye yer? So k.. I tak kisah.. terpulang..” Romeo: “Ok.. ok.. I percaya..” Tup! Black-out! Arghhh… tensionnyaa aku! Kenapalah time begini letrik mati plak! Cisss… dush! dush! .. Danial gigit jari! PART 5 “Sofea tempat yang kamu temuduga semalam tu apa cerita?” “Dia kata akan call Abang Long.. entahlah.. harap dapatlah..” “Kamu tu Pea.. sembahyang jangan patuk-patuk ayam.. minta doa dan petunjuk pada Tuhan agar mudah segala permintaan.. apa yang kamu nak.. rajinkan diri tu buat solat sunat.. Jangan nak bertenet jer kerjanya!” Kak Long dah start ceramah percuma. “Iyalahh.. “ Adoii.. bisa berbisa telinga Sofea. Satu hari kalau tak kena ceramah percuma dari Kak Longnya tu memang tak sah! Macam manalah Abang Longnya tu boleh tahan dengan Kak Longnya itu?. Oppss.. lupa.. Abang Longnya tu ustaz sekolah rendah! Kekadang Abang Longnya juga dua kali lima juga dengan Kak Long!.. Sofea membantu mereka berdua memasukkan bekas-bekas jualan nasi lemak yang bersisa
kedalam bonet Wira sedan Abang Longnya. Bila hari minggu Abang Longnya memang rajin datang menolong apa yang patut. Beruntungnya Kak Long! “Kak Long dengan Abang Long balik dulu.. kamu jangan nak merayap tak tentu hala..” “La nak merayap apa pula Kak Long? Kita menunggang la..” Sofea sengih. Ishh dia ingat aku ni budak kecik lagi ker? Aik, apasal motor nih tak bleh start plak? Termegah dia nak menghidupkan enjin Krissnya. Tanpa sedar dia diperhatikan seseorang.. “Hi..” Terkejut beruk dia!. Nasib tak melatah.. kalau tidak jatuh sahamnya! Bila masa pulak mamat Alfa Romeo nih tercegat kat sini? Siap berpakaian sukan lagi tu. Lama dia tak nampak mamat nih! “Err.. sori la bang.. nasi lemak dah habis! Datang besok ajelah!” Sofea cuba berlagak selamba. Perghh! Dalam hati tuhan aje yang tahu. “So k.. kenapa motor tu? Tak boleh start ke? ..” Pemuda itu rapat kepadanya. Alahai.. cover cun... “Entahlah.. kena angin kus-kus gamaknya!” Sofea cuba seloroh. Pemuda itu tersenyum. Ya Allah indahnya ciptaan Tuhan! “Mari saya cuba..” Handle Kriss bertukar tangan. Sofea hanya memerhati kesungguhan pemuda itu mahu membantunya. Bertuahnya badan.. “Saya rasa plug dia haus kot! So, macam mana nih? Nak saya call pomen repair moto awak?..” Elelele.. baiknya dia.. “Err.. tak pelah.. thanks sudi bantu...” “Oh lupa.. saya Danny!” “Sofea..” Dia ukir senyuman. “Ohh.. Sofea.. so sweet..” Memerah malu pipi Sofea dipuji begitu.. ceh! Saje jer dia nih buat aku prasan! Motor kriss dia kunci. Nanti biar Abang Longnya yang uruskan!. Dia ingin menapak pulang kerumah. “Mari saya hantarkan..” “Tak pelah.. segan saya nak naik keta mewah awak tu..” Kakinya sudah mula melangkah. “Jangan segan.. saya bukan Ah Long, saya ikhlas nak tolong..” Aik, siap boleh melawak lagi dia nih? “Pleasee..” Ishh.. dia ni.. Tanpa sedar kaki Sofea mencecah masuk kereta Alfa Romeo Danny! Adoii.. apa yang aku lakukan ini?.. Wahh, wanginya kereta diaa.. Ketika ini jiwanya seperti
melayang-layang.. PART 6 Lama sudah Danial tidak mendengar berita tentang Juliet kekasih mayanya. Sejak berkawan serius dengan Manis dia tidak rajin active five di MIRC. Masanya lebih banyak tertumpu pada kerja dan Manis. InsyaAllah kalau tiada aral melintang pertengahan bulan Februari mereka akan mengikat tali pertunangan langsung menikah terus. Nama Juliet seakan telah hilang. Hari ini dia mahu berterus-terang dengan Juliet. Dia tidak mahu mempermainkan hati Juliet. Terpulang pada Juliet untuk menilainya.. Jam tepat pukul 11:30 malam. Danial sabar menanti kemunculan Juliet. Tiba-tiba.. Juliet: “Online” Romeo: “Hi.. how are U?” Juliet: “Fine.. TQ!” Juliet: “Sori lama tak online..” Danial garu kepala. Sepatutnya dia yang berkata begitu. Mungkinkah Juliet juga sudah lama tak online? Selepas peristiwa black out hari tu memang dia dah tak login internet. Selalu dia kena pergi out station. Memang tak ada masa nak bertenet. Kalau sempat pun check email jer. Romeo: “So k.. I pun.. baru hari nih on air..” Juliet: “I see..” Romeo: “Hmm.. I ada berita nak beritahu U.. hope U tak marah..” Juliet: “I pon.. I harap U tak kisah.. dan berlaku jujur dengan I.” Romeo: “Ok.. U mula dulu..” Berdebar jantung Danial saat ini. Juliet: “Betul ker U cintakan I?” Bulat mata Romeo membaca ayat di skrin. Dia teguk air liur. Romeo: “Yup… tapi dulu.. sekarang tidak lagi.. Sori.. I tak bermaksud nak lukakan hati you.. permainkan U.. segalanya berubah setelah kemunculan dia.. kami dah nak menikah!” Beberapa minit berlalu. Juliet tetap senyap tanpa balasan. Romeo: “ I’m sorry..” Lima minit berlalu lagi.. Ya Allah dia menangis ker? Danial semakin resah.
Romeo: “Juliet??” Juliet: “Sori.. my sis panggil tadi.. So, U sekarang sudah ada special gurlprend la yer? Tahniah!” Laa.. ciss, Danial rasa cam nak tumbuk dinding jer!! Romeo: “U tak sedih?” Juliet: “Nak sedih buat apa.. kira I terselamat! Dari mangsa buaya romeo U! Hehehe..” Minah nih betullah buat aku gila!.. ker hatinya keras macam batu? Danial ketap bibir geram! Romeo: “So, U macam mana sekarang?” Juliet: “I pon macam U jugak.. Sori ya?.. I selalu usik U.. InsyaAllah I bakal jadi isteri orang tak lama lagi.. Doakan I ya?” Romeo: “Aik?.. samalah pulak kita ya? So U tak mau buka secret key U pada I? hari tu waktu kita nak open identiti rumah I black out.. pastu bersambung dengan kerja out station.. tak free nak online..” Juliet: “Haha.. sama ler.. apa ke halnyer kita nih asyik sama jer eh?” Romeo: “Betul la I pun heran?.. kita dah serasi.. tapi jodoh tak adakan?.. mungkin perancangan Allah lebih sempurna dari apa yang kita rancangkan?..” Aceceh.. ayat skema habis! Juliet: “Yup.. so, U nak tau gak ker siapa I?” Romeo: “Of course.. tak dapat buat bini, buat bestfriend pun ok! Lagi pun I tak ada bestfriend gurl..” Juliet: “La.. gf U tu bleh buat bestfrend apa? Lagi akrab!” Romeo: “Maksud I, selain dia I tak ada bf gurl yang lain! So, lekas arr.. dah tak sabar I nih.. tunjuklah picture sebenar U!” Juliet: “Tak nak! Kita jumpa.. face to face! Ok tak?” Amboi diaa.. Danial menguntum senyum. Oh la la.. Camna la rupa dia? Adakah seayu dan sebrutal Manis? Ishh tak sabar pula dia. Romeo: “Betul nih? Kat mana kita nak jumpa?” Juliet: “Ok.. pernah dengar Wanie’s Corner? Jalan Burung Tempua?.. Bandar XX?” Romeo: “Oh.. God! I selalu lepak situ.. U duduk area situ ker?” Juliet: “Tak.. esok I tunggu U kat situ tepat pukul 2! Jangan lewat!”
Romeo: “Bagilah no phone senang nak call U..” Juliet: “Tak boleh.. selagi belum jumpa U, segalanya rahsia!” Perghh!! Minah nih memang sentiasa buat aku teruja!.. Danial makin geram dibuatnya. Romeo: “Macam mana I nak kenal U? mana tau U tipu I ker? I macam boleh baca jer apa yang ada dalam kepala U tu..” Juliet: “Betul.. I tak tipu! Ok, I pakai baju kaler biru. Bertudung. Aiseh..my sis dah bising la.. Jumpa disana!” Juliet: “Quit” Erkhh?? Dia nih tak mau tahu ker aku nih orang yang macam mana?.. Haiya pusing kepala Danial memikir tentang Si Juliet! PART 7 1:30 PM Sofea debar menanti kemunculan Romeo. Sepatutnya hari ni dia keluar date dengan Danny. Semalam dia terpaksa berbohong dengan Danny mengatakan mahu keluar dengan Kak Long membeli kain langsir. Kebetulan Danny juga ada urusan. Wahh.. best tu.. line clear!. Sengaja Sofea pilih Wanie’s Corner sebagai tempat blind date dia dengan Romeo. Sekurang apa-apa hal yang berlaku.. Dia boleh selamatkan diri. Dia juga dah berpakat dengan Kak Leha pekerja WC! “Mananyer budak Romeo kamu tu Pea? Tak sampai-sampai lagi..” “Sabarlah Kak Leha.. belum pukul 2 pun.. ishh.. akak nih berdebarnya mengalahkan kita pulak!” Sofea membetulkan duduknya. Aduh.. apahal jantung dia berdegub kencang nih? “Eh? Pea.. tu macam Danny jer?” Tersentak Sofea bagai kena renjatan elektrik! Menunduk wajahnya diceruk dapur. “Alamak.. Kak Leha macam mana nih? Matilah saya!” Seram sejuk jari jemari Sofea. Sungguhpun dia belum melihat Danny marah, tapi dia takut hari ini bakal mengundang kemarahan Danny! “Kau ni pun satu Pea.. dah tau tempat nih kau dengan Danial selalu dating, awat pi ajak Si Romeo kau tu jugak kesini? Cari nahas jer budak nih!” Kak Leha geleng kepala. “Tempat lain mana ler saya tau kak.. tempat ni jer yang saya rasa best dan selamat..” Sofea sengih. “Iyolah selamat.. kejap lagi jadi Kassim Selamat!” “Manalah saya tau dia nak datang sini.. semalam dia beritahu ada kerja lebih masa..” Sofea gigit jari. Sempat ekor matanya menjeling jam dipergelangan tangan lagi. Angka
menunjukkan lagi lima minit hendak ke pukul 2 petang. Debaran jantungnya kuat terasa. Tenang.. tenang.. “Ok, dia dah pergi dah.. line clear..” Kak Leha kenyit mata. Sofea cari tempat tersorok sikit dari tumpuan umum tapi dekat dengan tempat Kak Leha bekerja. Dalam pada beraninya dia ada gak terselit perasaan takut! Uishh.. sape tak takut weii.. mana ler tau Si Romeo tu perogol bersiri ker? Tak ker naya dia.. Nasib dalam WC ni hanya dia yang memakai baju kaler biru dan bertudung. Tak susah untuk Romeo mencarinya! Kak Leha dah bagi isyarat kelip-kelip mata! Muka dia plak dah herot merot macam makan asam kecut.. apahal pulak Kak Leha ni? Kena sampuk ker? Sofea naik pelik bin ajaib! Erkhh.. dia dah sampai ker? “Hi Juliet!” Erkhh.. suara itu macam pernah ku dengar.. dia berpaling.. Makkk!! Hampir melompat Sofea dari tempat duduknya. Danny tercegat depan mata! Dia pun turut sama terkejut! “Sofea?” Membulat mata Danny. “Abang?.. err.. Romeo??” “Sofea?.. Juliet??” Mulut Danny dah ternganga. “Oh, my GOD!!..” Danny dah tepuk dahi! Sofea pula dah sengih sampai ke telinga.. Aduss.. kantoi la pulak! “Oo.. inilah budak Juliet tu ye? Eii.. geramnya saya dengan Juliet tuh!” Pipi Sofea dicubit Danny. “Sakitlah!” Maka berlakulah adegan pukul memukul dan kejar-mengejar ala romantika de amor antara mereka berdua. Kemudian masing-masing terburai ketawa. Kak Leha yang memandang hanya geleng kepala. PART 8 Danial membuka pintu kamar beradu raja seharinya. Cantik terhias.. sesekali aroma wangian dalam kamar itu menyucuk lubang hidungnya. Alhamdulillah dia dan Sofea kini telah sah menjadi suami isteri. Bila mengenangkan kisah dua bulan lepas di Wanie’s Corner memang hendak terputus urat perutnya. Siapa sangka Juliet yang penuh rahsia di alam maya adalah Sofea! Tersenyum-senyum kambing dia mengingati kisah yang terjadi. Betullah kata orang, kalau dah jodoh tak kemana! ikan dilaut, asam didarat dalam belanga bertemu jua.. Segera dia menghampiri Sofea yang sedang menyisir rambut didepan cermin solek. Bersinarsinar matanya memandang tubuh isterinya. Jiwa lelakinya bergetar hebat tika ini. “Abang rasa bahagia sangat tau…” Bahu isteri diurut mesra.
“Hmm?” Sofea menjeling melirik manja menggoda. “Abang nakk…” Danial senyum nakal. “Tak boleh! Malam nih Juliet bulan mengambang penuh arr Bang Romeo.. kena puasa!” “Ala.. tak kira nak jugaaaa…” Pantas dia mendakap Sofea. Tapi cepat dielak Sofea. “Tak boleh! Tunggu selepas 7 hari!.. Lagi pun.. takkan lari gunung di kejar sayangg..” Cepat Sofea menarik selimut tutup seluruh tubuh dan mematikan diri. Ciss.. selalu saja nafsunya tersekat! Jiwanya teruja hebat!.. Habis Daa.. Ku Mohon Oleh : Alya Saffiyah
[email protected] Januari 2008,Pahang Kamar hatiku, sekian lama Suram dan sepi, kekosongan Aku mencari insan sejati Untuk menemani hidupku Adam dan Hawa diciptakanNya Disemai rasa kasih sayang Agar bersemi ketenangan Dan kedamaian di hati Ku harap hanya keikhlasan Dan ku rindukan keramahan Aku inginkan kemesraan Berkekalan berpanjangan Mengasihimu, dikasihi Menyayangimu, disayangi Merindui dan dirindui Saling mengerti di hati Biar hilang kabus di wajahku Biar tenang resah di dadaku Terimalah serta kabulkan harapan ini Oh Tuhan Ku melafazkan kata penuh makna Bersaksi Tuhan yang Maha Pemurah Hidup mati jodoh pertemuan Ditentu Allah yang Esa
Perkenankan hasrat di hatiku Moga impian kan dirahmati Dipertemukan serikandi Susah dan senang sama harungi Demi cinta yang hakiki Oh... Bait-bait lirik dari lagu dendangan kumpulan inteam membuatku hilang fokus untuk menyemak buku-buku pelajarku. Sungguh indah lagu ini..dan yang pasti itulah yang kuhadapi kini. Hidupku sunyi tanpa insan yang kusayang disisi walaupun rutin harianku sibuk dengan pelbagai aktiviti sekolah. Pandanganku kulayangkan ke luar tingkap yang terbuka luas. Sesekali kelihatan motosikal meredah malam yang sunyi dengan sorotan lampu yang kelam dihadapan rumah sewaku. Angin malam mengelus lembut rambutku. Hai angin…. Indahnya jika kau membawa khabar gembira Membawa khabar cintaku yang entah dimana Memberitahu setianya dia padaku Kasihnya,cintanya dan rindunya untukku Begitu juga denganku..wahai angin Bawalah seluruh cintaku padanya Agar dia tahu..aku cinta padanya. Terukir senyuman dibibirku,tatkala hati ini berpuitis. Terer juga aku bermadah pujangga malam-malam nih. Nasib baik dalam hati jek,kalau aku bersuara, sure Amran gelakkan aku. Aku menoleh ke arah ruang tamu, kelihatan Amran sedang asyik menonton Buletin Utama sambil mengunyah keropok ikan yang baru aku goreng petang tadi. Aik! Pulun sorang-sorang nampaknya mamat nih. Tak ingat orang belakang langsung. Aku menggelengkan kepala. Buku-buku latihan matematik yang perlu ku semak dan tanda kupandang sepi. Iskh! Makin dilayan perasaan ni,makin hati aku tak keruan. Aku menyambung kembali tugasku. Disember 2006,Selangor “ Mak kata mak tak suka budak tu..mak tak suka! Kalo kau teruskan hubungan dengan dia kau jangan balik rumah ni lagi. Jangan anggap aku ni mak kamu! Jangan anggap kami ni keluarga kamu.” Keras sekali amaran mak. Aku lihat macam itu bukan mak. Sanggup mak kata macam tu. Sanggup mak nak putuskan hubungan kekeluargaan. “ Mak..apa salahnya Leeya mak? Mak cubalah kenal dia. Dia bukan yang mak sangka..” “ Tengok! Belum apa-apa lagi kau dah bela budak tu. Sampai pendapat mak pun kau dah tak endah dah. Apa agaknya dia dah bomohkan kau tu.” “ Mak! Leeya bukan macam tu mak. Cuba mak jangan bersangka buruk pada dia. Apa kurangnya dia tu?” Turun naik nafasku menahan marah yang bersarang dihati. Sanggup mak kata Leeya macam tu. Aku lihat mak terduduk di sofa. Wajahnya yang lembut bertukar garang. Benci benar mak pada Leeya.
“ Pasal budak tu kau sanggup tinggikan suara kau pada mak Akhil. Kau tahu tak, itu dah derhaka namanya. Mak tak suka dengan budak yang berlagak tu. Dah lah tak sopan.” Kepalaku pening memikirkannya. Alasan itu yang mak ulang-ulangkan selepas berjumpa dengan Leeya dua hari lepas. Hanya silap sedikit sahaja mak sudah anggap perkara itu besar. Berlagakkah Leeya jika memceritakan tentang keluarganya agar mak kenal latar belakangnya? Salah besarkah kalau Leeya membalas sms semasa berbual-bual dengan mak? Aku tahu itu satu kesilapan. Tapi mengapa Leeya dibenci sangat-sangat? Argh! Hati orang tua betul-betul sensitif. Kenal pun tak sampai satu hari,berbual pun tak sampai 15 minit. Tapi mak sudah memberikan persepsi yang negatif pada Leeya. Aku benar-benar tersepit. Diluah mati mak,ditelan mati bapak. kedua-dua wanita ini aku sayang. Ya,Allah..berikanlah hambaMU ini kesabaran dan kekuatan. “ Akhil bukan nak derhaka dengan mak. Akhil hanya mintak restu dari mak sahaja. Akhil sayang pada Leeya mak.” Air mataku bergenang,menunggu masa untuk jatuh tatkala teringatkan wajah Leeya apabila aku memberitahu perhubungan ini tidak direstui mak. Wajahnya tenang ketika itu,namun air matanya tetap jatuh membasahi pipi. “ Kalo kau nak dengan budak tu..jangan ngaku kami ni keluarga. Putus hubungan. Mak tak akan terima budak tu.” Aku memandang mak,wajahnya dipalingkan mengadap ke arah lain. Aku kecewa dengan mak,kecewa! Aku capai kunci kereta dan terus keluar dari rumah. Lagi lama aku duduk dalam rumah,lagi sakit hati aku. Januari 2008, Johor Bharu. Bungkusan-bungkusan pakaian pelanggan yang sudah siap dicuci kususun mengikut tarikh. Ramai juga pelanggan yang datang hari ini. Majoriti yang datang adalah pelajarpelajar UTM dan juga orang bujang yang bekerja. Boleh dikatakan semuanya LELAKI! Huh! Tak sangka,ramai juga yang malas nak basuh baju. Tapi bagus jugak, ada income. Aku tersengih sendiri. “ Hai..tersengih sorang-sorang nampak. Ada putera raja hantar pakaian ker hari ni?” Kak Intan tersenyum sinis padaku. “ Ermm..senyum pun tak boleh ker? Wah…katalog Avon baru ye kak?” Aku capai dan menyelak sehelai demi sehelai katalog di atas meja satu persatu yang dibawa oleh Kak Intan.. . “ Aah..tadi akak singgah sekejap kat Avon, hantar order. Ada katalog baru sampai, akak ambillah. Katalog Satinni pun akak ada ambil tadi..tapi, Shida pinjam dulu.” “ Akak ni pandai ambil peluang yek. Jadi agen Avon lah..Satinni lah..tokey dobi plak tu.” Kak Intan menghampiriku. “ Sekarang ni,apa saja peluang yang boleh mendatangkan duit kita kena ambil peluang tu. Tapi yang halal yek. Akak ni ibu tunggal Leeya, banyak yang akak perlu tanggung. Bayar hutang sana sini. Tu..anak akak yang tiga orang tu, semakin besar..semakin banyak duit yang perlu akak keluarkan tau.” Aku tersenyum. Melihat Kak Intan, membuatkan aku tabah menghadapi dan meneruskan hidup ini tanpa ‘insan’ tersayang. Kak Intan lebih perit dugaan yang perlu ditempuh berbanding aku. Sekurang-kurangnya, aku ada mak ayah, kak long dan adik-adikku. Kak Intan, tiada sesiapa. Berdikari di atas kudrat sendiri mencari nafkah dan
membesarkan anak-anak. “ Saya faham kak..walaupun diberi masa seminit pun, peluang yang ada mesti di ambil. Pengalaman akak, banyak memberi pengajaran kepada saya.” Kak Intan ketawa kecil. “ Sebab itu Allah temukan kita, untuk berkongsi rasa, untuk menambah ilmu dan macammacam lagilah. Betul tak?” Kami ketawa bersama. “ ermm..bila iklan permohonan KPLI nak keluar?” Kak Intan menyoal. Persoalan itu dibiarkan seketika apabila seorang pelanggan datang. Aku mengambil resit dari pelanggan yang diserahkan kepadaku. Ku mencari-cari bungkusan pakaian yang telah kususun tadi. Ha..jumpa pun. “ Ini dia, terima kasih…sila datang lagi.” Pelanggan tersebut tersenyum dan beredar pergi. “ Tadi akak soal apa yek” Aku bertanya kepada Kak Intan tentang soalannya tadi. “ Permohonan masuk KPLI bila nak keluar? Leeya tak surf internet ke pergi tengok. Mana tahu dah keluar.” Aku menjuihkan bibir. “ Belum keluar lagi lah kak, bulan April selalunya baru open. Tak tau lah, tahun ni lulus ke tidak kalo saya ambil lagi exam tu. Soalannya boleh tahan susah. Ternganga sekejap lah nak menjawab soalan tu.” Kak Intan ketawa terkekek-kekek melihat aku membuat memek muka. “ Dahla..akak nak nak ke belakang ni. Melayan kau, memang tak buat kejer ler akak.” Aku tersengih mendengar kata-kata kak Intan. Ku menyambung kembali kerjaku menyusun beberapa bungkus pakaian. Bila diorang nak ambil pakaian diorang nih. Dah tak nak ker? Kalau tak nak, boleh aku jual kat bundle. Kataku dalam hati. “ Akhil!” Aku pantas menoleh ke arah suara itu pabila nama itu disebut. “ Jangan lari..nanti jatuh.” Kelihatan seorang kanak-kanak kecil berlari dan cuba didapatkan ibunya. Hatiku terusik..ah! Rindunya aku pada nama itu. Sudah lama nama itu jarang bermain difikiranku. Bagaimana abang sekarang? Bahagiakah dia? Sudah bertemu penggantikah dia? Sebak dihati mulai penguasai perasaan. Kenangan-kenangan suka dan duka bersama Akhil tergambar difikiran bagaikan filem yang memutarkan cerita. Rindu mula bertandang dihati. Ku beristigfar banyak-banyak agar hatiku rasa tenang. Ya Allah..kuatkanlah semangatku ini, aku tak ingin menangis lagi..tak ingin. “ Leeya. Akak balik dulu ya, Dina jatuh tangga. Nanti tolong tutup kedai nih.” Aku tersentak apabila dipanggil Kak Intan. Tak sempat aku bertanya, Kak Intan sudah pergi dengan tergesagesa. Kelihatan Shida sedang membawa bakul yang berisi pakaian yang sudah dicuci kehadapan. “ Shida, kau tau tak anak Kak Intan jatuh tangga.” Aku menyampaikan berita itu kepada Shida. “ Tau..tapi tak teruk sangat kot. Aku dengar tadi anak dia dah dibawa ke klinik. Bibir jek yang pecah. Ala…budak-budak, tengah nak meneroka..berlari sana sini. Diorang tahu seronok jek, mana tahu takut. Seronokkan jadik kanak-kanak. Tahu happy jek..kita ni pikir masalah jek. Satu masalah settle, datang lagi masalah lain. Kusut kepala aku..” Masalah? Ermmm..memang hidup ni tidak terlepas dari masalah. Kalau tiada masalah, tidak mencabar kehidupan ini rasanya. Masalah jugalah punca segala kekuatan dalam diri. Ya, segala masalah dan musibah yang datang kepadaku mengajarku menjadi seorang yang tabah,sabar dan yang paling penting aku kini lebih dekat dengan-NYA. Terukir senyuman dihujung bibirku. Aku melihat Shida masih lagi bercoleh sambil menyidai pakaian. Apa yang dia colehkan tidak
kuambil kisah. Aku menggelengkan kepala. Minah nih, kalo tanya satu soalan..berjela-jela jawapan yang diberikan macam karangan. Kadang-kadang tu..merapu-rapu. Mei 2008, Pahang Kutenung kalender di hadapanku. Cepatnya masa berlalu, dah bulan Mei rupanya. Nampaknya sudah setahun lebih aku mengajar di sekolah ini. Mengajar di sekolah pendalaman merupakan satu pengalaman yang baru bagi aku. Alhamdulillah, aku dapat membiasakan hidup di sini walaupun serba kekurangan. Bunyi loceng sekolah berbunyi menandakan waktu sekolah sudah tamat. Keadaan diluar mula riuh dengan keadaan pelajarpelajar yang berpusu-pusu keluar dari kelas untuk pulang ke rumah. Bermacam-macam ragam yang dapat dilihat. Kadang-kadang aku ketawa sendirian melihat gelagat mereka, lucu. Seorang murid perempuan masuk ke bilik guru menuju ke arahku. Rambutnya yang panjang diikat kemas, dengan beg warna pink tersandang elok dibahunya. Comel. Getusku. “ Assalammualaikum Cikgu.” Aku menjawab salam itu dan tersenyum. “ Ni pen cikgu yang tertinggal kat kelas tadi. Cikgu lupa nak amik.” Murid itu meletakkan pen tersebut diatas mejaku. “ Oh…terima kasih. Cikgu terlupa lak. Cikgu susahkan Salwa saja. Siapa ambil Salwa balik sekolah nih?” Aku bertanya. Salwa tersenyum sehingga menampakkan lesung pipitnya dipipi. Tiba-tiba sahaja fikiranku teringat pada Leeya. “ Comel kan budak kecik tu bang?” Akhil memandang ke arah budak yang ditunjukkan oleh Leeya. Dahi Akhil berkerut dan memandang Leeya yang sedang asyik memandang keletah budak perempuan tersebut. “ Pipi budak tu ada lesung pipit, cute sangat.” Akhil tersenyum. “ Nak ker?” Pantas Leeya menoleh ke arahku. Satu cubitan kecil singgah dilenganku. Aku mengaduh sakit. Mak oi..dasyatnya minah ni cubit. Kami ketawa bersama. “ Akhil..Akhil!” Aku tersentak dan kelihatan Amran dihadapanku. Mataku meliar mencari susuk tubuh kecil Salwa yang sudah hilang dari pandangan. “ Kau cari siapa? Tak nak balik ker? Ermm..dah sampai negara mana kau sampai?” Amran memerliku sambil tersengih sumbing. Aku flying kick juga dia nih. Malas aku melayan usikan Amran, nanti berlarutan sampai ke subuh esok pagi agaknya. Aku memberikan kunci kereta kepadanya. “ Kau drive lah..aku malas.” Amran mengambil kunci tersebut. “ No problem boss…” Kami berdua berlalu meninggalkan bilik guru yang sudah lenggang. Suasana di sekolah kembali tenang dan sunyi. Ada juga beberapa staff sekolah yang masih lagi belum pulang. ************************* 2008, Selangor Segenap ruang bilik tidur itu diperhatikan oleh Puan Arfah. Suram dan kemas. Tiada lagi muzik yang berkumandang di corong radio milik Akhil. Tiada lagi pakaian kotor yang bersangkut di dinding dan di dalam bakul tidak berbasuh. Tiada lagi gurau-senda di antara mereka berdua. Kehidupan Puan Arfah terasa kosong dan sunyi. Walaupun anak-anak yang lain dan suami tersayang sentiasa di sisi, hatinya tetap rasa kehilangan. Puan Arfah duduk di
penjuru katil, matanya tepat memandang gambar keluarga tergantung kemas di dinding. Salahkah aku untuk memberikan yang terbaik untuk Akhil? Salahkah aku untuk melihat dia gembira? Berdosa besarkah aku hanya menolak permintaannya yang satu itu? Berat sangatkah kehendakku yang satu itu untuk Akhil penuhi? Pelbagai persoalan bermain dimindanya. Wajahnya yang sayu dialihkan mengadap lantai. Apa agaknya Akhil sedang buat sekarang. Sihatkah dia? Teruruskah makan minumnya? Panjang betul rajuknya sampai dah setahun lebih Akhil tidak balik jenguk keluarga. Mengapa buat mak macam ni Akhil? Mengapa? Setitis air mata jatuh ke lantai. Hati tuanya mula dilanda sebak. “ Apa lagi yang awak nangiskan tu Pah? Janganlah asyik bersedih saja, nanti awak jatuh sakit.” Tegur suaminya yang sedang berdiri di muka pintu bilik. Cepat-cepat Puan Arfah mengesat air matanya. “ Akhil tu tak ke mana aje..dia akan pulang juga. Saya suruh awak telefon dia, awak tak nak. Pujuklah dia kalau awak nak dia bersama-sama dengan kita semula.” Kata suaminya. “ Eh, saya pula yang kena telefon dia. Sepatutnya dia yang telefon kita. Dah besar panjang, takkan tak tahu jaga hati orang tua macam kita ni. Sihat ke kita, sakit ke..apa ke..entah-entah sekarang ni dia tengah gembira dengan budak perempuan tu. Anak kita dah kena guna-guna agaknya?” Puan Arfah menduga. “ Astagfirullahalazim…mengucap Pah,mengucap. Berdosa tau tuduh budak tu sebarangan. Boleh jadi fitnah. Cuba jangan beri pandangan yang negatif pada dia. Nampak sikit kesilapan atau kesalahan dia, awak dah terus jatuhkan hukuman. Sehinggakan kebaikan dia awak dah tak pandang. Manusia ni mana ada yang sempurna. Akhil tu, sempurna sangatkah akhlaknya? Awak dengan Akhil, perangai sama saja. Keras kepala..keras hati. Sebab tu sorang ke utara, sorang ke selatan.” Puan Arfah terkesima mendengar kata-kata suaminya. “ Maafkanlah dan terima mereka berdua dengan lapang dada.” Suaminya terus beredar dari situ meninggalkan Puan Arfah keseorangan. “ Maaf?” Terpacul perkataan itu dari mulut Puan Arfah. Lantai bilik itu dipandang sepi, fikirannya menerawang jauh memikrkan kata-kata suaminya sebentar tadi. Julai 2008, Johor Bahru Leeya memejamkan matanya, mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Dalam hatinya hanya Tuhan saja yang tahu pelbagai perasaan yang bermain dijiwanya ketika ini. Leeya terasa tidak sanggup melihat keputusan KPLI yang terpapar di skrin desktop di hadapannya kini. Luluskah atau gagalkah dia? Disebalik sudut lain, kelihatan Shida sedang mengerutkan dahinya melihat gelagat pelik Leeya. “ Iskh! Betul ke tidak Leeya nih? Apa kehe dia ni? Ha..entah-entah tengok gambar yang tutttt” Shida tersengih dan kakinya melangkah ke tempat Leeya. Kehadirannya tidak disedari oleh Leeya. “ Woi!!” Shida memeranjatkan Leeya. “ Oi..mak kau lanun.” Leeya melatah. Shida tertawa terkekek-kekek. “ Kau ni..boleh tak jangan terkejutkan aku. Aku ni dah lah lemah semangat.” Leeya cuba mencubit lengan Shida tapi sempat di elak oleh Shida. “ Amboi..kau kata mak aku lanun. Sopan betul bahasamu itu. Kau tengah buat ha? Sampai pejam-pejam mata, mulut terkumat-kamit lak tu..kau baca mentera ek?” Shida menyoal.
Namun matanya tertumpu di skrin komputer. Matanya dikecilkan untuk membaca apa yang tertera di desktop computer tersebut. Mulutnya ternganga. Dahi Leeya berkerut melihat gelagat Shida. “ Wah..tahniah Leeya. Kau berjaya lah.” Pantas Leeya menoleh. Dia membaca apa yang terpapar dan membacanya sekali lagi untuk memastikan betulkah apa yang dia baca sekarang ini. Jantungnya yang berdegup kencang tadi mula beransur normal. Air matanya bergenang di hujung matanya dah jatuh ke pipi. Dia memandang wajah Shida. “ Aku berjaya Shida..aku berjaya. Alhamdulillah, at least aku berjaya untuk pergi temuduga nanti. Harap-harap temuduga tu aku berjaya juga.” Air matanya diseka. Shida tersenyum. “ Tahniah Leeya. Aku berdoa kau akan menjadi seorang pendidik yang professional dan berkaliber. Tak payahlah kau kerja di kedai dobi ni lagi. Tinggallah kami di sini.” Shida membuat muka sedih. “ Terima kasih atas sokongan kau, tapi banyak lagi yang perlu aku lalui untuk menjadi seorang pendidik ni. Sentiasa doakan aku tau dan janganlah buat muka sedih kau tu. Terharu aku.” Kami tertawa berdua. ******************************************* Kucapai seulas lagi buah durian yang terakhir dan menikmatinya. Sebakul besar buah durian yang dapat ayah kutip pagi tadi di kebun. Sekarang memang musim buah-buahan di kampung. Musim buah-buahanlah yang paling aku suka. “ Hai..orang pagi-pagi sarapan kuih-muih ke, nasi goreng ke..ini tidak, pagi-pagi dah sarapan durian dulu.” Ibu menegurku yang sedang asyik menikmati buah durian. “ Ibu..Leeya bukan selalu pun makan durian nih. Bila tiba musim saja baru Leeya teruja nak makan.” Aku tersengih. “ Ermm..sekarang buah durian dah tak payah tunggu musim pun. Bila-bila saja boleh dapat. Beli aje lah.” Kata ibuku. “ Lainlah ibu..tak sama.” Ibu hanya mengelengkan kepala mendengar jawapanku. Kubingkas dari tempat dudukku dan membuang kulit-kulit durian di luar. Aku mendongakkan kepala dan melihat bergugus-gugus rambutan yang kemerahan dihujung-hujung dahan. Kucapai galah yang tersandar di pokok dan mula memetik buah rambutan pula. Bukan selalu aku dapat pulang ke kampung. Bila sudah di kampung memang aku tak akan sia-siakan masa yang singkat itu. Buah rambutan yang jatuh ke tanah kukutip dan dimasukkan ke dalam bekas. “ Ibu..Leeya ada berita nak beritahu ni.” Aku melabuhkan punggungku di bangku yang terletak diluar berhampiran pintu dapur. Ibu yang sibuk menggoreng keropok ikan menolehku. “ Leeya dapat pergi temuduga KPLI bulan 9 nanti.” Aku tersengih memandang ibu. “ Alhamdulillah..berjaya jugak dapat pergi temuduga tu. Kalau tak, setakat ambil periksa ajelah. Masuk ni dah 3 kali Leeya ambil periksa kan?” Ibu menyoalku. Aku hanya menganggukkan kepala sahaja tanda mengiakan. “ Temuduga nanti jawab betul-betul. Banyakkan baca suratkhabar, pasal isu-isu semasa sekarang ni. Seorang guru mesti peka pada hal-hal macam tu. Jangan di baca majalah hiburan saja, apa ada. Buku-buku ilmiah kan banyak dijual. Lagi bagus dan banyak faedahnya.” Aku bingkas dari tempat dudukku dan masuk ke rumah. Aku mendengar sahaja kata-kata ibu. Malas aku nak menyampuk. Nanti lagi panjang berjela.
“ Idah, kawan Leeya yang duduk dekat hujung kampung tu dah bersalin ibu. Anak lelaki lagi.” Aku mengubah topik. Air teh o kuhirup perlahan. “ Ermm..ibu ada terserempak dengan dia dekat pekan minggu lepas. Tanya jugak dah berapa bulan. Dia kata tengah menunggu hari jek. Tengok, dia dah anak dua pun. Leeya bila lagi?” Terkedu aku mendengar soalan ibu. Argh! Soalan membunuh ni. Aku diam. “ Akhil tak ada cakap-cakap nak masuk meminang?” Sesak nafasku bila nama Akhil disebut ibu. Salahku juga menyembunyikan hal yang sebenar dari pengetahuan ibu akan perhubunganku dengan Akhil. Ibu..maafkan Leeya, Leeya tak sampai hati nak beritahu ibu. Leeya tak mahu ibu tahu yang anak ibu ini sedang derita..sedang terluka. Leeya tak mahu ibu susah hati memikirkan pasal Leeya. Biarlah ibu lihat Leeya gembira, walau hakikatnya hati ini sepi. “ Ibu. Seluar jeans Haikal yang warna hitam tu mana?” Tiba-tiba adikku muncul di dapur. Aku berasa lega. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu menjawab soalan ibu. Aku mula beredar dari dapur. Kubiarkan persoalan itu tanpa dijawab. Biarkan…Tapi kupasti, suatu hari nanti ibu akan tahu juga. Biarlah ketika itu aku telah buang jauh-jauh Akhil dari hidupku. Biarlah ketika itu tiada lagi airmata yang akan gugur untuk kekecewaan ini. 2008, Pahang Angin pantai Cherating bertiup lembut. Ombak laut yang bergulung-gulung menghempas pantai mengamit para pengunjung datang, terutama sekali para peluncur papan air. Tidak hairanlah sekiranya Cherating telah diberi gelaran ‘Syurga Peluncur’ sejak tahun 70an lagi. Akhil duduk bersantai di kerusi rehat yang disediakan di situ. Kadang-kadang dia tertawa sendirian melihat gelagat kawan-kawannya yang sedang asyik mandi laut. Kelihatan Ustaz Syukri berlari-lari menuju ke arah Akhil. “ Kenapa tak nak mandi sama Khil? Rugilah datang sini tapi tak nak mandi laut.” Ustaz Syukri duduk bersebelahan Akhil. Akhil tersengih. “ Ala..esok ada lagi kan kita di sini. Pagi-pagi esok aku mandi laut lah.” Aku tertawa kecil. Suratkhabar Berita Harian kuselak helaian seterusnya. “ Khil, aku nak tanya ni. Jangan marah pula kalau soalan ni soalan yang kau tak suka nak dengar atau nak jawab.” Aku memandang wajah Ustaz Syukri. “ ermm…kenapa kau tak pedulikan perasaan Ana? Dia suka kat kau Khil, takkan kau tak perasaan semua tu? Kesian dia Khil, dia beritahu pada aku yang dia cintakan kau. Tapi dia kata kau buat tak endah jek pada dia. Kenapa?” aku menghela nafas. Kulipat suratkhabar yang kubaca dan sesungguhnya soalan yang diutarakan oleh Ustaz Syafik sesuatu yang tidak kuduga. “ Aku tahu semua tu. Aku perasan perasaan Ana terhadap aku selama ini. Kalau kau nak tahu, aku hanya anggap dia seperti kawan sahaja, tak lebih dari itu. Hati aku tiada pada aku.” Dahi Ustaz Syukri berkerut memikirkan kata-kata Akhil yang terakhir. “ Hati kau tiada pada kau? Maksudnya, hati kau dah kau berikan pada seseorang. Begitu?” Ustaz Syukri cuba menduga. Aku tersenyum. Wajah Leeya bermain-main dimatanya kini. “Ooooo..kenapa kau tak beritahu yang kau dah ada buah hati. Wah..setia betul kau yek. Dah lama kau berkawan dengan dia?” Ustaz Syukri menyoal lagi. Akhil diam seketika. Patutkah aku menceritakan segalanya kepada Ustaz? Akhil memandang wajah kawannya itu. “ Ustaz, sebenarnya….” Berat sungguh mulut ini untuk menuturkan kata.
“ Sebenarnya apa?” Ustaz Syukri menyoal inginkan kepastian. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Akhil. “ Kau kena janji Ustaz, kau kena simpan rahsia ini daripada sesiapa pun.” Ustaz mengangguk tanda faham. Aku mula menceritakan segalanya kepada Ustaz. Sesekali dia menganguk kepalanya. Berkerut juga wajah Ustaz mendengar kisah aku. “ Aku simpati pada pada kau Khil. Kadang-kadang kita sebagai anak kena fahami bahasa orang tua ni dalam marahnya. Kita kena selami rasa orang tua dalam rajuknya. Aku ada membaca sebuah buku motivasi tulisan Pahrol Mohd Juoi, Tentang Cinta. Aku ingat katakata yang ditulis oleh beliau. Ermm.. jika cintamu terhalang oleh mereka,ketahuilah di sebalik halangan itu adalah cinta jua. Jangan mengalah jika cintamu benar, tetapi perjuangkanlah cinta itu dengan cara yang benar pula. Dalam keadaan kau sekarang ni, aku fikir kau patut pulang ke pangkuan orang tua kau. Minta maaf pada mereka. Itu adalah jalan yang terbaik untuk kau mendapatkan kembali cinta kau yang semakin menjauh itu. Masalahnya kini, kau tidak berusaha untuk mendapatkan kembali cinta itu. Dua cinta semakin jauh daripada kau sekarang ni Khil. Cinta kepada ibu bapa dan cinta dari kekasih kau. Jangan kau jauh dari mencintai Allah sudah. Parah tu.” Aku tertunduk memikirkan katakata Ustaz Syukri. Kata-katanya memang ada benarnya. “ Pulanglah Akhil, umur kita ni tak tahu panjang ke tidak. Mungkin orang tua kita akan pergi dulu, atau mungkin kita yang akan pergi dulu. Selagi ada kesempatan ni, kau jernihkanlah yang keruh itu. Perbaiki dulu hubungan kau dengan orang tua kau. Aku yakin, kau akan mendapat cinta kau yang menjauh tu. InsyaAllah. kau kena yakin pada Allah.” Panjang benar nasihat Ustaz Syukri walaupun dia sememangnya bukan ustaz tapi ayah dia yang meletakkan nama itu padanya. Ada air jernih yang mengalir dihujung mataku. Air mata itu, kuseka. “ Terima kasih Ustaz, aku rasa lega sekarang sebab beban masalah ni aku kongsi bersamasama kau. InsyaAllah..aku akan perbaiki dan perbetulkan kesalahan yang aku dah lakukan ini.” Ustaz Syukri menepuk-nepuk bahuku. “ Ingat Khil, sekiranya cinta kau tu semakin menjauh juga, anggaplah itu Qada’ dan Qadar yang telah Allah tentukan untuk kau. Kau kena redha semua itu. Cinta bukan untuk memisahkan tetapi ia sentiasa akan menemukan. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang ghaib, yang belum berlaku. Sentiasalah berdoa dan jangan putus asa.” Sungguh mendalam kata-kata Ustaz yang disampaikan kepadaku. Suatu perasaan aneh tibatiba muncul membangkitkan semangatku. Ya..aku tidak boleh duduk diam mengharap cintaku akan kembali. Aku kena dapatkan ia balik. Walaupun ada pelbagai kemungkinan yang akan berlaku aku perlu berani menghadapinya. Aku bukan pengecut..bukan! “ Eh, aku pergi dulu lah. Laut tu sedang memanggil-manggil nama aku.” Ustaz Syukri bingkas dari tempat duduknya. “ Khil, dengarkan satu lagu untuk kau nih. Jangan tunggu lama-lama nanti dia di ambil orang..jangan tunggu lama-lama nanti dia di ambil orang..” Ustaz Syukri terus lari mendapatkan kawan-kawannya yang lain. Aku hanya menggelengkan kepala sahaja. Mak..ayah..maafkan Akhil sebab buat mak dan ayah kecewa dan terluka. Akhil tiada niat pun..tiada. Leeya..maafkan Akhil sebab buat Leeya menangis dan derita kerana sikap Akhil yang menjauhkan diri dari Leeya. Akhil bersalah sebab Akhil tidak tunaikan janji pada Leeya. Akhil silap! September 2008, Johor Bahru
Bazar ramadhan Bandar Baru Uda penuh dengan pengunjung tidak kira peringkat umur dan bangsa. Ketika inilah para peniaga mengambil kesempatan memperolehi pendapatan lebih berbanding hari-hari lain. Boleh dikatakan bulan ramadhan bulan pesta makanan kerana pelbagai jenis makanan ada dijual, ia bagaikan one-stop center. Keadaan menjadi sesak dan pelbagai ragam manusia dapat dilihat. Aku hanya mengekori belakang Kak Intan saja, takut terpisah. Aku lihat pelbagai makanan dan minuman yang tidak pernah dilihat sebelum ini dijual. Ermm..inilah strategi peniaga untuk melariskan jualan mereka. Macam-macam nama makanan dan minuman diberi. “ Leeya nak beli apa-apa lagi tak?” Soal Kak Intan. Aku melihat bungkusan plastik makanan yang aku beli tadi. “ Rasanya dah cukuplah ni kak, banyak juga ni kita beli untuk berbuka nanti. Tak baik membazir.” Kak Intan senyum. “ Kalau macam tu kita balik ya. Akak rasa rimas ni, sesak sangat. Lagipun kita nak memasak lagi.” Aku hanya mengangguk sahaja. Aku hanya membontoti Kak Intan untuk keluar dari bazaar ramadhan yang semakin penuh dengan warga manusia. Kami berdua terus menghala keluar menuju ke arah kereta yang di parkir. “ Hui..ramai orang betullah kat bazaar ni. Sebab tu akak jarang pergi bazaar ramadhan. Akak mudah rasa rimas.” Rungut Kak Intan. Aku hanya tersengih sahaja. Memang itulah salah satu sikap Kak Intan, dia memang tidak suka kepada kesesakan. Mudah stress. “ Tengok, kita nak keluar pun susah nih. Banyak pula kereta..eeee..leceh betullah. Kita lagilah nak cepat, dia orang ni terhegeh-hegeh. Kalau bukan disebabkan ayam percik Che Embun tu memang akak tak kuasa nak datang sini.” Aku hanya mendengar sahaja omelan Kak Intan. Kereta yang dipandu Kak Intan mula meluncur laju apabila ada ruang untuknya bergerak keluar dari tempat parkir. “ Kita masak yang simple aje lah hari ni ye Leeya. Lagipun kita dah beli macam-macam makanan tu.” Kata Kak Intan kepadaku yang sedang asyik membelek majalah Wanita. “ Saya tak kisah kak, kalau masak banyak-banyak pun membazir pula nanti. Lauk semalam pun ada lagi dalam peti sejuk tu. Budak-budak kat rumah tu bukan makan banyak sangat pun. Lagi-lagi masa sahur.” “ Aah, Leeya..lauk sambal ikan semalam tu ada lagi yek. Kita panaskan aja lah. Balik nanti masak sayur dengan nasi saja. Lagipun akak nak ambil Dina lagi.” Aku menganggukkan kepala. Dina merupakan anak bongsu Kak Intan yang baru berusia 4 tahun yang diletakkan dirumah kakak angkatnya. Lagipun di sana anak-anak kakaknya ramai dan boleh di buat kawan. Leeya masuk ke biliknya selepas pulang dari solat Terawih di masjid bersama-sama Kak Intan dan tiga orang anaknya. Telekung yang menyarungi tubuhnya di buka dan di sidai di suatu sudut. Di ruang dapur kedengaran suara anak-anak Kak Intan seperti merebutkan sesuatu. Aku melangkah keluar dari bilik dan menuju ke ruang dapur. “ Bagilah sama rata bunga api tu dengan adik-adik Hafiz. Kamu yang sulung kenalah mengalah.” Kak Intan menegur anaknya. Adik-adiknya yang lain bising sebab bunga api yang diagihkan oleh abangnya sedikit berbanding milik abangnya. Dina mula merengek. “ Bagi cepat, nanti mama tak nak belikan lagi bunga api ni.” Kak Intan terpaksa bertegas. Dia tidak mahu Dina menangis kerana Dina susah sedikit untuk dipujuk. Hafiz terpaksa bagi
beberapa batang lagi bunga api kepada Dina dan Syamil. Aku tersenyum melihat ragam anak-anak Kak Intan. “ Cik Leeya pun nak main bunga api juga. Dina tak nak kongsi dengan makcik.” Gurauku kepada Dina. Dina menyembunyikan bunga apinya dibelakang badannya. “ Tak boleh.” Dina terus berlari meluru ke ruang depan rumah untuk bersama-sama dengan abang-abangnya yang sedang asyik bermain bunga api dengan anak jiran sebelah rumah. Aku mencapai gelas untuk membuat air nescafe panas. “ Akak nak air Nescafe? Saya buatkan sekali.” Pelawaku kepada Kak Intan yang sedang sibuk menanak nasi untuk sahur esok. “ Boleh juga. Orang dah pelawa, mana boleh tolak.” Kami berdua ketawa. “ cepat masa berlalu ya Leeya. Sekarang ni dah masuk 15 ramadhan. Pejam celik..pejam celik dah nak raya kita rupanya. Iskh!..banyak benda nak kena buat ni. Biskut raya nak kena buat sikit juga.” Kak Intan menarik kerusi meja dan melabuhkan punggungnya. Aku menghirup air yang telah siap kubancuh. “ Akak beraya sajalah dirumah saya kat kampung. Ibu Leeya pun mintak Leeya ajak akak.” Kak Intan mengeluh kecil. “ Akak tak mahu susahkan kamu sekeluarga. Biarlah kami sekeluarga beraya di sini saja Leeya. Lagipun dah biasa pun.” Kak Intan cuba menolak pelawaanku. “ Kak..kami sekeluarga dah anggap akak sekeluarga macam keluarga kami. Saya sendiri terhutang budi pada akak sebab memberikan tempat tinggal bersama-sama dengan akak. Beri pekerjaan pada saya. Akak bukan tak biasa pun dengan kelurga saya. Budak-budak tu mesti suka.” Kak Intan merenungku. “ Tengoklah macam mana, akak fikirkan dulu ya.” Aku tersenyum. “ Akak fikirkanlah, saya tidak memaksa.” Terdengar bunyi dentuman mercun dan keriuhan kanan-kanak yang gembira bermain mercun di luar. Bulan ramadhan dan hari rayalah peluang mereka bermain bunga api dan mercun. Hanya kegembiraan yang mereka tahu. Itulah dunia kanak-kanak, penuh dengan warna-warni kehidupan. “ Leeya, akak nak tanya sesuatu.” Aku memandang wajah putih mulus milik Kak Intan. “ Leeya dan Akhil masih berhubung?” dadaku terasa bergetar pabila soalan itu dibangkitkan. “ Entahlah kak, keadaan saya seperti gantung tidak bertali. Selalunya orang yang sudah berkahwin yang melalui situasi macam ini. Akhil tinggalkan saya begitu saja walaupun sebenarnya masih ada rasa sayang di antara kami berdua. Puas saya memujuknya dia kak, supaya selesaikan perkara ini dengan bijak. Tapi Akhil lain, dia degil. Saya tidak mahu dia jadi anak derhaka, sebab saya sayangkan dia. Sekarang ini saya tidak tahu di mana dia berada. Dia ada beritahu saya yang dia akan tinggalkan JB dan pergi jauh dari sini. Tinggalkan semua. Hari pertama puasa saya ada sms dia. Saja nak mengucapkan selamat berpuasa pada dia. Dia ada balas, dia kata dia rindukan dan masih sayangkan saya. Saya jadi serba-salah kak.” Aku menghirup saki-baki air Nescafe yang masih tinggal. Rasa sakit dihati mula menusuk-nusuk. “ Mengapa Leeya rasa macam tu pula? Akak tak faham.” Dahi Kak Intan berkerut.
“ Sebenarnya kami saling mencintai lagi. Perasaan tu semakin kuat walaupun kami berjauhan dan jarang berhubung. Saya dapat rasakannya kak. Saya masih mengharapkan hubungan ini akan kekal hingga akhir hayat saya. Tapi kemungkinan tu tidak pasti lagi. Saya serba-salah sama ada saya patut lepaskan dia pergi atau tidak. Masalahnya hubungan kami ini bagaikan tiada noktah. Tidak tahu apa yang akan jadi. Bagaikan penulis yang ketandusan idea untuk menyiapkan penulisannya. Tergantung ceritanya.” “ Wah..seperti bermadah pula.” Aku tersenyum apabila Kak Intan berkata begitu. “ Jangan putus-asa Leeya, sesungguhnya Allah tidak suka kepada hamba-NYA yang berputus asa. Setiap jalan yang kita pilih walaupun banyak duri dan halangan yang membuatkan kita terluka dan terjatuh yang pastinya setiap penghujung jalan itu adalah cahaya kebahagiaan. Tapi sepanjang perjalanan itu hendaklah dibekalkan ilmu dan iman, takut-takut terjatuh dan tidak akan bangun lagi.” “ Akak pun apa kurangnya juga, pandai berkata-kata. Macam berpuitis pula.” Kami berdua ketawa bersama. “ Saya sentiasa berdoa semoga Allah bukakan pintu hati Akhil dan juga ibunya. Moga-moga ibunya dapat terima saya seadanya. Kak..berdosakah saya kalau niat dihati untuk menjalinkan ikatan silatulrahim? Kalau berdosa, bagaimanakah saya perlu meminta maaf dengan ibunya?” Air mataku mula bergenang. Luka setahun yang lalu kembali berdarah. Memang diri ini tidak menyangka, akan ditolak mentah-mentah. Kesilapan besarkah yang aku lakukan sehingga diri ini bagaikan tidak layak untuk menjadi sebahagian keluarga Puan Arfah. Aku hanya ingin berkongsi kasih, bukan merampas. “ Niat itu suci Leeya. Allah paling suka hamba-NYA menjalinkan ikatan silaturahim tetapi Allah paling benci orang yang suka memutuskan silatulrahim. Jangan lupa berusaha dan berdoa, Allah Maha Mengetahui dan Mendengar. Sabarlah.” “ Terima kasih kak, sebab sudi mendengar masalah saya ni. Tapi akak jangan beritahu sesiapa pun waima keluarga saya. InsyaALLAH saya cuba selesaikan masalah ini.” Kak Intan menganggukkan kepalanya. “ Akak pegang janji tu Leeya. Jangan bimbanglah. Akak nak tengok budak-budak tu kat luar. Senyap aja. Apa yang mereka buat tu. Marilah kita ke depan.” Kak Intan berlalu meninggalkan aku yang masih di meja dapur. Aku bingkas dan menuju ke sinki untuk membasuh gelas yang kugunakan. Ya Allah…aku redha di atas ketentuan-MU. 2008, Selangor Di suatu sudut kelihatan Pak Johan sedang menganyam daun ketupat dengan kusyuknya. Mulutnya terkumat-kamit mendendangkan lagu Ahmad Jais yang sedang berkumandang di radio. Hatinya bagaikan berbunga riang. Puan Arfah memandang pelik kelakuan suaminya yang menyanyi sepanjang menganyam ketupat. Puan Arfah menuju ke arah suaminya. “ Amboi bang..gembira sangat saya tengok hari ni. Selalunya nak siapkan satu biji ketupat pun ambil masa. Banyak kerjalah konon. Hari ni, dah naik penuh satu tudung saji ni dengan ketupat. Ada berapa biji dah?” Puan Arfah memerli. Pak Johan masih meneruskan ayamannya. “ Itu..lah orang perempuan, pantang nampak suaminya gembira sedikit. Mulalah syak wasangka yang bukan-bukan. Tak baik syak wasangka ni Pah. Boleh mengeruhkan keadaan.” Pak Johan tidak senang dengan sikap isterinya itu.
“ Tanya pun tak boleh. Sudahlah, saya nak ke dapur.” Puan Arfah mula terasa hati. Dia bingkas bangun dan menuju ke ruang dapur. Kedengaran bebelan Puan Arfah di dapur menegur anak perempuannya yang menolongnya memasak. Pak Johan hanya menggelengkan kepala sahaja. Manalah anak-anak tak betah duduk di rumah kalau asyik kena bebel saja. Semuanya serba tidak kena. Patut pun Akhil lari. Kata Pak Johan dalam hati. Dia terus dengan anyaman ketupatnya yang tinggal sedikit sahaja hendak siap. “ Ishk! Mak tu asyik nak marah saja. Apa yang Sarah buat semua tidak kena.” Pak Johan memandang anaknya yang sudah duduk di sebelahnya yang sedang merungut. Daun kelapa untuk di buat ketupat di pintal-pintal. “ Rosaklah daun tu nanti. Kalau nak tolong abah buatkan tak apa juga. Mak kamu dah memang macam tu perangainya. Nanti kamu dah berkeluarga dah ada anak tahulah kamu macam mana.” Kata Pak Johan. “ Abah ni, ke situ pula. Sarah tahu, mak mesti tengah fikirkan abang Khil tahun ini balik ke tidak beraya. Sebab tahun lepas abang tak balik. Sarah ada cuba hubungi abang Khil, tapi tak dapatlah. Abang tu duduk dalam hutan ke?” Pak Johan ketawa kecil mendengar telahan anaknya itu. Pak Johan memandang ke arah luar, kadang-kadang kelihatan beberapa kenderaan lalu-lalang di hadapan rumah teres dua tingkat miliknya ini. Di seberang jalan rumahnya terbentang padang bola yang kini mula di penuhi anak-anak muda untuk bermain bola. Bunyi suara dari televisyen yang baru di buka mencuri pandangannya. Terlihat Sarah sedang asyik menonton rancangan Jejak Rasul di TV3. Isterinya pula masih sibuk di dapur. Pak Johan meninggalkan tugasnya menganyam ketupat dan beralih duduk di ruang tamu untuk melihat rancangan kegemarannya ini. “ Sarah..pergi dapur tolong mak kamu apa yang patut. Nanti lagi bising mulut mak kamu membebel.” Pak Johan mengarah anaknya. Sarah mencebik. Gadis berusia 25 tahun itu menuruti arahan abahnya dan bingkas bangun menuju ke arah dapur. Sarah sahajalah yang tinggal dengan dia suami isteri. Akhmal anaknya yang ketiga duduk sendiri dengan kawankawannya. Manakala anak perempuannya yang bongsu masih lagi belajar di Uitm Machang Kelantan. Sebungkus kotak yang diterima siang tadi tertulis atas nama Akhil di tatap oelh Puan Arfah. Pengirim bungkusan tersebut jelas tertulis nama Marleeya Binti Mohammad. Hati Puan Arfah meronta-ronta untuk membuka bungkusan itu yang diterima tadi. Argh! Buka sajalah..nanti aku bungkus balik. Getus Puan Arfah. Jari-jemarinya pantas membuka bungkusan itu dengan cermat. Sesekali dia menoleh ke arah pintu bilik yang tertutup renggang untuk memastikan tiada siapa yang masuk ke bilik ini. Dibuka kotak hadiah berwarna biru itu. Kelihatan sepasang baju melayu berwarna hijau epal di dalamnya. Puan Arfah membuka pula sampul surat yang disertakan sekali dengan berhati-hati. Jantungnya terasa berdebar-debar. Dibuka lipatan surat itu dan membacanya. Assalammualaikum… Maafkan Leeya sekiranya surat ini menganggu abang. Leeya tidak tahu bagaimana untuk memberikan hadiah ini kepada abang. Hanya alamat rumah abang sahajalah yang Leeya tahu. Selamat Hari Lahir….sayang. Leeya tidak tahu bilakah surat dan hadiah ini akan diterima oleh abang. Jika abang sudah terima hadiah ini, itu bermakna abang sudah kembali kepangkuan keluarga abang..alhamdulillah. Itulah yang Leeya harap-harapkan.
Sempena bulan ramdhan dan ketibaan bulan Syawal yang tidak lama lagi ini, Leeya ingin memohon maaf sejak dari awal perkenalan kita sekiranya Leeya pernah membuat abang sedih..terluka..dan marah. Maafkan Leeya. Halalkan makan minum Leeya ya. Leeya tidak mahu berhutang apa-apa dengan abang. Sekiranya ada jodoh kita, InsyaALLAH kita akan berjumpa. Saya doakan kebahagian abang untuk dunia dan akhirat. Jagalah perhubungan dengan Allah dan orang tua abang ya. Kirim salam saya pada ibu dan ayah abang. Nampaknya saya memang tidak berpeluang untuk mengenali mereka dengan lebih rapat. Saya mohon ampun dan maaf kepada ibu abang sekiranya saya pernah mengguris hatinya. Saya hanya manusia biasa. Ku mohon restu darinya.. Selamat Hari Raya Aidilfitri… Wassalam Leeya Setitis air mata mula menitis memgenai surat yang di baca oleh Puan Arfah. Rasa bersalahnya mula memenuhi ruang hatinya. Sebak yang ditahan terhambur jua dengan tangisan. Diketap bibirnya agar tangisannya tidak di dengari. Ya Allah..apa yang telah aku lakukan ini Ya Allah. Kerana kepentingan diri, aku lupa pada dua hati yang derita. Apa salah mereka sehingga aku menghukum mereka begini. Menghalang perhubungan mereka demi kepentingan aku yang tidak sanggup kehilangan Akhil, yang tidak sanggup kasih Akhil dikongsi bersama wanita lain. Sehingga aku sanggup memberikan alasan yang tidak munasabah agar Akhil meninggalkan Leeya. “ Kalau awak nak melihat kegembiraan Akhil, berilah apa yang membuatkan Akhil gembira.” Terngiang-ngiang kata-kata suaminya ditelinganya kini. Airmatanya terus mengalir laju menyesali atas perbuatannya. Akhil…mak minta maaf Khil. Oktober/ Syawal 2008, Kluang Johor Aku menghirup udara pagi di kampung, nyaman sungguh. Aku melihat keletah Darwisy anak sedaraku yang sudah berumur setahun sembilan bulan itu sedang memunggah keluar barang-barang dapur yang terletak dalam almari. Aku tertawa kecil. “ Ya Allah..si kecik ni tak habis-habis nak mengemas. Tok mak dah kemas dah bang..letak balik dalam almari tu.” Mak mengambil bekas-bekas yang berisi garam, ajinomoto dan sebagainya dan diletakkan balik ke dalam almari. “ Darwisy. Sini ikut Mak Ngah. Kita pergi bilik pakcik-pakcik kamu yang tak bangunbangun lagi tu. Diorang tak ingat nak solat sunat raya ke?” Aku mendukung Darwisy dan membawanya ke bilik adik-adikku. Iskh! Dasyat betul pakcik-pakcik kamu tidur. Aku menggelengkan kepala. Kuletakkan Darwisy dan dibiarkannya bermain-main dalam bilik. “ Haikal..Paie..Jali..bangunlah. Ayah suruh bangun! Cepat mandi nanti nak pergi masjid solat sunat hari raya.” Aku bersuara lantang mengejutkan adik-adikku. Seorang demi seorang menggeliatkan badan. “ Jangan kata aku tak kejutkan sudah.” Aku memimpin Darwisy keluar dari bilik tersebut dan menuju ke dapur. Emak dan kak Long sedang sibuk mengisi lauk-pauk untuk dihidangkan di meja. Aku membiarkan Darwisy bermain-main di ruang dapur dengan pengawasan kami bertiga. Kuambil bekas-bekas biskut yang sudah dilapkan untuk kuisi dengan biskut raya. Jam sudah menunjukkan pukul 7.40 pagi. Seorang demi seorang adikadikku muncul di ruang dapur setelah dikejutkan ayah selepas aku mengejutkan mereka. Masing-masing menunggu giliran untuk mandi kerana abang iparku sedang menggunakan bilik air. Lagu-lagu raya berkumandang memeriahkan suasana pagi ini. Syukur alhamdulillah
sebab Allah masih memanjangkan umurku untuk bersama-sama meraikan Hari Raya dengan keluargaku. Akhil! Tiba-tiba nama itu terlintas difkiranku. Selamat Hari Raya sayang… Kereta Toyota Vios berwarna silver membelah Highway Utara-Selatan dengan laju. Debaran di dada sesekali terasa apabila signboard ke Yong Peng menunjukkan beberapa kilometer sahaja akan tiba. Kadang-kadang terukir senyuman manis dibibir Akhil. Baju melayu cekak musang berwarna hijau epal itu tersalut segak ditubuhnya. Lagu Nazam Lebaran nyanyian Siti Nurhaliza berkumandang di radio kereta. “ Sebenarnya baju ni, Leeya yang hadiahkan kepada Akhil.” Tersentak dadaku apabila mak memberitahu kenyataan itu di kala aku sedang memohon ampun dari mak. Mak mengukirkan senyuman. Bermacam-macam perasaan yang berbaur ketika ini. “ Emak lupa nak beritahu yang Khil ada terima bungkusan dari Leeya tempoh hari. Mak minta maaf sebab mak buka bungkusan itu. Surat yang Leeya sertakan sekali pun mak ada mak letakkan di dalam laci meja di bilik Khil.” Abah dan adik-beradikku merenung aku yang seperti terpinga-pinga. “ Mak dah tak marahkan Akhil berkawan dengan Leeya?” Aku bertanya untuk kepastian. Mak tersenyum. “ Mak minta maaf Khil, jikalau selama ini mak kadang-kadang lupa yang anak-anak mak dah dewasa. Mak lupa yang kamu mempunyai pilihan sendiri dan cara sendiri untuk menentukan kehidupan kamu.” Jelas Puan Arfah. “ Mak kamu tu dah lama memaafkan kamu Khil. Cuma ego saja yang tinggi. Abah tak kisah siapa pilihan kamu, asalkan dia seorang yang benar-benar menyenangkan hati kamu.” Abah menyampuk. “ Khil mohon restu dari mak dan abah. Khil betul-betul minta ampun sebab selama ini Khil membuatkan mak dan abah susah hati. Maafkan Khil.” Khil memeluk erat Puan Arfah dan Abahnya. Terasa dadanya yang selama ini sesak akhirnya terasa lega. Beban masalahnya yang satu ini sudah hilang dari pundak bahunya kini. Ya Allah..kubersyukur kepada-MU. Hanya air mata kegembiraan yang mengalir dipipinya kini. Wajah lembut Leeya terbayangbayang di matanya. Tol Yong Peng telah dilewati dan kini kereta itu terus dipandu menuju ke Kluang. Leeya..tunggu abang sayang. Dua buah kereta masuk ke perkarangan rumah En.Muhammad dan Puan Salmah. Encik Muhammad menjenguk dari tingkap untuk melihat siapa tetamu yang datang. Baju melayunya disarungkan kembali ketubuhnya. Puan Salmah membuka pintu dan menyambut kehadiran tetamu yang datang. Leeya yang berada di ruang dapur sedang sibuk membasuh gelas-gelas di sinki yang hendak digunakan malam nanti. Sudah menjadi kewajiban pada hari raya pertama sudah bermula aktiviti marhabhan dari rumah ke rumah. Kedengaran keriuhan di ruang tamu. Aik! Ada tetamu datang ke? Mesti sedara-mara sebelah ayah. Getusku di dalam hati. Kuteruskan tugasku. “ Leeya, mari ke depan. Ada orang jauh datang ni.” Terkejut aku apabila ibu sudah berada di belakangku. Dahiku berkerut. Orang jauh? Aku bertanya sendirian. Saudara jauh agaknya yang aku tak pernah jumpa. Aku cuba bermonolog sendiri. Aku membontoti ibu. Setibanya tiba di ruang tamu jantungku bagaikan tersentak. Kakiku terpaku berdiri apabila seraut wajah
yang aku rindui kini berada di depan mataku. Dadaku tiba-tiba sebak. Air mataku mula bergenang. Tapi kucuba kawalnya agar tidak disedari ibu dan ayah. “ Apa yang tercegat lagi tu” ayah bersuara. Aku terkedu seketika. Kuhulurkan tangan bersalaman dengan ibu bapa Akhil serta kaum keluarganya yang hadir. Mata ini bertaut seketika dengan mata Akhil, ada rindu pada mata itu. Pelbagai perasaan yang bermain-main dihatiku kini. Kupasti penantian yang penuh menyeksakan selama ini akan berakhir jua. Apa yang kulihat kini adalah kebahagiaan. Ya Allah..jika benarlah dia untukku..ku mohon keredhaan-MU. Senyuman indah terukir jelas dibibirku. TAMAT…