Analisis Politik Semasa: Politik Malaysia Ke Mana Arahnya ? (Ucapan Dasar yang disampaikan dalam Forum di atas di PKNS pada 26 April 2009) Pendahuluan Membicara ke mana arahnya politik Malaysia memerlukan penelitian terhadap situasi politik semasa. Penelitian seharusnya melibatkan corak dan kecenderungan parti-parti politik semasa, pimpinan dan pihak-pihak berkaitan dengan politik, baik dari kalangan pemerintah atau lawannya. Darinya dapat ditelah ke mana arahnya. Situasi politik sekarang dapat dikatakan adalah `Hangat dan Mencabar`. Masalah Barah Rasuah Dapat dikatakan hangat kerana banyak isu-isu besar dan semasa berlaku. Kedua-dua pihak sama ada kerajaan UMNO-BN dan Kerajaan Menunggu - Pakatan Rakyat (PR) sekurang-kurangnya menghadapi dua cabaran. Kedua-dua pihak seharusnya berusaha bagi mengatasi cabaran pertama dan berlomba-lomba bagi mengatasi cabaran kedua iaitu, menampilkan kewibawaan masing-masing bagi memenangi hati rakyat Dilihat kepada cabaran pertama bagi pihak kerajaan, banyak pertanda menunjukkan politik pemerintah di dalam keadaan sakit akibat dari berbagai simpton. Paling parah oleh barah rasuah yang ketara berlaku. Isu ini terbawa kepada pemilihan Mesyuarat Agung UMNO 2009 dan tahun-tahun sebelumnya. Bagi tahun 2009 ada tokoh-tokoh yang ditolak pencalonan dan ada yang diberi amaran. Ada yang disabitkan rasuah, tapi masih kekal berkedudukan. Tiada persempadanan nilai yang jelas dan keadaan menjadi bercelaru dan keliru. Amalan barah rasuah ini bukan kali pertama, tetapi telah menjadi budaya politik UMNO-BN, tetapi tindakan kali ini lebih tegas, tetapi bercelaru. Bayangkan betapa selama ini Negara diterajui pemimpin-pemimpin barah rasuah. Falsafah mudah mereka `Politik Peluang Menghimpun Kekayaan dan Kedudukan`. Sebab itu raihlah berbagai kesempatan bagi mendapat kedudukan di dalam politik hatta melibatkan `Politik Wang`. Melalui politik juga terbuka peluang pulangan kewangan. Peluang projek pembangunan Membela Rakyat adalah peluang mendapat manfaat, sebahagian kecil peruntukan mengalir kepada rakyat, tapi yang lebih besar disunglap. Ada usaha sebelum Tun Abdullah Ahmad Badawi mengundur diri memerangi rasuah, tetapi keberkesanannya dapat dipersoalkan. Selepas pengundurannya tiada peningkatan penekanan. Sakit barah rasuah ternyata tidak berkurangan sembuh. Dalam diam-diam makin merebak dan mengancam. Pencabulan Undang-Undang Cabaran yang merupakan Penyakit kedua UMNO-BN berhubung dengan Perundangan Negara. Sebelum pilihanraya ke 12 pada Mac 2008, isu yang hangat digunakan Pakatan Rakyat (PR) ialah tentang kredebiliti perundangan Negara. Mungkin kes Lingam masih segar di dalam ingatan. Kes yang membongkar pendustaan terang-terangan dari pihak
lawyer membawa kepada bekas-bekas hakim Negara amat mengejutkan. Negara malu dan dunia mentertawakan perundangan Negara. Adakah keyakinan pada kredebiliti perundangan dapat dikembalikan ? Tidak ! Kes pencabulan undang-undang dan keruntuhan Kerajaan Negeri Perak bukti jelas dapat diketengahkan. Kita gunakan `keruntuhan`. Kerana kerajaan sah dipilih rakyat diruntuhkan secara rampasan (6 Februari 2009). Kuasa Speaker tidak dihormati (contoh penggantungan Menteri Besar dan 6 Exco lain dari menghadiri Sidang Dewan pada 18 Feb. 2009), berlaku keruntuhan perundangan apabila pihak executive kerajaan mengarah dan menguasai secara tidak sah terhadap pihak legislative. Mutakhir mereka memanggil mesyuarat DUN pada 7 Mei 2009 tanpa melalui Speaker yang sah dan tanpa menunggu keputusan mahkamah tentang siapakah Menteri Besar yang sebenar dan sah di Perak.. Walau apa pun penghujung bagi episode politik Perak ini, sama ada kuasa dikembalikan kepada Nizar Menteri Besar Perak dan PR yang dianggap pihak berkuasa yang sah atau pihak UMNO-BN meneruskan kekuasaan dengan apa cara, sebenarnya pada hakikatnya pihak UMNO-BN sedang menggali kuburnya sendiri untuk dikebumikan pada pilihanraya ke 13 akan datang yang kesannya dijangka berlaku ke luar dari Perak. Mereka mungkin dalam masa terhad mendapat untung sekarung secara haram, tetapi ruginya berterusan berguni-guni. Kes Fairuz dan Perundangan Satu contoh permainan politik kotor. Dalam usaha BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat seperti di Perak, kerja ini dilakukan juga seperti di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Mutakhir di Pulau Pinang Mohammad Fairuz Khairuddin Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dituduh terlibat dengan rasuah. Bagi menjaga nama baik parti dan Kerajaan PR Fairuz mengumumkan perletakan jawatan sebagai ADUN Penanti, selepas ianya meletakkan jawatan dari Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, sebab itu pilihanraya kecil terpaksa diadakan. Datuk Seri Najib yang baru mengambil alih teraju kepimpinan Negara sebagai Perdana Menteri, menyedari pihak UMNO-BN terperangkap dengan perangkap yang mereka pasang dan menyedari kemungkinan besar UMNO-BN tidak akan memenangi kerusi Penanti, Beliau telah membayangkan UMNO-BN tidak akan bertanding di Penanti atas alasan pembaziran. Satu kenyataan yang mengejutkan, kerana selama ini tidak pernah UMNO-BN sebagai pemerintah takut dan pengecut sedemikian rupa. Ketakutan ini timbul berikut dari kegagalan UMNO-BN memenangi sebarang kerusi pilihanraya kecil di Semenanjung selepas pilihanraya ke 12 bermula dari Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Penanti bakal menanti tambah memalukan UMNO-BN seterusnya. Tarikh penamaan calon pilihanraya kecil Penanti diumumkan pada 23 Mei dan tarikh pembuangan undi pada 30 Mei (setakat ini UMNO masih belum membuat keputusan). Apa yang mau dibangkitkan di sini sebelum tarikh penamaan calon dan mengundi diumumkan, tiba-tiba 23 April diumumkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Fairuz bersih dan tidak ada asas yang kukuh bagi pendakwaan rasuah terhadap beliau. Dengan pengumuman ini tidak ada pihak berhak melarang mereka yang berfikiran waras membuat spekulasi. Apakah pihak berkuasa membuat arahan supaya dikaji kes Fairuz sehingga dibuat pengumuman sedemikian dengan harapan Fairus menarik balik perletakan jawatan dan dengan ini dapat menyelamatkan maruah UMNO-BN dan
kepimpinan Datuk Seri Najib. Pertanyaan juga timbul tentang kebebasan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (direformkan sejak April 21 2009) dan juga SPR di dalam menjalankan tugas. Walau bagaimana harapan UMNO-BN (Datuk Seri Najib) ini tidak berlaku. Fairuz mempertahankan kredebiliti dan maruah dan tidak menjilat apa yang diludah.Dia tetap meletakkan jawatan. Dia berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnah dan memalukannya. Tabik dan hormat pada Fairuz. Dia mempertahankan maruah dirinya. Nampaknya jerat yang dipasang menjerati UMNO-BN dan tembelang terbungkar. Masalah Sosial Cabaran yang merupakan Penyakit ketiga kepada UMNO-BN yang tidak kurang kroniknya melanda Negara yang melibatkan orang politik membawa kepada orang awam, ialah penyakit sosial yang melibatkan jenayah dan moral. Kes penangkapan dan hukuman terhadap penjenayah dadah perkara biasa, mereka yang terlibat di dalam penyalahgunaan dadah berterusan meningkat, pembunuhan, rogol, ragut dan rompak terus meningkat dan menjadikan rakyat di dalam ketakutan dan hidup tidak tenteram. Satu survey yang dilakukan menunjukkan 38% daripada yang merisaukan rakyat ialah penyakit sosial yang termasuk di bawahnya jenayah (The Star, 12 Feb 2008: 1). Inilah keadaan yang dihadapi rakyat di bawah pemerintahan UMNO-BN. Bagi memulihkan kepercayaan rakyat mereka perlu berusaha membersihkan diri mereka terutama dari segi rasuah, pencabulan perundangan dan masalah sosial dan moral yang melibatkan pihak tertinggi membawalah kepada rakyat. Cabaran pembersihan ini tidak mudah dilaksanakan. Ianya memerlukan pendekatan yang komprehensif dan praktis.Jika ini tidak dapat diatasi, maka rakyat akan terus menolak UMNO-BN di dalam mana-mana pilihanraya akan datang. Kerajaan Menanti Pakatan Rakyat (PR) –Cabaran Dalaman Bagi PR mereka juga tidak kurang dari cabaran permasalahan yang dihadapi sama ada yang bersifat dalaman dan luaran. Cabaran dari segi dalaman PR yang diwujudkan bagi menentang UMNO-BN dalam pilihanraya ke 12 dan di luar dugaan memenangi lima buah negeri. Pakatan yang terdiri dari tiga parti yang berlainan ideologi – Islam , Keadilan dan Demokratik ini sehingga kini masih belum duduk dan membincangkan titik persamaan dasar dan landasan perjuangan. Mereka masih belum mampu mengenengahkannya kepada rakyat secara jelas. Sebaliknya ada pimpinan membuat kenyataan dan cabaran bercanggah yang menggugat kekukuhan pakatan. Sokongan dan pemilihan yang dibuat oleh rakyat lebih kerana, tiadanya alternative lain dan adanya tawaran yang lebih baik dari PR berbanding dengan UMNO-BN. Jika tindakan memperkasakan pakatan dari segi ideologi dan matlamat perjuangan tidak diambil dan pihak yang memerintah negeri mengambil pendekatan bersendirian, akan membawa kepada ketidakselarasan dan kecelaruan yang boleh menggugat parti dan pemerintahan. Dari satu segi PR yang lebih merupakan ikatan luar dan bukan dalaman, maka kita dapati ikatan di dalam PR itu agak rapuh. Pendukungnya juga rapuh dari segi prinsip perjuangan
dan komitmen. Ini jelas dari apa yang berlaku di Perak. Oleh kerana tiada prinsip dan komitmen, jauh dari akidah dan jihad, maka antara ahli-ahli dari PR sanggup melompat dan keluar parti yang mengakibatkan berlakunya kecelaruan pemerintahan dan perundangan. Sememangnya setakat ini tiada usaha latihan bersepadu bagi mengukuhkan parti-parti dan tarbiyah ahli-ahli. Jika ini terus diabaikan maka PR akan terus terdedah kepada ancaman dari kesetiaan ahli dan kemantapan parti. Dari sudut ini PAS mempunyai kedudukan yang kukuh dari segi ideologi, prinsip, akidah, jihad, tarbiyah dan amanah. Sebab itu tidak ada berlaku perlompatan dalam parti dan tidak ada – setakat ini mereka yang disabitkan dari segi rasuah dan penyelewengan. Ini adalah asset yang penting bagi PAS. Atas dasar kejujuran ini rakyat berbagai kaum memeberi sokongan kepada PAS. Contoh ideologi, prinsip dan komitmen ahli di dalam PAS ini patut diterapkan ke dalam PR. Cabaran Luaran Cabaran dari segi luaran terhadap PR ialah usaha berterusan dari pihak lawan – UMNOBN menggugat kestabilan politik dan pemerintahan negeri-negeri yang diperintah PR. Ini menyebabkan terganggu kelicinan pemerintahan dan terpaksa memberi tumpuan menghurai dan menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh pihak lawan. Contoh yang jelas angkara yang dilakukan oleh UMNO-BN di Perak, ianya bukan setakat menggugat dan membawa kepada perampasan kerajaan negeri Perak. PR terpaksa berhempas pulas bagi mempertahanakan kerajaan dan kedudukan dari segi perundangan dan kekuasaan. Begitu banyak tenaga, masa dan kepakaran yang terpaksa digemblingkan. Keadaan yang sama cuba ditimbulkan di negeri Selangor. Contoh dari kes pembelian lembu untuk Idul Adhha, pembaikan dan service kereta Lexus Menteri Besar, Isu Elizabeth Wong dan sebagainya. Banyak masa terpaksa digunakan bagi menjawab dan menyelesaikan apa yang sengaja ditimbulkan oleh pihak lawan. Keadaan yang sama ditimbulkan oleh pihak lawan dari isu Mohammad Fairuz Khairuddin di Pulau Pinang. Isu ini nampaknya memerangkap pihak UMNO-BN itu sendiri. Pihak lawan juga mengexploitasi isu cadangan `Kerajaan Perpaduan` dari PAS dan geloranya juga tidak kurang timbul dari kalangan pendukung PAS. Pendapat dominant dalam PAS, bahawa Pas tidak seharusnya turun menghulur tangan kepada lawan yang banyak masalah sebagaimana dihuraikan di atas, bagi mewujudkan `Kerajaan Perpaduan`. Implikasi segera bererti kita membelakangi pakatan dan tidak jujur terhadap amanah yang diberi rakyat yang boleh menyebabkan mereka menarik sokongan terhadap PR, khususnya PAS. Apa yang seharusnya dilakukan di atas kepercayaan yang diberi oleh rakyat dari berbagai kaum hendaklah dipertingkatkan kepercayaan ini. Apa yang perlu diusahakan, khususnya oleh PAS ialah menarik sokongan orang Melayu dari UMNO kepada sokongan dan kepercayaan terhadap PAS. Bermaksud hendaklah diusahakan agar ahli UMNO menjadi ahli PAS. Walaupun cadangan `Kerajaan Perpaduan` ini telah ditarik balik oleh PAS, tetapi pihak lawan masih mengexploitasi isu ini dan menuduh PAS sebagai mementingkan diri sambil mereka melaga-lagakan antara pimpinan PAS. Walau bagaimana antara isu-isu yang dihadapi oleh kedua pihak, pihak UMNO lebih berat dan mencabar. Mereka hendaklah menunjukkan kesungguhan membasmi rasuah
dan membuktikan kepada rakyat tidak lagi berlaku rasuah. Mereka juga perlu membersihkan dari berlaku penyelewengan perundangan dan pembasmian dari gejala sosial. Semuanya ini tidak mudah dilaksanakan. Masa Depan Selain dari kedua pihak mempunyai masalah dan cabaran masing-masing. Kedua-dua pihak perlu menghadapi ujian masa depan. Berdepan dengan rakyat dan berlumba menawarkan apa yang terbaik yang boleh memikat rakyat menyokong UMNO-BN atau PR. Berdasarkan trend yang lepas, tiap kali bertukarnya pimpinan Negara, maka berlakunya pertambahan sokongan kepada pimpinan baru kerana ada harapan baru dan perubahan positif yang ditunggu oleh rakyat. Tetapi pertukaran kali ini agak berlainan. Pilihanrayapilihanraya kecil tidak berpihak kepada pimpinan baru. Ini barangkali masalah-masalah yang ada pada pimpinan, masalah di dalam UMNO-BN dan pemerintahan UMNO-BN pada peringkat negeri-negeri menenggelamkan keyakinan dan harapan rakyat. Di dalam hal ini perlumbaan bagi masa depan lebih terbuka. Apa yang lebih mencabar bagi PR, ialah usaha pihak UMNO-BN membariskan pimpinan baru (lama+baru) yang mungkin melahirkan dinamika baru yang mampu membawa pembersihan dan perubahan yang meyakinkan rakyat. Sebab itu pihak PR perlu menyediakan saf yang mantap, bersatu, mempunyai visi dan misi yang dinamik dan praktik dan mampu melebihi apa yang ditawarkan oleh UMNO-BN. Walaubagaimana walaupun ada perubahan kepimpinan, mutakhir kita melihat ada masalah kepimpinan pada pihak UMNO-BN, baik pada peringkat kabinet, pemuda dan negeri. Sudah tentulah ini menjadi hambatan bagi peningkatan imej UMNO BN itu sendiri. Cetusan Bagi mencetuskan satu kesegaran dan dinamika baru bagi misi dan visi perjuangan UMNO-BN, Datuk Seri Najib menampilkan slogan `Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan`. Berbagai pihak telah membincang dan menghuraikan slogan yang agak panjang ini. Ianya tidaklah begitu significant dan bukan satu yang segar dan asli. Konsep `Rakyat` turut diciplak dari PR. Slogan inilah mulai dijadikan ungkapan bagi semua konsepsi dan gerakerja UMNO BN. Menandingi slogan Datuk Seri Najib ini, bagi PR, istilah `Pakatan ` itu sendiri mempunyai significant dan ianya dapat dihuraikan secara mendalam dari segi falsafah, budaya dan kata-kata adat. Misalnya `Sepakat Bertambah Berkat`, maksud dari sepakat seperti `Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni. Manakala istilah `Rakyat` lebih significant dan dapat dihurai secara panjang lebar seperti `Merakyatkan Ekonomi` sebagaimana digunakan di Selangor, `Dari Rakyat, untuk Rakyat dan Kerana Rakyat` dan berbagai-bagai lagi dapat dihuraikan yang dapat disesuaikan dengan Islam, budaya dan falsafah. Ianya juga dapat disesuaikan dengan budaya orang Cina dan India. Pendeknya
Pakatan Rakyat jauh lebih dalam dari apa yang diutarakan oleh Datuk Seri Najib. Apa yang perlu PR menterjemahkannya kepada dasar dan gerakerja yang bersifat praktikal. Bagi UMNO-BN dan Negara yang yang mempunyai kepimpinan yang baru, mereka sudah tentulah menggerakkan tenaga dan pemikir mereka mencetuskan berbagai cadangan dan pendekatan di dalam berbagai bidang bagi membawa pembaharuan dan perubahan yang drastic bagi mendapat keyakinan rakyat. Sebagai contoh pendekatan `Leberalisasi Ekonomi`, `Pendidikan Pragmatik` `Pentadbiran Berkualiti` Modenisasi berbagai bidang dan berbagai lagi. PR juga seharusnya mempunyai kelompok pemikir mengkritik apa yang diutarakan pemerintah sekiranya tidak sesuai, mengutarakan pendekatan-pendekatan di dalam berbagai bidang dan dipraktikkan di dalam perjalanan parti dan kerajaan yang dikuasi Pakatan seperti `Merakyatkan Ekonomi`, `Merakyatkan Pendidikan`, `Pakatan Kebajikan` , Takaful Pakatan`, `Sukan Rakyat` `Jiran Sepakat` dan berbagai-bagai lagi. Pendeknya Pakatan Rakyat jauh lebih significant dan menarik untuk dicoinkan slogan-slogan yang menarik dan dipraktikkan dari segi amalan ke tengah masyarakat.. Tempoh Crucial Pendek kata, tempoh masa sebelum pilihanraya ketiga belas adalah tempoh crucial bagi kedua belah pihak menampilkan wawasan, cadangan dan amalan yang dapat menarik sokongan rakyat. Dalam masa UMNO-BN terpaksa berhempas pulas membersih diri dan dijangka tidak mampu menampilkan kemajuan ekonomi dan pembangunan secara ketara kerana kegawatan ekonomi dunia dan Negara, PR hendaklah mengambil kesempatan dengan gagasan-gagasan dan cadangan yang lebih segar dan menarik rakyat berpihak kepada PR. Jika trend kemerosotan sokongan rakyat berterusan dialami UMNO-BN dan PR mampu menarik sokongan semua kaum dengan gagasan-gagasan yang praktik, maka adalah dijangka PR mengatasi UMNO-BN dan akan memerentah Persekutuan dan negeri-negeri selepas pilihanraya ketiga belas nanti. PR tidak boleh menunggu kepada tempoh lain dari sebelum pilihanraya ke 13. Sebarang penangguhan memberi peluang UMNO-BN pulih dan bangkit, maka ketika itu peluang bagi PR makin menyempit. Sebab itu bertindak dari sekarang, semoga kemenangan bagi PR. Insya Allah. Sekian. Dr. Shafie Abu Bakar Bangi. 01 Jamadil Awal 1430 26 April 2009.