UNIVERSITI
MALAYA
FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU ( JXEA 1104 ) SEMESTER 1 2008 /2009 AKADEMI PENGAJIAN MELAYU (APM )
TAJUK : KUPASAN FALSAFAH AL-RAZI
NAMA PENSYARAH :
PROF. DR. AMRAN
MUHAMMAD TUTOR : CIK SITI HADIJAH ABDOL RAHMAN NAMA PELAJAR : NUR ZAM HAFIZAH BT KHALIB NO. MATRIK : JEA080098
Al-Razi atau nama sebenarnya adalah Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al- Razi. Beliau dilahirkan pada tahun 236H bersamaan 850M di bumi Iran iaitu di Ray berhampiran Tehran. Beliau merupakan seorang tokoh falsafah yang masyhur pada kurun ke-3 Hijrah. Pada zaman muda Al-Razi, beliau menjadi pemain gambus (rebab, rebana) sambil menyanyi. Kemudian beliau meninggalkan pekerjaan itu dan mempelajari bidang perubatan dan falsafah. Seterusnya beliau mempelajari ilmu kedoktoran dengan Ali Ibn Rabban Al-Thabari pada tahun 192H hingga 240H bersamaan 808M hingga 855M serta beliau juga mempelajari ilmu falsafah dengan AlBalkhi. Dalam waktu yang sama beliau juga mempelajari ilmu matematik,astronomi, sastera dan kimia.
Al-Razi merupakan seorang tokoh falsafah islam yang banyak menimbulkan kontroversi dalam bidang ilmu falsafah. Sikap dan pemikirannya dikatakan cenderung kepada pemikiran dan teori ahli falsafah Yunani kuno seperti Plato. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan ahli falsafah muslim yang mengecamnya. Mereka tidak bersetuju dengan sebahagian pendapatnya yang pro-platonisme. Walau bagaimanapun, Al-Razi tetap diletakkan dalam senarai ahli falsafah muslim yang terkemuka sehingga ke hari ini. Sumbangannya yang besar dalam bidang perubatan dan kimia sangat berharga kepada generasi selepasnya. Dalam bidang perubatan, beliau sangat fasih dalam ilmu pengetahuan perubatan Yunani dan menambah ilmu tersebut dari pemerhatiannya sendiri. Sebagai ahli kimia pula, al-Razi telah menjumpai asid sulfurik, yang digunakan secara meluas dalam bidang kejuruteraan kimia dan kimia moden. Beliau juga telah menjumpai ethanol dan hasil daripada sulingannya telah digunakan dalam perubatan. Al-Razi merupakan salah seorang juru ilmuan dalam Dunia islam serta mempunyai pengaruh yang besar dalam sains dan perubatan Eropah. Manakala dalam bidang falsafah, Al-
Razi telah memberi sumbangan besar dalam menghuraikan falsafah logik, metafizik, moral, dan kenabian dengan cara rasional dan harmoni. Oleh sebab itulah, Al-Razi terkenal sebagai seorang ahli falsafah yang rasional dan murni.
Selain itu, Al-Razi adalah seorang yang berfikiran rasional serta sangat yakin dengan kuasa logik. Beliau dianggap oleh rakan-rakannya dan penulis bioliografi sebagai seorang yang bebas dari sebarang prajudis. Beliau amat cekal dan berani mengutarakan pendapatnya tanpa teragak-agak. Beliau percaya kepada kemajuaan manusia dan “Tuhan Maha Bijaksana”. Beliau telah mengembara di kebanyakan tempat dan memberikan khidmatnya kepada beberapa orang putera dan pemerintah terutamanya di Baghdad serta beliau juga telah mendirikan makmal. Sebagai seorang guru dalam bidang perubatan, beliau berjaya menarik minat ramai pelajar menceburi bidang ini.
Seterusnya, semasa Mansur Ibn Ishaq Ibn Ahmad Ibn Asad menjadi Gabenor Ray, Al-Razi telah diberi kepercayaan memimpin rumah sakit atau hospital selama enam tahun pada tahun 290H hingga 296H bersamaan dengan 902M sehingga 908M. Pada ketika ini, Al-Razi menulis buku yang bertajuk Al-Thibb Al-Mansuri yang dipersembahkan kepada Mansur Ibn Ishaq Ibn Ahmad. Kemudian Al-Razi berpindah ke Baghdad atas permintaan khalifah Al-Muktafi pada tahun 289H hingga 295H bersamaan dengan 901M hingga 908M. Dalam menjalankan kerjaya kedoktoran, beliau dikenali sebagai seorang yang pemurah, penyayang serta bersikap dermawan kepada orang-orang miskin. Beliau juga telah memberi rawatan kepada pesakitpesakitnya secara percuma. Hitti menyifatkan Al-Razi sebagai seorang doktor yang paling agung dalam kalangan doktor muslim dan beliau juga disifatkan sebagai seorang penulis yang
produktif. Kemasyuran Al-Razi sebagai seorang doktor bukan sahaja di dunia timur, tetapi juga di barat. Dengan kemasyhurannya itu beliau telah digelar “The Arabic Galen” .
Al-Razi merupakan antara tokoh yang produktif dalam lapangan penulisan. Hal ini terbukti dengan banyak hasil karya beliau ditemui termasuk yang telah hilang. Hasil karya beliau hampir 200 buah karangan termasuk buku, majalah dan surat-surat yang telah dihasilkan oleh AlRazi dicatat oleh para pengkaji. Karya-karya beliau banyak membincangkan persoalan falsafah, perubatan, sains, ketuhanan, al-Quran, ilmu kalam, Bahasa Arab, fiqh dan usul fiqh, geometri dan sejarah. Kemasyhuran Al-Razi bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada dunia islam malah ketokohan dan kepakaran beliau turut diakui oleh dunia barat. Hal ini terbukti dengan banyak karya-karya beliau telah menjadi rujukan dan panduan dunia barat terutamanya dalam bidang perubatan. Sehingga kini, karya-karya beliau masih diguna.
Selain itu, Al-Razi juga telah menghasilkan kitab mengenai perubatan. Antaranya ialah kitab Al-Hawi (Liber Contines) dan juga kitab Al-Mansur (Liber medicinalis ad al Mansorem). Kitab Al-Hawi merupakan sebuah eksiklopedia iaitu amalan perubatan terapeutik yang dihasilkan oleh Al-Razi menjadi bahan rujukan dunia Eropah. Minat yang mendalam dunia Eropah kepada karya agung terhadap kitab ini terbukti dengan penerbitannya beberapa kali sejak abad ke-12M sehingga abad ke-17M. Dengan penemuan Al-Razi berkenaan penyakit campak cacar tulen ( smallpox ) dan campak biasa (measal) turut menjadi bahan rujukan perubatan dunia Barat. Penerbitan karya ini turut diulang beberapa kali sehingga abad ke-18M. Kedua-dua karya ini juga merupakan sumber kurikulum tradisional dalam kalangan para pengamal perubatan islam.
Seterusnya, kitab al-Mansur juga merupakan karya agung al-Razi dalam dunia perubatan.Al-Razi telah menghasilkan buku ini ketika beliau di Khurasan di bawah pemerintahan Gabenor al-Mansur Ibnu Ishaq. Dalam buku ini terkandung sepuluh penemuaan berkaitan tentang amalan dan sains perubatan. Buku ini dianggap satu karya beliau yang tulen dan mencerminkan kematangan dan kepakaran beliau dalam amalan perubatan moden. Dalam buku ini juga, beliau menekankan betapa pentingnya cara pemeriksaan yang teliti sebelum membuat kesimpulan tentang sesuatu penyakit. Satu falsafah yang terpenting dalam karya al-Razi ini ialah kebenaran dalam ilmu perubatan. Ia merupakan suatu yang amat sukar diperoleh dan walaupun banyak tersedia rujukan, namun nilainya kurang sekiranya dibandingkan dengan amalan seorang doktor yang sentiasa menggunakan kuasa pemikiran dan logika. Al-Razi menentang sekeraskerasnya amalan penipuan dan penyelewengan dalam amalan perubatan. Baginya, penyakit jasmani tidak boleh dipisahkan dengan penyakit rohani. Oleh sebab itu, dalam merawat penyakit ini, kedua-dua pendekatan iaitu rohani dan jasmani harus disatukan.
Di samping itu, Al-Razi turut memberi sumbangan yang besar dalam bidang kimia dengan terhasilnya kitab al-Asrar (The Book of Secrets). Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan merupakan sumber utama maklumat bahan kimia sehingga abad ke-14M. Antara lain kejayaan al-Razi dalam dunia perubatan ialah penemuan rawatan kepada penyakit cacar dan pengasingan alkohol dalam penghasilan antiseptik. Sumbangan al-Razi dalam bidang falsafah tidak kurang hebatnya. Dengan terhasilnya banyak karya tentang falsafah sudah cukup membuktikan minat yang mendalam beliau dalam bidang falsafah. Karya beliau dalam bidang falsafah yang berjudul Al’Thib al-Ruhani merupakan karya teragung beliau dalam bidang falsafah. Karya ini berkisarkan tentang cara pengubatan penyakit jiwa dan pengubatan fizik yang menyembuhkan tubuh badan.
Kesimpulannya, Al-Razi adalah seorang tokoh yang mempunyi ilmu pengetahuan yang tinggi serta dikagumi oleh dunia barat. Beliau juga adalah seorang pemikir yang banyak menghasilkan karya-karya yang berkualiti tinggi serta bahan penulisannya menjadi sumber rujukan. Al-Razi juga adalah seorang ahli perubatan yang terkenal dengan sifatnya yang pemurah dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Beliau menekankan aspek logik dalam bidang yang dipolopori oleh Al-Razi. Al-Razi meninggal dunia pada 5 syaaban 313H iaitu dalam bulan Oktober 925M. Para sarjana berpendapat bahawa Al-Razi mengalami sakit mata dan kemudian menjadi buta pada penghujung hayatnya. Al-Razi menderita akibat ketekunannya menulis dan membaca terlalu banyak. walau bagaimanapun, sumbangan beliau dalam bidang perubatan, kimia dan falsafah terlalu banyak dan telah meninggalkan kesan sehingga hari ini.
Bibliografi Wista Ahmad.2003.Tamadun Islam dan Sumbangan kepada islam.Selangor:Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. www.um.edu.my/umpress Http://Al-Razi.org/site/oeuvre.html.