Kerja Kursus kali ini memberi peluang kepada setiap pelajar untuk melakarkan sebuah cerpen berdasarkan sajak yang telah dipilih oleh setiap pelajar. Setiap insan secara fitrahnya mempunyai bakat tersendiri. Cerpen ini sekadar imaginasi… Dongeng Alam Ini Matahari memancar terik namun William menggagahkan kakinya melangkah ke kaunter pembelian tiket. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Beberapa orang pelancong asing turut bergerak pantas berbaris mahu membeli tiket. Ingatan William kembali kepada bapa saudaranya. “William…kalau nak pergi ke Labuan boleh naik feri. Tapi kalau nak ikut bot laju kena ikut Menumbok dulu.” Pemuda itu bercadang mahu menaiki feri pada mulanya namun kelewatannya menyebabkan dia terpaksa menggunakan teksi ke Menumbok dan dari Menumbok pula dia akan menyambung perjalanan dengan bot laju ke Pulau Labuan. Bagaimana wajah Labuan kini? William menduga Labuan kini pasti lebih maju sejak kali terakhir dia melawat teman lamanya di sana kira-kira sepuluh tahun yang lepas. Setiap kali menyebut Pulau Labuan William pasti teringat pada seorang teman lama, juga sahabat sejatinya. “RM30…” William tersentak saat disapa oleh pemuda di hadapannya. Pantas sahaja dia mengeluarkan not RM50 dari dompet. William agak terkejut dengan perubahan harga tambang bot yang semakin mahal. Apa tidaknya? Dulu tambang bot hanya RM15. ”Err… barang saya ni nak letak kat mana?” “Ohh tak payah risau. Kami akan tolong angkat ke dalam bot.” Perjalanan seperti ini persis liku-liku kehidupan yang melelahkan. Sesekali air mata mungkin jatuh membasahi pipi kerana hampir goyah dek dugaan-dugaan yang tak pernah mengenal mangsa. Namun setiap perkara itu pasti ada hikmahnya, dan kerana dugaan-dugaan itulah yang membuatkannya kenal erti hidup ini. Sepanjang perjalanan fikiran Willian menerawang jauh membayangkan bagaimana rutin hidupnya di Labuan
nanti. Bertugas sebagai mata-mata sememangnya satu profesion yang mencabar. Keluarga, persahabatan dan sebagainya perlu dikorbankan. William masih ingat bagaimana teman setugasnya, Alif yang dianiaya orang gara-gara menangkap anak ketua kampung yang mencuri motor. Ahh.. manusia sememangnya berhati busuk. Sekitar menyelesaikan tugasannya di sana nanti, dia bertekad akan melawat Alif kerana persahabatan adalah anugerah kemesraan yang sukar ditemui. Dia tidak akan sekalikali pun mahu melupakan seorang sahabat yang sanggup bersamanya dikala susah dan senang. Alangkah indah mengharungi hidup bersama sahabat yang memahami dan sanggup berkorban untuk diri kita. Kira-kira tiga puluh minit kemudian bot yang dinaiki oleh William akhirnya tiba di pelabuhan Labuan. **************************************************************************************************** Setelah melapor diri di ibu pejabat polis Wilayah Perseketuan Labuan, aku terus mengangkat barang ke rumah sewaku. Aku memeriksa setiap ruang rumah sewaku. Dua buah bilik, ruang tamu dan dapur memasak yang agak selesa. Lantas aku mengambil keputusan untuk membersihkan rumah sewaku sebelum turun ke pasar sekitar jam 4 petang nanti. Ketika membersihkan ruang tamu aku terjumpa sebuah peti lama di suatu sudut. Ternyata peti itu tidak berkunci dan hanya berisi dokumendokumen lama yang tidak kufahami isinya. Entah mengapa hatiku tertarik kepada sehelai sampul surat berwarna kuning lusuh yang terselit di antara dokumen-dokumen tersebut. Lantas kutarik sampul tersebut dan membukanya. Sehelai surat lama yang ditulis pada kertas berwarna emas dan agak lusuh dengan tulisan rumi. “Kemas dan tersusun,” bisik hatiku. Aku membaca satu persatu isi surat tersebut. “Atas perintah Sultan Faisal II, pemuda bernama Awang dan konco-konconya dihukum bunuh.” Aku tergelak kecil. “Ahh..masakan surat lama seperti itu benar? Mungkin hanya rekaan semata-mata,” bisik hati kecilku. Aku tidak pernah pun mengetahui Sabah mempunyai pemerintah dari kalangan sultan. Inikan pula Labuan? Lainlah kalau dari kesultanan suluk yang pernah memerintah Sabah, namun siapakah Sultan Faisal II? Pantas sahaja aku meletakkan kembali surat tersebut ke dalam peti apabila telefonku berbunyi. “Hei Inspektor Alif…masih ingat sama aku?” fikiranku ligat memikirkan empunya suara di hujung talian.
“Tentulah kawan aku kan?” “Ohh…kau senang saja lupakan aku. Ini William la…” “Ops! Minta maaflah William…salah kau juga selalu tukar nombor…haha.” William tergelak. “Kau sudah naik pangkatkah?” “Naik satu tingkat saja…” William tergelak lagi mendengar gurauanku. “ Alif Benz…kau tinggal di sinikah? Maksudku di Pulau Labuan ini.” “Yaa…tapi kau berada di Labuankah sekarang ini? Suaramu persis kau benar-benar berpijak di Labuan.” “Hehee…pandai kau mendugaku…aduh…aku kena bertugas di sini Alif.” “Mmm usah bimbang. Aku pun bertugas di sini sekarang. Kalau ada masalah datang saja ke rumah sewaku. Lepak-lepak macam selalu.” “Yaa pasti aku akan datang melawatmu. Petang ini kau free tak?” “Kenapa? Mahu belanja aku?” “Boleh juga. Tapi sebelum itu kau kena bawa aku pusing-pusing Labuan dulu. Aku sudah lupa tempat-tempat di sini.” “Alaa Labuan ini kecil saja. Tiga jam pun sudah cukup keliling Pulau Labuan tau…” “Yaa… tapi Labuan kini banyak berubah. Aku cuma mahu meninjau-ninjau”. “Ok…no problem. Petang ini jam berapa?” “Sekitar jam empat.” “Ok set! Nanti aku datang ke rumah sewamu.” Jam empat aku sudah bersedia di hadapan rumah sewaku. Lima belas minit kemudian barulah William sampai dengan kereta CRVnya. Jauh di sudut hatiku ingin sekali aku menggapai impian seperti William yang punya kehidupan rumahtangga yang sedang naik. Yaa … aku tahu William kini lebih bahagia dibandingkan aku. Aku cukup sedar akan beza antara kami. “Hei… apa tunggu lagi. Jom naik kereta,” laung William kepadaku. Sebentar kemudian William sudah memecut keretanya pergi. Puas meronda Labuan akhirnya kami singgah di Pasar Besar Labuan. Seketika aku terusik dengan kesibukan pasar, mengingatkanku tentang pasar besar di Kota Belud yang sentiasa sibuk dengan kunjungan masyarakat dari pelbagai tempat. Tiba-tiba aku disapa oleh seorang lelaki yang sudah berumur
nampaknya. Namun aku teruja kerana dia menyapaku dengan namaku. Siapa sebenarnya lelaki tua ini? Bila kutanya bagaimana dia mengetahui namaku, dia cuma tersenyum, tenang riak wajahnya tanpa menjawab pertanyaanku. Kemudian lelaki tua itu memperkenalkan namanya sebagai Pak Itam. Sebelum berpisah Pak Itam sempat menawarkan sesuatu kepadaku. Namun aku jadi berat hati untuk menerima tawaran itu. Sekadar
berbasi-basi
aku
menyatakan
akan
mempertimbangkan
dahulu
permintaannya. Sebaik Pak Itam menghilang di suatu selekoh, William tiba di tempatku. “Kau kenal Pak Itam?” aku bertanya pada William sekadar menduga kemungkinan Pak Itam mengetahui namaku daripada William. “Pak Itam? Entah. Tak kenal pun…kenapa?” “Orang tu tahu namaku. Tapi aku tak pernah kenal pun orang tu sebelum ini. Lepas tu dia ajak aku selesaikan kes kecurian berlian di Kampung Delima.” “Ehh pelik la…sudahlah jangan fikirkan sangat. Orang tak siuman kot,” aku terdiam mendengar komen terakhir William. Namun fikiranku terus ligat memikirkan Pak Itam. Kalau tidak waras kenapa tahu namaku? **************************************************************************************************** Jam locengku bordering beberapa kali. Aku bingkas bangun untuk bersiap ke pejabat polis. Masuk sahaja di ruang pejabat aku dimaklumkan ketua inspektor mahu berjumpa denganku.Taklimat selama lima belas minit daripada ketua kami membuatku termenung mengingatkan keajaiban yang baru sahaja berlaku. Atau mungkin semua ini hanya kebetulan sahaja? “Aiyaa…Alif…kenapa
diam
saja?
Ada
masalahkah?”
sapaan
Hwan
Cheng
menyedarkan aku dari terus dihanyutkan oleh persoalan-persoalan yang persis tak masuk akal. “Alif…ketua cakap apa tadi?” Aku memandang Cheng, cuba menyembunyikan keresahan yang sedang melanda jiwaku saat ini. “Aku diarahkan bertugas di Kampung Delima.” “Habis tu …apa masalahnya?” pertanyaan Cheng membuatku rasa terperangkap sendiri. Hendak diceritakan tapi fahamkah Cheng?
“Aiyaa Cheng aku belum pernah pergi ke tempat itu,” aku terpaksa berdalih kerana Cheng mungkin tergelak mendengar ceritaku yang seperti dongeng belaka. “Ohh nanti lepas kau melapor diri di sana kau pasti akan tahu macam mana keadaan di sana nanti. Haa… lagi amoi-amoi sana banyak cantik tau,” aku tersenyum mendengar jenaka Cheng. “Lu arr…sampai sekarang belum kahwin. Baik cari amoi sana maa…” “Kita nak menyiasat la Cheng…bukan mau cari isteri,” Cheng hanya tergelak mendengar jawapanku. Kira-kira jam tiga petang, Khalid rakan setugasku menghantarku ke Kampung Delima. Dua jam kemudian kami tiba di pejabat polis Kampung Delima. Selepas melapor diri aku diberi taklimat sedikit tentang misi yang akan kulaksanakan nanti. Mereka memaklumkan kes penyeludupan dadah kerap berlaku melalui Teluk Ria. Namun sejak kebelakangan ini, penyeludup telah beralih kawasan. Perkara inilah yang merunsingkan pihak polis di Kampung Delima kerana kawasan baru penyeludup sukar dijejak. Setakat ini hanya dua serbuan yang berjaya dilakukan oleh pihak polis. **************************************************************************************************** Esoknya aku masih belum memulakan siasatanku. Hanya berada di dalam pejabat sepanjang hari meneliti kes penyeludupan dadah di Kampung Delima. Teluk Ria ternyata laluan yang sering digunakan oleh penyeludup sejak beberapa tahun yang lepas. Selepas mengetahui kekerapan penyeludup menggunakan Teluk Ria, aku bercadang mahu melihat sendiri panorama sebenar di kawasan tersebut. Jam sudah menunjukkan pukul lima tatkala aku tiba di Teluk Ria. Aku melihat ada beberapa orang nelayan menarik perahu ke pantai. Teluk Ria sememangnya agak terlindung disebabkan oleh bentuk muka bumi yang terdapat di persekitarannya. “Alif…buat apa sampai ke sini?” aku tersentak saat disapa oleh suara yang kukenal. “Pak Itam?” lelaki itu cuma tersengih. “Baguslah kalau kamu sedang bertugas di sini. Boleh bantu Pak Itam.” Pak Itam memandangku tepat. “Bantu? Bantu apa Pak Itam?” aku terkejut kerana Pak Itam sudah tahu aku bertugas di Kampung Delima.
“Bukankah Pak Itam pernah cakap dulu? Pak Itam minta tolong
selesaikan kes
kecurian berlian”. Aku tersentak. Lantas fikiranku kembali mengingati pertemuanku dengan Pak Itam kali pertama di Pasar Besar Labuan. “Kamu tak perlu risau sangat. Pak Itam tahu semua cerita di tempat ini. Kalau perlukan pertolongan, tanya Pak Itam saja.” Pak Itam menepuk bahuku perlahan. “Lusa nanti Alif datang ke rumah Pak Itam. Kita bincang panjang sikit pasal berlian tu.” Aku angguk sahaja bagai dipukau. Selepas meminta diri Pak Itam menghilang di sebalik laluan ke jeti. Aku beristigfar beberapa kali. Siapa sebenarnya Pak Itam? Selepas meninjau kira-kira tiga puluh minit aku memecut motorku ke pasar Kampung Delima. Sekadar mahu melihat-lihat barang dagangan di pasar tersebut. “Aiyoo… durian! Durian! Banyak bagus maa…” Aku tersenyum kepada lelaki Cina di hadapanku yang mempromosi buah durian. “Mau cubakah?” lelaki Cina itu nampaknya bersungguh-sungguh padaku. “Minta maaf. Saya tak suka sangat durian.” “Ohh…banyak susahlah kalau macam tu…durian bagus maa.” Aku tersenyum lantas berpusing ke kanan. “Ops!” Aduh, rupanya aku terlanggar seseorang. “Err…cik, ok ke? Minta maaf tak sangka cik ada kat sebelah tadi.” Wanita di hadapanku cuma mengangguk tanpa memandangku. Seketika aku terpegun. Hati terasa ingin sekali melihat wajah disebalik selendang hijau itu. Sesungguhnya ciptaan Tuhan tiada tandingannya…yaa kita boleh merasakannya kecantikan itu. “Saya pergi dulu.” Saat wanita itu berlalu di sisiku…ahh harum. Aku menepuk dahiku ketika tersedar dari lamunan sesaat tadi. Setidak-tidaknya aku ingin mengetahui namanya. Mataku liar memandang jejak terakhir wanita tadi namun ia telah pergi dengan pantas. **************************************************************************************************** Hari keempatku di Kampung Delima membuatku lebih selesa. Banyak tempat yang telah kulawati dan berharap agar penyiasatanku akan bertambah lancar. Sekali kali lagi aku bertemu dengan Pak Itam di pasar Kampung Delima. Seperti yang dijanjikan beberapa hari yang lalu, Pak Itam membawaku ke rumahnya. Ketika sampai di sana aku melihat ada sebuah taman di hadapan beranda rumahnya. Pelbagai jenis
bunga menghiasi ruang taman itu. Terasa sungguh nyaman berbual dengan Pak Itam di beranda rumahnya. Haruman daripada bunga di taman itu tambah menyegarkan suasana. “Berapa lama Alif akan bertugas di sini?” Pak Itam bertanya. “Lebih kurang dua bulan.” “Pak Itam tau…Alif ditugaskan untuk menyiasat kes penyeludupan dadah di sini.” “Macam mana Pak Itam tau?” Pak Itam gelak. “Semua orang tau Alif…kes inilah yang paling hangat di sini.” Aku tersenyum mengiakan di dalam hati kebenaran itu. Tap…tap…tap...derapan langkah yang menghampiri kami dari ruang depan membuatku tidak sabar melihat gerangan orang itu. Ingin sekali aku melihat isteri Pak Itam kerana sejak tiba tadi tiada seorang pun yang kelihatan kecuali Pak Itam. Tidak lama kemudian seorang wanita datang dengan menatang dulang bersama air. Berselendang biru tanpa mengangkat sedikit pun wajahnya. Saat wanita itu menghulur minuman untukku pandangan kami bertembung. Aku tersentak seketika…fikiranku terus kembali kepada wanita berselendang hijau tempoh hari di pasar. Ah…alangkah indahnya ciptaan Tuhan. Pantas sahaja wajah putih bersih itu tunduk semula. Pak Itam berdehem menyedarkan aku yang sedang merenung wanita tadi. Setelah wanita itu pergi kami meneruskan perbualan kami. “Perempuan tadi tu…isteri Pak Itam ke?” Pak Itam tergelak lagi. “Isteri Pak Itam sudah dua tahun meninggal. Tadi tu anak Pak Itam yang ke dua. Namanya Mahsuri.” “Mahsuri…,” aku mengulang nama itu perlahan namun mampu ditangkap oleh Pak Itam. “Kenapa?” Pak Itam memandangku bersahaja. “Ohh saya cuma teringatkan kisah Mahsuri yang menjadi lagenda di Pulau Langkawi.” “ Kisah Mahsuri? Pulau Langkawi itu di mana?”. “Eh…Pak Itam tak tahu ke kisah Mahsuri tu?”, Pak Itam terdiam seperti cuba mengingat sesuatu. “Pak Itam tak tahu. Kenapa dengan Mahsuri?” Akhirnya aku menceritakan dari A sampai ke Z lagenda Mahsuri kepada Pak Itam. Berkerut dahi Pak Itam mendengar ceritaku.
“Pak Itam tak pernah dengar kisah Mahsuri tu. Hmm tak mengapalah, minggu depan Alif ikut Pak Itam ke istana.” Aku terlopong seketika. “Istana?” Aku menggaru kepala meski tak terasa gatal. Logikkah lelaki tua ini? Istana siapa pula? Rajakah? “Yaa istana Sultan Faisal ll.” Lambat-lambat aku angguk kepala setuju. Pak Itam ketawa kecil. “Istana Sultan Faisal ll besar dan cantik. Tak mengapa nanti Pak Itam bawa Alif ke sana minggu depan.” **************************************************************************************************** Malam ini aku mengetuai pasukan polis yang diberi nama Wira Sepuluh untuk melakukan operasi di Teluk Ria. Angin yang bertiup terasa sejuk namun tugas malam ini lebih penting. Sekitar jam sebelas, aku mengarahkan semua anggota mengambil kedudukan masing-masing. Sehingga jam tiga tiada perkara yang mencurigakan berlaku di kawasan pemerhatian kami. Akhirnya aku mengarahkan pasukan bertolak pulang. Esoknya selepas memberi laporan tentang operasi yang telah dilaksanakan malam tadi, aku bertolak ke Teluk Ria lagi. Aku bercadang mahu ke Teluk Paroi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Teluk Ria sekitar jam empat nanti. Penyiasatan yang sempurna perlu dilakukan agar hasilnya kelak pasti memuaskan semua pihak. Ketika tiba di Teluk Ria aku melihat ada beberapa orang nelayan sedang bersembang. Melihat kelibatku mereka terdiam seketika dan merenungku tajam sebelum salah seorang daripada mereka memberi isyarat. “Orang muda! Buat apa ke sini?” “Pak cik saya ajak ke sini. Dia pun nelayan di sini juga.” Kumpulan nelayan itu mengangguk lambat-lambat. “Jangan suka merayau lewat sangat di kawasan ini.” “Kenapa?” “Tempat ini bahaya sikit,” aku angguk sahaja namun bertambah curiga dengan nasihat berbaur amaran nelayan tersebut. Sebelum meninggalkan Teluk ria aku sempat mendengar beberapa butir perbualan para nelayan tersebut… ” …set! 21 ni…”
“…P dulu baru sini…” “…ok 3…” Aku cuba menafsir perbualan mereka meski hanya beberapa perkataan sahaja yang sempat kudengar. “21 + P + 3…mungkin bermaksud …21 tarikh, P mewakili Paroi dan 3 ialah jam tiga pagi?” Pelbagai andaian bermain di benakku. Akhirnya aku merancang akan mengadakan serbuan di Teluk Paroi pada 21 haribulan nanti. Besar kemungkinan para nelayan itu mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan dadah tersebut. **************************************************************************************************** Sekitar jam Sembilan malam pasukan Wira Sepuluh sudah berada di Teluk Paroi. Hampir dua jam berlalu namun tidak kedengaran sebarang bunyi bot yang datang ke kawasan pemerhatian kami. Fikiranku mengimbau kembali pertemuanku dengan Pak Itam kelmarin. Pada mulanya aku menganggap ajakan Pak Itam ke istana Sultan Faisal II hanyalah gurauan semata-mata. Namun setelah aku berada di hadapan sebuah istana yang tersergam indah barulah aku mengiakan kata-kata Pak Itam tempoh hari. Perjalanan kira-kira dua puluh minit bersama Pak Itam dan Mahsuri ke istana sungguh indah. Aku bagaikan berada di dunia lain. Kawasan perumahan tersusun indah di sepanjang perjalanan seolah-olah perkampungan dalam taman. Sehingga kini aku masih dihantui perasaan serba salah tentang permintaan Sultan Faisal II yang mahu aku mencari pencuri berlain milik permaisurinya. Namun aku lebih tertekan tentang perasaanku sendiri…ahh Mahsuri. “Suri terimakah lamaran putera Sultan Faisal II itu?” Suri Cuma mengangguk. Melihat reaksi Mahsuri hatiku menjadi resah. Resah? Kenapa? Aku beristigfar beberapa kali di dalam hati. “Betulkah Suri suka dengan putera itu?” Suri memandangku lembut. “Kenapa? Layakkah kau bertanya?” Aku terpana dengan jawapannya…umpama melemparkan bom kepadaku. Beberapa saat kemudian Mahsuri tertawa kecil. “Maaf…Suri cuma bergurau.” “Tuan! Ada bot datang ke sini.” Aku tersentak. “Apa?”
“Dua buah bot sedang menuju ke arah kita.” Aduh! Kemaruk sungguh aku ini hingga terleka sebentar. Putus fius agaknya… “ Ambil posisi masing-masing…” “…serbu…” belum sempat kami menghampiri bot beberapa das tembakan dilepaskan oleh pihak musuh. “…berlindung…!” aku segera mengarahkan anak buahku agar mencari posisi yang selamat. Malam ini hanya sebuah bot yang berjaya di tangkap. Apabila kami membuat pemeriksaan beberapa jenis dadah berada dalam bot tersebut. “Kejayaan yang agak baik,” fikirku. **************************************************************************************************** Petang ini aku pergi lagi ke rumah Pak Itam. Pak Itam memberitahuku kami ada misi penting malam ini. Aku dan Suri diarahkan pergi ke suatu tempat yang dikenali sebagai Sigma. Seratus-peratus aku mengatakan bahawa aku belum pernah mendengar nama tempat seperti itu di Pulau Labuan. “Ingat…bila sudah sampai di tempat yang Pak Itam maksudkan jangan buat bising. Faham? Aku akan menyusul nanti,” dan sekali lagi aku hanya mengangguk tanpa membantah. Semakin banyak perkara yang menjadi tanda tanya kepadaku. Berat dan serabut…semakin pelik dengan perasaan sendiri. Atau aku hanya berangan selama ini? Aku bagaikan tidak berkuasa untuk menolak sebarang ajakan mereka kerana mungkin aku kini sedang bekerjasama menyelesaikan kes kecurian berlian itu? “Suri… Sigma ni berdekatan dengan Teluk Ria ke?” aku bertanya pada Suri tatkala kami hampir tiba di tempat yang dimaksudkan. “Kira-kira sepuluh kilometer dari Teluk Ria.” Suasana kembali senyap. “Kenapa mesti aku?” “Mmm? “ Suri memandangku tajam. “Kenapa aku perlu menolong dalam hal ini?” Suri tersenyum. “Kerana kami juga menolong kamu.” Aku cuba mencari huraian yang jelas dalam kiasan kata-kata Suri tadi. “Aku tak faham.” Jawabku jujur. “Memang kau tak akan faham. Tapi kau ditakdirkan untuk ini.” “Aku masih tak faham.”
“Selepas misi ini kau akan faham. Aku akan ceritakan segalanya nanti.” Sayup-sayup kedengaran bunyi bot menuju ke arah kami. Aku dan Suri berganjak ke tempat yang terlindung daripada pancaran cahaya bulan. Debaran di dadahku semakin kencang. “Mereka sudah datang.” Bisik Suri perlahan kepadaku. Dari tempat persembunyian kami melihat ada lima buah bot sedang menuju ke pantai Sigma. Sejurus kemudian Pak Itam tiba. “Kita akan masuk ke dalam gua itu,” arah Pak Itam setelah orang-orang dari atas bot tersebut mengangkat beberapa kotak besar ke dalam sebuah gua yang berhampiran. Kami melangkah berhati-hati setelah semua pemuda tadi masuk ke dalam gua. Baru beberapa langkah kami menapak kami diserbu oleh tiga orang pemuda yang bersenjatakan pistol. “Serbu!!” Seketika kemudian… “Polis!” “…letakkan senjata! Tempat ini telah dikepung…” Aku tersenyum lega kerana anggota Wira Sepuluh bertindak cekap. Aku menarik Pak Itam dan Mahsuri jauh dari kawasan musuh. Sungguh…malam ini aku cukup teruja kerana bukan sahaja pencuri berlian yang dapat ditangkap, namun penyeludup juga dapat ditangkap kerana kedua-dua jenayah tersebut dilakukan oleh musuh yang sama. Aku tidak pasti sama ada peristiwa ini hanya kebetulan atau sebaliknya. Akhirnya sebelum berpisah Pak Itam memberiku sesuatu yang tidak pernah kujangkakan. “Ambillah Alif…hadiah dari sultan.” Aku cuba menolak namun Pak Itam terus memaksaku. “Mungkin ini akan jadi kenangan antara kita.” Pak Itam berbicara lembut. “Ohh ya...macam mana semua polis datang dengan cepat?” Pak Itam bertanya hairan kepadaku. “Sebenarnya Alif sudah arahkan mereka awal-awal lagi. Mereka semua mengekori perjalanan Alif dan Suri tadi.” Pak Itam tersenyum puas. **************************************************************************************************** Sebelum kembali ke ibu pejabat polis Wilayah Perseketuan Labuan, aku melawat Pak Itam di rumahnya. Namun ketika sampai di sana aku tidak menemui Rumah Pak Itam. Atau aku tersalah tempatkah? Hampir sejam meninjau tempat itu tetapi aku tidak menemui tapak rumahnya.
“Alif…” Aku tersentak tika disapa oleh seorang lelaki tua yang sedang memegang cangkul. “Buat apa di sini?” Lelaki itu memandangku dari atas ke bawah. “Saya sebenarnya cari rumah Pak Itam. Saya tersalah tempatkah?” lelaki itu menggeleng beberapa kali. “Baliklah…kau dah terkena ni…mana ada orang namanya Pak Itam di sini?” Seketika kemudian bau kasturi menusuk hidungku…”Suri?” “Kau panggil siapa?” Aku menggeleng. Ahh betapa sukar menjawab bicara orang yang tak mengalami semua perkara ini. Mereka semua tidak pernah akan percaya!! “Pak pergi dulu…ingat…jangan datang ke kawasan ini lagi.” Aku terdiam mendengar amaran keras lelaki itu. “Suri…aku tahu kau ada di sini. Hari ini aku akan balik ke kota Labuan. Aku sudah faham semua perkara ini tapi kau tak tahu satu perkara…aku pernah sayang orang yang bernama Mahsuri.” Selesai mengatur bicara terakhirku aku melangkah pergi. Baru beberapa langkah aku disapa oleh suara yang memang aku kenal. “Maafkan Suri…” Aku tersenyum mendengar suara halus itu. Selamat tinggal Suri…ahh semuanya kebetulan. **************************************************************************************************** “Apa Alif buat di sana pak…” William bertanya pada ayah Alif yang baru sahaja balik dari kebunnya dengan cangkul di bahu. Sungguh hatinya sebak tiap kali melihat keadaan Alif yang tidak menentu…kadang dia bagaikan dalam dunia sendiri. Sampaikan adakalanya dia tak kenal pada ayah sendiri. “Macam tu la William…tidak pernah berubah. Pak sendiri pun sedih tengok keadaan Alif.” William mengatur melangkah ke arah Alif. “Alif…buat apa di sini?”,Alif menggeleng. “Entah la…aku cari rumah Pak Itam tapi tak jumpa-jumpa. Dah penat ni…”. Wajahnya tampak sedih dan memikirkan sesuatu. “Aku datang ni…melawat teman seperjuangan. Kau tak gembira aku datang melawat?” Alif memandang William lantas matanya singgah lama di wajah William. “Ini William la Alif..”
“Ehh William…kau tak beritahu pun kau datang.” William tersenyum. “Jom balik rumah,” William menarik Alif agar segera meninggalkan kawasan yang selalu di kunjunginya itu. Orang kampung pernah bercerita bahawa tempat tersebut memang ada penunggu. “Yaa aku memang dah nak balik ni…tak mengapalah asal Suri tahu aku sayangkan dia.” “Suri? Waa ada kekasihkah?” William cuba bergurau dengan teman lamanya itu. “Jangan sebut nama Suri lagi. Aku dah lupakan perempuan tu…” Alif bersuara serius hampir membuat William tergelak. **************************************************************************************************** Sebelum pulang ke kota Labuan untuk kembali bertugas, William sempat meluangkan masa bersama ayah Alif. Perbualan mereka banyak berkisar tentang Alif. “Pak…saya tahu ada seorang lelaki yang boleh mengubat buatan orang ni…tapi jauh la sikit dari Labuan.” “Sudah banyak dukun yang pak cari tapi semua hasilnya sama sahaja. Penat dah mencari.” “Tak mengapalah pak…yang penting kita berusaha. Kalau Alif sudah bangun, sampaikan salam saya. Saya minta diri dulu pak.” William menyalami ayah Alif. “Nanti saya sampaikan. Terima kasihlah sebab datang melawat Alif. Ada masa nanti datang lagi….hati-hati jalan tu.” William mengangguk. “Betapa tabahnya hati seorang ayah ini…Tuhan kupanjatkan doa kepadamu agar menyembuhkan rakanku, Alif. Semoga kita sentiasa beroleh ketenangan dalam menghadapi liku-liku hidup ini.” William menitipkan hembusan doa ikhlas di dalam hatinya.
Nukilan : Iena_Yang@RA 9863 A gurlz without soul_LA TAHZAN