APA DOSA MELAYU TERHADAP BUKAN MELAYU? MENGAPA kaum bukan Melayu tidak henti-henti membangkitkan isu ketuanan Melayu dan apa sahaja perkara berkaitan Melayu? Seolah-olah Melayu kini menjadi musuh bukan Melayu, lantaran apa sahaja yang menjadi milik Melayu termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan sentiasa dipersoalkan. Apa dosa orang Melayu terhadap bukan Melayu? Apa kurangnya orang bukan Melayu jika dibandingkan dengan kedudukan orang Melayu yang merempat di tanah air sendiri. Apa tuntutan bukan Melayu yang gagal dipenuhi kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan? Sengkek benarkah keadaan orang bukan Melayu di Malaysia sehingga tanpa henti mereka mempertikaikan hak orang Melayu. Apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik tersuratnya tuntutan demi tuntutan agar hak orang Melayu dihapuskan dan tuduhan bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan. Tentunya, orang bukan Melayu mahu orang Melayu bersaing dengan mereka tanpa sebarang keistimewaan kerana mereka tahu Melayu tidak akan mampu berbuat demikian. Dalam keadaan dilimpahi pelbagai keistimewaan seperti yang didakwa oleh bukan Melayu, orang Melayu masih menguasai tangga teratas golongan paling miskin dengan tahap pendapatan di bawah RM1,000. Malah pencapaian ekonomi orang Melayu pun masih lemah dan tidak dapat menandingi kekayaan orang bukan Melayu di negara ini. Begitu juga dengan kekuatan politik bangsa Melayu yang hakikatnya tidak sekuat mana menyebabkan ia menjadi mangsa ugutan serta hentaman oleh bukan Melayu. Kelemahan Melayu yang amat ketara itulah hakikatnya yang mendorong bukan Melayu tidak henti-henti 'menyalak' dan menuntut supaya hak Melayu dihapuskan. Jelas matlamat mereka hanya satu - ingin melihat Melayu tersungkur di bumi sendiri sehingga akhirnya kuasa ekonomi menentukan masa depan politik. Masalahnya orang Melayu hanya gemar bercakap, berhujah dan beretorik setiap kali bersuara untuk mempertahankan hak bangsa sendiri. Hanya laungan kata-kata berkumandang di sana sini namun tiada tindakan bersepadu dilaksanakan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang kuat dan hebat. Segala keistimewaan yang termaktub di sisi Perlembagaan hanya dinikmati oleh segelintir Melayu yang 'bertuah' manakala Melayu serpihan terus dianaktirikan dan merempat di bumi sendiri. Lebih menyedihkan ada kalangan Melayu yang turut menolak ketuanan Melayu dan tidak percaya kepada hak keistimewaan Melayu sedangkan manusia-manusia itulah yang mengaut keuntungan daripada dasar tersebut. 1
Hakikatnya, ini bukan masa untuk beretorik atau mempertahankan Melayu sekadar menggunakan 'air liur'. Ketuanan Melayu mesti dihidupkan semula untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati dan disegani sehingga tiada kaum berani memperlekehkan Melayu jauh sekali mempersoalkan hak Melayu untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negara. Kesemuanya itu hanya boleh dilaksanakan jika semua pihak bersatu dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda membangunkan Melayu. Utusan Malaysia, Isnin 1 Disember 2008
2