MELAYU BAGAI PAYUNG ETNIK Oleh AHMAD FAIRUZ SHEIKH ABDUL HALIM MASYARAKAT Malaysia tidak sama dengan yang terdapat di negara bangsa klasik tua. Di negara itu masyarakatnya terdiri daripada satu suku bangsa yang mempunyai satu bahasa, satu budaya dan satu agama. Contoh yang terbaik adalah Jerman, Thailand, Perancis, China dan lain-lain. Suku etnik lain yang berhijrah ke negara itu tidak akan diterima sebagai warganegara walaupun sudah bergenerasi mereka tinggal di negara itu. Dasar pembinaan bangsa dalam negara itu adalah berbentuk asimilasi. Kumpulan penghijrah ke negara itu mesti menerima bahasa, budaya dan agama suku bangsa berkenaan dan melenyapkan identiti etnik asal mereka. Inilah sebabnya hampir tidak ada sekolah rendah dan menengah di negara berkenaan yang menggunakan bahasa pengantar etnik minoriti atau penghijrah. Masyarakat di Malaysia juga tidak sama dengan yang terdapat di negara bangsa pelbagai budaya yang terbentuk apabila kelompok manusia berhijrah ke satu kawasan baru dan membina komuniti mereka hingga menguasai tanah, sektor ekonomi, sistem pentadbiran dan politik negara itu. Dengan kedatangan komuniti hijrah baru ke kawasan mereka, jumlah mereka yang kecil dan pemilikan teknologi perang yang terbatas telah menyebabkan mereka kalah dalam persaingan dan terpaksa berpindah ke pinggir tanah air mereka sendiri dan diletakkan di tanah-tanah rizab. Kumpulan hijrah yang dominan ini akan menentukan bahasa, budaya, agama dan suku kaum yang boleh mencorakkan setiap aspek masyarakat setempat itu. Walaupun akhir-akhir ini kumpulan hijrah dominan ini sudah memperakui komuniti watan yang mereka pinggirkan dengan memperakui budaya, bahasa dan kepimpinan anak watan, ia lebih bersifat sejarah dan simbolik sahaja. Di Kanada kumpulan hegemoni penghijrah ini adalah 'Anglo-Perancis', di Amerika Syarikat 'Anglo-Saxon' berkulit putih Protestan dan di New Zealand serta Australia 'Anglo-Celtic'. Etnik kumpulan hijrah inilah yang akan menentukan kepimpinan, dasar dan pembangunan negara setempat. Masyarakat watan hanya menjadi bahan sejarah. Selain daripada dua jenis negara tersebut, ahli sosiologi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mansor Mohd. Noor pula memperkatakan mengenai negara bangsa payung etnik. Negara dalam kategori ini memiliki pelbagai etnik. Penghijrahan komuniti lain berlaku sebelum negara itu mencapai kemerdekaan dan dirancang oleh penjajah bagi menjadi tenaga buruh di dalam kegiatan-kegiatan ekonomi seperti perlombongan, pembangunan ladang-ladang komersial yang berskala besar dan pembangunan prasarana awam negara itu. Identiti Di negara bangsa payung etnik ini masing-masing etnik dibiar dan dibenarkan mengekalkan identiti kumpulan mereka. Mereka akan tinggal di kawasan yang sama, bercakap dan belajar dalam bahasa ibunda mereka, bekerja di dalam kegiatan ekonomi yang sama dan diurus oleh satu pentadbiran dengan kepimpinan kaum tersendiri berdasar struktur sosial komuniti mereka yang asal. Dalam negara bangsa payung etnik, komuniti dominan dan signifikan wujud tetapi kerana jumlah penduduk yang seimbang dan kuasa politik dan ekonomi yang berbeza telah lahirlah masyarakat yang memiliki struktur sosial yang tidak jelas. Ketegangan antara kaum boleh
1
berlaku pada bila-bila masa dan masyarakat itu terdedah kepada konflik dan pertumpahan darah. Payung itu boleh koyak pada bila-bila masa. Malaysia bolehlah dikatakan sebagai negara bangsa payung etnik. Dan bagi mengelakkan dimensi bahasa, budaya, agama dan etnik dimanipulasi oleh mereka yang berkepentingan, Malaysia telah melancarkan dan mengamalkan pelbagai rancangan seperti Rukun Negara, Rukun Tetangga, Kursus Perhubungan Etnik di universiti, dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk memastikan perbezaan-perbezaan dapat diurus dan ditangani dengan jayanya. Tidak pernah ada Perdana Menteri di negara kita yang tidak bercakap mengenai betapa pentingnya perpaduan. Acuan pembangunan negara dan keharmonian rakyat pelbagai budaya yang menjadi amalan negara ini sentiasa menekankan hal ketahanan negara. Demokrasi yang diamalkan berbentuk 'perkongsian kuasa' bukan ala demokrasi Barat. Pertumbuhan ekonomi diagihkan di kalangan mereka yang terabai bukan dengan mengutamakan kumpulan kaya semata-mata. Ekstremis etnik dan agama diurus dan ditangani segera walaupun ia datang daripada keluarga dan kaum sendiri. Malaysia boleh dijadikan sebuah negara contoh yang berjaya mengurus dan menangani dimensi sensitif dan kontroversi dalam lapangan bahasa, budaya, agama dan etnik. Rata-rata rakyat menolak tuntutan satu-satu kaum secara melampau. Sesungguhnya, hanya hubungan kaum yang harmonis sahaja yang boleh menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negara. Setiap kita, sebagai rakyat bertanggungjawab, perlu menyumbang kepada mewujudkan perpaduan. Pembangunan negara selama ini telah dirancang dengan baik dan kemajuan bangsa Malaysia telah berlaku dengan aman dan makmur. Seiringan dengan ini, nilai-nilai tradisi dan kebudayaan penduduk Malaysia turut hilang dalam arus pemodenan negara. Dalam erti kata lain, cara hidup masa silam telah berubah. Sebagai contoh, pertalian antara ahli-ahli komuniti telah berubah menjadi jauh dan tidak lagi rapat. Pada masa dahulu, penduduk di Malaysia adalah rapat di antara satu sama lain. Mereka tanpa mengira bangsa dan agama, suka melawat jiran-jiran yang sudah lama dikenali dan sering bertegur sapa. Masyarakat kini lebih mementingkan diri dan tidak mengenali jiran-jiran. Keadaan ketara ini dapat dilihat di kawasan perumahan sekarang terutamanya bagi penduduk yang tinggal di kawasan perumahan elit. Jurang perhubungan di antara manusia pada masa kini terlalu kaku dan jauh. Masyarakat telah berubah daripada bentuk organisasi sosial yang berdasarkan kesatuan pemikiran, kepercayaan dan tingkah laku kepada yang berdasarkan kesatuan individu yang terikat oleh tanggungjawab atau kerja yang menuntut tenaga dan waktu yang banyak. Falsafah hidup kita lebih kepada Barat yang mementingkan gaya, individualistik, dan budaya 'makanan segera'. Dengan mengamalkan gaya hidup seperti inilah yang menjadikan kita hilang akarnya. Kita lupa tentang falsafah hidup, seni, ajaran moral, dan pemikiran yang diwariskan oleh nenek moyang kita. Terserahlah kini kepada kita untuk menggemblengkan tenaga dan fikiran agar ekstremis dalam bentuk apa sekali pun dapat dihapuskan dan dibanteraskan hingga ke akar umbi bukan dengan secara kekasaran, paksaan atau pertumpahan darah, tetapi dengan menggunakan segala kekuatan intelektual, diplomasi dan kebijaksanaan. Jika kita berjaya bermakna pembangunan dan ekonomi negara akan dijjamin bertambah baik dan semua rakyat Malaysia dapat mengecapi nikmatnya. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam blognya pada 22 September 2008 ada mengatakan seperti
2
berikut: Multi racial countries have to face race relation problems. With the need to handle racial problems, the management of the economy becomes extremely difficult. Depan sawah tanam keledek Keledek merah rasanya manis Sopan dijaga santun dididik Membentuk warga hidup harmonis. Ibu angsa ditimpa batu Carik bulunya luka berdarah Utuh bangsa kerana bersatu Runtuh negara membawa padah. UTUSAN MALAYSIA 22/10/2008
3